Tuesday, 17 May 2022

Bagaimana Mengembara Mengajar Kita Untuk Tidak Keterlaluan Mencintai Dunia

 SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Kembara gaya ‘backpack’ kini telah menjadi trend anak muda. Mereka memilih untuk mengembara ke luar negara dengan cara ‘minimalis’, hanya dengan beg galas yang berisi beberapa helai pakaian yang mudah dibawa ke mana-mana.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan pastilah tempat-tempat yang mempunyai pemandangan yang cantik untuk bergambar, tempat bersejarah atau yang terkenal sebagai ‘syurga makanan’.

Sekalipun zaman dan cara hidup berubah namun nilai yang terkandung dalam setiap perjalanan atau kembara masih sama. Anjuran untuk mengembara sentiasa ada dalam Islam sekalipun kerana sebab yang berbeza. Ada orang yang berhijrah atau mengembara kerana ingin berlindung ke tempat yang lebih selamat, ada yang berhijrah atas urusan ilmu, ada yang berhijrah kerana tuntutan kerja dan ada yang berhijrah kerana ingin melihat luasnya dunia ciptaan Tuhan.

“Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)”
(Surah Al-Mulk 67:15)

Kembara Mengingatkan Kita Bahawa Dunia Bukanlah Tempat Yang Kekal

Apabila kita mula berjalan keluar dari rumah dan tempat tinggal, kita meninggalkan keluarga, harta dan keselesaan hidup yang biasa dilalui setiap hari. Tidak ada rutin sama, tidak ada orang yang selalu kita kenali dan tempat-tempat yang biasa kita lalui.

Kembara menjemput kita ke dunia yang penuh perkara yang tak terduga. Maka pada siapa sebenarnya tempat kita bergantung kala itu, kalau bukan kepada Yang Maha Menjaga. Dunia baru sahaja dikejutkan dengan tragedi kapal terbang terhempas di Indonesia yang meragut 189 nyawa. Siapa sangka hanya dalam tempoh 13 minit perjalanan mampu mengubah segala-galanya.

Maka melalui kembara yang ditempuh, kita punya masa untuk bersendiri, merenung ke dalam diri sendiri dan menilai kembali tujuan hidup selama ini. Perjalanan yang fizikal ini adalah manifestasi perjalanan spiritual yang kita lalui.

Apalah ertinya dunia ini bagiku? Apa urusanku dengan dunia? Sesungguhnya perumpamaanku dan perumpamaan dunia ini ialah seperti pengembara yang berteduh di bawah pohon, dia istirehat (sesaat) kemudian meninggalkannya.
(Hasan sahih: HR. Ahmad, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Al-Hakim)

Rasulullah SAW memberi perumpamaan bahawa seorang manusia yang datang ke dunia ini adalah seperti seorang pengembara, manakala dunia hanyalah seperti pohon, tempat singgahan sementara sebelum kita menyambung perjalanan menuju ke destinasi sebenarnya iaitu akhirat.

Kembara Menghadiahkan Pengalaman Yang Bernilai

Dengan mengembara, kita juga akan mempelajari perkara-perkara baru yang rupanya ada dalam diri sendiri, seperti kemampuan untuk berdikari, menyesuaikan diri dengan persekitaran, keberanian menyapa dan meminta pertolongan daripada orang yang tidak dikenali dan banyak lagi. Kembara menghubungkan ikatan dengan manusia.

Dalam buku The Alchemist karangan Paulo Coelho, ada dinukilkan kata-kata bahawa;

Setiap perkara yang anda perlu tahu dapat dipelajari melalui kembara

Kebiasaannya apabila kehidupan telah menjadi rutin, makna di sebalik kehidupan itu sendiri boleh kabur dan hilang. Sesetengah orang mula mempersoalkan- Apa yang sebenarnya aku buat setiap hari? Mengapa segalanya terasa tiada erti?

Mungkin masalah yang sebenarnya bukan pada tugas dan tanggungjawab, tapi kerana kepenatan, serta cabaran yang dihadapi setiap hari sehingga perhatian tidak diberi kepada diri sendiri.

Kembara mampu memecah kebuntuan ini dengan memberi perspektif baru kepada kehidupan. Kita jadi menghargai perkara-perkara kecil yang ditemui di sepanjang perjalanan- senyuman yang terukir di wajah orang yang tak dikenali, bantuan kecil yang diberikan, suasana yang tenang, pemandangan cantik dan 1001 macam perkara lagi.

Berjalan menyedarkan kita bahawa setiap suatu makhluk bernyawa di muka bumi ini sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain. Kembara sebenarnya mampu membawa kita dekat dengan Tuhan dan sedar dengan tujuan kita diciptakan.

“Merantaulah,
Orang berilmu dan beradab, tidak diam beristirahat di kampung halaman,
Tinggalkan negerimu dan hiduplah di negeri orang,

Merantaulah,
Kau kan dapati pengganti dari orang-orang yang kau tinggalkan,
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup kan terasa setelah lelah berjuang”
Petikan Syair Imam As-Syafie

 Sumber: Tazkirah.net 

Copy and paste: 17/5/2022 > 16 Syawal 1443H: 11.00 am

No comments: