Saturday, 12 January 2013

TAZKIRAH 1

Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.h: 
"Maksud 'amalan yang lebih baik' ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” -

Kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258.


---------------------------------------------------------------------------------------------

Mencintai Rasulullah s.a.w. merupakan satu perkara yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam. Seseorang itu tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi Muhammad s.a.w melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya.

Ittiba’ al-Rasul ialah mengamalkan segala yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Jika baginda s.a.w. telah menetapkan sesuatu hukum maka tidak boleh sesiapapun yang menentangnya atau mengutamakan pandangan orang lain melebihi perintah baginda tersebut.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Permusuhan boleh dicetuskan oleh satu perkara yang mudah. Umpamanya kata-kata yang terkeluar dari mulut kita tanpa disedari boleh menyebabkan diri kita dimusuhi orang. Berhati-hatilah dan jangan sekali kita buka pintu perselisihan dan sebaik-baiknya peliharalah kata-kata yang keluar dari mulut kita.

Allah berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 83 yang bermaksud, "Berkatalah kepada seluruh manusia dengan baik-baik."


---------------------------------------------------------------------------------------------

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7:
"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepada mu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.""

Hendaklah sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.... jika kita merasakan diri kita begitu malang, ingatlah ada yang lebih malang dari kita, jika kita merasakan diri kita susah, tentu ada orang lain yang lebih susah daripada kita. Jika ini yang menjadi pegangan kita, In sya Allah pasti kita akan menadah tangan dan bersyukur dengan segala pemberian Allah...


---------------------------------------------------------------------------------------------

Kita sebenarnya tidak tahu bagaimana nasib kesudahan kita. Ada orang pada zahir nampak banyak melakukan dosa tetapi kesudahannya dia mati dalam keadaan bertaubat seperti Al Kifli. Sebaliknya ada orang pada zahirnya banyak melakukan amal kebaikan tetapi kesudahannya dia mati "Su'ul Khotimah".. Na'uzubillah....
Perbanyakkanlah berdoa kepada Allah swt sekiranya kita sudah berada di landasan yang betul, taat melakukan suruhan Allah swt, maka sampai ke akhir hayat kita tetap istiqomah berada di landasan yang betul .. moga-moga mati kita dalam "Husnul Khotimah"... Aamiin


---------------------------------------------------------------------------------------------

"Ilmu yang bermanfaat mesti melahirkan amal soleh. Dan tanda ilmu itu tidak bermanfaat ialah apabila ilmu itu menjadikan seseorang sekadar alim (tahu), tetapi tidak menjadikan amil (beramal).
-Abu Ishaq


---------------------------------------------------------------------------------------------

Ubat Hati

Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA: “ Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah ( beribadat ) disepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.


---------------------------------------------------------------------------------------------

Rasulullah SAW bersabda:
"Orang cerdik adalah orang yang dapat mengendalikan dirinya dan beramal sebagai persiapan setelah mati. Sementara orang yang lemah adalah orang yang menundukkan dirinya daripada hawa nafsu tetapia berharap kepada Allah."
(Riwayat Ibnu Abi al-Dunya)

Manusia yang berusaha mengingati kematian akan sentiasa berusaha untuk melakukan sesuatu pada jalan Allah.
Kematian adalah pemutus kehidupan di dunia. Mahu atau tidak kita perlu bersedia. Bukan hanya dengan rasa takut dan gentar tetapi dengan ilmu, iman dan amal.


---------------------------------------------------------------------------------------------

Zuhud itu tidaklah bermaksud menolak dunia, ianya bermaksud bahawa dunia itu tidak dijadikan matlamat hidup seseorang. Mereka yang zuhud itu meletakkan agama atau akhirat di dalam hati manakala dunia "hanya sekadar di tangan sahaja".

Ibrahim bin Adham mengatakan , "Zuhud itu mengosongkan hatimu daripada dunia, dan bukan mengosongkannya dari tanganmu. "

Antara ungkapan ulama dan para arifin mengenai zuhud ialah:
"Bukanlah zuhud itu dengan ketiadaan harta, tetapi hakikat zuhud yang sebenar adalah ketiadaan dunia dalam hati."

"Kekayaan itu bukanlah dengan memiliki harta yang banyak, tetapi kaya itu adalah kaya jiwa."


---------------------------------------------------------------------------------------------
12.1.2013
2.00 am


No comments: