OLEH - KISAH SEJARAH MELAYU
Tome Pires, pengembara yang pernah tinggal di Melaka dari tahun 1512 hingga 1515 menulis dalam buku pengembaraannya “Suma Oriental” menyatakan bahawa kota A Famosa dibina di atas tapak asal masjid Agung Melaka , memiliki tembok yang sangat lebar dan menara setinggi 5 tingkat. Disebelah kota itu ombak laut membadainya dan yang sebelah lagi ada sebatang sungai mengalir .
Gaspar Correia, seorang setiausaha peribadi kepada Afonso de Albuquerque yang tinggal di India hampir separuh abad sehinggalah dia mati pada tahun 1563. Gaspar Correia menulis buku bertajuk Lendas da India [Legends Of India], berkenaan sejarah aktiviti Portugis di timur sejak dari zaman Vasco da Gama. Dia barangkali tidak pernah menjejakkan kaki ke Melaka tetapi dia gemar mengumpulkan maklumat yang boleh dipercayai daripada orang-orang yang pernah pergi sendiri ke Melaka. Dalam bab 29 bukunya berkenaan ‘Legend of Albuquerque’ dia menyatakan secara terperinci kisah penaklukkan Portugis ke atas Melaka. Menurutnya pada awalnya pihak Portugis menyiapkan kota yang diperbuat daribada kayu menggunakan banyak Jong rosak yang berlabuh di perlabuhan Melaka, turut digunakan ialah tong-tong kayu yang diisi penuh dengan tanah. Sehinggalah apabila tiada lagi ancaman yang datang dan mereka telah memiliki pertahanan yang kukuh [kubu kayu] untuk menerima ancaman musuh barulah Portugis mula membina kota A Famosa yang diperbuat daripada batu.
Menurutnya tapak yang dipilih untuk membina kota daripada batu itu ialah menghadap sungai dan terletak di Muara Sungai Melaka. Asas untuk tapak menara itu adalah sangat dalam, lebar 20 kaki manakala asas bagi tapak tembok pula ialah 12 kaki lebar. Setiap sudut kota itu pula dibina menara berbentuk empat segi , dengan bersyilingkan kayu, tingginya pula sama aras dengan tembok kota itu sendiri. Proses menyiapkan asas kota ini sahaja mengambil masa 2 bulan lamanya.
Memandangkan bekalan batu yang sangat terhad untuk membina tembok, maka Albuquerque telah mengambil langkah drastik yang terkutuk dengan merobohkan masjid Agung Melaka. Dia mengupah seramai 300 penduduk tempatan untuk kerja-kerja merobohkan struktur batu masjid Agung Melaka dan beberapa binaan lain yang lebih kecil, dan juga mengambil semua batu nisan dari kubur orang-orang Islam.
Pendapat ini disokong melalui catatan oleh Bras de Albuquerque [anak Albuquerque] yang menyatakan bahawa kota itu dibina di atas tapak masjid Agung Melaka dimana kesemua bahan-bahan binaan kota adalah diguna semula daripada masjid yang dirobohkan itu. Salah satu batu yang diambil dari Melaka itu sendiri ialah batu besar yang diukir oleh ayahnya yang dinamakan batu Comendrios de Afonso de Albuquerque.
Pada batu ini diukir nama-nama penting kapten Portugis yang terlibat di dalam penaklukan Melaka. Akan tetapi timbul pula rasa tidak puas hati dikalangan kapten-kapten lain yang nama mereka tidak diukir sekali pada batu itu . Oleh itu Albuquerque mengarahkan batu hambar itu diletakkan di atas pintu kota tetapi bahagian yang tertulis nama-nama dipalingkan ke dinding. Pada permukaan batu yang menghadap ke depan itu diukir perkataan Portugis “Lapidem, quem reprobaverunt edificantes”. Iaitu maksud ayat yang diambil dari kitab injil [batu yang para pembina itu hinakan].
Menurut Joao de Barros, yang tidak pernah menjejakkan kaki ke Melaka menyatakan untuk merancakkan pembinaan A Famosa, Albuquerque turut menggunakan khidmat ramai “Hamba Raja” [hamba Sultan Melaka] bagi membina kota itu. Dan juga penggunaan gajah untuk membantu membawa batu-batu besar.
Dalam masa empat bulan berikutnya seramai 700 orang tempatan lagi diupah untuk membuat simen kapur, daripada cengkerang kerang yang banyak didapati, mereka juga ditugaskan menyiapkan tembok itu yang ditinggikan secara berperingkat terutama yang berhampiran pantai , sehingga kira-kira setinggi orang dewasa. Kemudian semua kerja-kerja ini tergendala selama setenggah bulan kerana kedatangan angin monsun yang membawa bersamanya hujan lebat.
Menara “torre de menagem” [Menara Penjara] pula, seperti yang dinyatakan Gaspar Correia adalah setinggi 4 tingkat. Tingkat pertama setinggi 20 kaki , tingkat kedua 15 kaki , tingkat ketiga 12 kaki , dan yang ke empat 8 kaki .Syiling menara itu diperbuat daripada kayu yang sangat kuat dan panjang, ruangnya selebar 40 kaki sama seperti lebar tapak menara. Setiap tingkat mempunyai 4 tingkap dan setiap tingkap pula ditempatkan meriam yang besar.
Tingkat paling atas ada sebuah teres yang digunakan sebagai tempat untuk menyalakan obor. Menara penjara ini diselaputi keseluruhannya dengan mortar [argamassada] pada setiap sisinya. Bumbungnya pula sangat tinggi dan berbentuk tirus [corucheo] dan ada 4 buah menara kecil berbentuk piramid yang dibina pada setiap penjuru bumbung itu. Kesemua bumbung dan menara kecil itu diselaputi plumbum dan timah.
Kapten dan para pegawainya tinggal di menara ini, manakala askar Portugis tinggal di dalam rumah yang dibina di dalam kubu A Famosa ini. Gaspar Correia menyatakan yang kubu ini berbentuk empat persegi, dan lebarnya kira-kira 66 meter. Ada 2 buah perigi yang digali di dalam kota ini.
Pada tembok yang selari dengan pantai mempunyai sebuah pintu kecil yang besarnya seperti pintu rumah yang biasa, tingginya kira-kira 2 fathoms [bracas] dari aras tanah. Pintu tinggi ini boleh dinaiki menggunakan sebuah tangga yang sempit muat-muat untuk seorang sahaja melaluinya. Di atas pintu ini dihias dengan Jata Portugis, dan di atas Jata itu dipasang salib manakala dua buah sfera armilari mengapit Jata itu di kiri dan kanan. Pada sebelah tembok yang menghadap sunggai juga dibina pintu yang serupa tetapi bersaiz lebih kecil.
Akan tetapi peta itu kini dipertikaikan memandangkan kedudukkan kota yang dilukis itu tidak tepat seperti mana di lokasinya yang sebenar , sedikit berpaling mengikut arah jam , menunjukkan seolah-olah ia dillukis oleh orang lain, atau berdasarkan maklumat orang lain atau mungkin juga Gaspar Correia sebenarnya tidak pernah langsung ke Melaka walaupun dia seorang kapten yang bertanggungjawab menyudahkan kerja-kerja membina A Famosa.
Tambahan pula saiz kota yang dilukis itu sangat kecil tidak seperti yang digambarkan oleh beberapa penerangan dari abad ke 16 yang menyatakan kota Melaka itu mempunyai hampir seramai 100,000 penduduk. Terdapat juga pendapat yang menyatakan yang jumlah penduduk seramai itu hanya diperbesar-besarkan memandangkan pegawai tempatan Portugis di Melaka berkemungkinan cuba menarik perhatian pegawai atasan.
Apapun kota yang dibina Portugis ini sememangnya sangat kukuh . Ini berdasarkan bahawa A Famosa masih dapat bertahan sedangkan banyak serangan yang bertali arus datang sepanjang sejarah kewujudannya. Faktor kemampuan bertahannya yang lama ini juga mungkin disebabkan oleh ketidakupayaan kuasa-kuasa tempatan untuk mempunyai arteleri yang cukup kuat bagi memusnahkannya, atau kepakaran ketenteraan untuk menewaskan kota itu. Sekurang-kurangnya sehingga tahun 1550. Kebanyakan penentangan dari kuasa tempatan terhadap Portugis hanya berlaku di sekitar semenjung Tanah Melayu atau di perairan Selat Melaka. Dan kerap kali juga ia dimenangi oleh Portugis yang ketika itu mempunyai persenjataan api yang lebih hebat dan keupayaan kapal lautnya yang cemerlang.
Pada tahun 1546, Raja Portugis yang baru bernama Joao III memerintahkan kepada wakil kerajaannya di India bahawa dia mahu melihat lakaran kesemua kota-kota utama milik Portugis yang dimilikinya di Asia. Disebabkan arahan ini maka pakar-pakar tempatan mula mengumpulkan data dan maklumat yang diperlukan untuk membuat lakaran sebelum dihantar kepada raja. Ini termasuk juga lakaran untuk kota Melaka.
Pada tahun 1568, muncul satu lukisan yang dilukis oleh pembuat peta Portugis yang pernah tinggal di Melaka tetapi namanya tidak diketahui. Lukisan itu menunjukkan paparan kota Melaka dari sudut pandangan mata burung. Lukisan bersejarah itu kini disimpan di muzium Biblioteca Nacional, Rio de Janeiro, Brazil. Ia menunjukkan saat serangan tentera Kesultanan Aceh ke atas kota A Famosa.
Pada sebelah kiri bawah lakaran ini ditulis “Sultan Allaharadim Riayat Shah, pemerintah Aceh dan sekutunya datang mengepung bandar Melaka ...dengan 300 kapal dan 15,000 askar, termasuk juga bangsa Turki dan tentera upahan dari negara-negara lain”. Dan lakaran itu juga menyebut bahawa Kapten Portugis, Leonis Periera yang berkhidmat dari tahun 1567 hingga 1570, “mempertahankan kota ini dengan kekuatan hanya seramai 200 orang Portugis ...dan berjaya menangkis serangan itu”.
Kesultanan Aceh yang berpusat di bahagian utara pulau Sumatra merupakan kerajaan tempatan yang semakin makmur semenjak kejatuhan Empayar Melayu Melaka ke tangan Portugis. Empayar Aceh semakin meluas dan turut menerima bantuan dan kepakaran daripada empayar Islam Uthmaniah di Turki. Empayar Uthmaniah membantu Aceh dengan menyalurkan kepakaran mereka dalam pembuatan senjata api, dan menasihat strategi ketenteraan. Pada pertengahan kurun ke 16 , Aceh merupakan satu-satunya musuh Portugis dari kuasa tempatan yang terkuat dan sering mencabar kewujudan Portugis di Melaka.
Dalam lakaran yang teliti itu mengambarkan keadaan Melaka pada ketika kejadian. Didapati beberapa kawasan di dalam kawasan bertembok [intra-muros], wujudnya penempatan Portugis, manakala banyak kampung-kampung Melayu di sekitar bandar Melaka semakin hilang. Bandar itu kelihatan terancang, dengan jalinan jalan yang raya yang bagus, dapat dilihat dengan jelas juga bangunan dan ciri-cirinya seperti rupa bumbungnya yang berlainan, dan sesetengah rumah dua tingkat kelihatan diperbuat daripada kayu di bahagian atas manakala bahagian bawahnya daripada batu atau mortar.
Melalui lakaran ini menunjukkan Portugis membuat beberapa penambahbaikan terhadap kota itu jika dibandingkan ketika zaman Gaspar Correia. Didapati saiz kota itu juga semakin membesar di mana kota A Famosa yang asal kini merupakan satu kawasan kecil yang menjadi penempatan penduduk Portugis di tengah-tengah kota Melaka. Hampir keseluruhan kota Melaka kini dilindunggi oleh tembok dengan tambahan beberapa buah kubu yang kukuh di setiap penjurunya.
Ketika pemerintahan Kapten Dom Estevao da Gama [anak Vasco de Gama] yang memerintah Melaka dari tahun 1534 hingga 1538, penempatan Portugis ini dikelilinggi oleh tembok “taipa” iaitu tembok yang dibina menggunakan tanah dan batu-batu kecil yang dipukul bersama menggunakan kayu. Penambahan ini dilakukan selepas serangan Aceh yang pertama pada tahun 1537. Di mana ketika itu tembok batu yang asal telah runtuh lalu ia digantikan pula oleh tembok taipa.
Menurut seorang saksi yang bernama Diogo do Couto, seluruh kota itu lingkari tembok sepanjang 1000 Fathoms [2200 meter], dengan tidak lebih dari 3 buah kubu dan sebuah benteng [cubelo].
Portugis membina lagi tembok batu baru ketika era pemerintahan Kapten Dom Diogo de Meneses [1564-1567], setelah pegawai tertinggi Portugis di India mengarahkan agar kota Melaka diperkuatkan susulan kerap menerima serangan dari Kesultanan Aceh dan beberapa negeri Islam lain yang berada di sekitar Selat Melaka. Tambahan pula negeri-negeri ini semakin kuat selepas dibantu oleh pihak Uthmaniah yang menyalurkan bekalan arteleri terus dari Laut Merah.
Pembinaan tembok A Famosa yang baru dapat diselesaikan sejurus sebelum serangan Aceh pada tahun 1568. Dalam serangan ini pihak Portugis di bawah pimpinan Dom Leonis Pereira [1567-1570] berjaya mematahkan serangan Aceh walaupun pada ketika itu pihak Aceh membawa lebih daripada 200 buah meriam tembaga yang besar. Portugis di Melaka sendiri ada menerima bantuan arteleri daripada pihak Portugis dari Goa. Tembok baru yang diperkukuh diperbuat daripada bahan-bahan yang lebih kuat itu adalah adalah satu contoh inovasi radikal Portugis yang paling berjaya dalam sejarah peperangan di Asia Tenggara.
Berikut adalah pelan rancangan Portugis ke atas penambahbaikan kota Melaka
Sejak dari mula kewujudan kota A Famosa, Portugis tidak jemu melakukan penambahbaikan yang berterusan sepanjang 130 tahun tempoh penaklukkan mereka di Melaka. Kota itu telah diperkukuhkan berkali-kali demi untuk memastikan kepentingan Portugis di Selat Melaka sentiasa terjaga. Ia juga tidak terkecuali menerima pendedahan kepada evolusi kaedah pertahanan yang efektif, taktik peperangan semasa yang sentiasa dikemaskini dan juga pendedahan terhadap teknologi ketenteraan.
Ini berdasarkan lakaran iconografik dan juga text-text dokumen lama yang berjaya dikumpulkan sejak dari kurun ke 16 yang jelas menunjukkan bahawa kota itu sentiasa menerima pembangunan dan dijaga dengan sebaiknya oleh Portugis. Kepentingan kota A Famosa itu yang sentiasa relevan terutama dalam mengharunggi serangan berterusan dari kuasa-kuasa tempatan sehinggalah kepada persaing Portugis yang datang dari benua Eropah [Inggeris dan Belanda] selepas itu.
Pada akhir kurun ke-16 dan awal kurun ke-17 berlaku proses perluasan kuasa politik dan ketenteraan oleh pihak Inggeris dan Belanda [pesaing Portugis]. Mereka dilihat mula aktif keluar dari benua Eropah demi mencari peluang-pleluang baru di seluruh dunia. Maklumat perisikan terhadap sumber-sumber asli yang ketika itu dikuasai oleh Portugis meliputi jajahan yang tersangat luas bermula dari timur Afrika sehinggalah ke selatan China mula dikumpulkan dan menjadi perhatian paling utama dua negara ini. Pada ketika ini Portugis dilihat mula memperhebatkan pertahanan kota-kota yang dimilikinya dalam menghadapi cabaran bentuk baru ini.
Pada tahun 1641 , kota itu akhirnya jatuh ke tangan pihak Belanda manakala Portugis dihalau keluar. Kejatuhan ini bukanlah disebabkan lemahnya pertahanan Portugis di Kota A Famosa tetapi disebabkan oleh faktor geo-politik, cabaran ekonomi dan juga ketenteraan yang dihadapi Portugis secara keseluruhan.
Rujukan -
Rui Manuel Loureiro, Historical Notes on the Portuguese Fortress of Malacca ( 1511-1641).
No comments:
Post a Comment