Saturday, 13 June 2020

Rugi tak bangun Solat Subuh

Mohd Rizal Azman Rifin
BANYAK buku mahupun kajian bertaraf saintifik dilakukan memaparkan penemuan jitu berkaitan keistimewaan solat. Sesungguhnya, kajian mendalam yang sudah atau sedang dilakukan ilmuwan sains jelas menunjukkan waktu solat fardu lima waktu cukup istimewa untuk dimanfaatkan.
Misalnya solat Subuh yang hanya dua rakaat mempunyai hikmah yang tersendiri jika direnungkan dalam perspektif ilmu sains khususnya sains biologi dan fizik.
Sebagai hamba Allah SWT yang sememangnya sangat digalakkan untuk melakukan kajian berkenaan apa saja yang terdapat di atas muka bumi, maka penulis melihat atas kajian sains amat perlu difahami supaya akhirnya kita mengerti sesungguhnya solat fardu diperintahkan Allah itu suatu nikmat anugerah Allah kepada seluruh individu umat Islam.
Dalam Surah al-Israk ayat 18, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat).”
Ayat Allah itu menerangkan kepada kita berkaitan waktu solat lima waktu diwajibkan seharusnya dilakukan setiap hamba Allah.
Rasulullah SAW memberitahu bahawa mereka yang taat dalam mendirikan solat Subuh bakal dikurniakan cahaya yang terang pada hari kiamat kelak.
Hal demikian dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Berikanlah khabar gembira kepada orang yang banyak berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari Kiamat.” Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah
Tetapi hakikat semasa jelas menunjukkan solat Subuh seakan-akan dianggap perkara mudah yang diringankan saja. Baik yang berusia tua apatah lagi mereka yang dalam kalangan usia muda remaja. Perkara paling liat untuk dididik kepada anak masa kini ialah berkaitan aspek mendirikan solat khususnya solat Subuh.
Kalau berjaya ‘dibangunkan’ pun, anak mendirikan solat dalam keadaan ‘terpaksa buat’ atau dalam erti kata mudah mereka lakukan dengan cara tidak bersungguh.
Itu hal anak kita yang berusia muda, bagaimana keadaan dengan kita yang berusia matang ini? Adakah kita melaksanakan perintah Allah mendirikan solat Subuh dalam erti kata yang sebenar?
>>Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 8:19 AM
Copy and paste: 13 Jun 2020 / 21 Syawal 1441H: 7.25 am

No comments: