Nasha Rodziadi Khaw
Mokhtar Saidin
Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman
Nazarudin Zainun
*Makalah ini merupakan perbentangan penulis di dalam Seminar Sains dan Budaya Material Ke Arah Kronologi Terpimpin dalam Penyelidikan Arkeologi, 29 Disember 2010 bertempat di Bangunan Caselori Universiti Kebangsaan Malaysia
*Makalah ini telah diterbitkan sebagai prosiding seminar (ISBN 978-983-2457-30-5), Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia.
*Makalah ini ditulis hasil kerjasama dan bantuan dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia, Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, serta Bahagian Sejarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia.
PENDAHULUAN
Kedah Tua merupakan sebuah pelabuhan dagang yang terletak di Lembah Bujang, iaitu sebuah kawasan yang merangkumi Lembah Sungai Muda di Selatan hingga ke Sungai Sala di Utara. Secara keseluruhan, Lembah Bujang memiliki keluasan lebih kurang 369 kilometer persegi. Kawasan tersebut ditakrif berdasarkan lokasi-lokasi penemuan arkeologi yang tertabur di sekitar kedua-dua lembah sungai tersebut. Kedah Tua diketahui telah mula wujud sebagai sebuah penempatan dan pelabuhan dagang pesisir Selat Melaka sejak kurun ke-3 Sebelum Masehi [SM] hingga kurun ke-13 Masehi. Ia kini meliputi daerah Seberang Perai Utara, Kuala Muda, Yan dan Kota Setar. Penemuan arkeologi yang wujud di Lembah Bujang terdiri daripada runtuhan candi-candi Hindu-Buddha, seramik-seramik asing, manik, dan serpihan arca-arca Hindu-Buddha.[1]
Di tapak arkeologi Lembah Bujang, wujud penemuan-penemuan prasasti yang kebanyakannya menggunakan akasara India Selatan. Prasasti-prasasti tersebut telah ditemui hasil daripada kerja-kerja tinjauan atau ekskavasi arkeologi yang telah dijalankan oleh para pengkaji Low[2], Evans[3], dan Quaritch-Wales[4]. Di samping prasasti yang ditemui hasil daripada ekskavasi dan peninjauan, wujud juga prasasti lain yang ditemui secara tidak sengaja.[5] Sehingga kini, telah ditemui sebanyak 13 buah prasasti di Lembah Bujang. Prasasti-prasasti tersebut adalah Prasasti Bukit Meriam, Prasasti Cherok Tokkun, Prasasti Buddhagupta, Prasasti Bukit Choras (Tapak Satu), Prasasti Kampung Pendiat (Tapak 2), Prasasti Kepingan Perak Tapak 10, Prasasti Kepingan Emas Tapak 8, Prasasti Kepingan Bata Pengkalan Bujang, Prasasti Sungai Mas I, dan Prasasti Cembul Perak Tapak 14.[6] Kesemua prasasti tersebut ditemui dari tahun 1850 hingga 1980. Prasasti-prasasti yang baru ditemui di dalam penyelidikan terkini di Lembah Bujang termasuklah Prasasti Kepingan Emas Sungai Batu, Prasasti Sungai Batu, dan Prasasti Sungai Mas II.
Penelitian dari aspek paleografi terhadap prasasti-prasasti Lembah Bujang telah dilakukan oleh beberapa orang sarjana. Antaranya adalah Allan[7], Bosch[8], De Casparis[9], Chakravartin[10], Laidlay[11], Chhabra[12], Kern[13], Dani[14] dan Christie.[15] Sarjana-sarjana seperti A. H. Dani, Allan, Bosch, De Casparis, Chakravartin dan Allan telah memberi perhatian khusus kepada Prasasti Kampung Pendiat (Tapak 2), Prasasti Kepingan Perak Tapak 10, dan Prasasti Bukit Choras (Tapak 1), Chhabra dan Kern telah membahaskan hal mengenai prasasti Buddhagupta manakala Laidlay merupakan satu-satunya sarjana yang memberi huraian mengenai Prasasti Cheruk Tokkun. Christie pula telah menjalankan penelitian beliau terhadap Prasasti Sungai Mas I. Perkara-perkara utama yang diberi perhatian di dalam penelitian mereka termasuklah persoalan mengenai pentarikhan dan pengaruh budaya yang dimiliki di sebalik gaya penulisan prasasti-prasasti tersebut.
Prasasti Sungai Mas I merupakan salah satu daripada tiga buah prasasti di Lembah Bujang yang mempunyai isi kandung formula Ye Te Mantra. Prasasti tersebut telah ditemui secara tidak sengaja pada awal tahun 1980-an ketika kerja-kerja penggalian tali air. Prasasti tersebut telah ditemui bersama dengan tapak 53c dan diasosiasikan dengan penemuan seramik, kaca dan manik. Perihal mengenai prasasti tersebut telah diterbitkan oleh Jane S. Allen[16], dan seterusnya diterbitkan oleh Jan Wisseman Christie[17]. Prasasti tersebut telah diteliti dari aspek epigrafi dan paleografi oleh Jan Wisseman Christie dan Philip Jenner, dan mereka telah membuat beberapa kesimpulan mengenai pentarikhan, isi kandungan dan juga gaya pemahatan. Makalah ini akan cuba untuk menilai semula aspek pembacaan, pentarikhan dan tafsiran semula gaya pemahatan Prasasti Sungai Mas I.
ISI KANDUNG PRASASTI SUNGAI MAS I
Prasasti Sungai Mas I terdiri daripada Batu Sabak (shale) yang dipahat cuma pada satu permukaan sahaja. Panjang prasasti ini ialah 416 mm, lebar di sebelah atas 230 mm dan di sebelah kiri 257 mm. Permukaan prasasti tersebut telah dilicinkan [diratakan] terlebih dahulu sebelum diukir. Prasasti tersebut terdiri daripada dua barisan ayat yang dipahat di bahagian kiri dan kanan relief stupa.[18] Wujud kesan pecah yang jelas di bahagian atas prasasti tersebut. Sekurang-kurangnya 25 peratus daripada kepanjangan asal prasasti tersebut telah pecah berdasarkan kepada penilaian terhadap bentuk stupa dan sisa pahatan aksara.[19] Bahagian bawah prasasti tersebut telah pecah di bahagian kiri. Sebahagian besar daripada isi kandungan prasasti tersebut telah pecah atau hilang, terutamanya di bahagian terakhir barisan pertama, bahagian awal barisan kedua dan juga di pertengahan kedua-dua barisan.[20] Walau bagaimanapun, isi prasasti yang hilang boleh diramal hasil perbandingan dengan prasasti-prasasti lain yang memiliki isi kandungan yang sama. Isi kandung prasasti tersebut terdiri daripada credo agama Buddha yang turut juga ditemui pada prasasti Bukit Meriam dan prasasti Buddhagupta.
Isi kandung prasasti tersebut telah dianalisis dan dibaca oleh Jenner.[21] Beliau telah meneliti pahatan yang masih tersisa daripada prasasti tersebut. Di bahagian-bahagian ayat yang tidak dapat dibaca, tidak dipahat atau pecah, beliau telah mengekstrapolasi ayat-ayat tersebut berdasarkan huruf-huruf yang masih tertinggal. Berdasarkan kepada kajian Jenner, beliau telah membuat beberapa kesimpulan mengenai bahagian-bahagian prasasti yang telah rosak ataupun hilang. Dalam barisan pertama prasasti tersebut, dinyatakan bahawa dua huruf telah hilang, dan enam huruf dengan terbitan telah rosak. Dalam barisan kedua pula, empat huruf pada bahagian awal ayat, dua huruf dikatakan rosak di awal ayat dan tiga di penghujung ayat. Di samping itu, dikatakan bahawa beberapa huruf telah hilang pada bahagian awal barisan kedua. Walau bagaimanapun, huruf-huruf yang telah hilang tidak dispesifikasikan. Berikut merupakan hasil bacaan oleh Jenner. Perkataan yang berada dalam kurungan merupakan perkataan yang tidak wujud di atas prasasti, tetapi telah diekstrapolasi oleh Jenner berdasarkan kepada pengetahuan sedia ada mengenai isi lengkap mantra tersebut.
Barisan 1: ājñā(nā)c=cī (t)e (karmma janmanaḥ) karmma kāra(ṇaṃ)
Barisan 2:(jñānān=na cī)yate ka(rmma) bhā(va)n=na ja(yate)
Wujud beberapa kelemahan di dalam kajian yang dilakukan oleh Jenner. Antaranya adalah pembacaan yang salah. Contohnya untuk barisan pertama, Jenner membacanya satu frasa sebagai”cī (t)e” padahal bacaan yang betul adalah ”cīya (t)e”. Satu frasa lagi pada barisan pertama dibaca sebagai ”karmma” yang sepatutnya dibaca sebagai ”karmmā”. Beliau turut menyediakan transkripsi yang kurang tepat terhadap bacaan prasasti Sungai Mas I. Di dalam transkripsi beliau, beliau telah mengenakan tanda kurung ke atas huruf yang boleh dibaca. Contohnya, di bahagian terakhir barisan kedua prasasti tersebut, ia ditranskrip oleh Jenner sebagai ”bhā(va)n=na ja(yate)” padahal jelas frasa ”n=na ja” tidak kelihatan di atas prasasti. Di samping itu, walaupun beliau menyatakan bahawa wujud huruf-huruf yang hilang, beliau tidak memerincikan huruf-huruf tersebut.
Foto 2: Barisan pertama Prasasti Sungai Mas I, Bahagian 1
Sumber: Gambar adalah koleksi peribadi
Barisan pertama, Bahagian 1.
Bacaan: ajñānāc=(c)īyate karmma
Foto 3: Barisan pertama, Bahagian 2
Sumber: Gambar adalah koleksi peribadi
Barisan pertama, Bahagian 2.
Bacaan: janmanaḥ karmma kāra(ṇaṃ)
Foto 4: Barisan kedua, Bahagian 1
Sumber: Gambar adalah koleksi peribadi
Barisan kedua, Bahagian 1.
Bacaan: ( jñānā)n=n(a) (cī)yate ka(rmma)
Foto 5: Barisan kedua, Bahagian 2
Sumber: Gambar adalah koleksi peribadi
Barisan kedua, bahagian 2
Bacaan: karmmā bhāva(n)
Foto 6: Barisan kedua, Bahagian 3
Sumber: Gambar adalah koleksi peribadi
Barisan kedua, Bahagian ketiga
Bacaan: (na ja)ya te
Bacaan keseluruhan:
Barisan satu: ajñānāc=(c)īyate karmma janmanaḥ karmma kāra(ṇaṃ)
Barisan kedua: janmanaḥ karmma kāra(ṇaṃ) karmmā bhā(van na ja)ya te
Berdasarkan pemerhatian terhadap kedua-dua baris mantra di dalam prasasti tersebut menunjukkan bahawa wujud huruf-huruf tidak dapat dibaca, akibat bahagian tertentu prasasti tersebut pecah, terhakis, ataupun huruf tersebut tidak dipahat atas sebab-sebab tertentu. Bagi barisan pertama prasasti tersebut, satu-satunya huruf tidak dapat dibacakan adalah huruf ṇaṃ kerana sebahagian dari prasasti tersebut telah pecah. Huruf ka, rmma, ja, nma, na, dan te agak sukar dibaca kerana berada dalam keadaan terhakis. Di barisan kedua, wujud banyak huruf yang tidak dapat dibaca, atau sukar dibaca. Di bahagian awal prasasti, huruf dan huruf terbitan jñā, nā, n-, -a, dan cī tidak dapat dibaca kerana bahagian prasasti tersebut telah pecah. Huruf va dan –n tidak kelihatan kemungkinan kerana huruf tersebut telah terhakis. Wujud kesan pemahatan selepas huruf bha (lihat foto 5), tetapi bentuk sebenar huruf tersebut sukar dikenalpasti. Huruf –na, dan ja tidak kelihatan kerana ia langsung tidak dipahat.
PALAEOGRAFI PRASASTI SUNGAI MAS I
Prasasti Sungai Mas I merupakan salah sebuah prasasti beraksara Pallava di Lembah Bujang. Oleh kerana sebahagian besar daripada huruf-huruf di dalam Prasasti Sungai Mas I sukar dibaca, penelitian dari aspek paleografi terhadap prasasti tersebut adalah agak terhad. Secara keseluruhan, cuma terdapat sembilan daripada 36 huruf yang wujud di dalam aksara Pallava di dalam prasasti tersebut,[22] dan wujud empat dari 36 huruf terbitan sahaja.[23] Walau bagaimanapun, analisis tersebut masih boleh memberi gambaran mengenai pentarikhan aksara tersebut serta gaya pemahatannya.
Secara kasar, diperhatikan bahawa Prasasti Sungai Mas I tidak dipahat dengan teliti serta memiliki gaya pemahatan dan penggunaan bentuk huruf yang amat tidak konsisten. Hal ini dapat dilihat pada penggunaan huruf ya, dengan dua variasi yang berbeza, satu berbentuk lebar dan satu berbentuk pipih. Ukiran yang dibuat bersifat kurang kemas, dan menghasilkan bentuk huruf yang kurang tepat. Hal ini dapat dilihat pada huruf ja dan ta. Kedalaman ukiran yang tidak sekata pula menyebabkan sebahagian besar daripada huruf-huruf di dalam prasasti tersebut sukar dibaca. Di samping itu, wujud frasa-frasa yang tidak lengkap di dalam prasasti tersebut, samaada tidak dipahat secara sengaja atau tidak sengaja. Contohnya adalah seperti frasa ”rmma” yang menghasilkan perkataan ”karmma” dan ”na ja” dalam perkataan ”na jaya te”. Aksara-aksara di dalam prasasti tersebut memiliki serif berbentuk bulat pada huruf seperti a-, na, ya, ka, dan ta seperti Prasasti Tugu. Selain daripada prasasti Tugu[24], prasasti yang diketahui turut menggunakan serif berbentuk bulat adalah prasasti Vo-Canh[25], dan sebahagian daripada aksara Prasasti Tham Prasat[26]. Walau bagaimanapun, kebanyakan serif yang wujud di dalam prasasti tersebut tidak diukir dengan jelas.
Huruf ra, ka, dan a di dalam prasasti ini mempunyai ekor yang menganjur dari garis dasar huruf ke bawah dengan panjang yang hampir sama dengan badan huruf yang seterusnya dibengkokkan ke kiri dan ke atas kembali ke garis dasar huruf. Pola yang sama dimiliki oleh huruf ka dan a yang memiliki bentuk ekor yang sama. Bentuk ekor huruf ka, ra dan a ini adalah hampir sama dengan aksara prasasti Tugu. Bentuk ekor huruf yang panjang dan menganjur ke bawah garis dasar huruf adalah ciri pemahatan huruf Pallava pada atau sebelum kurun ke-6 Masehi. Selain Prasasti Tugu, bentuk sama dapat dilihat pada Prasasti Yupa[27] dan Prasasti Myson[28].
Huruf ka di dalam prasasti ini mempunyai dua garis bersambung terus dengan garis tengah, dengan garis tengah. Di atas pertemuan tiga garisan tersebut wujud satu serif berbentuk bulat. Huruf ka di dalam prasasti tersebut memiliki persamaan dengan prasasti Tugu yang boleh dipertarikhkan dari kurun ke-6 M.
Huruf na yang digunakan memiliki gelung pada dasar huruf tersebut yang terletak tegak ke arah garisan dasar. Bentuk gelung yang jelas tersebut merupakan ciri yang dimiliki oleh aksara Pallava awal. Bentuk huruf sebegini wujud di dalam Prasasti-prasasti Tugu, Yupa dan Wat Maheyong yang ditarikhkan pada sebelum kurun ke-7 Masehi. Huruf ta di dalam Prasasti Sungai Mas II memiliki gelung yang besar, tetapi dipanjangkan hingga mencapai ke bawah serif, dan dihubungkan dengan serif melalui garisan menegak. Walau bagaimanapun, analisis ini adalah berdasarkan kepada huruf yang dapat dibaca dengan jelas. Kebanyakkan huruf na dan ta yang digunakan memiliki bentuk yang tidak sekata dan konsisten.
Huruf ma serta terbitannya berbentuk lonjong dan bersaiz lebar mempunyai garis dasar yang sedikit beralun. Bentuk ma sebegini mempunyai persamaan dengan Prasasti Tugu. Walau bagaimanapun, Bentuk ma yang tidak sekata yang wujud dalam prasasti tersebut menyebabkan sebahagian daripada keseluruhan huruf ma dapat dipertimbangkan. Terbitan huruf –ma pula dapat dibandingkan dengan prasasti Kota Kpaur kurun ke-7 M. Huruf ca pula berbentuk bujur, memiliki garis dasar yang beralun, dengan hujung kirinya menirus ke atas. Di bahagian kanan, diletakkan serif, bentuk ca ini adalah sama dengan bentuk ca Chalukya[29] pada kurun ke-7 Masehi. Huruf ya memiliki garisan menegak di sebelah kiri yang seterusnya dilengkungkan membentuk gelung dengan kedudukan lebih rendah dari garis atas merupakan identiti aksara Pallava awal, sepertimana yang ditemui di dalam Prasasti Tugu dan Yupa yang digunapakai pada atau sebelum kurun ke-6 M.
KESIMPULAN
Berdasarkan kepada huruf-huruf ra, ka, ya, a-, menunjukkan bahawa aksara prasasti itu dapat dipertarikhkan pada sekitar kurun ke-6 M. Walau bagaimanapun, terbitan –ma yang wujud di dalam prasasti ini mungkin menunjukkan bahawa ia adalah lebih muda dari prasasti Tugu, iaitu pada sekitar pertengahan atau penghujung kurun ke-6 M. Dari segi kesenian pula, secara umumnya diperhatikan bahawa aksara di dalam prasasti Sungai Mas I memiliki huruf-huruf yang hampir sama dengan prasasti-prasasti yang ditemui di India dan Kepulauan Asia Tenggara, dan tidak memiliki sebarang identiti khas. Pemerhatian terhadap bentuk kesilapan pahatan menunjukkan bahawa ia tidak dipahat oleh citralekha yang mahir, dan kemungkinan tidak memahami isi kandung prasasti itu sendiri. Hal ini kerana wujud frasa-frasa penting yang tidak dipahat walaupun wujud ruang kosong yang mencukupi.
RUJUKAN
Allen, Jane S. “An Inscribed Tablet from Kedah, Malaysia: Comparison with Earlier Finds”, Asian Perspectives, XXVII(1), 1986-1987.
Bosch, F. D. K. “(A Review of) A. Lamb, chandi bukit Batu Pahat; a report on the excavation of an ancient temple in Kedah, 1960 & A. Lamb, Chandi Bukit Batu Pahat. Three Additional Notes”, Bijdragen tot de land-, taal-, en volkenkunde van koninklijke, 1961, 117(4).
Chhabra, B. C. “Expansion of the Indo-Aryan Culture during Pallava Rule a evidenced by inscriptions”, Journal of the Asiatic Society of Bengal, I, 1935.
Christie, Jan Wisseman “The Sanskrit inscription Recently Discovered in Kedah, Malaysia” dalam G. J. Bartstra dan W. A. Casparie (Ed), Modern Quartenary Research in South East Asia, 11, 1988-9.
Dani, A. H. Indian Paleography, Oxford: Claredon Press, 1963.
De Casparis, J. G. Indonesian Paleography: A History of Writing in Indonesia from the beginnings to c. A.D. 1500, Leiden: E. J. Brill, 1975, hlm. 19-20.
De Casparis, J. G. “Short Inscription from Candi Plaosan Lor”, Berita Dinas Purbakala, 4, 1958, Plate VIII(d)
De Casparis, J. G. Prasasti Indonesia II: Selected Inscriptions from the 7th to the 9th Century A.D, Bandung.
Evans, I. H. N. “Ancient Inscription of Cherok Tokkun, Province Wellesley”, Journal of The Federated Malay States Museums, 15(1), 1929.
Hergoualc’h, Michel Jacq Le Civilisation de Ports-Entrepots du Sud Kedah, Malaysia. V-XIV siècle, Paris: L’Harmattan, 1992.
Hergoualc’h, Michel Jacq The Malay Peninsula: Crossroad of the Maritime Silk Road (100BC-1300AD), Leiden: Koninklijke Brill N. V., 2002.
Holle, K. F. Tabel Van Oud en Nieuw Indische Alphabetten, Buitenzorg: Bataviaasch Genootschap Van Kunsten en Wetenschappen, 1877.
Jenner, P. “Letter report regarding regarding the Kampung Sungai Mas tablet and review of draft of J. Allen-Wheeler report”, Laporan, tidak diterbitkan, 1982.
Kern, H. “Concerning some old Sanskrit inscription in the Malay Peninsula”, Journal of the Strait Branch of Royal Asiatic Society, 49, 1907.
Kern, H. “Inscripties Van Den Indischen Archipel Slot De Nāgarakŗtāgma”, Verspreide Gerschriften, Amsterdam: S-Gravenhage Martinus Nijhoff, 1917.
Kongkaew Veeraprajak, “Inscriptions from South Thailand”, dalam Laporan Akhir SPAFA Consultative Workshop on Archaeological and Enviromental Studies on Srivijaya (I-W2b), September 16-30 1985.
Laidlay, J. W. “Note on the Foregoing(On an inscription from Keddah, by Lieut. Col. Low)”, Journal of the Asiatic Society of Bengal, XVIII(1), 1849.
Laidlay, J. W. “Note on the inscription from Singapur and Province Wellesley forwarded by Hon. Col. Butterworth, C. B. and Col. J. Low”, Journal of Asiatic society of Bengal, XVII(2), 1848.
Lamb, Alastair. “Miscellaneous Papers on Ancient Hindu and Buddhist Settlement in Northern Malay and Southern Thailand”, Federation Museums Journal, VI (New Series), 1961.
Low, James. “An Account of Several Inscriptions Found in Province Wellesley, on the Peninsula of Mallaca”, Journal of the Asiatic Society of Bengal, 17 (2).
Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Othman Mohd Yatim, Warisan Lembah Bujang, Bangi: Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, 1992.
Quaritch-Wales, H. G. “Archaeological Research on Ancient Indian Colonization in Malaya”, Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Studies, XVIII, 1.
Sircar, D. C. Indian Epigraphy, Patna: Motilal Banarsidass, 1965.
NOTA KAKI
[1] Lihat Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Othman Mohd Yatim, Warisan Lembah Bujang, Bangi: Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, 1992, hlm. 19-98.
[2] James Low, “An Account of Several Inscriptions Found in Province Wellesley, on the Peninsula of Mallaca” dalam Journal of the Asiatic Society of Bengal, 17 (2).
[3] I. H. N. Evans, “Ancient Inscription of Cherok Tokkun, Province Wellesley”, dalam Journal of The Federated Malay States Museums, 15(1), 1929, hlm. 35-6.
[4] H. G. Quaritch-Wales, “Archaeological Research on Ancient Indian Colonization in Malaya”, dalam Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Studies, XVIII, 1, 1940, hlm. 7-10 dan 24.
[5] Jane S. Allen, “An Inscribed Tablet from Kedah, Malaysia: Comparison with Earlier Finds”, dalam Asian Perspectives, XXVII(1), 1986-1987, hlm. 36-57.
[6] Lihat Michel Jacq Hergoualc’h, Le Civilisation de Ports-Entrepots du Sud Kedah, Malaysia. V-XIV siècle, Paris: L’Harmattan, 1992, hlm. 217-36.
[7]Pandangan Allan tidak diterbitkan di bawah nama beliau sendiri, tetapi cuma dikutip di dalam laporan H. G. Quaritch-Wales. Lihat Michel Jacq Hergoualc’h, The Malay Peninsula: Crossroad of the Maritime Silk Road (100BC-1300AD), Leiden: Koninklijke Brill N. V., 2002, hlm. 207-208, dan H. G. Quaritch-Wales, “Archaeological Reseaches”, hlm. 7-9.
[8] F. D. K. Bosch, “(A Review of) A. Lamb, chandi bukit Batu Pahat; a report on the excavation of an ancient temple in Kedah, 1960 & A. Lamb, Chandi Bukit Batu Pahat. Three Additional Notes”, Bijdragen tot de land-, taal-, en volkenkunde van koninklijke, 1961, 117(4), hlm. 485-491.
[9] J. G. De Casparis, Prasasti Indonesia II: Selected Inscriptions from the 7th to the 9th Century A.D, Bandung, hlm. 104-7 dan J. G. De Casparis, Indonesian Paleography: A History of Writing in Indonesia from the beginnings to c. A.D. 1500, Leiden: E. J. Brill, 1975, hlm. 19-20.
[10] Pandangan N. P. Chakravartin tidak diterbitkan, tetapi cuma dikutip di dalam laporan H. G. Quaritch-Wales. Lihat H. G. Quaritch-Wales, “Archaeological Researches”, hlm. 9 dan 23.
[11] J. W. Laidlay, “Note on the inscription from Singapur and Province Wellesley forwarded by Hon. Col. Butterworth, C. B. and Col. J. Low” dalam Journal of Asiatic society of Bengal, XVII(2), 1848, hlm. 66-72 dan J. W. Laidlay, “Note on the Foregoing(On an inscription from Keddah, by Lieut. Col. Low)”, dalam Journal of the Asiatic Society of Bengal, XVIII(1), 1849, hlm. 247-9.
[12] B. C. Chhabra, “Expansion of the Indo-Aryan Culture during Pallava Rule a evidenced by inscriptions” dalam Journal of the Asiatic Society of Bengal, I, 1935, hlm. 1-64.
[13] H. Kern, “Concerning some old Sanskrit inscription in the Malay Peninsula” dalam Journal of the Strait Branch of Royal Asiatic Society, 49, hlm. 1907, hlm. 95-101.
[14] A. H. Dani, Indian Paleography, Oxford: Claredon Press, 1963, hlm. 239-40.
[15] Jan Wisseman Christie, “The Sanskrit inscription Recently Discovered in Kedah, Malaysia” dalam G. J. Bartstra dan W. A. Casparie (Ed), Modern Quartenary Research in South East Asia, 11, 1988-9, hlm. 39-53.
[16] Jane S. Allen, “An Inscribed Tablet from Kedah, Malaysia: Comparison with earlier finds”, Asian Perspectives, XXVII, 1986-7.
[17] Jan Wisseman Christie, “The Sanskrit inscription”.
[18] Lihat Foto 1
[19] Akan dihuraikan dengan lebih lanjut
[20] Akan dihuraikan dengan lebih lanjut
[21] Phillip N. Jenner, “Letter report regarding regarding the Kampung Sungai Mas tablet and review of draft of J. Allen-Wheeler report”, Laporan, tidak diterbitkan, 1982.
[22]A, ja, na, ya, ca, ta, ma, ra, bha
[23] -ā, -ī, -ma, -ña dan –na.
[24] Kurun ke-6 Masehi. Lihat A. H. Dani, Indian Paleography, hlm. 238.
[25] Kurun ke-4 Masehi. Lihat A. H. Dani, Indian Paleography, hlm. 232.
[26] Kurun ke-4 Masehi. Lihat A. H. Dani, Indian Paleography, hlm. 234.
[27] Lihat Faksimilie. H. Kern, “Inscripties Van Den Indischen Archipel Slot De Nāgarakŗtāgma” dalam Verspreide Gerschriften, Amsterdam: S-Gravenhage Martinus Nijhoff, 1917, hlm. 63.
[28] A. H. Dani, Indian Paleography, plate XXa.
[29] K. F. Holle, “Tabel Van Oud en Nieuw”, hlm. 36.
C&P : 10/3/2021 @ 26 REJAB 1442H: 12.07 AM
No comments:
Post a Comment