Friday, 24 July 2026

Hubungan Kedah Tua dan Srivijaya: Memori Dua Kutub Kemaharajaan Maritim


Oleh: Ibnu Amil
Kisah Sejarah Melayu

Sejarah Alam Melayu memang takkan pernah lengkap kalau kita tak bincangkan pasal dua kuasa besar perdagangan kuno: Kedah Tua di Tanah Melayu dan Srivijaya di Sumatera. Hubungan antara kedua-duanya bukanlah sekadar kisah penakluk dengan kawasan yang ditakluki, tapi lebih kepada sebuah sinergi geopolitik dan ekonomi yang membentuk antara rangkaian perdagangan terbesar di dunia pada zaman itu.

Awal Mula Penyatuan dalam Rangkaian Srivijaya

Pada abad-abad awal Masihi, Kedah Tua menjadi sebuah pelabuhan bebas yang sangat sibuk, menjadi tumpuan pedagang dari India, Timur Tengah, dan China. Namun, dinamika politik di Selat Melaka berubah dengan agak drastik pada akhir abad ke-7 apabila Dapunta Hyang Sri Jayanasa mendirikan Kedatuan Srivijaya di Palembang. Bukti integrasi awal Kedah ke dalam pangkuan Srivijaya ini terdapat dalam catatan pelayaran I-Tsing (Yi Jing), yang mana ianya berlaku sekitar tahun 685-689 Masihi.

Persoalannya, adakah penyatuan ini berlaku melalui pertumpahan darah yang dahsyat atau secara aman? Walaupun Srivijaya terkenal dengan kempen ketenteraan berskala besar untuk menundukkan wilayah-wilayah sekeliling, penaklukan ke atas Kedah Tua dipercayai tidak berteraskan pemusnahan total. Ia lebih menjurus kepada gabungan antara intimidasi ketenteraan dan tekanan diplomasi. Apabila berhadapan dengan ancaman armada Sriwijaya yang jauh lebih kuat, raja Kedah Tua pada waktu itu berkemungkinan besar memilih jalan untuk tunduk dan mengangkat sumpah setia demi mengelakkan pelabuhannya hancur lebur. Sriwijaya juga lebih gemar menundukkan kerajaan lain melalui ikatan persumpahan (kutukan) berbanding menjajah secara terus. Sebagai balasannya, Kedah Tua tidak dibumihanguskan, malah ia berkembang maju setelah dilindungi oleh naungan tentera laut Sriwijaya.

Masuknya Kedah ke dalam naungan Srivijaya bukan sahaja membolehkan Srivijaya mengawal pintu masuk utara Selat Melaka dari arah Teluk Benggala, malah dapat menguasai laluan rentas darat (trans-peninsular) di Tanah Genting Kra—laluan yang selalu digunakan oleh para pedagang untuk elak berlayar jauh mengelilingi semenanjung.

Konsep Kemaharajaan Kembar (Binodal Polity)

Penyatuan Kedah ke dalam mandala Srivijaya melahirkan satu susunan politik yang cukup unik, yang digelar oleh sejarawan Paul Wheatley sebagai binodal polity atau kemaharajaan dengan dua titik fokus utama. Perkara ini juga sering digambarkan oleh para pelayar Arab dan Parsi sebagai "kerajaan kembar" antara Kalah (Kedah) dan Sribuza (Srivijaya/Palembang). Dalam sistem ini, Srivijaya berfungsi sebagai kutub selatan yang mengawasi pintu masuk Selat Sunda, Laut Jawa, dan Laut China Selatan. Manakala Kedah Tua pula bertindak sebagai kutub utara yang menyambut dan memonopoli kapal-kapal yang datang dari Samudera Hindia, India, dan Timur Tengah.

Dari sudut amalnya, status Kedah Tua dalam Srivijaya beroperasi di bawah konsep Mandala. Kedah bukannya diuruskan secara terus macam sebuah wilayah moden, sebaliknya mereka masih mengekalkan autonomi pentadbiran dan raja tempatan mereka sendiri. Mereka diikat melalui sumpah setia kepada Maharaja Srivijaya, hubungan naungan, dan keuntungan material yang sangat besar daripada rangkaian perdagangan global yang diuruskan bersama. Selagi Kedah taat dan menyerahkan ufti serta berkongsi keuntungan ekonomi, Srivijaya memang bagi kebebasan untuk kota pelabuhan itu berkembang pesat.

Kenapa Maharaja Srivijaya Digelar "Raja Kedah"?

Kedudukan geografi Kedah Tua sebagai pintu gerbang paling hadapan kemaharajaan Srivijaya untuk dunia Barat melahirkan satu fenomena sejarah yang sangat menarik. Bagi para pedagang Tamil dari India Selatan (terutamanya dari kerajaan Chola), tempat pertama yang mereka akan singgah lepas merentasi Teluk Benggala ialah Pelabuhan Kedah Tua, bukannya Palembang. Interaksi yang tersangat rancak di pelabuhan utara inilah yang membentuk persepsi orang-orang India terhadap penguasa Nusantara.
Dalam pelbagai prasasti Chola dan kesusasteraan Tamil, mereka hampir tak membezakan terus identiti antara Kedah dengan Srivijaya.

Mereka menggelar penguasa agung Srivijaya dari wangsa Sailendra sebagai Raja Kadaram (Kedah) atau Kadāratta-raiyan. Hal ini terbukti daripada Prasasti Leyden Agung (1005 M) yang menyebut Sri Mara Vijayottunggavarman, Raja Srivijaya, sebagai "Raja Kataha dan Srivijaya". Fenomena ini sebenarnya perkara biasa dalam sejarah; orang selalunya cenderung namakan sesuatu entiti besar berasaskan nama wilayah atau bangsa pertama yang mereka jumpa di sempadan. Disebabkan Kedah ialah 'wajah' Srivijaya yang menghadap terus ke arah India, jadi bagi wangsa Chola, penguasa lautan itu tidak lain tidak bukan ialah Raja Kedah Tua.

Serangan dari Selatan India dan Era Kemerosotan

Kejayaan kerajaan kembar ini akhirnya mengundang padah. Cukai pelabuhan yang tinggi serta monopoli mutlak Srivijaya ke atas Selat Melaka menimbulkan rasa tidak puas hati yang mendalam dalam kalangan persatuan pedagang Tamil. Kemuncaknya, pada tahun 1025 Masihi, Raja Rajendra Chola I dari Kerajaan Chola di India Selatan telah melancarkan serangan laut secara besar-besaran (ekspedisi armada tentera) untuk melumpuhkan monopoli Srivijaya. Kedah Tua, sebagai pangkalan terdepan, jadi antara sasaran utama yang dimusnahkan secara teruk, sebelum disusuli dengan penjarahan ibu kota Palembang. Maharaja Sanggrama Vijayottunggavarman dari Srivijaya sendiri pun sempat ditawan dalam serangan yang cukup memusnahkan ini.

Serangan Chola telah melemahkan Srivijaya, sehingga wilayah-wilayah mandala seperti Kedah Tua, Ligor, dan Tambralinga mula melepaskan diri dari pengaruh Palembang. Walaupun Kedah Tua dan Srivijaya akhirnya kian pudar, warisan sistem pentadbiran maritim, undang-undang perdagangan pelabuhan, dan bahasa Melayu yang mereka gunakan bersama telah menjadi asas kukuh yang kemudiannya diwarisi oleh Kesultanan Melayu Melaka dan kerajaan-kerajaan Melayu-Islam yang lain.

Sumber Rujukan:
  1. Roland Braddell - The Study Of Ancient Times In The Malay Peninsula
  2. Pierre-Yves Manguin - State formation and the evolution of naval strategies in the Melaka Straits, c. 500-1500 CE
  3. Nasha Rodziadi Khaw, dkk. - Kedah Tua: Satu Cerakinan Sumber India. Jurnal Arkeologi Malaysia
  4. Paul Wheatley - The Golden Khersonese
  5. O.W. Wolters - Early Indonesian Commerce: A Study of the Origins of Srivijaya
  6. Sejarah Kita Podcast - Pasca Srivijaya: Dinamika Agama, Kuasa, Budaya & Perdagangan di Alam Melayu (YouTube)
C&P
24 Julai 2026:9.26 a.m

No comments: