Monday, 13 May 2024

HARI INI DALAM SEJARAH : 13 MEI, 1969







OLEH HJ ZULHEIMY MAAMOR
13 MAY 2024

Bila tengok kalender hari ini bertarikh 13 Mei.... tiba-tiba terperasan dan teringat tarikh ini "13 MAY 1969"
Dimana kalian masa tu?
Ada yang masih belum wujud
😃😆
Ada yang masih kecil... paling sedih ada yang kehilangan ahli keluarga pada tarikh itu.....
Saya?
Ketika itu berada di darjah 2 di SRJK (Inggeris) Gombak, Kuala Lumpur (sebelum dipisahkan menjadi Gombak 1 dan Gombak 2)...
Ketika itu saya dan keluarga menetap di Jalan Sekolah, Gombak, Kuala Lumpur, berdekatan dengan Taman Ibu Kota. Kalau sekarang rumah saya tinggal tu tak jauh dari Pasaraya Ong Tai Kim di Danau Kota (dulu adalah Lee Rubber)....
Jarak sekolah dengan rumah saya tinggal ketika itu hanya 300 m sahaja....
Saya masih ingat lagi pada petang 13 Mei 1969, ketika itu saya berada di Sekolah.... saya ketika itu duduk berhampiran pintu kelas.... dari tempat duduk saya tiba-tiba saya lihat ramai orang yang saya pasti adalah ibubapa murid-murid datang berhimpun.... dan saya juga ternampak ibu saya ada dikalangan orang ramai ketika itu... (ayah saya ketika itu bertugas luar di Melaka)..
Tiba-tiba Abang Mat Zain (peon sekolah) datang ke kelas dan berkata sesuatu kepada guru yang mengajar kami ketika itu....
Guru kemudian mengarahkan kami supaya mengemas buku dan barang-barang dan turun ke bawah berjumpa ibu bapa masing-masing yang sedang menunggu di bawah.....
Saya pun terus turun dan mendapatkan ibu saya yang sedia menunggu dan bertanya kenapa?
Ibu saya tak bercakap banyak dan terus menarik tangan saya dan memimpin saya pulang ke rumah kami yang tidak jauh dari Sekolah.
Semasa dalam perjalanan ke rumah saya ternampak sekumpuan manusia (lelaki) berpakaian hitam seperti pakaian silat sedang berkumpul di sebuah rumah... ada yang berselendang kuning, merah dan lain-lain... saya tanya ibu ada apa mereka berkumpul itu....ibu kata ada pertandingan silat kot....
Sampai saja dirumah... adik beradik yang semua dah ada ... wajah masing-masing macam dalam ketakutan.... ibu terus mengunci pintu dan tingkap rumah dan kami berkumpul di ruang tamu....
Akhirnya ibu beritahu ada pergaduhan besar sedang berlaku di Kuala Lumpur dan semua orang diarah duduk di rumah masing-masing....curfew telah di isytiharkan malam itu.....
Saya lihat ibu tak habis habis berdoa agar ayah kami yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari Melaka agar tidak ditimpa sebarang musibah .....
Malam itu saya lihat suasana cukup sunyi...sekali sekala meninjau di tingkap dan ternampak diluar ada orang-orang kampung sedang berkawal... masing bersenjata parang, buluh runcing dan lain-lain untuk mengawal agar tidak ada yang mencerobohi kampung kami....
Kawasan rumah saya ketika itu adalah di daerah Gombak yang majoritinya adalah Melayu.... jadi adalah rasa sedikit selamat... cuma agak risau sikit adalah kerana sebelah saja dari kawasan kami ini adalah kawasan Setapak (dri Lee Rubber ke Setapak) yang majoriti adalah Cina.... namun syukur Alhamdulillah tidak ada apa-apa yang buruk berlaku di persekitaran kami tinggal ini kerana sebenarnya kami telah hidup harmoni bersama jiran-jiran kami kaum Cina di kawasan ini.... kedai runcit yang sering saya kunjungi adalah kedai Cina (Taukeh Ong Tai Kim Sekarang)....Ah Hock yang jual ikan dan sayur setiap pagi di rumah kami ....kawan-kawan sekolah saya saya dari pelbagai kaum .....
Cuma yang berlaku agak panas hanyalah di sekitar bandar Kuala Lumpur... ditempat kami tenang seperti biasa...
Setelah keadaan agar reda beberapa minggu kemudian....kami kembali semula ke sekolah seperti biasa... masih bermain bersama-sama rakan Cina dan India di Sekolah seolah-olah tidak apa yang berlaku sebelum ini.... saya pun masih ke kedai Ong beli barang keperluan dan Ah Hock seperti biasa tetap datang ke rumah kami menjaja ikan dan sayur..dan kami sedikit pun tidak ada rasa benci melihat Ah Hock, kami tetap mesra seperti dulu....
Yang menimbulkan kebencian antara kaum ini adalah golongan pentaksub politik sama seperti sekarang juga....
Sedang kami tetap mesra bercampur gaul antara satu sama lain...sama seperti sekarang ini.....

Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
13 Mei 2024 : 3.35 p.m

No comments: