Oleh Bro Firdaus Wong Wai Hung
Tersebar meluas dikalangan masyarakat Hindu mengenai mitos terdapatnya berhala Hindu di dalam Kaabah di Mekah. Hasil daripada itu mereka mendakwa orang Islam menyembah berhala mereka. Berkaitan dengan persoalan umat Islam menyembah Kaabah, kami telah menjawabnya di sini: http://bit.ly/2q53O7G (Adakah Kaabah Berhala Sembahan?)
Malah, selain daripada itu tersebarnya beberapa tuduhan yang tidak berasas dari kalangan ilmuan Hindu sendiri yang mengatakan Kaabah pada asalnya adalah kuil Hindu yang bernama Kaabalishwaran.
Idea ini dicetuskan oleh seorang penulis Hindu bernama Purushottam Nagesh Oak (P. N. Oak) di dalam banyak tulisannya antaranya bertajuk Was Kaaba a Hindu Temple? Malah beliau banyak membuat hipotesis mengaitkan agama Islam dan Kristian adalah berasal daripada ajaran Hindu. P. N Oak juga mendakwa bahawa agama Kristian pada asalnya adalah agama Veda dengan mengulas etimologi nama agama Kristian pada asalnya dikenali dengan nama Chrisn-nity atau Krishna-Neeti (dengan Oak mendakwa bermaksud “Cara Krishna” atau “Hakim Krishna”). Malah terdapat beberapa hipotesis kontroversi lain yang ditimbulkan oleh P. N. Oak.
Idea yang mengatakan Islam berasal daripada Hindu ini dicetus oleh orang Hindu sendiri. Akan tetapi apabila terdapat muslim menjawab dakwaan ini melalui penulisannya, golongan mereka sendiri yang mula membuat laporan polis dan mengecam penulis dengan mengatakan cuba mengubah sejarah.
Hal ini berlaku kerana terdapat salah faham terhadap kronologi Islam, yang mana majoriti beranggapan Islam bermula pada 600 M di tanah Arab sedangkan nabi Muhammad itu sendiri adalah nabi terakhir di dalam Islam. Islam agama yang bermula sejak nabi Adam a.s dan masih diamalkan sehingga sekarang. Islam adalah agama yang tertua, malah Islam juga memiliki rukun iman iaitu beriman kepada Kitab-Kitab dan rasul-rasul terdahulu. Ini bukti perkaitan iman dan aqidah Islam berterusan dari zaman-berzaman.
Oleh itu, di kesempatan ini kami menjawab tuduhan yang dilontarkan oleh mereka terhadap Islam. Ini kerana idea yang mengaitkan umat Islam menyembah Kaabah yang merupakan kuil Siva dan tuduhan mengatakan Islam berasal daripada Hindu ini bukanlah sedikit yang mempercayainya. Kerana ia dikembangkan oleh penulis Hindu lain seperti Yogy Sighal dalam bukunya The Human Trinity, malah termasuk seorang Hindu berpengaruh iaitu Sri Sri Ravi Shankar di dalam bukunya Hinduism and Islam, The Common Thread. Akan tetapi Sri Sri Ravi Shankar telah menarik balik kenyataan beliau terhadap isu ini dan mengaku bahawa dakwaan itu adalah tidak berasas. Baca di: http://www.irfi.org/.../articles.../do%20you%20knowhtml.htm
Di bawah ini dihimpun dakwaan mereka:
1) Dakwaan yang mengatakan “asal nama Kaabah adalah dari perkataan ‘Kaabalishwaran’ yang mengisyaratkan kepada dewa Siva. Ini kerana terdapat beberapa nama lain bagi Siva antaranya adalah Ishwara. Selain dari nama dikaitkan Siva memiliki simbol bulan sabit di kepalanya dan didakwa simbol itu merupakan simbol umat Islam”.
Jawab:
Perkataan Kaabalishwaran hanya wujud di dalam jurnal perkaitan antara ‘Kaabah dan Siva’ sahaja dan tidak pernah diguna bagi perkaitan lain. Berkenaan simbol bulan sabit adalah simbol Islam, kami telah jawab di dalam artikel sebelum ini: http://bit.ly/2uPlncz
Kesimpulan dari perbincangan artikel ini jelas bahawa Islam tidak memiliki apa-apa simbol untuk dikaitkan dengan lambang agama. Simbol bulan bintang itu diperkenalkan oleh kerajaan Uthmaniyyah. Malah ia tidak ada kaitan dengan simbol kedewaan Hindu.
Jika hipotesisnya semudah itu untuk mengaitkan bulan sabit di kepala Siva adalah tanda Kaabah merupakan kuil Siva, harus mengapa tidak mengaitkan bahawa imej Siva memiliki lembing trisula itu pengaruh dari dewa Greek iaitu Poseidon? atau imej Devil yang sering kali digambarkan syaitan berwarna merah memiliki trisula seperti Siva? Akan tetapi sebagai seorang muslim harus jujur dan tidak akan mengulas hipotesis itu dengan semudah itu.
2) Dakwaan “batu hajarul aswad yang jemaah haji cium itu hampir sama atau sama dengan Yoni daripada Siva lingam. Mereka juga mendakwa bahawa Siva lingam sendiri telah dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam Kaabah”.
Jawab:
Pertama, Lingam bermaksud kemaluan atau simbol bagi Siva. Manakala Yoni pula bermaksud faraj atau kemaluan bagi dewi atau Shakti. Simbol ini terkenal di dalam agama Hindu terutama aliran penyembah Siva (Shaivism). Lingam dan Yoni adalah dua simbol yang diukir duduk bersama yang mana Lingam diukir panjang menegak dan Yoni berbentuk leper dibawah Lingam.
Hakikatnya umat Islam tidak pernah memiliki kepercayaan sebegitu untuk dikaitkan dengan ibadah.
Kedua, batu hajarul aswad di Kaabah itu adalah batu hitam dan diukir dikelilingnya dengan kepingan perak. Bentuk yang terdapat pada hari ini merupakan pahatan perak yang melingkari batu tersebut. Ia tidak memberi simbol apa-apa pun apatah lagi dikaitkan dengan simbol kemaluan perempuan (Yoni).
Ketiga, Lingam Siva adalah kepercayaan baru yang disebut di dalam kitab Smriti dan tidak ada di dalam Sruti. Sruti adalah kitab utama seperti Vedas dan Upanishad. Manakala Smriti adalah kitab-kitab cerita dan sastera yang ditulis pada zaman kemudian iaitu zaman Puranik (bermula sekitar 300 SM). Kisah Lingam Siva terdapat di dalam kitab Siva Purana di bahagian pertama iaitu Vidyeshwar Samhita. Lingam ini juga menjadi bahan suci bagi penganut Hindu. Mana mungkin jika dikatakan ia diletakkan bersama dengan pembinaan Kaabah, sedangkan pembinaan Kaabah lebih awal sebelum ditulisnya kitab Siva Purana.
Dakwaan yang tidak bertanggunjawab apabila mengatakan di dalam Kaabah terdapat Lingam Siva sedangkan jika dilihat di dalam Kaabah sebenarnya ia adalah kosong, tidak terdapat apa-apa simbol atau ukiran seperti berhala yang seperti dikatakan oleh sebahagian ilmuan Hindu. Lihat video ini merakamkan situasi di dalam Kaabah: https://www.youtube.com/watch?v=A031T6QVq5w
3) Dakwaan mengatakan “terdapat inskripsi memuji Maharaja Vikramadithya di perpustakaan Makhtab-e-Sultania di Turki yang kononnya membuktikan pengaruh Vedik di Timur Tengah dan mendakwa Maharaja Vikramadithya membina Kaabah”.
Jawab:
Maharaja Vikramadithya adalah raja India yang memerintah sekitar tahun 57 SM. Dalam sekitar 50 tahun sebelum kelahiran Jesus di Nazareth. Mahajara Vikramadithya merupakan penyembah aliran Siva (Shaivisme). Jika dikatakan Maharaja Vikramadithya membina Kaabah, terdapat beberapa percanggahan:
a) Ayat al Quran yang mengatakan Kaabah itu dibina semula oleh nabi Ibrahim, firman Allah yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu.” (al Baqarah: 127)
Kehadiran nabi Ibrahim jauh lebih awal daripada Maharaja Vikramadithya. Malah pada ayat ini juga mengisyaratkan tapak Kaabah itu sudah sedia ada sebelum datangnya nabi Ibrahim sebab sudah ada asas-asas tapak Kaabah yang dibina oleh rasul sebelum Ibrahim a.s.
b) Adalah tidak logik sekiranya mereka mengatakan Kaabah asalnya adalah kuil Siva. Sedangkan aliran penyembah Siva ini mula muncul pada abad 1 SM dan mula mengukuh pada zaman pemerintahan empayar Gupta sekitar 320 Masihi. Sedangkan usia Kaabah itu lebih awal daripada wujudnya aliran penyembah Siva. Ini kerana sebelum zaman Puranik masyarakat Hindu ketika itu mereka tidak ada pembahagian aliran sembahan samada penyembah Visnu (Vaishnavisme), Dewi (Shaktisme) dan Siva (Shaivisme). Ini kerana pada zaman Vedik (1500 SM-300 SM) mereka tidak mengenal nama Siva kerana di dalam kitab Veda dan Upanishad tidak pernah menyebut nama Siva. Yang ada hanyalah nama Rudra yang dikaitkan dengan Siva. Masyarakat Vedik, mereka banyak menyembah dewa Indra, Agni, Surya dan lain-lain. Setelah berdirinya empayar Gupta (Puranik) maka barulah bermula penyembahan konsep trimurti yang dikenali sebagai Siva Visnu dan Brahma disertakan dewa-dewi di dalam kitab Purana. Oleh itu, agak janggal jika dikatakan dikaitkan usia penyembahan Siva dengan usia Kaabah.
4) Mereka juga mendakwa “terdapatnya konsep penyembahan berhala di tanah Arab sebelum kedatangan nabi Muhammad SAW. Berhala yang feminin seperti dewi-dewi di zaman Arab iaitu Al-Uzza, Al-Lat dan Manat itu seperti Saraswati, Parvati dan Lakshmi di dalam Hindu.”
Jawab:
Setiap kepercayaan politheisme tidak akan terlepas daripada adanya jantina terhadap dewa-dewi yang disembah. Hal ini terdapat beberapa faktor antaranya adalah:
a) Imaginasi manusia adalah terhad apabila mereka memikirkan zat Tuhan sehingga mereka akan memasukkan khayalan dan imej seperti manusia kepada tuhan-tuhan mereka. Baca: http://bit.ly/2r2CULh (Adakah Tuhan Berjisim?)
b) Penyembahan berhala akan mengambil semangat tempat dan tidak ada perkaitan di antaranya walaupun setiap dewa-dewi itu memiliki tugas yang hampir serupa walau dari tamadun yang berlainan. Baca : http://bit.ly/2pVvL23 (Sejarah Berhala Di Tanah Arab)
Sekira dikatakan berhala feminin itu sebagai bukti ia asalnya adalah berpengaruh dari Hindu, adakah Ishtar, Aphrodite, Arianhod, Artemis, Athena, Hera, dan ratusan dewi lagi di seluruh dunia dan tamadun itu juga merupakan pengaruh daripada dewi-dewi Hindu? Sudah tentu tidak, kerana konsep berhala dan dewa-dewi itu akan dicipta melalui sikap manusia berkhayalan terhadap tuhan.
Jika dikatakan konsep berhala itu adalah ajaran sebenar Hindu, perlu dilihat semula sejarah perjalanan antara zaman Vedik ke zaman Puranik. Ini kerana terdapat perbezaan ketara di dalam konsep ketuhanan di antara kedua zaman ini. Zaman Vedik mereka dilihat seakan tidak dibenarkan untuk membuat berhala atau patung bagi tuhan.
Menurut Pramod Chandra, di dalam bukunya The Sculpture of India mengatakan jika dilihat kepada peninggalan ukiran atau seni pembinaan patung sembahan, didapati ia tidak dapat dikesan terdapat ketika pada zaman Vedik. Di India, pengukiran patung bermula pada zaman pemerintahan Maurya oleh Raja Asoka. Dan seni pengukiran berhala di India banyak dipengaruhi oleh Hellenisme dari Yunani yang dibawa oleh Alexander The Great ketika mereka masuk ke India pada tahun 327-325 SM.
Kesimpulan
Tuduhan mengatakan di dalam Kaabah terdapat berhala, atau Lingam Siva adalah tidak berasas. Hal ini berlaku disebabkan terdapat pihak yang tidak mendalami teologi sesebuah agama dengan mendalam tetapi mereka tetap ingin mengulas sehingga terpaksa menafsir agama di luar konteks. Perkara pokok apabila berhadapan dengan sesuatu agama, yang paling penting adalah merujuk kitab suci terlebih dahulu. Ini kerana, autentik sesebuah ajaran itu terletak pada kitab suci.
Umat Islam tidak ada masalah jika ingin dikatakan pada asalnya dahulu kita semua memiliki kesatuan dalam beragama. Akan tetapi setelah datang orang terkemudian mengubah ajaran dahulu sehingga mewujudkan ajaran-ajaran yang jauh menyimpang dan berbeza dari wajah asal. Hal ini disebut di dalam al Quran yang bermaksud:
“Manusia itu adalah umat yang satu. (setelah timbul perselisihan), Maka Allah mengutus Para Nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. tidaklah berselisih tentang kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, Iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkann itu dengan kehendak-Nya. dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” (Al Baqarah: 213)
Di mana setiap zaman diutuskan para rasul untuk menyampaikan risalah tauhid. Akan tetapi ajaran itu menerima perubahan apabila datang generasi setelah itu. Dan Allah menghantar rasulnya sehinggalah diakhiri oleh nabi Muhammad SAW membawa risalah tauhid. Jika dilihat di dalam kitab suci utama Hindu sendiri yang mana kitab kuno ini telah memiliki ayat-ayat persamaan dengan aqidah Islam sepertimana berikut:
1) “Ekam sadvipra bahudhaavadanti”
“Dia adalah Esa orang bijaksana menebut-Nya banyak nama”
( Rigveda buku 1: rangkap 164: ayat 46)
2) “Ejad druvapatyate visvvam ekam caratpatatrivisunam vijatam”
“Esa dalam segalanya, maharaja dari yang bergerak dan tidak bergerak yang berjalan atau terbang dalam pelbagai ciptaan-Nya”
(Rigveda buku 3: rangkap 3: ayat 8)
3) “Mahaad devaanaam asuratvam ekam”
“Maha Esa dan Maha Agung adalah yang tunggal gemerlapan”
(Rigveda buku 3: rangkap 55: ayat 1)
4) “Ekam eva advityam Brahman”
“Tuhan hanya satu, tidak ada yang kedua”
(Chandogya Upanishad bab 6 rangkap 2 ayat 1)
Sekira dirujuk di dalam kitab Hindu Sruti seperti Veda dan Upanishad, mereka mengatakan Tuhan itu satu, tidak ada kedua dan ketiga, malah tidak boleh dipatungkan dan tidak boleh diwajahkan.
Akan tetapi apabila memasuki zaman Puranik (300 SM-1000 M), bilangan dewa-dewi semakin bertambah banyaknya. Manakala di dalam Veda tidak pula memiliki jumlah dewa-dewi sebanyak kitab-kitab Smriti seperti Purana, Bhagavad Gita, Ramayana, Mahabhrata, dan lain-lain.
Semoga kita kembali kepada umat yang satu iaitu sama-sama berpegang kepada kalimah yang sama iaitu tauhid dan tidak ada sekutu bagi Tuhan dengan apa-apa sembahan lain pun.
Rujukan
[1] -(2010). Siva Purana, alih bahasa oleh Gede Oka Sanjaya, Penerbit Paramita Surabaya, Indonesia.
[2] Milon Nandy’s (2016). Hinduism In a Nutshell, Percetakkan Ilham, Selangor
[3] Joy Nandy, (2016). Life At An Ashram In India, Percetakkan Ilham, Selangor
[4] Wendy Doniger, (2009). The Hindus: An Alternative History, Penguin Books, USA.
[5] Ernest Mackay, (1948). Early Indus Civilizations, Luzac & Company LTD: London.
[6] Majumdar (1950). An Advanced History of India, yang diterjemahkan 1984 “Bunga Teratai Kebudayaan India”
[7] Pramod Chandra, (1985). The Sculpture of India 3000BC-1300AD, National Gallery of Art,Washington, D.C.
[8] Ahmad Iqram Mohamad Noor, (2017). Yahudi Kristian Hindu Buddha Berasal Daripada Islam? PTS, Selangor.
[9] Dr. H.O.K. Rahmat, (2008). Dari Adam Sampai Muhammad, Pustaka Aman Press: Kota Bharu.
[10] S. W. Jamison dan M. Witzel, (1992). Vedic Hinduism
R&D TEAM MRM
C&P: 4/3/2021 @ 20 REJAB 1442H: 7.32 AM