Dosa-Dosa &
Facebook
Semenjak empat bulan terlibat
dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook.
Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh
jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui
facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini,
cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-
1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau
tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah
terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga
melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai
dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta,
pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.
Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di
dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan
perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung.
Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula
untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu
hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat
yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh
sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka
sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang
masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk
diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa,
mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan
berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup
kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah
atau Kaunselor Rumahtangga.
Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan
isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia
dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan
pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara
tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga
yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat
kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah
amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook
anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada
anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika
dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.
2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook,
mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan
pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan
gambar mereka, sama ada jarak
dekat, sangat dekat (
sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang
diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan
kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar
sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih
merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau
senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.
Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal
dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran
nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di
ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan
bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut
dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan
SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah
kamu menghampiri zina'.
Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana
gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna)
ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .
3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan
seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada
dilaporkan juga, sebahagian
lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada
gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat
lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita
yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai
dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan
menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan
gambar itu.
Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan
dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang
orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkanfriend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih
terhad dan terjaga.
4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu
‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar
tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana
wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai
sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada
lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja
gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan
sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami.
Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak
perlulah tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga
nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin
menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh
wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan
isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.
5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu
fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri
kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak
juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti
Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.
Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar
lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar
yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semuafriend, dan rakan
kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.
Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak
menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah
haram.
b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah
sendiri atau di dalam keadaan ‘candid',
tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat.
Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh
dengan segera delete 'tag'
itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang
pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan
berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka
boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun,
penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun
menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan
individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun
rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan
‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila
gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di
khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin
bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu
diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri &
kebaikan
Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup
solehah, berpakaian extra
caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun
sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik
dengan make up cukup
jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi
nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu
macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan
menasihat.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi
sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan
tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau
tidak langsung. Lahirlah
kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu
zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang
sepertinya.
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila
berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?,
kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian
sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas
pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama
seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang
baik.
KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh
menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab
jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah
pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah
antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan
sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki
dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan
keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk
berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah,
mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan
fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
3 Mei 2010
No comments:
Post a Comment