Sunday 7 March 2021

Haji Yaakub Bin Haji Ali,




Oleh : Kumis Kumis
Menjejak Sejarah Silam Sabah North Borneo
Jalan Haji Jacob, Jesselton / Lorong Haji Yacoob, Kampung Air, Kota Kinabalu, Sabah
Baru baru ini ada beberapa orang peminat sejarah yang bertanyakan siapakah identiti sebenar , peranan dan sumbangan Haji Jacob atau Haji Yacoob , sehingga pihak pentadbiran British telah menamakan salah sebuah jalan di Jesselton / Kota Kinabalu yang terletak di kawasan perniagaan dan pusat membeli belah Kampung Air, dengan nama "Lorong Hj Yacoob" demi menperingati jasa jasa beliau.
Terlebih dahulu saya ingin memohon izin dari ahli keluarga besar Allahyarham Haji Yaakub Bin Haji Ali, untuk berkongsi cerita tentang kisah asal usul nama Jalan Haji Jacob, Jesselton / Lorong Haji Yacoob, Kota Kinabalu.
Perkongsian ini sekadar buat tatapan dan sumber pengetahuan generasi baru khususnya dan semua anggota masyarakat terutama peminat sejarah amnya.
Haji Yaakub Bin Haji Ali Bin Abdullah yang lahir pada sekitar tahun 1841, adalah seorang ulama terkenal dizamannya berasal dari Kampung Chetok, Pasir Mas, Kelantan dari empat orang bersaudara bernama Abdul Aziz, Mohd Salleh dan Zaleka.
Beliau juga merupakan seorang guru ugama, berdakwah dan mengembara ke beberapa buah negeri seperti Melaka, Selangor, Kedah, Brunei dan Sabah di mana beliau pernah menjadi guru ugama di Istana Kedah dan pernah juga mengajar Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri Malaysia yang Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj ketika beliau masih kecil lagi.
Haji Yaakub berhijrah ke Brunei Darussalam pada tahun 1885 dan menetap di Sungai Biawak, Pekan Muara, Brunei. Beliau berkahwin dengan Dayang Fatimah Binti Awang Tarip. Pasangan ini telah dikurniakan enam orang anak bernama Dayang Zauyah, Hajjah Dayang Badariah, Mohd Sherbini, Mohd Seruji dan Mohd Suhaili.
Haji Yaakub berpindah ke Sabah pada tahun 1917 dan tinggal di Kampung Putatan yang tidak jauh dari Jesselton. Beliau membeli sebidang tanah dan membuat rumah serta membawa sebahagaian keluarganya berpindah dari Brunei ke Sabah.
Masyarakat Islam Jesselton terdiri dari orang Melayu (Bajau Samah), Brunei dan berberapa suku lain yang mendiami kawasan persisiran pantai barat.
"The river of Pengalet and Pappal are inhabited by Malays as are likewise the district of Labbatuan, Inammam, Menyatal, Putatan and Kinarut. The river of Mangcabong is inhabited by Malays.... Abai has harbour sheltered by westerly winds. Its river, with those of Tampasuk, Lubak and Ambong, together with Salaman and Pandasang, are inhabited by Malays" (J.W. Moore, 1837 : 93-1.3).
Masjid di Jesselton memang sudah wujud sejak awal abad ke 19 dengan pembinaan masjid tersebut menggunakan bahan binaan seperti Pokok Buluh, Nibung, Nipah dan Rumbia di sebuah tapak perkampungan Kampung Air bernama "Diasoka".
Masjid tersebut kemudian di gelar "Masjid Jesselton" dan peranan Masjid Jesselton ketika itu bukan sahaja sebagai tempat beribadat malah berfungsi dalam apa jua aspek termasuk dijadikan sekolah pendidikan tidak formal dan pelajaran yang diajarkan cenderung kepada ajaran Islam seperti belajar membaca Al Quran, Berzanji, Sembahyang.
Pembinaan, membaik pulih serta membesarkan Masjid Jesselton dibiayai oleh masyarakat kampung, pesara polis kebanyakan orang Pakistan yang di bawa oleh pentadbiran pihak kompeni (BNBC) seperti Jamidar Yassin, Datuk Abdul Ladis, Haji Ismail, Haji Jalil, Abdul Hamid dan Orang Tua Dimbong.
Selepas siap membina, membaik pulih serta membesarkan Masjid Jesselton , Haji Yaakub telah di lantik menjadi Imam Masjid Jesselton secara rasminya.
Haji Yaakub menjadi seorang yang amat berpengaruh dan berwibawa kerana beliau amat arif mengenai Agama Islam dan telah diberi mandat untuk melaksanakan undang undang yang berkaitan Agama Islam seperti Akad Nikah, Cerai, tuntutan Nafkah dan adat istiadat berkaitan Islam seperti penetapan Puasa di bulan Ramadhan, penentuan Hari Raya Aidil Fitri dan sebagainya.
Pada tahun 1923 ketika berusia 5 tahun, Imam Haji Suhaili Bin Haji Yaakub yang lahir pada tahun 1918 di Muara, Brunei berhijrah ke Sabah.
Pada 12hb October 1934, ketika berumur 16 tahun, beliau telah dilantik menjadi Imam di Daerah Putatan dan merupakan Imam yang paling muda dalam sejarah Sabah.
Pada 11hb Februari 1940, Imam Haji Suhaili menggantikan ayahnya Haji Yaakub dan menjadi Imam Masjid Jesselton.
Haji Yaakub Bin Haji Ali telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12hb Februari 1941 di rumah kediamannya di pinggir Bukit Diasoka, Jesselton. Beliau telah dikebumikan di tanah perkuburan orang orang Islam batu 2 1/2, Jalan Tuaran pada 13hb Februari 1941.
Haji Yaakub berserta anak beliau Imam Haji Suhaili termasuk murid murid mereka memainkan peranan besar dalam membimbing masyarakat Islam Jesselton serta menyebarkan syiar Islam sehingga menjadi amat kukuh di Kawasan Pantai Barat Sabah.
Imam Haji Suhaili membantah pemindahan Masjid Jesselton ke Kampung Sembulan pada 21hb Januari 1950 dan meletak jawatan sebagai Imam kerana merasa hampa disebabkan sebahagian dari masyarakat Kampung enggan bekerjasama mempertahankan tempat tinggal mereka di Kampung Air dan Masjid Jesselton.
Tempat beliau digantikan oleh Tuan Imam Pandin Bin Jebair (Datuk Haji) di Masjid Kampung Sembulan.
Begitulah serba sedikit cerita asal usul nama Lorong Haji Yacoob, kami memohon ampun dan maaf jika ada sebarang tersalah dan tersilap dalam penceritaan semoga pembaca mendapat manfaat dan menambah lagi ilmu pengetahuan tentang sejarah kita dari cerita di atas.
Sekian.
Sumber dan Gambar :
1. Rencana : Sedikit Kisah Asal Usul Masjid Kampung Air, Utusan Borneo , 2.4.1997
2. Keluarga Sinar Kasih (keluargasinarkasih.blogspot.com)
3. Abd Naddin (abdnaddin.blogspot.com)
4. Sejarah North Borneo Sabah (Halaman Facebook)
5. Arkib Negeri Sabah
Gambar Papan Tanda Lorong (C) Shaidatul Aini Shari @ 2021

C&P : 7/3/2021 @ 24 REJAB 1442H: 8.09 PM

No comments: