Oleh: ZUARIDA MOHYIN
PENGARAH Unit Dakwah di
Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia, Muhammad Fitri Abdullah, 42,
sejak tiga tahun lalu mempunyai ceritanya yang tersendiri tentang kisah pengislaman
beliau.
Berkongsi pengalaman
silam beliau kira-kira 15 tahun lalu, kata anak kelahiran Banting, Selangor
ini, dia tidak pernah menyangka pencariannya berhubung konsep keesaan Tuhan
atau Tuhan Yang Satu yang ditemui dalam kitab-kitab lama agama Hindu, hanya
terjawab dalam agama Islam.
Itupun selepas hampir
lapan tahun mencarinya dalam agama anutannya sendiri dan agama Kristian. Akui
Pengerusi Perkim Cawangan Serendah ini lagi, pencarian agak panjang ini
berpunca daripada sikap egonya yang enggan menerima kenyataan bahawa Islam
mampu menjawab segala kemusykilan yang memberati diri.
“Saya dilahirkan dalam
sebuah keluarga yang berpegang kuat kepada agama Hindu. Hakikatnya, agama
tersebut bukan sekadar ikutan kerana di samping disediakan guru oleh ibu bapa,
saya sendiri belajar mendalami lagu-lagu dan muzik keagamaan Hindu.
“Keseriusan ini sekali
gus melayakkan saya menjadi pengajar serta penceramah seawal usia 19 tahun.
Pembelajaran secara mendalam selok-belok agama ini secara tidak langsung
memberi peluang kepada saya mengkaji kitab Veda.
“Dari situlah saya temui
konsep Keesaan Tuhan yang turut disebutkan di dalam kitab-kitab lain berbahasa
Tamil. Pada masa itulah timbul persoalan dalaman dan kehendak membuak-buak
untuk mencari Tuhan Yang Satu. Apatah lagi, perbuatan yang dilakukan selama ini
bertentangan dengan konsep tersebut,” terang Muhammad Fitri yang juga merupakan
Pendakwah sepenuh masa dengan Perkim sewaktu ditemui di ibu pejabat Perkim,
Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Meneruskan ceritanya,
Muhammad Fitri yang juga merupakan Perunding Latihan sebuah syarikat kewangan
Islam swasta di ibu kota berkata, pada usia 27 tahun semasa bekerja di sebuah
bank di Petaling Jaya, Selangor, beliau pernah terdengar ceramah agama dalam
rancangan Forum Perdana Ehwal pada Khamis malam Jumaat di Saluran 1, Radio
Televisyen Malaysia (RTM).
Sayangnya, ceramah yang
disampaikan oleh salah seorang panel itu iaitu Datuk Dr. Harun Din bukannya
mengundang minatnya kepada Islam malah menimbulkan perasaan marah yang tidak
terhingga.
Ungkapan berbunyi:
“Kalau niat baik, amalan baik, sentiasa bersedekah tetapi selagi dia tidak
beriman, itu semua bukan dikira ibadah dan Allah tidak menerima amalannya.”
“Telinga saya berdesing
mendengar kata-kata itu. Ia satu kenyataan yang begitu provokasi. Perasaan
marah, geram, kecewa silih berganti. Ungkapan itu berlegar-legar dalam fikiran
saya.
“Sebulan kemudian, saya
terlihat kemalangan di mana mangsa menemui ajal. Pada saat itu, secara spontan
ungkapan di atas muncul dalam kotak fikiran saya. Hakikatnya, semakin saya cuba
melupakannya, semakin kerap ia hadir dalam fikiran.
“Semenjak insiden itu,
saya hilang konsentrasi kerana sering memikirkan hal tersebut. Saya cuba
mencari alternatif iaitu dengan pergi ke gereja. Harapan saya mencari jawapan
kepada Tuhan Yang Satu,” akui Muhammad Fitri.
Tambah anak kelima
daripada enam adik-beradik ini, dalam keadaan diri penuh persoalan yang belum
terjawab, beliau pernah ditanya oleh pelanggannya, Haji Manab akan agama
kepercayaannya. Secara berseloroh, balas Muhammad Fitri, “Saya belum Islam
tetapi sedang mencari Tuhan dan belum berjumpa lagi.”
“Saya langsung tidak
terasa terkilan dengan pertanyaan itu kerana ucapan seperti alhamdulillah,
bismillah, alhamdulillah dan insya-Allah sentiasa meniti di bibir saya.
“Malah apabila dia
mendengar jawapan saya, Haji Manab mengesyorkan agar saya pergi ke beberapa
institusi agama seperti Islamic Outreach ABIM, Perkim dan Pusat Islam. Walau
bagaimanapun, dia mempelawa saya bertema seorang tokoh agama yang baru pulang
dari Mekah.
“Lantaran itu, pada
malam Jumaat, saya mengikutnya ke satu usrah yang diadakan di Seksyen 14,
Petaling Jaya. Saya bersetuju bukan kerana untuk mencari jawapan yang selama
ini membayangi fikiran tetapi sekadar menjaga hati pelanggan, tidak lebih
daripada itu.
“Semangat jemaah yang
hadir sewaktu melaksanakan solat Maghrib bagai ada kuasa yang menarik untuk
saya ikut serta solat berjemaah biarpun mengikutinya di saf paling belakang.
Perbuatan mereka itu menunjukkan satu cara yang paling berdisiplin malah
sepanjang majlis itu, amalan berzikir, bacaan Yasin begitu menarik hati saya.
Selain, layanan tuan rumah, Haji Zain dan Hajah Seha membuatkan saya tidak rasa
tersisih,” kata Muhammad Fitri mengakui usrah itu bukanlah yang terakhir
dihadirinya tetapi menjadikannya salah seorang jemaah setia.
Kupasan penceramah malam
itu menerusi kitab, Dosa-dosa Besar yang dibeli di Mekah terutamanya menyentuh
soal mensyirikkan Allah, seolah-olah ia ditujukan tepat kepadanya.
Dua jam terasa begitu
cepat berlalu malah beliau tidak pernah mendengar penerangan yang begitu teliti
sekali gus menyedarkannya bahawa apa yang dipercayai selama ini terbukti salah.
“Selesai beberapa siri
usrah, saya berkeyakinan dengan agama yang baru dikenali ini. Lantas saya
luahkan keinginan untuk memeluk agama Islam. Manab membawa saya berjumpa dengan
penceramah itu di Universiti Kebangsaan Malaysia, tempat beliau mengajar.
“Beliau menasihatkan
saya agar pengislaman dilakukan pada malam usrah. Maka pada tarikh 8 Ogos 1991
sahlah saya bergelar Muslim. Kebetulan detik bersejarah itu adalah hari
kelahiran saya yang ke-28.
“Sehingga pada detik itu
iaitu semasa berbuka puasa apabila saya berbuka bersama insan istimewa yang
mengislamkan saya barulah saya teringat kembali orang yang membuat ungkapan
provokasi satu masa dahulu, itu sebenarnya adalah Harun Din yang berada di
depan mata saya,” terangnya bersyukur kerana berjaya mengharungi pelbagai
cabaran bila sahaja bergelar mualaf.
Muhammad Fitri yang
mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan keluarga angkat, Nazreen Kamal
Basha, 30, kini diceriakan dengan kehadiran empat cahaya mata; Najwa, 9,
Muhammad Abdurahman, 8, Abdurrahim, 5 dan Sumayyah, setahun.
Ditanya bagaimana beliau
berhadapan dengan reaksi keluarga selepas pengislaman, katanya, seminggu
sebelum memeluk Islam beliau pernah berbohong kepada ibu memberitahu dirinya
sudah Islam.
“Pada masa itu, saya
hanya hendak menguji sejauh mana penerimaan mereka. Reaksi awal ibu ialah dia
kecewa tetapi tidak marah dengan pilihan yang diambil. Pada masa itu juga
terbongkar satu kisah yang ibu simpan sejak mendiang ayah masih hidup iaitu
semasa saya berusia enam bulan, ayah pernah mengeluarkan kata-kata yang saya
suatu hari nanti akan menukar namanya kepada Abdullah. Padahal ayah meninggal
semasa saya berusia enam tahun.
“Apabila melihat sikap
keterbukaan ibu, timbul keberanian untuk meneruskan keputusan memeluk Islam.
Pun begitu, saya memahami kekecewaan mereka kerana saya dikira orang harapan
dalam keluarga.
“Saya cuba buktikan
kepada mereka, yang saya bukannya menyembah Tuhan yang baru tetapi Tuhan Yang
diesakan sebagaimana disebut dalam kitab lama masyarakat Hindu.
“Pada peringkat awal,
adik-beradik juga kecewa dengan keputusan saya. Mereka terasa seolah-olah saya
hendak bertukar identiti, khuatir saya akan berkahwin dengan gadis Melayu dan
takut hubungan kekeluargaan terbatas kerana perbezaan agama,” katanya bersyukur
apa yang dibimbangi tidak berlaku malah hubungan mereka anak-beranak semakin
hari bertambah akrab.
Saranan Muhammad Fitri
kepada mana-mana individu yang berhasrat memeluk Islam agar membuat perancangan
terlebih dahulu terutamanya persiapan dari segi mental dan ekonomi.
“Saya beruntung kerana
banyak pihak yang menyokong dan mendokong sepanjang perjalanan pengislaman saya
hingga ke hari ini. Keluarga angkat yang telah menyediakan seorang guru,
Zainuddin Sitek untuk mengajar selok-belok Islam dan membaca al-Quran.
Alhamdulillah dalam masa setahun saya telah lancar membaca al-Quran.
“Jasa mereka ini hanya
Allah s.w.t. dapat membalasnya. Pun begitu saya terharu dengan pemahaman
keluarga kerana tidak mengambil sikap terlalu emosional apabila berhadapan isu
pengislaman saya. Ia amat besar maknanya buat saya,” kata Muhammad Fitri yang
mula serius dalam kegiatan dakwah sejak 1999. Ini semua bertitik-tolak daripada
saranan Rasulullah s.a.w.: Sampaikanlah oleh kamu walau sepotong ayat.
Selain menjadi Ahli
Jawatankuasa Perkim Selangor, Muhammad Fitri turut menjadi Panel Dakwah,
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), panel kaunselor di Mufti Kerajaan Negeri
Sembilan. Selain itu, sering menjadi penceramah jemputan terutamanya tentang
tajuk perbandingan agama.
Kejayaan program-program
ini juga adalah hasil sokongan dan kerjasama institusi agama dan pertubuhan
bukan kerajaan lain. Perkim lebih berperanan sebagai orang tengah atau jambatan
untuk merapatkan jurang perbezaan.
Akui anak bongsu
daripada empat adik-beradik ini lagi, di samping suka melibatkan diri dengan
pelbagai program kemasyarakatan, beliau turut aktif dalam dunia penulisan bahan
ilmiah. Beberapa buku terlaris beliau ialah Rahsia Bisnes Orang Cina, Rahsia
Bisnes Orang Jepun, Rahsia Bisnes Orang Korea, Rahsia Black Metal dan Rahsia
Arqam.
Menjawab kepuasan yang
diperoleh dalam semua kerja-kerja yang dilakukan, Ann yang sedang melanjutkan
pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Pusat Pengajian Komuniti di
Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata, ia dirasai apabila dapat memberi
sumbangan kepada anggota masyarakat.
Ini kerana setiap
manusia tidak dapat lari daripada kehidupan bermasyarakat. Sekurang-kurangnya,
apa yang dilakukan secara ikhlas ini menjadi aset akhirat sewaktu bertemu Ilahi
kelak.
Berkongsi kisah
pengislaman, kata Ann, sebab utama mengkaji tentang Islam ialah apabila tidak
mendapat jawapan atau penjelasan tepat tentang sesuatu kemusykilan berkaitan
Islam apabila diutarakan kepada teman-teman.
Beliau mula tertarik
kepada Islam sewaktu di zaman persekolahan dan semasa menuntut di universiti di
mana beliau mula bergaul dengan orang Islam.
“Saya terpikat dengan
Islam ini terutamanya penekanannya kepada konsep persaudaraan Islam dan
institusi zakat. Ini kerana bidang sosiologi yang saya pelajari tidak ada tolok
bandingannya dengan Islam.
“Jadi apabila saya tidak
dapat penjelasan sebagaimana yang diharapkan, saya mula mencari menerusi bahan
bacaan, perbincangan dengan ulama dan menerusi kajian, Gerakan Islam di
Malaysia di peringkat sarjana. Saya juga pernah melalui pengalaman kerohanian
dan saya pernah berniat sekiranya saya menjumpai duit saya yang hilang, saya
akan membeli sebuah al-Quran.
“Entah macam mana, duit
tersebut ditemui jadi sebagai memenuhi hasrat itu, saya pun membeli senaskhah
terjemahan al-Quran dan menerusinya saya mendalami Islam dan akhirnya membawa
kepada agama Allah,” akui Ann.
Harapan bekas tenaga
pengajar di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya ini, agar
tidak berlaku pengasingan atau penyisihan kepada golongan saudara baru
terutamanya di kalangan umat Islam itu sendiri.
Sebaik-baiknya, umat
Islam dapat menjadikan saudara baru sebahagian daripada mereka dan lebih
digalakkan jika golongan ini diberikan sokongan dari segi fizikal dan bukan
fizikal.
Bagi mereka yang ingin
menyalurkan bantuan kepada kanak-kanak di asrama Baitul Ummah bolehlah
menghubungi talian 03-4024 3304.
29.10.2012
No comments:
Post a Comment