Sunday, 15 August 2021

RAMALAN TAJUL MULUK > SIKAP KITA DI AKHIR ZAMAN

OLEH QIEM > FB KISAH SEJARAH MELAYU

1. Awalnya saya fikir pandangan seorang agamawan berhubung Tajul Muluk ini tak berapa serius mana. Tapi semakin hari semakin ramai pula percaya. Orang kita memang minat khabar-khabar sebegini.
2. Kepercayaan ini adalah kesinambungan dari mimpi seorang wanita yang tular sebelum ini. Mendakwa akan berlaku peristiwa besar sikit masa lagi. Boleh tahan juga gerakannya.
TAJUL MULUK
3. Berkenaan kitab ini, ia menghimpunkan ilmu nujum, jampi serapah, geomantik dan berbagai lagi. Ilmu ini sudah wujud ribuan tahun dahulu di serata dunia. Banyak yang bercanggah dengan syarak dan boleh membawa kepada maksiat dan kekufuran.
4. Ilmu sebegini diperoleh hasil interaksi manusia dengan alam ghaib. Sebelum lahir Nabi Muhammad, jin boleh mencuri maklumat dari langit. Dengan maklumat inilah disampaikan kepada manusia. Namun tiada siapa boleh menjamin maklumat itu betul atau tipu. Lepas Nabi SAW lahir, pintu langit ditutup. Rujuk Surah Jin ayat 9.
5. Namun interaksi antara manusia dan jin masih berlaku kerana manusia masih percaya pada maklumat yang jin sampaikan. Hakikatnya banyak pembohongan yang jin sampaikan. Mereka sendiri tiada ilmu perkara akan datang. Rujuk Surah Saba' ayat 14.
6. Kalau mereka ada maklumat yang dicuri sebelum langit ditutup sekalipun, kita sendiri tiada jaminan mereka sampaikan berita betul atau bohong. Apatah lagi sekiranya jin itu adalah syaitan pengikut iblis yang memang bekerja untuk menyesatkan anak Adam. Sudah tentu mereka akan sampaikan yang membawa kesesatan sahaja.
7. Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW meletakkan manhaj ilmu yang sepatutnya diikut. Ia mesti bersumberkan wahyu. Ini sahaja sumber yang tidak akan bohong. Lainnya terdedah kepada penipuan dan kesahalan.
8. Banyak nas yang melarang amalan nujum ini. Antaranya sabda Rasulullah SAW:
من اقتبس شعبة من النجوم فقد اقتبس شعبة من السحر زاد ما زاد
Barangsiapa mengambil sebahagian dari ilmu nujum maka dia telah mengambil sebahagian dari ilmu sihir dengan tokok tambah yang pelbagai.
[HR Abu Daud & Ibn Majah]
9. Antara perkara yang didakwa Tajul Muluk adalah perkara besar akan berlaku jika 1 Muharram jatuh pada hari Selasa. Jika rujuk pada taqwim, sudah tiga kali 1 Muharram jatuh pada hari Selasa sejak 30 tahun lepas iaitu pada 1419, 1427 dan 1435. Boleh katakan banyak lagi peristiwa sama selepas Tajul Muluk ditulis.
10. Kejadian yang dikatakan besar itu sebenarnya normal berlaku mutakhir ini. Contohnya kematian orang-orang besar sering berlaku saban tahun. Harga barang meningkat juga sudah berlaku pada tahun-tahun sebelum ini. Kalau bukan kerana ramalan itupun, kita sudah boleh membaca berdasarkan ilmu moden hari ini.
11. Tahun lepas, sudah ada agamawan kata 15 Ramadhan jatuh hari Jumaat, huru hara akan berlaku. Tapi tak pun. Sebelum-sebelum inipun dah banyak orang sebar benda serupa. Semuanya nak buat kita takut sahaja. Sedangkan pengkhabaran akhir zaman bukan bertujuan menakutkan.
12. Sepatutnya agamawan membantu orang awam untuk kembali kepada al-Quran dan Hadis. Bukan merujuk kepada kitab-kitab selainnya yang meragukan. Kembali kepada manhaj ilmu yang dijamin tidak akan menyesatkan.

FIRASAT AKHIR ZAMAN
13. Seperti disebutkan di atas, kitab ini didakwa oleh agamawan itu atas nama firasat orang beriman. Sama juga sebelum ini mimpi wanita didakwa sebagai mimpi benar di akhir zaman. Ia juga disebut sebagai ilmu ladunni.
14. Tidak dinafikan, berdasarkan hadis memang di akhir zaman tuhan akan memberi petunjuk melalui mimpi dan firasat orang beriman. Tetapi perlu juga difahami, ILMU LADUNNI ini ada 2 kategori seperti yang disebut oleh Ibn Qayyim; Ilmu Ladunni Rahmani dan Ilmu Ladunni Syaitani.
15. Macam mana nak tentukan ilmu tersebut Rahmani atau Syaitani? Kembali kepada nas. Kalau tiada sandaran daripada nas, maka itulah tipudaya syaitan untuk menyesatkan kita.
16. Ramai kata apa salahnya percaya mimpi tersebut? Sekurangnya jadi peringatan untuk bersedia. Masalahnya, ramai ambil persediaan tidak mengikut apa yang nas ajar walaupun nampak macam baik seperti lari dalam hutan, cari Imam Mahdi dan seumpamanya.
17. Ibn Jauzi menyebutkan bahawa tipudaya iblis ini bukan sahaja ajak buat maksiat. Iblis turut ajak buat kebaikan. Tetapi kebaikan yang tidak kena pada masa dan keutamaannya. Contohnya solat sunat panjang-panjang sampai terlepas waktu solat fardu.
18. Dalam ajaran Islam, mimpi yang benar sekalipun perlu dirahsiakan. Kerana fitnah daripada penyebarannya lebih besar dari manfaatnya. Kalau ianya mimpi benar bagi orang beriman, tuhan akan beri mimpi sama kepada semua yang beriman.
19. Justeru petunjuk sebenar akan diperoleh jika kita kuatkan iman. Iman diperoleh dengan kefahaman terhadap Islam bersumber al-Quran dan Hadis. Kemudian mengamalkan ilmu kefahaman tersebut dengan kaedah yang betul, disamping ikhlas hanya kepada Allah.
PERSEDIAAN KITA
19. Ramai berasa takut dengan penyebaran isi Tajul Muluk dan mimpi wanita itu. Semua berkira-kira nak buat apa. Sedangkan syarak telah tetapkan apa perlu dibuat.
20. Pertama sekali, cari ilmu untuk memahami al-Quran dan Hadis. Bukan sekadar baca terjemahan dan faham ikut akal masing-masing. Perlu belajar segala ilmu alat dalam bahasa wahyu. Ikut manhaj pengajian Islam yang telah ulama' gariskan. Tak kira kita bukan lulusan agama sekalipun. Itu sahaja cara memahami agama dengan betul.
21. Kedua, beramal dari apa yang kita belajar. Amal yang betul boleh jadi benteng kita dari sesat. Tiada amalan khusus, cukup dengan jaga segala kefarduan dan hindari segala dosa, disamping banyakkan amal-amal sunat dan hindari makruh seperti yang diajar dalam kitab fiqh.
22. Ketiga, jaga hati daripada penyakit terutama penyakit cinta dunia. Ikhlas hati kerana Allah dalam setiap perkara. Mereka yang ikhlas sahaja tidak akan berjaya digoda oleh iblis.
23. Keempat, ikut jalan para Anbiya', Siddiqin, Syuhada dan Solehin. Jalan mereka adalah memperjuangkan agama. Hidup bukan untuk jaga diri masing-masing, tapi ada tanggungjawab untuk agama dimana jua bumi dipijak. Buat kerja dakwah, jihad mengikut lapangan masing-masing.
24. Kelima, beriltizam dengan jemaah Islam sebagaimana Nabi nyatakan dalam hadis Huzaifah al-Yaman. Soal jemaah ini panjang untuk dibahaskan. Tetapi paling mudah faham adalah bersama kumpulan Islam yang berjuang untuk agama secara syumul sebagaimana cara yang Nabi SAW ajarkan.
25. Perlukah lari dalam hutan, uzlah dari masyarakat? Tak perlu. Sebab kita masih ada ruang untuk praktik Islam dalam masyarakat. Ruang dakwah juga masih terbuka untuk dilaksanakan. Jemaah Islam masih wujud di serata dunia.
26. Perlukah cari atau tunggu Imam Mahdi? Tak perlu. Berjuang di tempat masing-masing sahaja. Melainkan setelah dia benar-benar munculkan diri, baru pergi berbaiah dengannya. Sehingga sekarang, laksanakan tanggungjawab di tempat masing-masing.
27. Bukankah perlu lari dari Dajjal? Dajjal belum muncul. Tak perlu lari lagi. Sebaliknya lengkapkan diri dengan ilmu sehingga mampu jadikan nas sebagai rujukan dahulu. Biar mampu berhujah melawan fitnah Dajjal. Sebab kalau Dajjal benar-benar muncul, tiada tempat yang selamat dari Dajjal. Hatta di Madinah tempat Dajjal tak boleh masuk pun, penduduknya boleh keluar ikut Dajjal.
28. Perlukah mula kumpul emas, tanam tanaman dan ternak binatang? Ya. Supaya kita boleh survive jika keadaan mendesak. Namun tak perlulah sampai gadaikan semua yang moden untuk hidup secara tradisional. Seimbangkan. Yang penting hidup kita tidak disibukkan untuk jamin kehidupan jamin dunia sahaja sampai terabai tanggungjawab untuk agama, keluarga, masyarakat dan seumpamanya.
29. Perlukah tinggalkan semua kerja, fokus ibadah sahaja? Jangan. Hidup perlu diteruskan. Nabi pesan kalau kiamat sedang berlaku pun sedang di tangan kamu masih ada biji benih, teruskan menanam. Menggambarkan jangan putus harapan untuk hidup.
30. Semua ini adalah ringkasan dari apa yang saya tulis selama ini dari kitab Huraian Hadis Geoskatologi dan Di Bawah Naungan al-Kahfi. Boleh rujuk nas-nas dan keterangannya untuk lebih memahami. Tujuan kitab-kitab ini ditulis juga untuk ini. Bagi mengajar masyarakat cara hidup di akhir zaman dengan betul dan menghindar ajaran-ajaran mengarut.
31. Kesimpulannya, nak faham fenomena akhir zaman, fahamilah mengikut neraca nas, bukan sumber lain yang boleh ditunggang iblis. Kalau nak buat persediaan, ikutlah jalan yang ditetapkan syarak. Bukan selainnya yang dikhuatiri menyesatkan.
(Alang Ibn Shukrimun)

C&P: 15 OGOS 2021 / 6 MUHARRAM 1443H: 5. 17 AM

No comments: