Thursday, 28 August 2025

MENDAM BERAHI: SEJAUH MANA KEWUJUDANNYA

Oleh : Helmy Effendy
The Patriots

Apabila kita membuka lembaran Hikayat Hang Tuah, sebuah karya agung kesusasteraan Melayu, kita akan menemui kisah tentang sebuah kapal megah bernama Mendam Berahi. Nama ini sendiri sudah cukup menggugah imaginasi. Ia digambarkan sebagai kapal besar, luar biasa dari segi reka bentuk, seolah-olah dibina untuk melambangkan kehebatan Kesultanan Melaka di puncak kegemilangannya pada abad ke-15. Dalam hikayat, kapal ini bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi simbol kuasa, tanda bahawa Melaka bukan sahaja sebuah pusat perdagangan dunia, malah juga sebuah empayar maritim yang hebat.
Namun, di sinilah timbul persoalan yang menarik untuk diperbincangkan. Adakah Mendam Berahi benar-benar pernah wujud, ataukah ia sekadar satu rekaan sastera yang ditulis ratusan tahun kemudian? Sejauh mana catatan hikayat boleh dianggap mewakili realiti sejarah, dan sejauh mana ia hanya bayangan simbolik atau malah anachronism, iaitu sesuatu yang tidak sesuai dengan zamannya?
Apabila diteliti gambaran tentang Mendam Berahi, para sarjana maritim menyedari persamaan bentuknya dengan kapal jenis gali atau galley dari Laut Mediterranean. Kapal jenis ini sudah lama dikenali dalam sejarah dunia. Orang Yunani purba membinanya untuk peperangan di laut dalam. Romawi dan Byzantium meneruskan tradisi tersebut. Venice menggunakannya untuk menegakkan hegemoni maritim di Adriatik, manakala Uthmaniyyah pula menjadikan kapal gali sebagai tulang belakang armada mereka di Mediterranean Timur.
Reka bentuk kapal gali amat khusus, panjang, tirus, rendah ke permukaan air, digerakkan oleh puluhan bahkan ratusan pendayung, dan dilengkapi layar kecil untuk membantu pergerakan. Ia direka untuk kelajuan dan kelincahan, sesuai dengan strategi pertempuran laut di Mediterranean yang sempit dan dalam. Sifat ini jelas berbeza dengan kapal-kapal Melayu yang besar, bertiang tinggi, dan berlayar dengan memanfaatkan angin monsun untuk merentasi lautan luas.
Oleh itu, apabila mendengar deskripsi Mendam Berahi, timbul persoalan sama ada penulis hikayat telah menyerap imej kapal Mediterranean ini ke dalam kisahnya. Bukan kerana kapal sebegitu sudah wujud di Melaka abad ke-15, tetapi kerana pada zaman penulisan hikayat, beberapa ratus tahun selepasnya, orang Nusantara sudah pun mengenali kapal gaya Eropah dan Turki, lalu imej itu disisipkan tanpa disedari sebagai sebahagian daripada cerita silam.
Sejauh ini, belum ada bukti material yang menunjukkan kapal gali digunakan di Asia Tenggara sebelum kedatangan Portugis pada awal abad ke-16. Sebaliknya, sumber sejarah Cina, Portugis, dan Belanda lebih kerap menyebut kapal-kapal seperti jong, lancaran, kelulus, dan ghurab. Kapal-kapal ini sangat berbeza dari gali Mediterranean. Badannya lebih lebar dan dalam, mempunyai layar besar yang mampu menampung kuasa angin monsun, serta sesuai untuk membawa muatan dagangan dalam jumlah yang sangat besar.
Tambahan pula, keadaan geografi dan ekologi Nusantara sangat berbeza dengan Laut Mediterranean. Selat Melaka, misalnya, bercirikan dasar cetek, berlumpur dan berpasir, dengan arus pasang surut yang kuat serta dipenuhi rumpai laut. Kapal panjang dan rendah seperti gali berisiko tersangkut atau sukar bermanuver di perairan seperti ini. Sebaliknya, kapal Melayu lebih tegap dan lebih fleksibel, ia mampu berlayar di laut dalam, tetapi pada masa yang sama boleh masuk ke sungai dan muara cetek. Inilah kelebihan kapal tempatan yang menyesuaikan diri dengan alam tropika dan sistem perdagangan maritim yang berasaskan monsun.
Kapal gali memang akhirnya sampai ke rantau ini, tetapi itu berlaku selepas Portugis menawan Melaka pada 1511. Portugis membawa bersama teknologi maritim Mediterranean, termasuk gali dan fusta. Daripada Portugislah kerajaan Acheh pada abad ke-16 dan ke-17 mula mengenali kapal gaya tersebut, malah dengan bantuan jurutera Turki Uthmaniyyah mereka cuba membina versi sendiri untuk mencabar kekuasaan Barat di Lautan Hindi.
Namun fakta ini sendiri menjadi bukti tidak langsung bahawa gali bukan sebahagian daripada tradisi maritim Melaka. Jika Melaka sudah memiliki kapal seperti Mendam Berahi sebelum kejatuhannya, mengapa catatan Portugis mahupun Cina tidak menyebutkannya? Mengapa yang direkodkan hanya jong dan lancaran? Sehingga kini, belum ada jawapan kukuh dari sudut sejarah.
Di sinilah kita perlu melihat Mendam Berahi bukan semata-mata dari kaca mata sejarah, tetapi juga dari sudut kesusasteraan. Hikayat bukanlah kronik sejarah yang mencatat fakta secara literal. Ia ditulis untuk mengangkat imej kebesaran, untuk mengabadikan wira seperti Hang Tuah, dan untuk membayangkan kekuatan Melaka dalam bentuk yang paling agung. Dalam kerangka sebegitu, Mendam Berahi berfungsi sebagai simbol, sebuah metafora kebesaran yang melampaui bukti material.
Nama Mendam Berahi sendiri membawa unsur puitis, seolah-olah ingin menawan imaginasi pembaca, bukan sekadar mencatat logistik ketenteraan. Ia boleh difahami sebagai kiasan kepada kehebatan armada Melaka yang sebenarnya terletak pada jong dan lancaran, tetapi disulam dalam bentuk sebuah kapal tunggal yang megah dan luar biasa.
Dengan itu, persoalan tentang kewujudan Mendam Berahi akan sentiasa berada di persimpangan antara sejarah dan mitos. Dari segi sejarah maritim, sehingga kini belum ada bukti material atau rekod kontemporari abad ke-15 yang membenarkan kewujudannya. Dari segi sastera pula, ia jelas berfungsi sebagai simbol kebesaran Melaka, dimasukkan ke dalam hikayat untuk meneguhkan imej empayar Melayu sebagai kuasa maritim dunia.
Lebih tepat untuk mengatakan bahawa Mendam Berahi adalah kapal hikayat, bukan kapal yang pernah belayar di Selat Melaka, tetapi kapal yang berlayar di samudera imaginasi kolektif orang Melayu. Ia lambang bahawa Melaka dulu sebuah empayar maritim agung buat bangsa Melayu, sehingga orang Melayu mencipta sendiri Mendam Berahi sebagai lambang peradaban bangsa mereka.
Justeru, saya sentiasa mencadangkan supaya kita memahami dan mendalami sejarah dari sumber yang tepat. Ilmu laut orang Melayu itu hebat, tetapi kita juga kena berhati-hati dengan cara kita memahami sejarah. Justeru, antara buku terbaik yang saya nak cadangkan ialah buku tulisan Sejarawan Maritim Asia Tenggara dan Tamadun Melayu terbaik negara, Dr Ahmad Jelani Halimi yang anda boleh beli di Shopee sempena dengan jualan pra-tempah. 300 pembeli terawal akan dapat sign Dr tau! Beli di Shopee

