Wednesday 14 November 2012

HAMKA - Ulama dan Pujangga Nusantara


HAMKA - Ulama dan Pujangga Nusantara
Oleh Hafidzi Mohd Noor 


Tidak ramai ulama yang mempunyai bakat seperti Buya HAMKA. Dia seorang kiyai (ulama) di samping seorang pujangga, sasterawan, budayawan, wartawan, pendidik dan tokoh pemimpin baik dalam bidang kemasyarakatan mahupun politik. Buya HAMKA amat dikenali dalam kalangan umat Islam di Malaysia khususnya pada tahun-tahun 1970-an yang amat senang dengan kuliah beliau yang penuh hikmah, lembut dan sarat dengan nilai-nilai falsafah. Bagi peminat kisah-kisah roman (cereka), novel-novel beliau sehingga hari ini seperti ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Vick’, ‘Menunggu Beduk Berbunyi’, ‘Di Lembah Kehidupan’, ‘Merantau ke Deli’, ‘Keadilan Ilahi’ dan ‘Di Bawah Lindungan Ka’abah’ masih diulang cetak dan menjadi bahan kepustakaan sastera Melayu yang sangat bernilai. Nilai-nilai seperti cinta, pengorbanan dan kesetiaan diadun di dalam novelnya berlatarbelakangkan realiti masyarakat pada zamannya yang melalui peralihan zaman sehingga menimbulkan konflik di antara kongkongan adat setempat dan tradisi dengan keluasan serta kesejagatan Islam yang progresif. HAMKA, satu nama yang tidak asing kepada dunia Islam khususnya di Nusantara adalah nama pena dan singkatan kepada nama penuhnya Hj. Abdul Malik Karim Amrullah. Beliau dilahirkan di Padang Panjang, Pariaman, Sumatera Barat pada tahun 1908. Kampung halamannya yang terletak di danau Maninjau serta dikelilingi oleh Banjaran bukit Barisan yang indah itu besar pengaruhnya dalam membentuk jiwa seni dan kesusasteraannya yang halus. Pada usia remaja lagi beliau telah menghasilkan novelnya yang pertama ’Si Sabariah’. 
Pengaruh didikan ayahnya, Hj. Abdul Karim Amrullah (telah disentuh dalam bab yang lebih awal), seorang ulama progresif sangat besar dalam membentuk keperibadiannya. Polemik di antara kaum tua dan ayahnya yang mendukung fahaman ‘kaum muda’ melatari zaman kanak-kanaknya. Beliau juga dibesarkan pada saat kefahaman Komunis mula menular di Sumatera sehingga ramai anak-anak murid ayahnya yang mendapat pendidikan di Sumatera Tawalib (institusi yang dibangunkan oleh ayahnya) terpengaruh dengan ideologi tersebut; suatu yang sangat mengecewakan ayahnya. Sebenarnya, hubungan HAMKA dengan ayahnya terjejas apabila berlaku perceraian di antara ayah dan ibunya; dan ayahnya berkahwin lain. Semasa usianya meningkat kepada 13 tahun, ayah dan ibunya bercerai. Perceraian ini mengakibatkan jiwa remajanya memberontak dan beliau mula bergaul dengan golongan parewa. Beliau menghabiskan banyak waktu di luar berpencak, menari piring dengan memakai destar, menyaksikan perlawanan pacuan kuda, tempat orang berjudi dan menyabung ayam. Kerana sikapnya yang degil, beliau disebut sebagai anak nakal dan durjana yang tidak dapat dibaiki lagi. Satu sahaja kelebihan yang ada pada si Malik (panggilan orang kampung sewaktu kecil) iaitu beliau tidak pernah meninggalkan sembahyang. Bagi HAMKA, pengalaman pahit yang dilaluinya adalah natijah daripada kongkongan adat perpatih yang menjadi pegangan masyarakat Minangkabau. Kerana itu beliau mempunyai pandangan yang kritikal terhadap adat Minangkabau dan buah fikirannya ditumpahkan ke dalam dua buah buku iaitu ’Adat Minangkabau dan Agama Islam’ (buku ini diharamkan oleh Belanda) dan ’Adat Minangkabau Mengalami Revolusi’. Bahkan jika dihayati novel yang dikarang seperti ’Merantau ke Deli’ dan ’Keadilan Ilahi’, amat jelas HAMKA menjadikan penulisan popular sebagai saluran untuk mengkritik aturan adat dalam masyarakat Minangkabau. Seperti kebanyakan orang Minang, HAMKA juga suka berkelana. Ketika berusia 16 tahun, beliau berangkat ke Yogyakarta. Di sana beliau berkenalan dan belajar dengan HJ Omar Said Cokroaminoto, pimpinan SI yang terkenal itu. Dari Yogyajakarta beliau menuju Pekalongan untuk belajar dengan AR Sutan Mansur (ipar beliau), pemimpin Muhammadiyah. HAMKA pulang ke kampung halamannya di Padang Panjang dan menggerakkan tabligh (aktivisme) Muhammadiyah di rumah ayahnya. Pada tahun 1927, tanpa pengetahuan ayahnya, pada usia 19 tahun HAMKA telah belayar ke Mekah. Setelah pulang ke tanah air, beliau menjadi guru kepada buruh-buruh di sebuah kebun di Medan. Beliau dijemput oleh iparnya AR Sutan Mansur untuk kembali aktif dalam pergerakan Muhammadiyah. Beliau terus aktif berdakwah dalam organisasi Muhammadiyah sehinggalah pendudukan Jepun pada tahun 1942. Ketika itu beliau memegang pimpinan Muhammadiyah Sumatera Timur. Semasa pendudukan Jepun, HAMKA dan ramai tokoh ulama yang lain seperti KH Mas Mansur memberikan kerjasama kepada Jepun yang telah berjanji untuk memberikan kemerdekaan kepada Indonesia. Sebenarnya, Jepun hanya menggunakan ulama untuk mendapatkan sokongan rakyat agar terus menjayakan gagasan ‘Asia untuk Asia’. Jaminan itu tidak lebih daripada muslihat mereka untuk mengukuhkan cengkaman imperialisme Jepun sebagai ganti kepada penjajahan Barat. Walaubagaimanapun Jepun terpaksa memberikan kemerdekaan itu apabila sudah terang mereka berada di pihak yang kalah dalam perang pasifik. Proklamasi (kemerdekaan) diisytiharkan pada 17 Ogos 1945. Belanda tidak mengiktiraf kemerdekaan ini dan telah meminta bantuan British untuk kembali menjajah Indonesia. Rakyat Indonesia yang bertekad untuk mempertahankan kemerdekaan tersebut telah melancarkan Perang Revolusi yang berlangsung selama lima tahun. HAMKA sendiri menyertai pasukan bergerila memerangi pihak Berikat di Sumatera Barat. Ketokohan HAMKA sebagai ulama dan tokoh gerakan Islam bermula pada tahun-tahun 1950-an. Beliau dilantik menjadi pegawai kementerian agama pada tahun 1950. Dengan jawatan itu, beliau telah ditugaskan untuk mengajar di beberapa universiti dan Institusi seperti Perguruan Tinggi Agama Islam Negeri (PTAIN) Yogyakarta, Universiti Islam Jakarta, Fakulti Hukum dan Falsafah Muhammadiyah di Padang Panjang, Universiti Muslim Makasar dan Universiti Islam Sumatera Utara (UISU). Penglibatan beliau dalam politik bermula dengan Pemilihan Umum Pertama (PEMILU) Tahun 1955 di mana beliau dicalonkan sebagai anggota DPR (Dewan Perwakilan Rakyat) Masyumi, Jawa Tengah. Tindakan Sukarno yang menerapkan gagasan ‘Demokrasi Terpimpin’ menyebabkan Dewan Konstituante dan semua parti politik dibubarkan pada tahun 1960 (demokrasi terpimpin adalah nama lain bagi kepimpinan autokratik atau diktator). Seiring dengan arahan Presiden yang menghalang mana-mana pegawai kerajaan untuk terlibat dalam ORMAS (Organisasi masyarakat), maka Buya HAMKA melepaskan jawatan sebagai pegawai agama dan terus aktif dalam Muhammadiyah. Bermula tahun 1960-an, Buya HAMKA mula menerima pelbagai mehnah kerana sikapnya yang tegas seringkali menimbulkan pertembungan dengan pihak pemerintah. Tindakan Sukarno menerapkan ‘demokrasi terpimpin’ dibidas oleh HAMKA sebagai ‘jalan lurus menuju neraka’. Pendiriannya yang tegas ini menyebabkan beliau menjadi sasaran pemerintah. Pada tahun 1964, beliau ditahan atas tiga tuduhan subversif di bawah akta ISA (Anti Subversive Act). Salah satu daripada tuduhan itu ialah terlibat sama dalam komplot untuk membunuh Presiden Sukarno dengan menerima sejumlah wang daripada Tunku Abdul Rahman (Persekutuan Tanah Melayu). Kesemua tuduhan itu adalah merupakan fitnah yang direka-reka untuk mencari ‘kambing hitam’ ketika Sukarno mengisytihar ‘ganyang Malaysia’ dalam peristiwa konfrantasi. Ketika dipenjarakan selama hampir tiga tahun (1964-1966) itulah Buya HAMKA melengkapkan ’Tafsir Al-Azhar’ (30 juzuk) yang merupakan karya beliau yang teragung. (Dipetik daripada buku "Jejak Risalah di Nusantara" Jilid 6) SEMINAR: ISLAM@NUSANTARA bersama Dr Hafidzi Mohd Noor sempena kemerdekaan pada 31 Ogos 2010. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila lihat bahagian kanan blog ini.
http://islamatnusantara.blogspot.com/2010/08/hamka-ulama-dan-pujangga-nusantara.html
14.11.2012 - 02.00 am

1 comment:

Anonymous said...

Hamka tiada gantinya...Al-Fatihah..