Monday, 16 May 2022

NEGERI SEMBILAN BERMULA DARI SUNGEI UJONG.

SUMBER : MAJLIS DATO LEMBAGA ADAT SUNGEI UJONG

Ada pendapat sejarah menyatakan bahawa Sungei Ujong, nama lama untuk bandar Seremban tidak ada kena mengena dengan kewujudan sungai.
Ia telah wujud lama di Tanah Melayu, lebih purba dari yang kita tahu. Sungei Ujong berasal daripada perkataan 'Sang Hyang Hujung'.
Tempat ini wujud di dalam catatan Nagarakartagama semasa era Majapahit, ditulis pada 1365.
Ia juga ditulis sebagai 'Suneujon' di dalam rekod peta dan kartografi Eredia seawal 1613.
Kajian lanjut teks klasik Jawa itu juga mengesahkan Sang Hyang Hujung itu adalah sebuah negeri dan mempunyai kerajaan sendiri.
Di dalam Sulalatus Salatin, ia ditulis sebagai سنيڠ هوجڠ kemudian dirumikan dalam Sejarah Melayu versi Shellabear sebagai 'Sening Ujong', manakala di dalam versi Leyden ia dieja sebagai 'Senyang Ujong'.
Berdasarkan teori William Marsden pada 1784 mengenai sejarah Sumatera, diandaikan Sungei Ujong wujud dalam 1260-an ketika tempoh antara era kejatuhan Kerajaan Sriwijaya dan kebangkitan Kerajaan Singhasari yang seterusnya menjadi Kerajaan Majapahit.
Teori Marsden itu diperkukuh lagi dengan pandangan Richard Olaf Winstedt memetik Tom Pires yang mengatakan telah ada Mandulika di Sungei Ujong pada abad ke-14. Winstedt berpendapat Mandulika itu bermaksud gabenor dalam bahasa Sanskrit. Apabila dipadankan dengan artifak ditemui di Terengganu, jelas Sungei Ujong telah ada orang besar dipanggil Mandulika pada zaman Sriwijaya.
Ketika ini memang ada orang besar Sungei Ujong bergelar Dato' Andulika Mandulika yang berperanan sebagai Tua Lembaga Waris di-Darat dan Tua Lembaga Tiang Balai Undang Luak Sungei Ujong. Teorinya, Dato' Andulika Mandulika itu adalah warisan perjawatan Mandulika Sungei Ujong zaman Sriwijaya.
Babad Jawa naskah Pustaka Raja-raja Bumi Nusantara yang kontroversi itu pula menyatakan keberadaan Sungei Ujong sebagai negeri direkodkan seawal 1275 Masihi. Jika diambil tahun yang direkodkan Babad Jawa berkenaan, usia Sungei Ujong ketika ini adalah 747 tahun, kedua tertua selepas Kesultanan Kedah, pewaris Kerajaan Langkasuka. Hal ini juga menjadikan luak Sungei Ujong adalah luak tertua sekali.
Tidak dapat disangkal yang pada zaman itu, Kerajaan Langkasuka telah menyusuri sungai-sungai bawah pemerintah Sang Hyang Hujung untuk berdagang.
Rekod-rekod ini jelas menunjukkan bahawa negeri Sungei Ujong pernah menjalin hubungan atau dilindungi beberapa kerajaan besar bermula daripada kerajaan Sriwijaya, Majapahit dan kemudiannya sebagai wilayah di dalam Kesultanan Melayu Melaka.
Sehubungan itu, berkemungkinan besar sudah ada pemerintah Sungei Ujong bawah naungan kerajaan-kerajaan besar Nusantara ini, sebelum adanya penghulu menteri bawah Sultan Iskandar Shah atau Parameswara seperti yang disebut dalam Sejarah Melayu.
Teks Sejarah Melayu versi Raffles MS no. 18 mengenai Sungei Ujong menyebut:
"Maka Sultan Iskandar Shah pun berpindah dari sana lalu mendarat. Berapa hari dijalan maka terus ke Sening Ujong. Maka dilihat baginda tempat itu baik, maka ditinggalkannya seorang menteri di sana. Itulah maka tempat itu bermenteri datang sekarang."
Berdasarkan teks Sejarah Melayu itu, dipercayai Sultan Iskandar Shah mengiktiraf atau memperakui pemimpin Sungei Ujong yang sememangnya telah ada sebagai wakilnya sebelum baginda membuka Melaka.
Perkataan 'ditinggalkannya' itu diyakini bermaksud perakuan atau pengiktirafan dan bukannya melantik atau meletakkan pemimpin di negeri Sungei Ujong, memandangkan teks Jawa dan rekod-rekod lama menunjukkan Sungei Ujong sudah menjadi negeri semasa zaman Kerajaan Sriwijaya, Singhasari dan Majapahit.
Sang Hyang Hujung bermaksud 'Kepala Tuhan' pernah ditulis oleh Sultan Abdul Samad pada tahun 1880 sebagai kawasan yang menganjur dari Sepang sehingga Linggi, selari dengan kawasan Tanjung Tuhan atau Tanjung Tuan kini, atau ketika zaman British dinamakan sebagai Cape Rachado.
Malah, jika dikaji pada kedudukan geografi, titik tengah antara dataran yang menganjur dari utara ke selatan inilah terletaknya bandar Seremban, yang nama asalnya ialah Sungai Ujong.
Hari ini, nama Sang Hyang Hujung atau Sungei Ujong diabadikan di dalam nama salah satu dari empat luak di Negeri Sembilan iaitu Luak Sungei Ujong.
Ia menerangkan mengapa sebelum British tiba mencampuri urus tadbir Tanah Melayu, Luak Sungei Ujong asalnya ditadbir oleh dua nakhoda iaitu Dato' Klana Petra dan Dato' Syahbandar, membezakan pentadbiran luak ini dengan luak-luak lain di Negeri Sembilan suatu ketika dahulu.
Dato' Klana Petra adalah gelaran bagi pemerintah yang menguasai wilayah daratan, manakala Dato' Syahbandar pula adalah gelaran bagi orang besar yang menguasai laluan sungai dan wilayah laut. Penjelasan ini turut menjawab mengapa tidak pernah ada sungai yang mengalir di dalam daerah Seremban ini dengan nama Sungai Ujong.
Kesimpulannya, Negeri Sembilan ini sebenarnya bermula dengan kerajaan Sungei Ujong sejak 700 tahun lalu, diikuti luak-luak lain. Raja Melewar yang dicatat dipertuankan pada 1773 hanya kesinambungan dan lambang konfederasi kerajaan-kerajaan luak purba sedia ada.
Pengkisahan ini adalah bersandarkan rujukan berikut;
1. JSBRAS Vol 53 ‘ Notes On Malay History’ oleh Blagden, 1909
2. JMBRAS Vol 22 ‘Sungei Ujong’ oleh J.M. Gullick, 1949
3. JMBRAS Vol 23 ‘The Mandulika of Sungai Ujong’ oleh R.O Winstedt, 1950
4. JMBRAS Visited by Ibn Batutah in 1345 or 1346 AD often call by Semujong.
5. Negara Kartagama Yang Diiktiraf Oleh UNESCO: Masa Keemasan Majapahit oleh Ketut Riana, 2009
6. Twitter @AshrafMhd oleh Ashraf Muhamad, 14 Disember 2018
7. Sejarah Melayu versi Raffles MS no. 18, 1613
8. History of Sumatra oleh William Marsden, 1784
9. Historical Altas Of Indonesia Oleh Robert Cribb MS 78 (Lampiran Peta)
10. Hindoe-Javaansche Geschiedenis by N. J. Krom original in Dutch, Review in English by CO Blagden (University Of Cambridge)
11. Java in the 14th Century A Study in Cultural History (1962). Authors: Theodore G. Th. Pigeaud, Ph. D. Leyden
12. The Indianized States of Southeast Asia. Authors: B. G. Cœdes, Australian National University (1975) Page 244
13. The Rehla of Ibn Battuta – Malay states and references to them can be found in Malay historical chronicles.
14. At the Edge of the World of Islam: Ibn Baṭṭūṭa in the Malay Archipelago by A. Iankovskaia
15. The Longest Journey: Southeast Asians and the Pilgrimage to Mecca. Book by Eric Tagliacozzo. (Rakyat Sungei Ujong Telah Mula Di Rekod Menunaikan Haji Pada Kurun Ke 13)
16. Sejarah Awal Penulisan Dan Pelaksanaan Hukum Islam Di Nusantara. Author: Abd Jalil Bin Hj. Borhan. (Undang-Undang Islam Di Sungei Ujong Pada Kurun ke 14)
17. Monograf Perbadanan Muzium Negeri Kelantan – Warisan Kelantan VII (Diselenggara Oleh: Nik Mohamed Bin Nik Mohd Salleh)
Diterbitkan Oleh Perbadanan Muzium Negeri Kelantan – Istana Jahar, Kota Bharu, Kelantan.
18. Jawa Barat, Koleksi Lima Lembaga By Edi Suhardi Ekajati
19. ANCIENT INDIAN COLONIES IN THE FAREAST VOL.II SUVARNADVIPA PART I Political History. BY Dr.R.C.Majumdar,M.A.,Ph.D., Professor,DaccaUniversity.
20. Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas, portal Megalitik Negeri Sembilan, Universiti Kebangsaan Malaysia
21. Puteri membujang 200 tahun: Gara-gara lelaki Bengkalis tak cukup gagah oleh Wan Demak, majalah Jejak Ogos 2001, penerbit Malaysian News Supplement Sdn Bhd
Wallahhu’alam..
Allahumasolli Ala Saidina Muhammad..

Copy and paste: 16 Mei 2022 > 15 Syawal 1443H: 12.53 pm

3 comments:

Anonymous said...

Boleh tgk yg update nya lebih rujukan telah dimasukkan sebanyak 21 sumber rujukan

Anonymous said...

Boleh tgk di website majlisdatolsu.com untuk update artikel mempunyai lebih rujukan dan sumber sahih 21 rujukan

zulheimymaamor.blogspot said...

Terima kasih... saya sudah update...