Copy and paste:
28 Ogos 2025: 11.43 p.m


Buku Cendekiawan Islam Jadi Inspirasi Niccolo Macchiavelli

Oleh: Moustapha Abbas
THE PATRIOTS

Sebut saja nama Niccolo Macchiavelli, ramai membayangkan mahakarya beliau iaitu ‘The Prince’. Siapa sangka, buku tersebut sebenarnya diinspirasikan daripada sebuah buku yang dikarang seorang cendekiawan Islam dari Sicily.
Secara ringkas, ‘The Prince’ ialah sebuah buku yang dihasilkan Macchiavelli sebagai garis panduan buat pemerintah atau pewaris takhta. Buku tersebut menyebut pelbagai bab dari kebijaksanaan pemerintah hinggalah ciri yang patut dimiliki seorang pemerintah.
Buku tersebut memberi impak besar kepada para pemerintah terutama di Eropah bila ia diterbitkan di Eropah pada 1532. Malah, ia turut memberi impak kepada perkembangan politik zaman moden di timur dan barat.
Ada yang mengatakan falsafah ‘The Prince’ dicedok Macchiavelli daripada kelompok filsuf Yunani seperti Xenophon, Democritus dan Epicurus. Walau bagaimanapun, saintis politik Itali, Gaetano Mosca mengesyaki beliau sebenarnya menjadikan karya Sulwan yang dikarang Ibnu Zafar al-Siqqili sebagai inspirasinya.
Jadi, siapa Ibnu Zafar ini?
Beliau ialah seorang cendekiawan Islam yang berada di Sicily ketika wilayah itu diperintah kerajaan Norman pada abad ke-12 Masihi. Lahir pada awal abad ke-12, Ibnu Zafar dikatakan dibesarkan dan belajar di bumi Makkah al-Mukarramah.
Salah satu nama gelarannya ialah Si Pengembara. Ini disebabkan Ibnu Zafar gemar mengembara ke serata tempat untuk menuntut ilmu. Beliau pernah mengembara hingga ke Mesir, Tunisia dan Aleppo, Syria. Semasa di Aleppo, Ibnu Zafar menjadi tenaga pengajar sebuah madrasah di bawah naungan Safi al-Din pada 1046.
Lapan tahun selepas itu, beliau kembali ke kampung halamannya dan menabur bukti di Sicily. Meskipun begitu, kekacauan yang tercetus di Sicily mendorongnya kembali ke Syria dan kekal di situ sebelum meninggal dunia antara 1170 atau 1172.
Jadi, apa kena-mengena Ibnu Zafar dengan Macchiavelli?
Mosca percaya cendekiawan berdarah Florence itu menjadikan kitab Sulwan sebagai inspirasi kepada ‘The Prince’. Ini kerana hampir kebanyakan bab yang disentuh dalam buku tersebut turut muncul dalam kitab Sulwan.
Apa yang membezakan karya kedua-dua cendekiawan itu ialah Ibnu Zafar menjadikan agama sebagai teras kepada nasihat dan panduan kepada para pemerintah. Ini sama sekali berbeza dengan Macchiavelli yang memilih pendekatan realpolitik yang patut dijadikan sebagai panduan golongan pemerintah.
Edisi pertama kitab Sulwan didedikasikan kepada seorang raja yang tidak diketahui. Raja tersebut berkemungkinan merujuk kepada pemerintah Damsyik yang diusir oleh Nuruddin Mahmud Zengky. Edisi kedua pula didedikasikan kepada penaung beliau, Abu’l-Qassim ibnu Hammud ibnu al-Hajjar.
Tidak mustahil kitab ini menjadi inspirasi kepada para pemerintah Islam seterusnya termasuk pengasas Dinasti Ayubiyah, Salahuddin Yusuf Al-Ayubi. Meskipun begitu, nama Ibnu Zafar langsung tidak dikenali di dunia Barat.
Malah, terjemahan pertama kitab Sulwan dalam Bahasa Itali dibuat pada 1851 oleh pejuang Sicily, Michele Amari. Terjemahan Amari turut mengandungi biografi Ibnu Zafar. Terjemahan kitab Sulwan dalam Bahasa Inggeris pula dibuat setahun selepas itu oleh Richard Bentley.
___
Persamaan antara The Prince dan Kitab Sulwan menunjukkan betapa besarnya impak saintis Islam kepada karya yang menjadi bahan kajian ahli politik sehingga hari ini.
Ini baru sedikit pasal Saintis-Saintis Agung Islam. Nak tahu lagi, dapatkannya di Shopee sekarang: https://s.shopee.com.my/9znuNw3u44

Copy and Paste:
28 Ogos 2025: 11.36 p.m

Orang Melayu Dah Ada Sistem Undang-undang Sejak Ratusan Tahun Dulu!

Oleh: Fakhry Harraz
THE PATRIOTS

Bila sebut pasal undang-undang moden hari ni, kita mesti teringat pada “Common Law” dari British, sistem mahkamah Barat atau perlembagaan negara moden. Tapi, tahukah anda, beratus tahun sebelum semua itu sampai ke Tanah Melayu, orang Melayu dah ada undang-undang yang tersusun, lengkap dan cukup canggih untuk uruskan masyarakat?
Zaman Kesultanan Melayu Melaka (abad ke-15 hingga 16) adalah kemuncak tamadun Melayu klasik. Ramai hanya kenal Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa, tempat pedagang Arab, India, China, sampai Portugis keluar masuk. Tapi di sebalik kekayaan ekonomi itu, ada satu lagi rahsia besar yang buktikan betapa teraturnya Melaka, tak lain tak bukan iaitu sistem undang-undangnya.
A. Hukum Kanun Melaka: undang-undang darat.
Hukum kanun ini merangkumi hampir semua aspek kehidupan: daripada hal jenayah, kekeluargaan, pentadbiran, hinggalah peraturan berkaitan raja dan rakyat. Misalnya, kalau berlaku kes curi, bunuh, atau khianat,hukum kanun ini ada hukuman yang jelas.
Kalau ada isu kahwin, cerai, atau nafkah, dah ada garis panduan yang siap berpaksikan syariah. Malah, ada fasal khas yang menyentuh tanggungjawab Sultan, pembesar dan rakyat. Bayangkan, ratusan tahun lalu masyarakat Melayu sudah tekankan keadilan dan tanggungjawab.
B. Undang-undang Laut Melaka: undang-undang lautan.
Kalau Hukum Kanun uruskan darat, maka Undang-undang Laut Melaka pula ciptaan genius untuk mengawal perdagangan maritim. Ketika zaman di mana Melaka jadi “hub antarabangsa”, kapal-kapal besar dengan pedagang dari serata dunia singgah di pelabuhan. Maka, peraturan perlu ada.
Undang-undang Laut menetapkan hak dan tanggungjawab nakhoda, awak-awak, pedagang dan anak kapal. Kalau ada pergaduhan atas kapal, ada hukumnya. Kalau berlaku kecurian, ada prosedurnya. Kalau kapal karam, sudah ada garis panduan bagaimana nak uruskan barang dagangan dan tanggungjawab nakhoda.
Benda ni bukan kecil. Sejarah membuktikan, undang-undang maritim Melaka antara yang terawal dan paling tersusun di Asia Tenggara, malah jadi rujukan kuasa lain. Ia ibarat “manual perkapalan” pada abad ke-15.
Apa makna semua ni untuk kita hari ini?
Sejarah ini buktikan bahawa orang Melayu bukan bangsa tanpa sistem. Kita sudah ada hukum, peraturan dan tata kelola berabad lamanya sebelum datangnya kuasa kolonial. Undang-undang ini merupakan gabungan bijak antara adat Melayu, syariat Islam dan pengalaman perdagangan antarabangsa.
Kalau hari ini kita berbangga dengan Perlembagaan Persekutuan, jangan lupa, akar tradisi undang-undang Melayu sudah lama subur. Malah lebih hebat, kerana ia lahir dari masyarakat kita sendiri.
Jadi, lain kali bila ada orang kata “orang Melayu dulu mundur, tak bertamadun”, ingatlah, bahawa bangsa Melayu sudah lama memiliki undang-undang tersendiri. Bangsa yang ada undang-undang sendiri, adalah bangsa yang berdaulat. Itulah warisan besar kita.
---
Sejarah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka ada diceritakan oleh Sejarawan Maritim Melayu Tersohor, Dr. Ahmad Jelani Halimi.
Kalau anda nak tahu lagi pasal kehebatan orang Melayu berlayar di lautan, anda kena dapatkan buku terbaru kami: MELAYU, LAUT DAN PERDAGANGAN!
Pra-tempah sekarang untuk dapatkan dengan harga diskaun serta tandatangan penulis!

Copy and paste:
28 Ogos 2025: 11.32 p.m

SIAPA ASIA TENGGARA SEBELUM GELOMBANG AUSTROASIATIC DAN AUSTRONESIA TIBA?

Oleh: Sharifah Faizurah Al Bukhari
PUSAKA NUSANTARA OFFICIAL ORI (PNOO)

Tahukan anda, Lubang Jeriji Saléh bukan sekadar gua yang dikenali orang tempatan.
Ia pernah direkodkan ahli arkeolog pada 1990-an, tetapi hanya pada tahun 2018, dunia gempar apabila pasukan saintis membuktikan lukisan tersebut, berusia sekurang-kurangnya 40,000 - 52,000 tahun menjadikannya seni figuratif tertua dunia.
Lokasi gua ini adalah di kompleks karst Sangkulirang/Mangkalihat, dalam daerah Bengalon, Kabupaten Kutai Timur, Kalimantan Timur, Indonesia .
Apabila Borneo menjadi tapak seni figuratif tertua dunia, maka ia telah mengubah naratif bahawa seni lukisan dinding gua bermula di Eropah. Ini menunjukkan manusia awal di Asia Tenggara sudah mempunyai kemahiran kognitif tinggi, simbolisme, dan mungkin kepercayaan spiritual lebih awal dari manusia awal Eropah. Ia juga mendahului kemunculan rumpun bahasa Austroasiatic (±5,000 tahun lalu) dan Austronesia (±4,000 tahun lalu). .
Kajian lukisan gua ini telah diterbitkan pada tahun 2018 dalam jurnal Nature oleh kumpulan pakar antarabangsa yang diketuai oleh Maxime Aubert ,Griffith University, Australia.
Dalam kajian tersebut (uranium-series dating) seni gua Borneo ini, dipercayai dihasilkan oleh pemburu-pengumpul era Paleolitik, jauh sebelum bahasa Austroasiatic atau Austronesia wujud di rantau ini. Dengan kata lain, masyarakat yang melukis di gua itu bukan penutur Austroasiatic atau Austronesia, tapi mungkin tergolong dalam populasi manusia moden awal yang mendiami “Sunda Land” , tanah besar Asia Tenggara purba yang sebahagian besarnya kini tenggelam.
Jadi kesimpulan timeline ringkas adalah seperti berikut:
1)50,000 – 60,000 tahun lalu - Gelombang awal Homo sapiens keluar dari Afrika tiba ke Asia Tenggara & Australia. Ini generasi yang menghasilkan seni gua di Borneo.
2) 40,000 tahun lalu - Lukisan figuratif di Borneo (termasuk banteng dan cap tangan).
3) 5,000 – 4,000 tahun lalu - Kemunculan & penyebaran bahasa Austroasiatic dari tanah besar Asia (mungkin dari wilayah sekitar Mekong).
4)4,000 – 3,500 tahun lalu - Rumpun Austronesia pula tersebar dari Taiwan ke seluruh Nusantara.
Asia Tenggara bukan sekadar pinggiran, tetapi juga pusat penting dalam sejarah evolusi sejarah, budaya dan warisan umat manusia.

Copy and paste:
28 Ogos 2025: 10.12 a.m

𝗕𝗮𝗵𝗮𝘀𝗮 𝗠𝗲𝗹𝗮𝘆𝘂(𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝗶𝗰), 𝗝𝗲𝗷𝗮𝗸 𝗕𝗮𝗵𝗮𝘀𝗮 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗠𝗲𝗺𝗯𝗲𝗻𝘁𝘂𝗸 𝗗𝘂𝗻𝗶𝗮

Oleh: Sharifah Faizurah Al Bukhari
PUSAKA NUSANTARA OFFICIAL ORI (PNOO)
20 August 2025

Tahukah anda? Bahawa Bahasa Melayu sebenarnya hanya salah satu cabang kecil daripada keluarga bahasa yang antara paling luas di dunia. Terbit dari cabang bahasa Melayo-Polynesian dalam keluarga Rumpun Austronesia. Bahasa ini pernah menjadi lingua franca yang menyatukan timur dan barat dengan lebih daripada 1,200 bahasa lainnya.
Jika Indo-Eropah melahirkan bahasa Inggeris, Sepanyol dan Hindi, maka Austronesia pula melahirkan Bahasa Melayu, yang kini menjadi bahasa rasmi kepada lebih 300 juta manusia.
Dengan kata lain, setiap kali kita menuturkan Bahasa Melayu kita sedang menyambung tradisi pelayaran purba yang bermula ribuan tahun lalu di pantai Taiwan.
Kajian linguistik dan genetik menunjukkan, kira-kira 5,000 tahun lalu, manusia dari Taiwan belayar ke selatan. Mereka membawa bahasa Austronesia, yang kemudian bercambah menjadi pelbagai dialek dan bahasa di Asia Tenggara Maritim, Pasifik, dan bahkan sejauh Madagascar di Afrika!
Bahasa asal Taiwan seperti Atayal, Amis, Paiwan adalah sisa “akar” tertua Austronesia yang masih hidup hingga kini.
Apabila migrasi Austronesia merentas lautan, terbentuklah cabang besar iaitu Malayo-Polynesian.

Cabang ini meliputi bahasa seperti,
1) Filipina (Tagalog, Cebuano, Ilocano)
2) Sulawesi dan Borneo (Bugis, Makassar, Kadazan-Dusun)
3) Pasifik (Maori, Hawaii, Samoa, Fijian)
4) Nusantara Barat (𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗜𝗖) inilah cabang yang melahirkan Bahasa Melayu.

Cabang Malayic ialah antara yang paling berpengaruh kerana melahirkan bahasa yang kini digunakan oleh ratusan juta manusia seperti,
1) Bahasa Melayu Standard - Malaysia, Brunei, Singapura
2) Bahasa Indonesia - versi standard moden daripada Melayu Riau-Johor
3) Dialek Melayu Semenanjung - Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor.
4) Sumatera (Indonesia) - Riau (Pekanbaru, Riau Daratan)
  • Melayu Riau Kepulauan (Bintan, Lingga, Karimun, Batam)
  • Deli (Medan, Sumatera Utara)
  • Asahan, Langkat, Palembang, Jambi Bengkulu, Kampar, Indragiri, Siak, Rokan, Bangka-Belitung
5) Borneo (Malaysia, Indonesia, Brunei)
  • Melayu Brunei, Sabah (Lahad Datu, Sandakan, Tawau – ada variasi tersendiri)
  • Sarawak (Kuching, Sibu, Miri, berbeza dari standard)
  • Sambas (Kalimantan Barat)
  • Pontianak, Mempawah
  • Banjar Kuala (berakar Melayu + Banjar)
  • Kutai (Kalimantan Timur)
  • Berau, Bulungan
6) Bahasa Minangkabau
  • (Kadang digabung dengan Malayic Sumatera)
  • Minangkabau (Sumatera Barat)
  • Kerinci (Sumatera Tengah)
7) Bahasa Banjar - Kalimantan Selatan
8) Bahasa Iban - Sarawak dan Kalimantan Barat
9) Sulawesi dan sekitar (Indonesia)
  • Manado, Gorontalo
  • Makassar (basilek sebagai lingua franca bandar)
  • Ternate-Tidore (Maluku Utara, walaupun bukan bahasa ibunda, tetapi digunakan sebagai lingua franca berasaskan Melayu)
  • Ambon (Maluku Tengah, Melayu pasar)
10) Filipina - Bentuk Melayu yang berevolusi jadi lingua franca, bukan lagi “dialek tulen”
  • Chavacano (Zamboanga, Cavite – kreol berasaskan Sepanyol + Melayu)
  • Bahsa Melayu Sabah dan Melayu Brunei ada pengaruh di selatan Filipina (Tawi-Tawi, Sulu).
11. Thailand dan Kemboja
  • Pattani (Narathiwat, Yala, Pattani)
  • Satun
  • Kemboja (Komunitas Cham dan Melayu di Phnom Penh, Kampong Cham)
Jumlah keseluruhan jika dipecah halus boleh mencecah lebih 40 jenis dialek lagi.
Menariknya disini , Bahasa Indonesia dan Bahasa Melayu Malaysia bukanlah “dua bahasa berbeza” secara genetik, tetapi dua standardisasi politik daripada akar yang sama.


Copy and paste:
28 Ogos 2025: 9.55 p.m

SEPANJANG JALAN KENANGAN : PERLIS INDERA KAYANGAN

Sehingga tahun 2017, Perlis adalah satu-satunya negeri yang saya belum pernah sampai lagi. 

Syukur Alhamdulillah, Februari 2017 saya bersama team Awareness, Yayasan Jantung Malaysia, telah mengadakan program Kesihatan di Arau dan Kangar. 

Saya dan Awareness Team YJM berangkat ke bumi Perlis pada 15 Februari 2017 setelah selesai Program Kesihatan di MSU College Sungai Petani di Sungai Petani, Kedah. Dari Sungai Petani ke Kangar mengambil masa perjalanan 1 Jam 50 minit sejauh 128 km. 

Kami menginap di Federal Hotel, Kangar yang terletak di Kg. Tok Peduka, Kangar, Perlis. 

Rujuk: 2017: Perlis / MSU COLLEGE SG PETANI



KOLEJ KOMUNITI ARAU
16/2/2017
Pada 16 Februari 2017, kami mengadakan program Pemeriksaan di Kolej Komuniti Arau yang terletak di Jalan Tengku Budriah, Tambun Tulang, Arau, Perlis. Program berlansung dari jam 9 pagi hingga 2 petang. Seramai 96 orang pelajar dan setaf telah menjalani ujian Pemeriksaan Kesihatan pada hari tersebut. 

Kolej ini ditubuhkan pada 12 Jun 2001 dengan menjalan 2 kursus sepenuh masa iaitu Sijil Pelukis Plan Senibina dan Sijil Teknologi Elektrik (Pemasangan dan Perkhidmatan). 


KG GUAR LEPAI
JALAN PADANG NYU, ARAU, PERLIS
18/2/2017
Program terakhir kami di Perlis ialah Program Komuniti di Kampung Guar Lepai, yang terletak di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis. Hanya 53 orang penduduk telah menjalani ujian Pemeriksaan Kesihatan pada hari tersebut. Turut hadir ialah sahabat ku Musib Senawi (Skot 139/80 TLDM)



PADANG BESAR,PERLIS
17/2/2017
Dari Hotel kami di Kangar ke Padang Besar adalah sejauh 33.4 km yang mengambil masa perjalanan 36 minit sahaja. 
Padang Besar merupakan sebuah pekan sempadan yang terletak di Perlis, Malaysia. Ia bersempadan dengan Wilayah Songkhla, Thailand. Ia bertentangan dengan sebuah bandar di Thailand juga dikenali sebagai Padang Besar. Ia adalah merupakan destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia. 



KUALA PERLIS 
17/2/2017
Kuala Perlis adalah sebuah mukim di Perlis, juga terknal sebagai pintu masuk ke Pulau Langkawi melalui jalan laut. Di Kuala Perlis juga wujud pusat membeli-belah bebas cukai barangan dari 3 negara iaitu Thailand, Indonesia dan Singapura. 


Terminal Feri Kuala Perlis, didepan Terminal ini seingat saya ada Restoran Ikan Bakar yang terkenal di sini. Apa lagi kami mesti tidak mahu melepaskan peluang menikmati ikan bakar di sini. 

Dalam Perjalanan ke Wang Kelian

WANG KELIAN, PERLIS
17.2.2017
Sebuah bandar sempadan di Perlis dalam kawasan sempadan Malaysia-Thailand berhampiran dengan bandar Satun, Thailand. 

Info lanjut: Wikipedia


Bukit Keteri terletak di utara kilang simen di Bukit Chuping. Bukit Keteri adalah salah satu tempat yang mempunyai pemandangan panorama menarik di Perlis, yang mana bukit ini dikelilingi oleh sawah padi yang luas. Terdapat aktiviti memanjat ke puncak bukit dan juga ‘wall climbing’. Bukit Keteri bentuknya memanjang hampir 600m ke arah utara-selatan dengan kelebaran 20- 50m, dan mempunyai dua puncak.



Demikianlah secebis kenangan saya di bumi Perlis Indera Kayangan, dengan sampainya saya di Negeri Perlis ini, bermakna lengkaplah perjalanan saya di seluruh pelusuk tanahair, dari Perlis sampailah ke Sabah... semua negeri di Malaysia saya sudah jejaki....Syukur Alhamdulillah...

Hj.Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
28 Ogos 2025: 9.46 p.m











Wednesday, 27 August 2025

SEPANJANG JALAN KENANGAN : MELAKA NEGERI BERSEJARAH

Melaka memang tidak asing bagi ku kerana kampung arwah ibu saya terletak di Kg. Sungai Siput, Lubok Cina, Melaka. Dulu semasa kecil, setiap tahun hari Raya kami pasti pulang ke Kampung ibu di  Melaka. 


1994: AYER KEROH, MELAKA
Foto Kenangan ketika berkursus Ternakan Ayam Penelor Komersial di Pusat Latihan Ternakan Ayam, Ayer Keroh, Melaka. 



Semasa kursus kami berkesempatan melawat Negeri Melaka

1995 - TG BIDARA, MELAKA
Menyertai rombongan dari Lembah Keramat ke Tanjung Bidara, Melaka. Ianya merupakan sebuah pantai yang terkenal di Melaka. Tanjung Bidara terletak dalam daerah Alor Gajah, kira-kira 10 km dari Masjid Tanah dan 2 km dari Kem Terendak. 


1998 - MELAKA
Percutian Keluarga ke Melaka pada tahun 1998. Kami menginap di Malacca Paradise Village di Ayer Keroh, Melaka. Maklumat terkini yang saya dapat, Resort ini telah pun ditutup operasinya. 



2000 - MAHKOTA CENTURY HOTEL, BANDAR HILIR
Pada Bulan Mac tahun 2000 saya bersama setaf The Institution of Engineers, Malaysia telah menganjurkan satu sesi Brainstorming Session di Mahkota Century Hotel di Bandar Hilir, Melaka. 
Sesi ini telah dihadiri oleh Ahli-ahli Institusi Jurutera Malaysia dari seluruh negara. 


2008:BANDAR HILIR & AYER KEROH
Percutian keluarga ke Melaka pada Mei 2008. Saya dan keluarga telah bercuti ke Melaka dan menginap di Ayer Keroh D'Village.


BANDAR HILIR

BANDAR HILIR

TAMAN MINI MALAYSIA, AYER KEROH

ZOO MELAKA, AYER KEROH

2011 - RANTAU PANJANG, BRISU
Saya dan keluarga telah menghadiri majlis perkahwinan sepupu kepada isteri saya di Rantau Panjang, Brisu, Melaka pada 1 Mei 2011


AEON BANDARAYA MELAKA
23-28 MARCH 2012
Program Minggu Jantung Melaka 2012 berlansung di AEON Bandaraya Melaka dari 23 hingga 28 March 2012. AEON Bandaraya Melaka terletak di Kawasan Bandar, Daerah Melaka Tengah, Peringgit.
Seramai 755 orang menjalani Ujian Saringan Kesihatan dan 141 orang menjalani ujian Elektrokardiogram sepanjang satu minggu kami di Melaka.



Sepanjang di Melaka kami menginap di Hang Tuah City Hotel (sebelum ini dikenali dengan Straits Meridian Hotel)  yang terletak di Taman Malinja , Bukit Baru, Melaka.  

**Maklumat terkini (2025) Hotel ini telah sekarang adalah Collection O Hotel Supercowboy


Kenangan paling indah ketika menginap di hotel ini ialah waktu makan malam di sebuah warung di belakang hotel ini. Saya sampai tambah nasi sebab Asam Pedas Daging Tetel dia memang sedap gilerrrr kata orang sekarang. 




Berikut ialah pemandang di sekeliling hotel penginapan kami di Bukit Baru.Bukit Baru terletak di pinggir bandar Melaka. Ia adalah bandar yang menempatkan bangunan penting seperti Masjid Al-Azim, Pejabat Majlis Agama Islam Melaka, Open University Malaysia, Supermarket Keluarga Ku dan lain-lain. 


Hari pertama kami tiba di Melaka, kami bersiar-siar di sekitar bandar Melaka pada waktu malam. 

LUBOK CINA, MELAKA
28 APRIL 2012
Lubok Cina Melaka adalah kampong arwah ibu ku Hjh Yang Chik. Aku bersama Abang dan kakak-kakak ku pulang ke kampong pada 28 April 2012 untuk meninjau tanah pusaka peninggalan arwah ibu kami. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Lubok Cina adalah sejauh 102 km. 


EMPEROR HOTEL, JALAN MUNSHI ABDULLAH, MELAKA
17 APRIL 2013
Dalam perjalanan pulang dari program Kesihatan di Masai dan Johor Bahru, saya dan team telah singgah bermalam di Melaka. Kami menginap di Hotel Emperor yang terletak di Jalan Munshi Abdullah, Melaka. 

** Maklumat terkini (2025), hotel ini sudah tidak beroperasi berdasarkan Google Maps.


Foto diambil dari bilik hotel saya 

Disebelah petang, saya bersiar-siar di luar kawasan hotel saya.


MASJID TANAH & LUBOK CINA
7 OKTOBER 2014
Pada 7 Oktober 2014 saya bersama kakak, isteri dan anak ku telah ke Masjid Tanah Melaka untuk urusan tanah di Kampung. Kami menaiki Tren Komuter dari Kuala Lumpur ke Seremban. Dari Seremban kami ke Masjid Tanah menaiki kereta abang Sulong ku yang menetap di Seremban 2. Dalam perjalanan ke Masjid Tanah dan Balik kami singgah kebeberapa tempat. 


KOLEJ UNIVERSITI AGROSAINS MALAYSIA
5 NOVEMBER 2015
Program Pemeriksaan Kesihatan telah diadakan di Kolej Universiti Agrosains Malaysia pada 5 November 2015 yang terletak di Ayer Pa'Abas, Alor Gajah, Melaka. Seramai 116 pelajar dan setaf telah hadir menjalani ujian Saringan Kesihatan pada hari tersebut. 



Penubuhan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) bermula pada tahun 1960 yang pada asalnya dikenali dengan nama Sekolah Latihan Getah oleh Rubber Research Institute (RRI)
Pada tahun 1973, RISDA mengambilalih institut tersebut dan menamakannya sebagai Sekolah Latihan RISDA. Ia dinaik taraf menjadi Kolej RISDA pada tahun 1999. 
Pada 8 Disember 2014 Kolej RISDA dinaik taraf menjadi Universiti dan dinamakan Universiti College of Agroscience Malaysia atau ringkasnya UCAM.

Kami menginap di D'Impiana Homestay, Alor Gajah, Melaka sepanjang program. 

Alor Gajah, Melaka


Disebelah petangnya, kami mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di sekitar Bandar Hilir, Melaka. 

LUBOK CINA, MELAKA
2.4.2016
Saya dan keluarga pulang ke Kampung kami di Kg. Sungai Siput, Lubok Cina, Melaka untuk menziarahi Maklong kami yang sedang uzur dan kemudian kami ke Kg. Teluk Berembang juga untuk menziarahi Emak Saudara kami disebelah ayah pula yang juga sedang uzur. 


PERCUTIAN KELUARGA KE MELAKA
DISEMBER 2016
Alhamdullillah pada 10 Disember 2016, saya sekeluarga bersama dengan keluarga Kakak-kakak dan abang saya telah mengambil kesempatan sempena cuti sekolah ini untuk berkumpul bersama keluarga adik-beradik dari 10.12.2016 sehingga 12.12.2016.  Destinasi kami kali ini ialah di Bandar Hilir, Melaka. 



Kami menginap di Garden City Straits Condominiums yang terletak di Jalan Merdeka. Di Condo ini 4 keluarga boleh menginap, dilengkapi dengan kemudahan dapur dan 3 bilik tidor serta 2 bilik air dan kolam renang dan terletak tidak jauh dari bandaraya Melaka. 

Pemandangan bandaraya Melaka dari tempat kami menginap. 




Menara Taming Sari, menara pandang setingi 110 meter terletak bersebelahan Dataran Pahlawan. Menara ini boleh berputar 360 darjah dan mampu memuatkan 66 orang dalam satu masa. Ianya dibuka dengan rasminya pada tahun 2008. 

Muzium TLDM - tidak ingat dah beberapa kali saya mengunjungi Muzium ini.

Makan tengahari di Restoran Subaidah di Ayer Keroh, Melaka. 

LENDU, MELAKA
6 JUN 2019
Pada Hariraya Aidilfitri yang kedua pada 6 Jun 2019, saya tumpang Kakak saya yang tinggal di Rawang berhari raya di Kg. Semin, Lubok Cina, N.Sembilan dan juga di Lendu, Melaka. 
Catatan perjalanan kami ke Kg. Semin, Lubok Cina, N.S boleh dirujuk di Blog Perjalanan ke Negeri Sembilan. 


LUBOK CINA, MELAKA
27 JULAI 2019
Pada 27 Julai 2019, saya dan isteri ikut serta dengan Kakak-kakak saya dan abang Ipar untuk menghadiri Majlis Perkahwinan anak Sepupu kami Lubok Cina, Melaka. 



PEJABAT DAERAH DAN TANAH 
ALOR GAJAH, MELAKA
25 MEI 2021
Saya dan Abang Sulong telah pergi ke Pejabat Daerah dan Tanah di Alor Gajah untuk urusan tanah pusaka arwah emak. 


BATU BERENDAM, MELAKA
6 OGOS 2022
Saya dan keluarga telah hadir di Majlis Perkahwinan anak sepupu kami di Batu Berendam, Melaka. 




DEWAN JAPERUN
LUBOK CINA, MELAKA
3.6.2023
Saya dan keluarga telah hadir ke Majlis Perkahwinan saudara kami di Dewan Japerun, Lubok Cina, Melaka. 



DEWAN HANG TUAH
JALAN MUNSHI ABDULLAH, MELAKA
24 FEBRUARI 2024
Menghadiri Majlis Perkahwinan anak kepada Sepupu kami di Dewan Hang Tuah, Jalan Munshi Abdullah, Melaka. 




DALAM KENANGAN
MALACCA PARADISE VILLAGE
AYER KEROH MELAKA



Hj Zulheimy Bin Maamor
Lembah Keramat, K.L
27 Ogos 2025: 9.38 p.m