Tuesday, 24 May 2022

Al-Quran menyimpan pelbagai rahsia untuk dikaji oleh Umat Muhammad. Subhanallah

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Menurut sejarah, kebanyakan tamadun purba terdiri dari masyarakat pagan. Kaum terdahulu percaya bahawa bumi ini datar. Bawah bumi adalah alam kegelapan manakala atas bumi iaitu langit adalah alam syurgawi. Maka, mereka beriktikad bahawa Tuhan berada di atas langit.

Tuhan iaitu dewa dewi di atas langit itu kemudian dipersonifikasikan dengan jasad samawi seperti planet, bintang, bulan, matahari dan lain-lain fenomena di angkasa seperti gerhana dan tahi bintang. Mereka mencerap objek samawi tersebut dan memetakannya ke permukaan bumi. Kemudian, mereka akan membangunkan binaan berupa kuil ibadat. Di dalam rumah ibadat itu pula diukir patung berhala untuk mewakili tuhan-tuhan di langit. Bagi mereka, langit dan bumi adalah cerminan. Segala fenomena yang berlaku di langit, akan memberi kesan dan pengaruh kepada makhluk di bumi. Falsafah mereka adalah as above, so below (Apa yang di langit, adalah sama dengan apa yang di bumi).

Manusia zaman dahulu memerhati dan mengkaji tabiat alam terutama fenomena di langit. Kedudukan matahari dan bulan serta perkaitannya dengan pasang surut air di bumi. Mereka juga mengkaji corak-corak gugusan bintang (buruj) yang akan kelihatan pada tarikh tertentu bagi menanda cuaca atau musim untuk manusia beraktiviti seperti pertanian dan sebagainya.

Begitulah kaum terdahulu membentuk kalendar. Kalendar ini juga digunakan untuk meramal kedudukan planet dan fenomena angkasa. Selain meramal perkara itu, mereka juga membentuk horoskop iaitu falsafah metafizik berdasarkan zodiak. Mereka menilik nasib manusia berpandukan tarikh yang ada kaitannya dalam kehidupan seseorang dan dikaitkan dengan kedudukan jasad samawi.

Perbahasan falsafah metafizik seumpama itu adalah tergolong dalam kategori pseudosains. Hal inilah yang dikenali sebagai ilmu astrologi atau ilmu nujum yang haram dipelajari. Manakala perbahasan angkasa yang sememangnya ada penjelasan saintifik dan bersih dari kesesatan akidah dikenali sebagai ilmu astronomi atau ilmu falak.

Seperti mana dalam tamadun purba di wilayah lain, masyarakat Mesopotamia juga terkenal sebagai penganut kepercayaan pagan. Bahkan, mereka adalah bangsa terawal yang meneroka ilmu astronomi dan astrologi. Tamadun Mesopotamia ini merupakan pusat peradaban terawal manusia. Wilayah Mesopotamia terletak di antara sungai Furat (Euphrates) dan sungai Dajlah (Tigris). Wilayah yang kini dikenali sebagai negara Iraq itu menyimpan pelbagai lipatan sejarah ketamadunan purba. Di situ pernah berdirinya peradaban Sumeria, Akkad, Ur, Babylon, Kassites, Assyria, Khaldea dan lain-lain.

Jika Mesir purba terkenal dengan binaan piramid sebagai bangunan pemakaman, maka Mesopotamia pula terkenal dengan binaan ziggurat sebagai bangunan peribadatan sepertimana pantheon bagi orang Greek dan Roman. Masyarakat Mesopotamia memiliki banyak dewa-dewi. Setiap kota dalam wilayah Mesopotamia memiliki satu berhala khusus (Patron God) yang mengetuai dewa-dewi yang lain. Daripada kesemua berhala yang wujud dalam wilayah Mesopotamia, terdapat tiga berhala yang paling utama. Berhala dewa-dewi itu membentuk triniti suci bagi masyarakat Mesopotamia.

Triniti suci Mesopotamia ini juga dikenali sebagai astro-triad kerana dewa-dewi ini disimbolkan dengan jasad samawi. Pertama, dewi Ishtar yang disimbolkan sebagai bintang kejora. Kedua, dewa Sin disimbolkan sebagai bulan. Ketiga, dewa Shamash yang disimbolkan sebagai matahari. Triniti suci ini diukir di pelbagai tempat. Antara ukiran yang boleh dilihat adalah pada sebuah artifak stele seperti dalam gambar yang dikepilkan bersama penulisan ini.

Apa yang menariknya, al-Quran juga turut mencatatkan perihal astro-triad ini dalam kisah pertanyaan Nabi Ibrahim kepada kaumnya mengenai penyembahan bintang, bulan dan matahari. Nabi Ibrahim sememangnya diutus di wilayah Mesopotamia. Kisah ini terdapat dalam surah al-An’am ayat 76-78.

“Ketika malam telah menjadi gelap, baginda (Nabi Ibrahim) melihat sebuah bintang lalu berkata, ‘Ini Tuhanku?’. Ketika bintang itu terbenam, maka baginda berkata, ‘Aku tidak suka kepada yang terbenam.’ (76)

“Kemudian ketika melihat bulan terbit, baginda berkata, ‘Ini Tuhanku?’. Namun apabila bulan itu terbenam, baginda berkata, ‘Sungguh, jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang-orang yang sesat.’ (77)

“Kemudian ketika melihat matahari terbit, baginda berkata, ‘Ini Tuhanku? Ini lebih besar!’. Namun apabila matahari terbenam, baginda berkata, ‘Wahai kaumku! Sungguh aku berlepas diri apa yang kamu persekutukan.'”(78)

Ayat 77 serta ayat 78 jelas menceritakan tentang umat nabi Ibrahim yang menyembah bulan dan matahari. Namun untuk ayat 76, al-Quran menggunakan istilah ‘Kawkab’ untuk menceritakan tentang penyembahan bintang. Jika kita periksa lebih lanjut, perkataan bintang dalam bahasa Arab lebih tepatnya adalah Najm. Istilah Kawkab lebih tepat diterjemah kepada planet. Namun, penggunaan istilah Kawkab ini, sama ada diertikan sebagai bintang atau planet, sebenarnya membuktikan kebenaran al-Quran dalam memperincikan perkara ini.

Sememangnya ada planet yang dianggap bintang oleh masyarakat dahulu. Planet tersebut adalah Venus yang juga dikenali sebagai bintang kejora (evening star). Planet ini dipanggil bintang kerana memiliki sifat yang bersinar seperti sebuah bintang ketika mula memasuki waktu malam. Oleh kerana itulah masyarakat Arab menamakan planet Venus ini sebagai Zuhrah yang bermaksud ‘sinar terang’. Venus merupakan nama lain bagi dewi Ishtar dalam mitologi Mesopotamia.

Jika dari sudut kajian sejarah dan mitologi, ini secara tidak langsung menunjukkan al-Quran mendedahkan rahsia ketamadunan masyarakat Mesopotamia di zaman Nabi Ibrahim yang menyembah venus, bulan dan matahari sebagai personsifikasi kepada dewa-dewi di langit.

Perlu diingatkan, ayat 76-78 Surah al-An’am ini bukanlah bermaksud Nabi Ibrahim sedang mencari-cari Tuhan yang sebenar untuk disembah. Setiap nabi itu adalah maksum dan terpelihara dari kesyirikan sejak mereka dilahirkan sehinggalah mereka diangkat menjadi nabi dan kekal bertauhid sehingga wafat. Apatah lagi Nabi Ibrahim yang merupakan salah seorang Nabi Ulul Azmi dan digelar Abul Anbiya’ (Bapa Para Nabi) ini. Inilah kefahaman dan tafsiran sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Silap faham kononnya Nabi Ibrahim mencari-cari Tuhan untuk disembah perlulah dihentikan penyebarannya oleh penceramah.

Ucapan ‘Haza Rabbi’ (ini Tuhanku?) yang disabdakan oleh Nabi Ibrahim kepada umatnya sepertimana yang terkandung dalam al-Quran itu bukanlah sebuah ungkapan pengakuan (ikhbar), tetapi ungkapan itu adalah soalan untuk menyindir kaumnya dan mengingkari pegangan mereka (istifham inkari).

Buktinya, sebelum Nabi Ibrahim bertanya mengenai bintang, bulan dan matahari itu, ayat sebelumnya terlebih dahulu menyatakan tentang keimanan Nabi Ibrahim. Begitu juga dengan ayat-ayat dalam surah lain yang menyatakan bahawa Nabi Ibrahim sememangnya telah beriman sejak awal lagi ketika bergaul dengan kaumnya. Kisah keimanan Nabi Ibrahim juga diteruskan dengan babak baginda memecahkan berhala dan berdebat dengan raja kaumnya sebelum baginda dibakar dalam api besar. Namun, baginda tidak langsung terkesan dengan api tersebut.

Kisah agung yang terakam ini membuktikan bahawa al-Quran adalah wahyu Ilahi. Mana mungkin Nabi Muhammad yang ummi itu akan menulis sejarah kaum terdahulu secara sangat terperinci begini. Al-Quran menyimpan pelbagai rahsia untuk dikaji oleh ilmuwan. Apa yang penting, ayat-ayat al-Quran ini perlulah ditafsir mengikut manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah agar tidak terpesong kefahamannya.

Copy and paste: 24/5/2022 > 24 Syawal 1443H: 7.23 pm

No comments: