Wednesday, 25 May 2022

10 Fakta Menarik Mengenai Mesir Purba

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

1. Celeopatra Bukanlah Seorang Mesir

Selepas Alexander The Great menakluk Mesir Purba pada Abad Ke-4 SM, Mesir diperintah oleh Dinasti Ptolemy, iaitu dinasti yang bersusur galur daripada jeneral kanan Alexander iaitu Ptolemy I. Kebanyakan pemerintah dari Dinasti Ptolemy mengekalkan kebudayaan Macedonia yang diwarisi daripada Alexander The Great. Ya, salah satu daripada watak penting yang sering dikaitkan dengan Mesir Purba bukanlah berdarah Mesir sebenarnya.

2. Perjanjian Keamanan Terawal Dunia

Ketika Mesir Purba masih sebuah empayar yang agung, musuh azali Mesir Purba adalah Empayar Hittie yang berjiran dengannya. Betapa kedua-dua empayar ini seringakali berperang antara satu sama lain, terutama mahu merebut wilayah Syiria moden hari ini. Akhirnya, selepas menyedari perang antarta mereka sebenarnya sedang memakan empayar dari dalam, kedua-dua empayar ini akhirnya setuju untuk menjalankan perjanjian keamanan antara dua empayar, dengan syarat-syaratnya seperti kedua-dua empayar akan saling membantu sekiranya diserang oleh musuh.

3. Masyarakat Mesir Purba Sangat Minat Permainan Berpapan (Board Games)

Permainan berpapan yang terkenal ketika zaman kita ialah seperti Jutaria, Monopoly, Catur dan seumpama dengannya. Tetapi antara rekod terawal permainan berpapan terawal dunia ialah datang dari Mesir Purba, dijejaki seawall 3500 SM, kira-kira 5000 tahun yang lalu. Yang paling terkenal ialah Senet, di mana para sejarawan masih lagi berdebat tentang bagaimana permainan ini berlangsung. Bahkan kerana populariti permainan papan, betapa salah seorang firaun dalam sejarah Mesir Purba iaitu Tutankhamen dimakamkan bersama dengan permainan papan kegemarannya.

4. Mogok Buruh Pertama Dalam Sejarah

Orang Mesir Purba dicatatkan merupakan antara yang pertama dalam sejarah. Protes yang terkenal melibatkan mogok buruh ini ialah ketika pemerintahan firaun Ramses III apabila para buruh yang diupah untuk membina makam diraja di Deir el-Medina tidak menerima bayaran yang dijanjikan iaitu gandum, maka mereka telah menjalankan mogok. Mogok ini berlaku dengan para protestan duduk bercangkung di salah satu daripada laluan masuk ke makam, dan berkeras untuk tidak mahu meninggalkan tempat tersebut sehinggalah diberikan apa yang dijanjikan. Akhirnya, permintaan mereka dikabulkan dan mereka mendapat upah gandum seperti mana yang dijanjikan.

5. Wanita Mesir Mendapat Tempat Lebih Dari Wanita Lain

Mesir Purba mungkin salah satu peradaban yang meletakkan kedudukan wanita mereka ditahap yang lebih tinggi dari segala peradaban yang wujud sezaman dengan mereka. Mereka mempunyai kebebasan perundangan dan kewangan. Sebagai contoh, mereka mempunyai hak untuk membeli dan menjual hartanah, menjadi juri ketika perhakiman, menulis wasiat dan mewujudkan kontrak. Mereka yang bekerja diluar rumah juga memperoleh bayaran yang sama taraf dengan orang lelaki.

Bahkan seorang wanita Mesir mempunyai hak dalam rumah tangga seperti hak untuk meminta cerai, menceraikan dan berkahwin lain. Mesir Purba juga dikenali dengan kewujudan kontrak di antara pengantin lelaki dan perempuan sebelum melangsung perkahwinan, yang biasanya kontrak tersebut melibatkan pemilikan harta selepas perkahwinan. Mungkin sebab itu Mesir Purba antara peradaban purba di dunia yang memiliki pemerintah firaun wanita.

6. Firaun-Firaun Mesir Purba Biasanya Mempunyai Berat Badan Berlebihan

Walaupun pahatan dan seni Mesir Purba cuba sedaya upaya untuk mengambarkan firaun-firaun mereka sebagai kurus dan mempunyai tubuh badan idaman, sebenarnya kajian pada mumia mereka mendedahkan sebaliknya. Lagi-lagi apabila diet makanan kebiasaan masyarakat Mesir Purba yang melibatkan makanan yang tinggi gula. Sebagai contoh, Firaun Hatshepsut yang merupakan firaun wanita yang memerintah Mesir Purba pada 1500 SM. Sarkofagus (kotak menyimpan mayat firaun) mengambarkan beliau sebagai cantik, dan mempunyai tubuh badan yang menggiurkan, namun kajian pada tubuhnya mendedahkan bahawa Hatshepsut barangkali seorang wanita yang mempunyai penyakit obesity dan mengalami keguguran.

7. Kebanyakan Piramid Tidak Dibina Oleh Para Hamba

Membina piramid bukanlah tugas mudah. Setiap penemuan piramid biasanya akan menjumpai tengkorak para pekerjanya. Tetapi bukti yang dijumpai oleh sejarawan dan ahli arkeologi mengatakan bahawa terdapat sistem upah yang dijalankan oleh Mesir Purba. Terdapat graffiti yang dijumpai oleh arkeologis berdekatan dengan piramid yang biasanya ditinggalkan oleh kru kerja piramid yang tidak mahu nama mereka dilupai dalam lipatan sejarah. Grafiti tersebut biasanya bersifat komedi dan mengandungi unsur gurauan yang ditinggalkan oleh pekerja piramid. Sebagai contoh, “Sahabat Khufu” atau “Si Pemabuk Menkaure” yang mungkin merujuk kepada para kru pembina piramid.

8. Terdapat Firaun Mesir Yang Mati Kena Gigit Dek Badak Air

Ya, dengarnya macam kelakar, tetapi itulah hakikatnya. Perkenalkan firaun budak bernama Tutankhamen yang dipercayai oleh sejarawan, kemungkinan besar kematiannya adalah kerana digigit oleh badak air. Sememangnya budaya Mesir Purba ada melibatkan pemburuan binatang buas dan tidak hairanlah kalau Firaun Tutankhamen mati kerana digigit oleh badak air.

9. Doktor-Doktor Mesir Purba Mempunyai Kepakaran Khusus

Seawal zaman Mesir Purba, kira-kira 450 SM lagi, doktor perubatan di Mesir Purba mempunyai bidang kepakaran mereka, Ini yang dikatakan oleh Herodotus, sejarawan purba dari Yunani ketika menulis mengenai Mesir Purba. Setiap doktor di Mesir Purba hanya bertugas untuk merawat bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia sahaja. Hederotus menulis, “Setiap doktor di Mesir Purba hanyalah perawat untuk satu penyakit sahaja, tidak lebih dari itu. Sebahagian mereka hanya perawat mata, sebahagian lagi perawat gigi…”

10. Masyarakat Mesir Purba Menyimpan Haiwan Peliharaan

Antara peradaban terawal di dunia yang setiap isi rumah mempunyai binatang peliharaan ialah Mesir Purba. Sudah tentu, mereka memelihara kucing kerana ketakjuban mereka pada kucing yang selalu dikaitkan dengan dewi purba Mesir seperti Bastet. Tetapi orang Mesir Purba juga membela anjing, helang, babun, burung ibis bahkan haiwan buas yang dijinakkan seperti Cheetah dan Singa. Bahkan kerana sayang pada binatang peliharaan mereka, ada penduduk Mesir Purba dimumiakan bersama dengan tuan mereka. Selain itu, anjing pula sudah mula digunakan sejak Mesir Purba lagi sebagai pembantu kepada para polis untuk berkawal menjaga keamanan setiap kota di bawah Mesir Purba.

 Sumber: www.thepatriots.asia

Copy and paste: 25/5/2022 > 24 Syawal 1443H: 10.04 am



No comments: