Wednesday, 1 May 2024

Jantung bengkak jejaskan enjin tubuh

SUMBER: BERITA HARIAN
14 DISEMBER 2022

Jantung umpama enjin dalam tubuh kita yang perlu dijaga dengan baik bagi meningkatkan kualiti hidup dan jangka hayat.

Kesihatan tubuh memberi impak yang besar kepada individu, lantas pencegahan awal dan penjagaan optimum adalah kunci untuk mengurangkan beban masalah jantung.

Antara masalah berkaitan adalah jantung bengkak atau nama lain, 'Cardiomyopathy' disebabkan pelbagai faktor yang lazimnya berlaku apabila otot, struktur dan fungsi jantung tidak dapat beraksi seperti biasa.

Setiap degupan jantung menggunakan aliran elektrik jantung untuk mengalirkan darah ke organ badan yang lain.

Apabila terdapat perubahan atau ketidakstabilan pada salah satu struktur jantung, maka mekanisme bahagian lain juga akan terjejas.

Punca jantung bengkak boleh diklasifikasikan kepada faktor genetik dan faktor yang diperoleh daripada persekitaran serta gaya hidup.

Pada peringkat awal, pesakit mungkin tidak mengalami apa-apa simptom jantung bengkak. Apa yang dirasai pesakit mungkin seperti sesak nafas ketika melakukan aktiviti fizikal.

Malah, prestasi harian seseorang itu boleh terjejas kerana jantung bengkak tidak dapat membekalkan tenaga, sebagaimana yang biasa diperlukan.

Kesan jantung bengkak

Mengulas lanjut berkaitannya, Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Pakar Kardiologi Klinikal UiTM Private Specialist Center (UPSC), Dr Huzairi Sani, berikutan jantung bengkak tidur malam individu juga akan terjejas apabila keadaan jantung semakin merosot.

Justeru, sebaiknya mereka memerlukan bantal belakang yang lebih tinggi (ortopnea) kerana sesak nafas mungkin berlaku ketika sedang nyenyak tidur (dispnea malaman paroksismal).

Malah, punca kaki bengkak juga berkaitan dengan kegagalan jantung yang bengkak.

"Oleh itu, seseorang perlu memahami simptom awal jantung bagi mendapatkan diagnosis dan rawatan yang optimum sebelum keadaan melarat.

"Terdapat juga simptom lain yang tidak khusus seperti hilang selera makan, perubahan berat badan, pengsan, kemurungan, berdebar, batuk serta bunyi wisel dalam pernafasan.

"Bagi mengenal pasti punca sebenar dan tahap bengkak pada jantung, terdapat beberapa ujian yang akan dijalankan bergantung pada pemeriksaan klinikal oleh doktor," katanya.

Jelasnya, ujian awal itu dilakukan untuk kebanyakan pesakit jantung ialah elektrokardiogram (ECG) yang mengesan perubahan ketebalan dinding jantung, kebarangkalian salur darah koronari tersumbat, sekatan pada ritma jantung atau ritma yang tidak teratur.

Ujian darah dapat memberitahu jumlah sel darah merah, jangkitan dalam badan, kandungan garam mineral, fungsi hati dan buah pinggang.

Paras gula dalam darah, kolesterol dan tiroid, antara faktor jantung bengkak. Ujian darah yang khusus bagi mengesan jantung bengkak ialah ujian peptida natriuretik jenis B (BNP) dapat membezakan sama ada simptom dialami oleh pesakit disebabkan oleh jantung atau organ lain.

Pengimejan menggunakan x-ray dan ekokardiografi dapat mengetahui saiz jantung dengan lebih tepat. Pemeriksaan tidak invasif ini selamat dilakukan untuk semua pesakit tidak mengira usia.

Ketepatan ujian ekokardiografi menyebabkan ujian ini dijalankan pada setiap pesakit yang mengalami keadaan jantung bengkak. Ekokardiogram dapat memberi maklumat mengenai kekuatan jantung mengepam darah, pergerakan otot dinding jantung, struktur injap serta saiz bilik jantung.

Pemeriksaan pengimejan jantung lain ialah tomografi berkomputer (CT) untuk jantung dan pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk jantung.

Rawatan jantung bengkak

Beliau berkata, doktor akan menerangkan lebih lanjut setiap prosedur itu jika dapat memanfaatkan pesakit.

Contohnya, prosedur invasif angiogram koronari atau biopsi endomiokardial dapat memberi diagnosis serta rawatan berkesan kepada pesakit.

"Kelebihan dan risiko setiap prosedur akan diterangkan oleh doktor dengan lebih mendalam sebelum prosedur dilakukan.

Rawatan jantung bengkak bukan hanya menggunakan ubat-ubatan diberi doktor, sebaliknya merangkumi gaya hidup sihat, pemakanan yang terkawal, aktif secara fizikal, sokongan ahli keluarga dari segi psikologi serta kewangan.

"Jarang pesakit jantung bengkak dapat menguruskan keadaan kesihatan yang dialami mereka secara bersendirian.

"Apabila terdapat simptom baru, pesakit disyorkan mendapatkan rawatan lebih awal di hospital atau klinik kerana lebih awal rawatan diterima, lebih cepat mereka sembuh.

Apabila simptom dibiarkan beberapa hari, lebih lama pesakit akan bermalam di hospital. Komplikasi dan risiko lebih tinggi apabila seseorang tinggal lebih lama di hospital.

Ahli keluarga atau rakan pesakit yang pernah tinggal di hospital boleh mempelajari cara penjagaan pesakit daripada kakitangan hospital termasuk pemantauan tekanan darah, nadi, paras oksigen, berat badan, cara pemakanan dan senaman fizikal serta mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang ubat-ubatan.

"Jadi, sebelum pesakit keluar dari wad, mereka yakin dan tahu cara penjagaan yang terbaik di rumah.

"Pemantauan dan rawatan diterima di wad boleh diamalkan di rumah oleh pesakit, ahli keluarga atau penjaga.

"Cara ini, dapat mengelak pesakit berjumpa doktor dengan lebih kerap dan dalam jangka masa panjang mampu meningkatkan kualiti hidup serta jangka hayat mereka," katanya.

Senaman bantu masalah jantung bengkak

Dr Huzairi berkata, kajian membuktikan senaman dapat memberi manfaat kepada pesakit yang mengalami jantung bengkak atau kegagalan jantung.

Senaman dapat menguatkan jantung dan otot, selain meningkatkan stamina serta kualiti hidup pesakit.

"Pesakit dinasihatkan bersenam dengan perlahan secara beransur-ansur. Jika berasa mengah atau sukar bernafas, perlu diperlahankan pergerakan itu.

"Pesakit boleh berjalan lima hingga 10 minit setiap hari dan tingkatkan sebanyak satu hingga dua minit setiap hari," katanya.

Boleh berjalan 30 hingga 45 minit setiap hari, selain cuba bersenam pada waktu yang sama setiap hari supaya menjadi tabiat.

"Jika sukar bernafas dan bacaan nadi tinggi, menurun selepas berehat 15 minit, keadaan ini perlu diberitahu kepada doktor," katanya.

Copy and paste:
1 Mei 2024 > 22 Syawal 1445H: 11.57 a.m



1 comment:

VITAMIN.MY said...

alhamdulillah, terima kasih untuk tips