Sunday, 5 May 2024

Bagaimana Afonso de Abuquerque terselamat setelah kapal Flor de La Mar terpecah dua dalam pelayaran balik ke Cochin


Oleh : Nizam Ali
PERISTIWA N' SEJARAH : 5.5.2024

Nota: sedutan daripada buku Portuguese Documents on Malacca From 1509 - 1511 yang disusun dan diterjemahkan oleh M.J. Pintado dari bahasa Portugis ke bahasa Inggeris.
Setelah sampai musim monsun timur laut di hujung tahun maka Afonso bersiap untuk kembali ke India di mana beliau adalah Gabenor Goa sebelum mengetuai angkatan Portugis menawan Melaka. Beliau mengarahkan untuk disiapkan 3 buah kapal dan sebuah jong. Sementara itu beliau telah menyiapkan pasukan pentadbirannya yang akan mentadbir Melaka tetapi masih berada di bawah penguasaan Gabenor Goa.
Orang penting dan berpendidikan tinggi serta mempunyai kepakaran dalam pasukan Afonso iaitu Ruy de Brito Patalim diberikan tugas sebagai kapten untuk menjaga kubu atau kota yang telah dibina. Ruy de Arauju, seorang kapten semasa Diogo Lopes Sequeire yang ditahan di penjara Melaka dan pemberi maklumat utama tentang Melaka sebelum Afonso de Albuquerque menyerang Melaka diberikan tugas sebagai ketua hakim dan bertanggungjawab terhadap kutipan cukai.
Dilantik 2 orang Bendahara, seorang Portugis dan seorang lagi ialah Nina Chatu, seorang pedagang dari Kalinga, timur India tetapi mempunyai kedudukan tinggi di Melaka. Beliaulah yang telah menyeludup surat dari Ruy de Aruaju dari penjara di Melaka untuk diberikan kepada Afonso de Albuquerque di India. Semasa suasana tegang berdialog dan perhubungan antara pihak istana Melaka dan Portugis, Nina Chatu sekali lagi menjadi orang perantaraan antara Ruy de Arauju dengan Afonso de Albuquerque. Akhirnya dalam keadaan kelam-kabut yang memang direncanakan oleh Portugis, Ruy de Arauju dan lain-lain tahanan Portugis di Melaka dapat dibebaskan. Maka selepas penawanan Melaka, Nina Chatu telah diberi jawatan Bendahara sebagai penghargaan terhadap jasanya.
Ramai yang menyebut Portugis bukan pun memerintah negeri Melaka sepenuhya tetapi hanya dalam kota Melaka saja dan sebab itulah kerajaan kesultanan Melaka tidak runtuh, cuma berpindah sahaja. Sebenarnya pendapat ini tidak benar kerana Sultan Mahmud Shah telah hilang kuasa dalam memerintah maka fungsi berkerajaan telah terbubar setelah istana yang melambangkan kuasa berkerajaan ditawan oleh Portugis, Yang masih ada hanya kesetiaan setengah tanah jajahan Melaka yang membantu Sultan untuk cuba melawan Portugis kemudiannya.
Dengan penyediaan individu dalam pentadbiran baru oleh Portugis yang merangkumi pertahanan darat dan laut, urusan pentadbiran dijalankan oleh dua orang Bendahara. Dilengkapi dengan sistem perundangan baru dan adanya ketua hakim serta yang terpenting ialah dilantik ketua yang bertanggungjawab terhadap pungutan cukai. Secara asasnya kesemua sistem pentadbiran baru adalah untuk sebuah negeri dan bukannya Portugis berkubu di dalam kota Melaka sahaja.
Bilangan tentera Portugis ialah 800 orang dan 200 orang Malabari dari India yang datang menyerang Melaka. Setelah Melaka ditawan, 300 orang ditugaskan untuk menjaga kota Melaka dan 200 orang berada dalam angkatan laut di atas kapal. Seramai 120 lagi yang bersama kapal kapal kendalian Duarte de Abreu juga kekal di Melaka.
Mereka belayar meninggalkan Melaka pada 1 Disember 1511, Afonso de Albuquerque telah mengetuai kapal Flor de la Mar bersama dengan 100 orang Portugis, tidak termasuk mereka yang cedera dan sakit serta orang-orang tempatan. Kapal Trindade pula dikendalikan oleh Pero de Alpoim manakala Dom Joao de Lima mengendalikan kapal Enxobregas. Sebuah jong yang besar di mana banyak harta rampasan berbentuk serpihan yang tidak mempunyai nilai tinggi diisikan ke dalam jong ini. Ia dikendalikan oleh Simon de Andrade.
Antara barang berharga yang dibawa dalam kapal Flor de la Mar ialah sebuah kerusi yang dihadiahkan oleh para pedagang kepada Sultan Melaka dan digunakan oleh permaisuri Sultan Melaka ketika santapan. Ia ditatah dengan permata dan dinilaikan 3,000 cruzados, mata wang Portugis pada masa itu.
Juga terdapat 4 ekor singa yang diperbuat daripada emas dengan keadaan duduk dan kosong di dalamnya. Ia digunakan untuk meletakkan pewangian. Mata, lidah, gigi dan kuku singa diperbuat daripada batu yang diukir rapi. Empat ekor singa ini bernilai 200,000 cruzados.
Berdasarkan tradisi ketika itu kemungkinan ia tempat pembakaran pewangian kayu gaharu yang merupakan barang dagangan yang digemari di pelabuhan Melaka.
Berkenaan dengan barang-barang perhiasan emas, duit emas dan perak tidak banyak yang dinyatakan dalam catatan Portugis. Ini berkemungkinan besar Sultan Mahmud Shah dan orang-orangnya sempat membawa keluar sebahagian besar harta terutamanya emas-emas dan alat kebesaran diraja sebelum berundur. Ini sudah tentu menjadi keutamaan apabila kerajaan telah ditawan musuh. Ia sama juga apabila kita ditimpa musibah banjir atau kebakaran akan terlebih dahulu menyelamatkan harta-benda sebanyak yang mungkin.
Setelah meninggalkan Melaka, mereka menyusuri pantai Pedir yang terletak di barat laut Sumatera yang berhadapan dengan Lautan Hindi. Apabila kapal Flor de La Mar menghampiri suatu tempat yang dinamakan Ponta de Timia atau Tanjung Timia, penghujung utara pulau Sumatera kapal ini telah dibadai ribut taufan pada waktu malam.
Disebabkan ribut yang kuat maka Afonso de Albuquerque telah mengarahkan sauh diturunkan dan tidak meneruskan pelayaran. Setelah alat mengepam air juga tidak mampu untuk menimba air yang banyak dari kapal dan keadaan kapal yang semakin nak tenggelam, beliau mengarahkan untuk dibina rakit bagi menyelamatkan diri.
Apabila rakit yang diikat pada tiang sauh berlaga dengan kapal dan menyebabkan kerosakan pada rakit dan juga kepada kapal maka Afonso telah mengarahkan agar rakit dilepaskan dari kapal.
Sebaik saja rakit mahu dipisahkan dari kapal, orang-orang tempatan yang dibawa bersama telah berebut-rebut untuk melompat menaiki rakit maka berlakulah pergelutan dengan orang-orang Portugis. Akhirnya hanya orang-orang Portugis yang sihat sahaja dibawa ke atas rakit, selainnya terkorban bersama kapal yang dikatakan terpecah dua.
Dalam kepekatan malam dan ribut taufan itu akhirnya rakit berjaya bergerak ke arah daratan dan menurunkan sauhnya serta mereka dapat menyelamatkan diri menanti sehingga ke hari siang.
Pada keesokkan harinya sebuah lagi kapal yang berada di belakang kapal Afonso de Albuquerque yang dikemudikan oleh Pero de Alpoim mendapati kayu papan dari kapal pecah berselerakan terapung di laut namun tidak menjumpai kapal Afonso de Albuquerque.
Kapal Pero de Alpoim yang menyusuri pantai dan akhirnya menjumpai rakit yang dinaiki oleh Afonso de Albuquerque. Kemudiannya dia telah menghantar bot penyelamat yang berulang-kali membawa kesemua orang-orang Portugis ini ke kapalnya.
Sebuah lagi kapal yang dikemudikan oleh Dom Joap de Lima sebenarnya berada di hadapan Flor de La Mar dan terselamat daripada ribut taufan. Beliau sebenarnya tidak pun mengetahui kejadian ribut taufan itu yang berlaku ke atas kapal Afonso de Albuquerque.
Kemudiannya beliau memperlahan kapal agar kapal Afonso dapat mengejar kapalnya yang pada sangkaannya kapal Afonso jauh tertinggal di belakang.
Setelah lebih 10 hari kemudiannya barulah kapal yang dikemudikan oleh Dom Joap de Lima berjumpa dengan kapal Pero de Alpoim di mana ia membawa Afonso de Albuquerque. Kedua-dua kapal ini belayar seiring dan sampai ke Cochin, India pada awal Januari 1512 yakni pelayaran yang memakan masa selama sebulan.
Sebuah jong yang dikemudikan oleh Simon de Andrade dengan 120 orang yang kebanyakannya adalah terdiri daripada pelaut tempatan dengan 60 orang keturunan Jawa termasuk isteri serta anak-anak mereka juga selamat sampai lebih kurang 20 hari selepas ketibaan Afonso de Albuquerque di Cochin. Orang-orang tempatan ini sebenarnya adalah tawanan Portugis yang bakal dibawa ke Portugal untuk diserahkan kepada Ratu Dona Maria dan Raja Portugis.
Afonso de Albuquerque kemudiannya telah menulis secara peribadi kepada Jorge Barelho, seorang kapten kapal yang akan belayar ke Melaka dengan meminta dia ke tempat kapalnya yang karam dahulu dan menyuruh penduduk tempatan yang menyelam mutiara untuk cuba mencari singa emas yang hilang.
Bolehlah disimpulkan bahawa tempat karamnya kapal Flor de La Mar adalah berhampiran benar dengan gugusan kepulauan Nicobar di mana aktiviti menyelam mutiara adalah sumber utama penduduk tempatan.
Dengan itu mengesahkan juga pendapat yang mengatakan Flor de La Mar juga karam disebabkan terlanggar terumbu karang atau beting pasir di kawasan cetek akibat dipukul ribut taufan yang menyebabkannya terbelah dua.
Dalam buku Portuguese Documents on Malacca from 1509 - 1511 juga memasukkan artikel yang ditulis oleh Joao de Barros yang hidup sezaman dengan Afonso de Albuquerque dan kemudiannya bertugas di Goa, India dalam perkhidmatan Portugis. Beliau banyak mengumpulkan catitan maklumat yang dibukukan dalam "Decadas da Asia".
Selama ini kita banyak bergantung kepada catatan Tom Pires dalam buku pelayarannya, Suma Oriental tentang tenggelamnya kapal Flor de La Mar yang menyebut emas yang terkubur di dasar laut. Namun buku ini tidak menceritakan dengan jelas tentang bagaimana pelayaran 4 buah kapal Portugis ini kembali ke Cochin, India.
Mengikut catatan tempatan pula bahawa harta karun milik kesultanan Melaka sempat dibawa keluar dan dikatakan telah ditanam di Pulau Nangka dipercayai tersimpan di dalam 84 peti di gua pulau berkenaan yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Drs Mohd Nasruddin Rahman berkata, kesemua harta itu dipercayai milik kesultanan Melaka sebelum tahun 1511. Antara kandungan di dalam peti berkenaan adalah dipercayai syiling emas Jawa kuno, jongkong emas, mahkota, persalinan dan berlian yang masih belum dapat dikeluarkan dari ‘perut’ gua di pulau berkenaan sehingga ini. Namun adakah benar di tanam di situ atau di tempat lain masih menjadi misteri.
Beberapa tahun lepas kerajaan Indonesia dikatakan sedang berusaha untuk melakukan eksplorasi terhadap kapal Flor de La Mar yang membabitkan tiga pihak iaitu Indonesia, Malaysia dan Portugis. Bagaimanapun sehigga kini tidak diketahui statusnya.
Itupun kalau ia benar-benar berada dalam perairan Indonesia, tetapi jika ia dalam perairan Kepulauan Nicobar maka lainlah ceritanya. Kerana Afonso de Albuquerque pernah mengatakan tempat karam kapalnya ialah di mana terdapat penduduk tempatan yang menyelam mutiara. Maka dengan itu kemungkinan sekali dalam perairan Kepulauan Nicobar.
Jika benarpun ia tenggelam di situ adakah selama 500 tahun ini penduduk tempatan tidak berusaha mencari harta karun ini? Sedangkan mereka adalah penyelam yang hebat untuk mencari mutiara, sama seperti penduduk di kepulauan Maldives. Oleh itu pencarian harta karun ini dianggap sia-sia.
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim

Copy and paste:
5 May 2024 > 27 Syawal 1445H: 10.52 p.m

No comments: