Malah sudah lama Melayu diserang melalui penyelewengan fakta sejarah. Artikel berikut dipetik daripada portal The Patriots pada tahun 2015 bercerita mengenai kisah tersirat kejatuhan sebuah kerajaan Islam terulung Nusantara.
Penulis tanya soalan cepumas, benarkah Melaka kalah kepada Portugis atau disebut pada ketika itu sebagai orang Benggali Putih, kerana tiada senjata api walhal faktanya tentu ramai tidak akan percaya dan titis air mata bangga!
Ayuh baca sejarah kehebatan Melaka dan ingatlah bangsa Melayu ‘tumbang’ bukan kerana musuhnya hebat tetapi akibat khianat orang dalam sendiri yang tamak kuasa sanggup gadai maruah diri dan agamanya jadi pertaruhan:
SESUNGGUHNYA 15 Ogos 1511, ialah tarikh yang sangat pilu buat umat Melayu seluruh dunia. Pada tarikh ini, tewasnya sebuah empayar agung Islam yang gah menjadi kebanggaan bagi umat Melayu secara keseluruhannya.
Masih terngiang di telinga saya, beberapa orang rakan malah guru yang ejek dan cemuh dengan kata-kata: “Alah…apalah hebat sangat pada Melaka, Portugis serang tak sampai seminggu terus kalah teruk, lari lintang pukang”
“Melaka kalah dengan mudah kerana teknologi persenjataan yang sangat lemah, bayangkanlah orang kita berperang hanya dengan guna keris, sumpit dan tombak, padahal Portugis guna meriam dan senapang, mana tak kalahnya..”
“Orang Melaka pada zaman itu semua bodoh sebab tidak pernah tengok meriam askar Portugis, lalu konon lari lintang pukang”… Padahal hakikat sejarahnya kalaulah mereka tahu realiti yang sebenar, dan fikirkan kalaulah…
MERIAM MELAYU: LELA RENTAKA
Sebenarnya apakah berlaku dalam peristiwa 1511 ini dan bagaimana gambaran sebenar detik Melaka pertahankan dirinya daripada diperkosa Portugis? Hakikat yang sebenarnya ramai tidak tahu ialah Melaka sudah pun hebat.
Ia telah capai kedudukan politik unggul sementara perdagangannya terus berkembang dan pelabuhannya gamit pelbagai bangsa datang singgah dari segenap pelusuk dunia. Orang Melaka malah fasih bertutur lebih 20 bahasa!
Imej bandar terapung indah seperti Venice dan Genoa di Itali serta gambaran kesibukan pasar dan rumah rakyat Melaka yang tidak berputusan hingga ke Muar di Johor bukanlah satu khayalan atau cakap-cakap kosong sahaja.
Waima memang wujud kepincangan dalam pemerintahan, pergeseran, perebutan dan pelbagai lagi konflik dalaman, namun ia belum cukup parah untuk misi khas menjatuhkan Melaka jika dibandingkan dengan serangan Portugis.
Tambahan lagi, dek begitu makmurnya Melaka maka banyaklah kaum ‘asing’ mula dengki akan kekayaan Melaka. Pembelotan bangsa asing ini juga ibarat gunting dalam lipatan yang memudahkan lagi kemaraan askar Portugis.
Sesungguhnya tidak semua persoalan tentang kejatuhan Melaka dapat dirungkai. Namun memadai rasanya buka perbincangan isu kesungguhan semangat juang Melaka pertahan maruah kedaulatan daripada dinodai Portugis.
Sebelum itu yang paling penting ialah pandangan kita bahawa Melaka konon ketinggalan dari segi teknologi senjata meriam, istinggar atau senapang dan peluru serta lain-lain senjata api perlu diubah serta dibuang sejauh mungkin.
Bayangkan angkatan Portugis dicatatkan terpaksa membawa pulang ribuan pucuk meriam dan senapang yang dirampas dari Melaka. Teknologi pembuatan dan penggunaannya juga adalah standing dengan teknologi Barat.
SENJATA API MELAYU: ISTINGGAR
John Crawfurd memetik catatan De Burros dalam bukunya, A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries, bahawa ketika Portugis tawan Melaka, mereka berjaya rampas sehingga 8,000 unit senjata api.
Portugis sendiri tidak mampu hasil senjata api sebanyak itu. Bahkan catatan De Burrous menjelaskan lagi Portugis menjumpai sebuah meriam Melayu Melaka jauh lebih besar daripada dipunyai Portugis dan ia dihantar ke India.
Catatan lain pula, seperti dinukilkan oleh Godinho de Eredia dalam buku Asia Portugueza, karya Manuel de Faria Y Souza dalam E. Koek, Portuguese History of Malacca, turut bercerita sewaktu kedatangan Portugis di Melaka.
Jumlah meriam besar dimiliki oleh kerajaan tersebut adalah sangat banyak iaitu 3,000 pucuk telah dijumpai dalam kota Melaka tetapi 5,000 pucuk lagi telah sempat dibawa lari oleh tentera Melaka sebelum kota itu mula tumbang.
MERIAM MELAYU: LELA RENTAKA
Alfonso de Albuquerque menyatakan ada 2,000 pucuk meriam diperbuat daripada tembaga dan yang lain ialah besi di Melaka. Faria y Souza mengatakan sebahagian besar 8,000 pucuk senjata api atau meriam berasal dari Pahang.
Ini bermakna Pahang merupakan penghasil senjata api berkualiti dan banyak pada zaman itu. Menurut Eredia lagi, semua meriam dihasilkan dengan amat baik dan tidak dapat ditandingi walaupun dengan meriam buatan Portugis.
Daripada catatan Eredia ini, dapat disimpulkan bahawa teknologi senjata api yang dimiliki bangsa Melayu Melaka pada waktu tersebut adalah sama taraf dengan teknologi persenjataan orang Eropah, malahan mungkin lebih baik.
SENJATA API MELAYU: TERAKOL
Seorang berbangsa Itali yang terlibat dalam serangan terhadap Melaka pada 1511 menyatakan bahawa terdapatnya penggunaan pelbagai jenis senjata api berat yang menyebabkan kehilangan nyawa agak ramai di pihak Portugis.
Walaupun akhirnya tentera Melayu Melaka kalah, namun mereka digambarkan mempunyai semangat keperwiraan yang tinggi, sangat terlatih dalam ilmu peperangan dan mempunyai simpanan senjata yang bermutu serta pelbagai.
SENJATA API MELAYU: PEMURAS
Thomas John Newbold, pegawai British di Melaka pernah catat dalam Political and Statistical Account of the British Settlements in The Straits Of Malacca, Volume 2 bahawa ada banyak kilang yang hasil senjata api seperti meriam.
Ia milik bangsa Melayu yang sudah lama bertapak bukan sahaja di Semenanjung bahkan sekitar Kepulauan Melayu. Terengganu menjadi hub di Semenanjung, manakala Gerisik di Jawa dan Minangkabau ialah hub untuk Sumatera.
Bahkan Newbold turut mengulas mengenai pemandangan biasa yang dilihatnya ketika berada sekitar Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-18 yang dipercayai beliau sudah lama budaya itu bertapak kukuh di kawasan tersebut.
Katanya, tidaklah sesuatu yang menghairankan orang luar sendiri andai dapat melihat ramai pendekar Melayu yang lengkap bertanjak dan berbusana Melayu bersama-sama keris dan senjata api Melayu lebih dikenali sebagai Istingar.
Lihat pula tulisan R. J. Wilkinson, The Capture of Malacca, A.D. 1511 menyebut mengenai beberapa perkataan lazim seperti “Malay gun-fire” dan “heavy fire” yang merujuk kepada istilah kehebatan bala askar Melaka pada ketika itu.
Beliau semasa menceritakan mengenai kejatuhan Melaka yang boleh dijadikan dalil sejarah bahawa orang Melayu kita pada zaman tersebut sudah mampu memiliki senjata api canggih setanding dengan imej masyarakat Barat.
Diceritakan ketika askar Portugis cuba masuki muara Sungai Melaka yang cetek dan berlumpur, mereka dihujani oleh divisyen askar Melaka yang menggunakan senjata api dan menghujani askar Portugis dengan senjata api.
Meskipun dalam naskhah Sulalatus Salatin ada ditulis serangan meriam Portugis menggemparkan orang Melaka bagai bertih digoreng, namun petikan itu harus ditafsir sebagai penyedap cerita untuk pembaca atau pendengar.
Jambatan Melaka yang kita lihat dalam lukisan seperti di muzium atau dalam buku-buku teks sejarah yang sering digambarkan sejarawan Barat kononnya ia penuh dengan kedaifan dan keuzuran juga perlu kita buang jauh-jauh.
Catatan Portugis sendiri mendapati jambatan tersebut terbina dengan sangat kukuh, malah rekod China beberapa dekad sebelum serangan Portugis melaporkan bahawa ada lebih kurang 20 buah kedai di atas jambatan tersebut.
Saya menggambarkan jambatan ini seperti London Bridge pada zaman pertengahan penuh dengan kedai. Pihak Portugis juga alami kesukaran dan ambil masa untuk roboh jambatan tersebut atas maklumat risikan Ruy de Aroujo.
Di dalam buku teks sekolah juga kita diberitahu atau digambarkan pertempuran hanya berlaku di daratan kota Melaka sahaja, namun catatan Portugis didapati pertempuran sebenarnya telah pun bermula sejak di laut lagi.
Sebelum pihak Portugis berjaya mendarat di pantai, mereka dilaporkan telah diserang hebat oleh armada tentera laut Melaka jauh di perairan Selat Melaka yang mengakibatkan kehilangan 100 nyawa di pihak Portugis sendiri.
Askar Melaka guna lancara atau perahu yang diisi minyak dan bahan pembakar kayu serta dihalakan ke kapal-kapal Portugis. Taktik ‘Fire Ship’ ini sering diguna di Eropah seperti perang Inggeris-Sepanyol pada zaman Ratu Elizabeth.
Selain itu tembakan meriam dari Melaka menghala ke kapal-kapal Portugis turut mendatangkan kecelakaan teruk. Justeru pendapat yang mengatakan konon meriam Melaka tidak boleh menembak jauh juga harus dibuang ke laut.
Melaka juga melaksanakan strategi gertak dan tindakan perang psikologi untuk takut pihak lawan dengan pamer sejumlah perahu perang, lancara, tongkang, sampan dan sebagainya yang lengkap bersenjata berat di pantai.
Taktik ini untuk menunjukkan kekuatannya kepada Portugis. Walaupun begitu kekuatan sebenar Melaka yakni armada jong perang gergasinya yang diketuai laksamana pada waktu tersebut tiada dinukilkan di perairan.
PERBANDINGAN SAIZ JONG ARMADA LAUT MELAKA, Galleon kapal layar berasal dari Sepanyol sebelum ditiru oleh empayar eropah lain dan menjadi kapal perang yang BESAR dan digunakan pada abad ke 16.
LAKARAN PRAHUS: PERAHU, JONQUE:JONG
Maklumat catatan Giovani Da Empoli mengesahkan tentera Melaka menggunakan lancara dan perahu berapi untuk memusnahkan kapal Portugis. Di kawasan pantai pula, pertahanan Melaka diperkukuhkan dengan pancangan kayu.
Juga dilengkapi besi tajam atau kawat beracun serta meriam-meriam pelbagai jenis besar dan kecil beserta dengan peti-peti berisi serbuk peluru. Sebenarnya perang di Melaka bukan berlaku dalam jangka masa yang singkat.
Pada masa ketibaan Portugis pada 28 Jun 1511, pertempuran tidak terus terjadi sebaliknya kedua-dua belah pihak menggunakan taktik tunggu dan lihat, masing-masing menunggu siapakah yang akan menyerang terlebih dahulu.
Hal ini diselangi dengan sesi perundingan dan diplomasi yang tidak ke mana pun. Pihak Portugis mahu tawanan orang mereka termasuk de Aroujo segera dibebaskan. Selang tiga minggu dari itu, keadaan mula semakin tegang.
Beberapa siri pertempuran kecil berlaku di laut dan kawasan penginapan pedagang berdekatan pantai. Portugis serang empat kapal Jawa dan sebuah kapal Sumatera sebelum kapal-kapal saudagar Gujarat di pelabuhan dibakar.
Tidak ketinggalan ialah rumah penduduk di pantai yang habis dibakar Portugis. Walaupun Sultan Melaka sendiri kemudiannya ada membebaskan tawanan Portugis, namun perang sebenar tetap tidak dapat dielakkan lagi.
Pihak Portugis sebenarnya sangat tahu akan rahsia kelemahan Melaka. Hal ini kerana mereka telah pun ada perancangan jitu. Mereka mempunyai kelebihan dari segi risikan atau maklumat yang diberi oleh Ruy de Aroujo.
Juga info daripada orang dalaman Melaka sendiri seperti Utimutiraja, seorang perempuan Parsi dan Nainachittu. Melaka mempunyai banyak musuh ibarat musang berbulu ayam di setiap penjuru malah di dalam istana sendiri.
Namun demikian Portugis tidak pernah memperkecilkan kemampuan pertahanan Melaka. Albuquerque sendiri pernah menyebut bahawa: “Kita tidak akan dapat tawan Melaka dengan hanya dua batang pedang yang berkarat!”
Di waktu subuh sebelum serangan habis-habisan dilancarkan, Albuquerque memberi ucapan semangat bahawa Melaka harus ditundukkan supaya aliran rempah ratus Nusantara tidak akan sampai ke Makkah dan Kaherah.
Juga beliau mahu sinar Islam di Melaka akan padam! Ungkapan beliau ini jelas menunjukkan niat jahat sebenar mereka mahu hancur syiar Islam. Barisan ketenteraan Portugis sebenarnya lebih ramai daripada yang kita ketahui.
Bagaimanapun jumlah tentera Portugis hanyalah 1,200 orang termasuk 600 askar upahan Malabari dan kapalnya lebih kurang 19 buah. Maklumat catatan Giovanni menunjukkan sewaktu tiba di Pedir, jumlah kapal agak banyak.
Ini termasuk yang ditawan di perjalanan sudah cecah angka 25 buah. Di Pasai, lapan buah kapal dari Cambay lagi jadi mangsa tawanan atau dirosakkan. Maka dianggarkan ada lebih kurang 27 buah kapal tiba di perairan Melaka.
Malah ada beberapa buah kapal lagi di Melaka yang ditawan dan dijadikan barisan sokongan dalam serangan ke atas Melaka. Giovanni turut melaporkan bahawa serangan 25 julai 1511 terdapat 1,500 orang tentera Portugis terlibat.
Ia meliputi dengan pasukan bantuan daripada orang Cina sebanyak 400 orang dan bantuan tambahan daripada seorang putera Sumatera iaitu Raja Kampar menantu Sultan Mahmud sendiri yang juga lebih kurang 400 orang.
Ini belum termasuk tentera bantuan dari orang Pegu, Siam, bahkan orang Keling di bawah Nainachittu dan askar upahan Jawa yang sengaja perang tidak bersungguh-sungguh setelah ketua mereka, Utimutiraja disogok Portugis.
Pertempuran berlaku dengan sengit di beberapa lokasi strategik seperti di Jambatan Melaka, Bukit Melaka, Bandar Pelabuhan, Istana Sultan dan Masjid Sultan. Pertahanan Melaka turut diperkuatkan oleh ribuan tentera Jawa.
Mereka dikatakan pada permulaan Ogos 1511 sudah pun dibayar tiga bulan gaji terkehadapan, di samping barisan ramai pejuang Turki dan Khorusones atau Parsi yang kekuatannya sahaja dianggarkan berjumlah 3,000 orang.
Seperti disebutkan tadi, walaupun tentera Jawa telah dibayar gaji awal tiga bulan, mereka tetap belot dan tidak bersungguh-sungguh pertahan Melaka kerana penghulu mereka, Utimutiraja buat pakatan dengan Albuquerque.
Beliau dilaporkan secara rahsia ada memberitahu anak-anak buahnya agar mereka ‘tidak perlu lagi bersusah payah dengan menggadaikan nyawa sendiri berperang untuk mempertahankan harta benda kerajaan milik orang lain’.
Persoalannya adakah kekuatan sebenar Melaka yang terletak pada armada lautnya, telah digunakan sepenuhnya? Namun demikian armada laut Melaka yang terdiri daripada jong-jong besar tidak ada di perairan pada ketika itu.
Sebelum bermulanya serangan yang penghabisan oleh Portugis, Sultan Melaka pula sengaja melambat-lambatkan pelepasan tawanan asing dan masih cuba berdiplomasi kerana menunggu armada lautnya bersama Laksamana.
Namun tindakan Sultan yang sengaja melengah-lengahkan masa tersebut memang diketahui oleh Portugis yang menyebabkan serangan total berjaya dilakukan sebelum sempat armada laut Melaka itu sampai di Melaka.
Hal ini disebabkan Portugis sangat takut dengan risikan diberi de Aroujo yang berkata Sultan Melaka ada armada laut sangat kuat dan diketuai seseorang bernama ‘Laksamana’ yang dapat bakar hangus seluruh armada Portugis.
KAPAL MELAYU: LANCARA/LANCANG
Terdapat catatan dari Portugis yang menyebut bahawa sewaktu Melaka diserang, Laksamana bersama armada Melaka sedang melakuan rondaan di kawasan perairan jajahan takluk Melaka, mungkin di sekitar Riau-Lingga.
Ini kerana dalam catatan itu diberitahu bahawa Raja Lingga bersama Laksamana telah berpatah balik apabila tahu Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis serta Sultan Mahmud Shah dan keluarganya berundur ke Bentayan di Muar.
Hakikatnya Raja Lingga dan Laksamana tahu bahawa kejatuhan Melaka bukanlah bermakna kejatuhan empayar Melaka secara keseluruhan kerana adat Melayu itu bahawa 10 buah negeri boleh dicari, selagi ada raja berdaulat.
Jadi jika raja berundur, maka pembesar dan raja-raja taklukannya tidak akan membuat keputusan sendiri untuk terus menyerang Melaka, sebaliknya mereka pun berundur bersama-sama Sultan untuk mengatur strategi baharu.
Sultan Mahmud Shah juga dikatakan bertitah, adat kita raja Melayu, negeri alah raja mati, yang melambangkan bahawa perjuangan Melaka sebenarnya belum tamat selagi baginda dan waris-warisnya belum lagi mati.
Apa yang dapat disimpulkan ialah kekalahan Melaka kepada Portugis bukanlah satu kekalahan yang mudah seperti yang sering disebut-sebut Barat. Bukan disebabkan oleh teknologi persenjataan Melaka yang kononnya lemah.
Juga bukan kerana kebodohan tentera Melaka terhadap tembakan meriam tentera Portugis. Barisan pertahanan Melaka telah berjuang berhabis-habisan baik dari segi diplomasi, pertahanan, taktik dan strategi pertempuran.
Pihak Portugis sendiri mengakui bahawa pejuang-pejuang Melayu Melaka adalah pahlawan yang gagah perkasa dan mereka begitu terlatih dalam ilmu peperangan serta dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata berat berpotensi.
Namun begitu kita tidak boleh pandang rendah pada kekuatan Portugis kerana bangsa Eropah itu juga mempunyai pengalaman tempur dan kepungan laut yang taraf standardnya sama hebat dengan bangsa Melayu sendiri.
Sebelum mereka mula menyerang Melaka, banyak kota pelabuhan lain seperti di India dan Teluk Parsi yang berjaya Portugis tawan, malah mereka pernah bertempur dengan armada Turki Uthmaniah yang terkenal hebat di laut.
Kekalahan Melaka adalah sebab kurangnya kesepaduan dan kesepakatan antara ‘Anakvanua’, dan sikap terlalu beri kepercayaan kepada ‘anak dagang’ atau bangsa asing yang berkelana cari rezeki yang makmur di bumi Melaka.
Bak kata pepatah ‘apalah diharap pada dagang, bertukar musim berlalulah ia’. Warga luar itu jelas tidak ada semangat patriotik untuk bangkit pertahan negara yang mereka tumpang dan lari apabila ada peluang terbuka!
Sikap terlalu bertoleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu sejak zaman berzaman ini akhirnya memakan diri sendiri apabila golongan ‘dagang’ ini mula menunjukkan belang mereka dan ibarat menikam dari arah belakang!
Baik anak dagang Kalingga, Ming, Burma, mahupun Kampar dan Mojo yang serumpun sebangsa, semuanya menjadi duri dalam daging. Ia seumpama bidalan terkenal Melayu lama iaitu harapkan pegar, pegar pula yang makan padi.
Peristiwa ini seharusnya menjadi pengajaran kepada anak-anak ‘vanua’ pada hari ini, dan bukannya kisah Melaka konon kalah berperang kerana hanya menggunakan keris atau sumpit semata-mata yang ternyata tidak benar.
Sekian, wallahu a’lam bis sawab.
ASJ dan HE / Rujukan:
• Prof Emeritus Dr. Muhammad Yusof Haji Hashim, Kisah Melaka 1511, Institut Kajian Sejarah Dan Patriotisme Malaysia, 2006
• Abdul Aziz Zakaria, Portugis Dalam Sejarah Melaka, Dewan Bahasa & Pustaka, 1963
• Portuguese Documents on Malacca: 1509-1511, National Archives of Malaysia, 1993
• Muhammad Yusoff Hashim, Muzaffar Desmond John Tate, The Malay Sultanate of Malacca: A Study of Various Aspects of Malacca in the 15th and 16th Centuries in Malaysian History, Dewan Bahasa & Pustaka, 1992
• The Capture of Malacca, A.D. 1511 oleh RJ Wilkinson
• Asia Portugueza oleh Manuel de Faria Y Souza dalam E. Koek
• A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries oleh De Burrowss
Selesai artikel di atas, TT teringat sejarah yang kita study masa sekolah dulu, katanya Melaka antara pelabuhan yang sangat maju ketika itu, dikatakan terdapat 84 bahasa dituturkan di Melaka dan bahasa melayu menjadi lingua franca, hebatnya melaka ketika itu, tetapi yang menjadi persoalan TT, adakah pelabuhan sehebat itu cuma dijaga oleh askar yang menggunakan tombak dan keris sahaja? Wallahu a'lam..
dan menjadi satu lagi tanda tanya TT di dalam sejarah yang kita study, diajar bahawa Melaka adalah negeri yang kecil, tetapi sebuah selat yang stategik dinamakan sempena negeri yang kecil ini? kenapa tidak Selat Melayu (contoh)? apakah benar Melaka suatu ketika dahulu negeri yang kecil? Wallahu a'lam...