Thursday, 22 March 2018

2018 - GUA MUSANG / CAMERON HIGHLAND

Pada 21 Mac 2018, saya bersama setaf saya Ahmad Nasir bin Awang Kecik telah bertolak dari Pejabat kami di Yayasan Jantung Malaysia di Jalan Sultan Yahya Petra (Dulunya Jalan Semarak) Kuala Lumpur menuju ke kawasan Perkampungan orang Asli di Pos Brooke yang terletak di daerah Gua Musang, Kelantan. 
Gua Musang adalah sebuah daerah yang terletak di selatan negeri Kelantan. Ia bersempadan dengan Negeri Pahang di selatan, Negeri Terengganu di Timur dan Negeri Perak di Barat. 
76% penduduk Gua Musang adalah Kaum Melayu dan 13% Kaum Orang Asli manakala selebihnya adalah kaum Cina dan India. 
Antara peristiwa bersejarah di Gua Musang yang paling terkenal ialah Pertempuran Sungai Semur yang berlaku pada 15 Mac 1950. Dalam peristiwa tersebut, 17 anggota tentera dari Platun ke 12, Kompeni D, Batalion ke 3 Rejimen Askar Melayu DiRaja telah terkorban dan 8 cedera dalam serang hendap pengganas Komunis yang berlaku di Sungai Semur, Gua Musang. Bagaimanapun 29 pengganas komunis telah berjaya dibunuh dalam pertempuran tersebut. 


Perjalanan dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara Selatan adalah sejauh 266 km dan mengambil masa perjalanan lebih kurang 3 jam 19 minit. Kami berhenti rehat di Hentian Rehat RTC di daerah Gopeng, Perak dan kemudian memasuki Persimpangan Simpang Pulai terus ke Gua Musang. 
Kami tiba di Sekolah Kebangsaan Pos Brooke di Gua Musang lebih kurang jam 1.24 petang. 
SK Pos Brooke mengingat kembali peristiwa pada 1 Mac 2010, dimana 300 pelajar orang Asli dari Sek.Keb. Pos Brooke telah mengalami keracunan makanan selepas makan nasi berlauk telur rebus di kantin sekolah tersebut. 


 Pintu masuk ke Kg. Brooke Lama di Gua Musang
Sek.Keb. Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan

 Perkampungan Orang Asli di Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan


Pos Brooke adalah kawasan penempatan orang Asli di daerah Gua Musang, Kelantan. 
Pos Brooke diwujudkan oleh Kerajaan British ketika era Darurat kerana ketika itu orang Asli dianggap oleh Kerajaan British dalam Rancangan Briggs sebagai kunci utama kemenangan untuk melawan komunis. Oleh itu beberapa pos telah diwujudkan ketika itu antaranya ialah Pos Telanok di Ulu Jelai,  Pos Brooke di Gua Musang dan Pos Betau di Kuala Lipis. 
Pos Brooke (Fort Brooke di zaman British) pernah menjadi kem Latihan Pasukan Perintis VAT 69 (Komando Polis) di awal penubuhannya. 
Fort Brooke mengikut catatan Roy Follows yang pernah berkhidmat di Fort Brooke pada 1954  dibina oleh pasukan Elite British, Special Air Service bersama pasukan Jungle Squad (Polis Hutan). Ia dinamakan Fort Brooke bersempena nama Pegawai Memerintah SAS British ketika itu. 


Kami di Gua Musang pada hari ini adalah untuk menjenguk-jenguk kawasan tersebut, kerana mesyuarat dengan Tok Batin adalah keesokan harinya. 
Setelah berpuas hati melihat kawasan Pos Brooke, kami meneruskan perjalanan ke Hotel penginapan kami yang terletak di Cameron Highland, Pahang. 


Perjalanan dari Pos Brooke ke Cameron Highland adalah sejauh 41.7 km dan mengambil masa perjalanan selama 1 jam 3 min. Namun hari itu agak malang kerana kami tersekat di Kesesakan Jalanraya ketika mendaki ke Puncak Cameron Highland, mungkin cuti persekolahan pada masa ini menyebabkan kesesakan berlaku kerana ramai keluarga mengambil kesempatan untuk bercuti ke Cameron Highland. Kami tiba di hotel setelah memandu selama hampir 2 jam lebih. 


Hotel BB Inn
No. 79A, Persiaran Camelia 4
39000 Tanah Rata
Pahang
Tel: 05-491 4551

CAMERON HIGHLAND
Cameron Highland atau Tanah Tinggi Cameron di Negeri Pahang mempunyai ketinggian 1,829 meter dari aras laut dan bersuhu antara 10 darjah celcius hingga 20 darjah celcius. 
Nama Cameron Highland diambil sempena nama Sir William Cameron, iaitu seorang juruukur British yang telah diarahkan oleh Kerajaan British ketika itu untuk melakukan pemetaan sempadan Pahang dan Perak pada tahun 1885. 

Rujuk Sejarah Cameron Highland:
1. Wikipedia - CAMERON HIGHLAND







 Kami sempat berhenti sekejap untuk mengambil gambar pemandangan yang indah sepanjang perjalanan dari Pos Brooke ke Cameron Highland.










CAMERON HIGHLAND KE POS BROOKE
Pada 22 Mac 2018, setelah 1 malam menginap di Cameron Highland, di awal pagi kami bertolak kembali ke Pos Brooke untuk bertemu dengan Tok Batin bagi membincangkan program yang akan dilaksanakan di Pos Brooke. 
Perjalanan kali ini lebih teruk dari semalam, kerana kami tersekat di Kesesakan jalanraya menuruni Cameron Highland ke Pos Brooke. Kali ini kami terpaksa harungi kesesakan selama 3 jam baru tiba destinasi kami di Pos Brooke. 









 Kesesakan bermula ketika menuruni Cameron Highland ke Pos Brooke


Gerai Buah-buahan sepanjang perjalanan dari Cameron Highland ke Pos Brooke, Gua Musang. 




BERTEMU TOK BATIN DI POS BROOKE, GUA MUSANG
Kami tiba di Pos Brooke, Gua Musang setelah menempuh 3 jam kesesakan menuruni Cameron Highland. 
Sebenarnya kami telah dijemput untuk hadir sama dalam Majlis Hafazan Al Quran yang berlansung di Surau Al-Amin, di Kg. Pos Brooke Lama. Namun kesesakan telah menyebabkan kami tidak dapat hadir ke Majlis tersebut... ketika tiba Majlis telah pun berakhir. Namun tujuan sebenar kami adalah untuk berjumpa dengan Tok Batin... 






Selesai perbincangan dengan Tok Batin, kami meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur melalui exit Simpang Pulai, Perak. 
Kami singgah makan tengahari di Simpang Pulai , Perak. 


Begitulah berakhirnya perjalanan saya dan En. Ahmad Nasir dari Kuala Lumpur ke Gua Musang dan kemudian ke Cameron Highland. 

Hj Zulheimy Maamor
Yayasan Jantung Malaysia
28.3.2018 : 11.27 pm

No comments: