Tuesday, 15 January 2013

MASJID - RUMAH ALLAH (KUALA LUMPUR)

Masjid merupakan Rumah Ibadat yang paling mulia dan tinggi darjatnya di sisi Allah. Ia juga dikenali dengan nama “Rumah Allah”.  Masjid bukanlah semata-mata tempat untuk menunaikan solat, ia juga adalah tempat yang sesuai untuk aktiviti-aktiviti keagamaan, majlis ilmu dsb.
Sepanjang aku bekerja.. aku telah banyak merantau ke serata negeri di Malaysia dan juga di Luar Negeri. Masjid adalah salah satu tempat yang sentiasa aku kunjungi untuk beribadat sepanjang perjalanan musafir ku…

Di bawah ini adalah antara masjid-masjid yang pernah aku kunjungi dan pernah beribadat di dalamnya. 

KUALA LUMPUR




Masjid As Sobirin ini adalah berhampiran dengan rumah kediaman ku di Lembah Keramat, KL. Sebelum terbinanya masjid ini, kariah bersolat jemaah di sebuah surau berdekatan. 

Masjid As-Sobirin telah dirasmikan dalam satu majlis yang amat meriah, pada hari Jumaat 7 Zulkaedah 1418 bersamaan 6 Mac 1998 oleh Pemangku Sultan, DYTM Tengku Sharafuddin Idris Shah Ibnu Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Pembinaan bermula pada bulan Disember 1994 dan siap pada Disember 1995 dan mulai digunakan pada Januari 1996.
Masjid Jamek Kuala Lumpur terletak di Jalan Tun Perak ditengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Keunikan masjid ini ialah kedudukannya yang terletak dipertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Upacara perletakan batu asas pembinaan masjid ini telah dilakukan pada 23 Mac 1908 dan disempurnakan pembukaannya oleh DYMM Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada 23 Disember 1909. Senibina masjid yang bercirikan senibina Monghul ini berdasarkan rekabentuk masjid di India Utara ini ialah hasil rekaan Encik A.B Hubback, arkitek kerajaan.
Aku selalu berjolat Jumaat di Masjid ini ketika berkerja dengan Ubaidulla & Co di Jalan Tun Perak , KL pada tahun 1996. 



Masjid India Kuala Lumpur adalah merupakan masjid yang tertua di Kuala Lumpur. Ia dibina pada tahun 1870 oleh saudagar India Muslim yang berdagang di KL ketika itu. Masjid asalnya dikatakan dibina daripada kayu. Aku sering bersolat Jumaat di Masjid ini ketika bekerja dengan Ubaidulla & Co. di Jalan Tun Perak. Apabila Masjid ini penuh aku akan bersolat di Masjid Jamek yang terletak tidak jauh dari Masjid ini. 





Masjid Negara Malaysia terletak di Kuala Lumpur. Dibina antara 1963 dan 27 Ogos 1965, Masjid Negara merupakan lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia dan turut merupakan pendekatan moden bagi konkrit diperkukuhkan, simbol bagi Malaysia yang baru dibentuk ketika itu. Ia boleh menampung seramai 15,000 orang jemaah.

Reka bentuk dan penyeliaan bangunan ini telah dilakukan oleh pasukan 3 orang arkitek dari Bahagian Reka Bentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja Raya Persekutuan - arkitek Hisham Albakri, Howard Ashley (UK), and Dato Baharuddin Kassim. Mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk menyiapkannya. Sebelum memulakan kerja merekabentuk Masjid Negara ini, arkitek utamanya, Baharuddin Abu Kassim mengkaji masjid-masjid di India, Pakistan, Iran, Turki, Arab Saudi, Republik Arab Bersatu dan Sepanyol. 
Dulu ketika arwah Ayahku masih ada, dia sering membawa aku ke Masjid Negara untuk bersolat Hari Raya Aidilfitri. 




Masjid Sallihin yang tertelak di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak, K.Lumpur mengimbau kembali kenangan ku ketika zaman bersekolah. Ketika bersekolah di Sek.Men. Tinggi (Inggeris) Setapak, Kuala Lumpur antara tahun 1974-1978, aku dan kawan-kawan sering bersolat Jumaat di Masjid ini kerana ketika itu Masjid inilah yang terdekat dengan sekolah ku. 



Masjid Al Sharif yang terletak di Kg.Simpang Tiga, Gombak KL ini adalah satu lagi masjid yang menjadi kenangan ku di zaman kanak-kanak dan zaman persekolahan dulu sekitar tahun 70 an. Ketika itu aku dan keluarga tinggal di Greenwood Park (Skrg Tmn Greenwood), dan masjid ini adalah masjid yang terdekat dengan rumah kami ketika itu. 
Masjid ini dikatakan dibina sekitar tahun 1890 oleh sekumpulan orang Minangkabau yang berhijrah ke Kg Simpang Tiga ketika itu. Bagaimanapun Masjid ini telah diubaisuai dari masjid yang asal... 





Masjid Al-Hidayah Taman Melawati terletak di atas tapak seluas 4.5 ekar dipersimpangan Jalan Melawati 5 dan Jalan Melawati 6, Taman Melawati, Hulu Kelang, Gombak, Selangor. Berdekatan dengan Masjid ini ialah Zoo Negara, Kompleks Finas, dan kira-kira 500 meter dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Aku dan isteri telah berpeluang menjejakkan kaki di Masjid ini ketika program TV 9 Raudhah di Hati Ku dilansungkan di tapak Masjid ini. Masjid ini juga terletak tidak jauh dari rumah ku. 





Masjid Al Imam Al Tarmizi di Jalan Kelang Lama, KL ini terletak tidak jauh dari rumah Ibu Mertua ku di Taman Seri Sentosa. Aku pernah menunaikan solat Jumaat dan Solat Sunat AidilAdha di masjid ini. Ia dibina pada tahun 2005 namun oleh beberapa sebab pembinaannya terbengkalai agak lama juga. Mengambil sempena nama Al Imam Al Tarmizi , Imam Hadis yang terkemuka selain Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan lain lain lagi. 




Masjid Khalid Ibn Walid ebih dikenali dengan nama Masjid KEMENTAH kerana terletak berhampiran dengan Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak KL. Masjid ini dibina pada tahun 1985 dan kemudian dinaik taraf pada tahun 2007 dan siap sepenuhnya pada 2011. Masjid ini mengambil sempena nama seorang panglima perang Islam yang teragung di zaman Rasulullah SAW. Aku pernah beberapa kali solat Jumaat di Masjid ini ketika bertugas di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur sekitar akhir 80 an dahulu. 




Masjid Muaz bin Jabbal di Taman Setiawangsa ini dibina pada tahun 1996 dan mula beroperasi pada tahun 1998. Masjid ini yang asalnya dibawah pemilikan Kementerian Pertahanan telah dibeli oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Sehingga kini masjid ini belum lagi dirasmikan. Nama masjid ini mengambil sempena nama sahabat Rasulullah SAW yang pernah dihantar dalam misi dakwah di Yaman. 
Aku pernah bersolat Jumaat di Masjid ini ketika Abang ku tinggal di kawasan berhampiran masjid ini. 


Masjid Saidina Hamzah dibina sekitar tahun 1986. Sebelum pembinaan Masjid ini kariah Kg Batu Muda bersolat Jumaat di Surau Ibrahimmiyah. Pada awalnya masjid ini dinamakan Masjid Jamek Kg Batu, namun setelah setahun beroperasi JAWI telah membuat penamaan semula masjid ini kepada nama yang ada sekarang. 
Aku dan isteri telah menghadiri program "CINTA MASJID" yang dianjurkan oleh TV Al Hijrah di luar tapak masjid pada 5 Februari 2012. 

Masjid Sultan Hj Ahmad Shah terletak didalam Universiti Islam Antarabangsa, Gombak, Kuala Lumpur. Dulu aku dan keluarga aku sering bersolat Sunat Aidilfitri di Masjid ini. Keistimewaannya khutbah masjid ini dibaca dalam 3 bahasa, iaitu bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. 



Projek pembinaan masjid Ubaidah Al Jarrah adalah dikendalikan oleh Jabatan Kerjaraya Wilayah Persekutuan. Ia mula dibina pada 27hb Januari 1986 dan siap pada 24hb April 1987. Projek ini telah menelan belanja berjumlah RM2,125,652.00. Masjid ini terletak di atas tapak seluas 3 ekar. 
Disinilah aku solat Jumaat sejak bekerja di Yayasan Jantung Malaysia di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Walaupun ada Masjid berhampiran di UTM dan Kementah, namun aku lebih suka bersolat Jumaat di sini . 



Anak Bongsu ku bersama kakak ku dan Pengantin di Masjid Usamah bin Zaid


Masjid Usamah bin Zaid telah dibina pada 12 Mac 2004 oleh kontraktor yang telah di pilih oleh pihak DBKL.terdapat banyak rintangan yang dilalui sepanjang pembinaan masjid ini. sehinggalah, pada 16 Oktober 2008 masjid yang diberi nama Usamah Bin Zaid telah memulakan operas sepenuhnya. 
Usamah bin Zaid merupakan tokoh yang terbilang dalam sejarah peradaban Islam.Bapanya ialah Zaid bin Haritsah yang merupakan anak angkat Rasullullah S.A.W.Beliau lahir pada tahun ketujuh sebelum hijrah.Beliau telah disambut dengan gembira oleh Rasullullah S..A.W. Usamah kulitnya hitam, hidungnya pasek, sangat mirip dengan ibunya..Ummu Aiman.Sejak meningkat dewasa Usamah memiliki sifat-sifat yang mulia yang menjadikan dirinya menjadi kesayangan kepada Rasullulah S.A.W.Dalam usia yang muda dia memiliki semangat keperwiraan yang tinggi untuk mendaulatkan syair Islam.Di dalam peperangan Uhud,Usamah bin Zaid ingin turut serta dalam peperangan tersebut.Rasulullah S.A.W. telah menolaknya kerana umurnya masih muda ketika itu.
Majlis perkahwinan anak saudara ku Mohd Kamarul Amri berlansung di Masjid ini pada 6 April 2013. 

Masjid al Akram Kampong Dato' Keramat mula dibina lebih kurang tiga bulan selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Hampir sebulan lamanya penduduk Kg. Dato' Keramat tidak dapat keluar menunaikan sembahyang Waktu dan sembahyang Jumaat di masjid lama yang terletak di antara Lorong Keramat 16 dan 17 kerana perintah berkurung ekoran daripada peristiwa 13 Mei itu. Setelah siap pembinaanya pada 31 Mei 1971, Masjidul Akram ini dikatakan sebagai masjid tercantik dan termoden di Kuala Lumpur pada masa itu. Pada bulan Ogos 1971, masjid baru itu mula digunakan sebagai tempat ibadah sempena bulan Ramadhan 1391.
Aku dan isteri pernah menghadiri ceramah agama di Masjid ini 27 Mei 2012.

Zulheimy Maamor
22.9.2013


No comments: