Tuesday, 10 May 2022

5 Proses Menggenggam Taqwa Setelah Melalui Sebulan Universiti Ramadan


Segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan kita semua untuk menikmati kemanisan beribadah di bulan Ramadan dan seterusnya meraikan kemenangan di bulan Syawal.

Bagaimana hasil pencapaian ibadah kita di bulan Ramadan? Pasti kita semua bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah sebaik mungkin kerana ingin merebut ganjaran yang dijanjikan-Nya dan keberkatan malam Lailatul Qadar.

Semoga momentum beribadah itu dikekalkan sehingga ke bulan yang seterusnya. Insya-Allah.

Istiqamah Kekal Beribadah

Meskipun kini kita sudah berada di luar Universiti Ramadan, misi beribadah dan mencari taqwa mestilah diteruskan.

Semangat untuk mengekalkan momentum amal dan istiqamah dalam beribadah seharusnya tiada titik perhentian.

Namun begitu, ada cara dan proses agar kita sama-sama dapat menggenggam taqwa sejak Ramadan sehinggalah bulan yang seterusnya. Mari kita lihat satu persatu.

#1 – Mu’ahadah (Mengingati Perjanjian)

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji.”
Surah al-Nahl 16:91

Untuk mengingati perjanjian kita dengan Allah, kita perlu mempunyai masa menyendiri dengan Allah dan berbual-bual dengan-Nya.

Sekurang-kurangnya dilakukan dalam solat kita apabila kita merayu;

“Hanya kepada-Mu kami beribadah dan hanya kepada-Mu kami pohon pertolongan.”

#2- Muraqabah (Merasakan Dekatnya Allah SWT)

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk solat) dan melihat pula perubahan gerak badanmu antara orang yang sujud.”
Surah Al-Syua’ra’ 26:218-219

Nabi SAW berkata ketika ditanya tentang ihsan, maksud sabda Baginda;

Seolah-olah kamu melihat-Nya, dan jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah melihat kamu.”
Riwayat al-Bukhari no. 50 dan Muslim no. 9

Pada saat terjadi pertempuran dahsyat dalam hati ketika kita hendak melakukan sesuatu amalan, antara pujukan syaitan yang mengarah kepada riyak dan desakan nafsu yang menyuruh meninggalkan amalan itu, rasa dekat dengan Allah akan meleraikan peperangan jiwa itu.

Terus lakukan amalan dengan jiwa yang ingin dekat dengan Allah semata-mata.

#3- Muhasabah (Memeriksa Diri)

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Surah Al-Hasyr 59:18

Muhasabah dapat memperbaiki niat, menjana taubat dan menjadikan kita insan yang sentiasa beringat.

Muhasabah juga dapat menjadikan kita seorang hamba yang sentiasa merefleksi diri yang setiap hari terdedah dengan perbuatan dosa.

Oleh itu, muhasabah merupakan satu cara yang efektif untuk menjadikan seorang hamba yang bertaqwa.

#4- Mu’aqabah (Menghukum)

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan dalam qisas (sejenis hukuman) itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu wahai orang yang berakal, supaya kamu bertaqwa.”
Surah Al-Baqarah 2:178

Jika seseorang itu suka sangat makan nasi ayam misalnya, maka mu’aqabah baginya apabila dia melakukan sesuatu kesalahan, hendaklah dia menghukum dirinya dengan berkata;

“Kalau aku chatting yang sia-sia lagi dalam minggu ni, aku tak boleh makan nasi ayam selama sebulan penuh.”

Hukuman ini praktikal baginya kerana berbentuk menahan kesukaannya agar dapat mendisiplinkan diri sendiri.

#5- Mujahadah (Melawan Dorongan Nafsu)

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.”
Surah Al-Ankabut 29:69

Apabila diri terbuai dengan pesona dunia, haruslah kita bersikap tegas dengan diri. Lawan! Lawan! Dan tetap lawan! Ingatlah pada natijah sebuah mujahadah amatlah manis.

Manisnya Sebenar Taqwa

Maha Suci Allah! Andainya kita tetap teguh mempraktikkan lima proses ini, indahnya apabila diri kita sudah diperisai dengan perisai taqwa.

Bermaknanya hidup seorang Muslim apabila hatinya dipenuhi iman dan taqwa yang sebenar.

Dengan mu’ahadah, jadilah kita orang yang teguh atas syariat Allah.

Dengan muroqabah, terasa diri tenang dengan kebersamaan Allah SWT baik tika bersendirian ataupun di tengah khalayak orang ramai.

Dengan muhasabah, bebaslah kita daripada tarikan nafsu serta cepat kembali untuk memenuhi hak-hak Allah dan hak-hak manusia.

Dengan mu’aqabah, terhukumlah nafsu dan selamatlah diri daripada penyimpangan.

Dengan mujahadah, kita dapat melakukan segala kebaikan dan menundukkan sifat bermalas-malasan, pujuk rayu iblis dan rangsangan syahwat.

Dengan semua ini hidup kita akan dimuliakan dengan taqwa. Subhanallah!

Sumber: Tazkirah.net

Copy and paste: 10 May 2022 > 10 Syawal 1443H: 7.35 pm

No comments: