Monday, 15 June 2020

Anggota tentera bukan-Melayu dijadikan kuda tunggangan

Major (B) D.Swami
12 Februari 2010


Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa masyarakat bukan-Melayu tidak berminat menceburi kerjaya di dalam bidang ketenteraan kerana kurang semangat patriotisme. Beliau nampaknya begitu cetek pemahamannya tentang sumbangan orang Cina, orang India dan saudara-saudara kita dari Malaysia Timur. Pandangan beliau adalah bersifat perkauman.

Orang Cina dan India telahpun berkorban untuk negara serta menunjukkan taat setia mereka sejak sebelum Zahid dilahirkan lagi. Askar pertama yang dianugerahkan Pingat Gagah Berani adalah seorang Cina, Sarjan Chong Yong Chin dari Regimen Persekutuan Pertama.

Penerima pertama Pingat Gagah Berani di Kongo adalah Leftenan Lee Ah Pow yang memperlihatkan keberanian yang patut dicontohi. Seorang wira muda Cina yang lain, Leftenan David Fu Chee Meng yang beraksi di pertempuran Tanah Hitam juga adalah pemegang Pingat Gagah Berani. Adakah mereka-mereka ini tidak cukup patriotik untuk Zahid?

Malah bapa saudara isteri saya pun pernah dianugerahkan Pingat Gagah Berani. Nama beliau ialah Sarjan Choo Woh Soon, (lihat gambar) lelaki pendek yang berdiri di tengah kumpulan. Gambar ini pula menunjukkan ahli-ahli Kinta Valley Homeguards (yang diwakili orang Cina kesemuanya) yang giat menentang Parti Komunis Malaya.

Wira berbangsa India juga menangani ancaman komunis tatkala Darurat. Kapten Shanmuganathan dan Leftenan (II) Panir Chellvum a/l Velaithan kedua-duanya memenangi Pingat Gagah Berani manakala Kapten Mohana Chandran a/l Velayuthan yang terkorban dalam suatu kempen militer pada umur 24 tahun telah dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa.

Kapten Mukhtiar Singh a/l Sodagar Singh berkhidmat selama 29 tahun di dalam tentera dan polis, namun beliau tidak diberikan pencennya atas sebab tidak menghadiri kursus program senjata dan taktik. Apa yang boleh dipelajari seorang veteran dalam kursus latihan yang dikendalikan oleh tenaga pengajar yang berusia setahun jagung?

Di dalam bala tentara lain yang manapun di dunia hari ini, mereka sudah pasti mengangkat nama seorang askar gagah seperti Mukhtiar Singh untuk diberi penghormatan. Akan tetapi beliau adalah berketurunan India, dan Zahid tidak akan berani menyangkal bahawa bangsa India didiskriminasi di Malaysia.

Kekurangan yang ada pada orang seperti Ahmad Zahid Hamidi ialah beliau tidak kenal dengan orang Cina dan India yang bersedia menggadai nyawa demi negara. Orang Cina dan India hanya mengkehendaki layanan adil di negara ini. Situasi sekarang seakan-akan bahawa sekelompok warganegara mempunyai hak yang lebih berbanding warga lain.

Sekiranya ditinjau fakta sejarah, jumlah kaum minoriti dalam angkatan tentera adalah cukup ketara ketika penjajahan Jepun di Malaya, Darurat, Konfrontasi dan zaman pemberontakan komunis sehinggalah ditandatangani perjanjian gencatan senjata dengan Parti Komunis Malaya.

Anggota tentara bukan-Melayu tidak menerima layanan yang setara dengan anggota tentera Melayu. Tidak dinafikan bahawa diskriminasi ras dan agama memang wujud. Bahkan petugas yang berasal dari Sabah dan Sarawak, meskipun bumiputera, masih didiskriminasi kerana kebanyakan dari mereka adalah Kristian.

Sebagai seorang bekas ahli tentera, saya melihat dengan mata sendiri betapa gigihnya askar-askar yang berasal dari Sabah dan Sarawak ini. Mereka berkhidmat dalam unit kombat. Maka saya hairan bukan kepalang kenapa untuk sekian lamanya tiada pula di kalangan orang Sabah dan Sarawak yang layak dilantik sebagai jeneral?

Sarawak Rangers

Hanya pada bulan September tahun ini, selepas Barisan Nasional tewas pilihan raya kecil Sibu, Sarawak, barulah seorang Iban, Stephen Mundaw, dilantik sebagai jeneral (buat pertama kalinya bagi seorang dari Malaysia Timur). Orang Malaysia Timur harus menuntut supaya setidak-tidaknya Jeneral 4-bintang dilantik dari antara kaum Iban yang begitu ramai gugur kerana menyahut panggilan ibu pertiwi. Keberanian mereka tiada tolok banding.

Anak-anak bukan-Melayu didiskriminasi berdasarkan ras dan agama lalu mereka ketinggalan kerana tidak berpeluang dinaikkan pangkat tinggi sementara anak-anak bukan-Melayu yang lebih muda serta kurang pengalaman dan kemahiran dengan semena-menanya dilonjatkan ke kedudukan lebih atas.

Sekiranya semua dilayan secara adil dan saksama, tengok sama ada orang bukan-Melayu tidak merebut-rebut untuk masuk tentera.

Hakikatnya, orang bukan-Melayu pada lazimnya boleh naik sampai pangkat Major saja dan janganlah berharap lebih daripada itu. Orang bukan-Melayu yang berkhidmat di dalam angkatan tentera tidak diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang setimpal dengan bakti yang dicurahkan oleh mereka. Kenaikan pangkat bukanlah berdasarkan keupayaan atau pencapaian.

Misalannya, sewaktu saya aktif bertugas dengan angkatan tentera, semua kursus dijalankan dalam bahasa Inggeris. Mahupun ada rakan yang tidak mampu bertutur dalam bahasa Inggeris, namun mereka tetap berjaya menjadi Jeneral -- memandangkan ini, anda pandai-pandailah gunakan otak sendiri.

Seperkara lagi yang kurang menyenangkan ialah askar bukan-Melayu dijadikan sasaran dakwah. Usaha memujuk yang bukan-Melayu untuk memeluk Islam bermakna para pendakwah sebenarnya tidak menghormati si askar itu serta pegangan agamanya yang sedia ada. Sekiranya mereka begitu sering menyarankan supaya kepercayaan agama anda disisihkan, maksudnya mereka memandang rendah dan mengganggap iman anda begitu rapuh sekali.

Diskriminasi ras dan agama kerapkali tidak dapat dipisahkan.

Orang bukan-Melayu, tanpa banyak soal dan tanpa ragu-ragu, akan pasti tampil ke hadapan untuk melunaskan tanggungjawab mempertahankan negara sekiranya mereka dianggap bagai warga Malaysia dan bukannya sebagai dzimmi dan warganegara kelas dua.

Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi telah menyinggung perasaan golongan bukan-Melayu tetapi kita juga harus dipersalahkan dalam hal ini kerana kita sendiri yang mengundi Barisan Nasional memegang tampuk kerajaan, yang seterusnya menjunjung beliau sebagai menteri.

Kita yang tetap membuang undi kita bagi MCA dan MIC sebenarnya menjamin BN kekal berkuasa and terus bersombong. Zahid ialah Ahli Parlimen untuk Bagan Datuk, Perak. Namun jika anda perhatikan, majoriti undi yang diperolehi Zahid sudah menyusut. Nescaya rakyat menendangnya keluar dari Dewan Rakyat dalam pilihan raya umum yang akan datang, maka Zahid akan diberi pengajaran yang wajar.

Selalu beringat.

____________________________________________________________

Versi Inggeris rencana ini berjudul 'In the military, the non-Malay is ridden like a horse' dan disiarkan di CPI pada Nov 26.


Copy and paste: Kerabubersuara blogspot
15 June 2020 / 24 Syawal 1441H : 8.34 pm

No comments: