Sunday, 14 April 2024

Sejarah Rumah Agam Usang Di Pekan Karai


By Freddie Aziz Jasbindar

Pekan Karai cukup popular dengan namanya yang seringkali menjadi sebutan buat penduduk di sekitar Kuala Kangsar dan Sungai Siput. Karai adalah sebuah pekan kecil yang terletak di tebing sungai Perak. Ia adalah sebuah mukim yang berada dibawah jajahan dan pentadbiran daerah Kuala Kangsar.
Serba sedikit untuk diceritakan berkenaan asal usul nama Karai sebelum diceritakan dengan lebih mendalam tentang topik artikel kali ini berkenaan dengan rumah agam usang yang ditinggalkan.
Sebenarnya, nama Karai berasal dari sebatang pokok dan ada juga yang kaitkan nama Karai ini berkaitan dengan penemuan makam keturunan Aceh yang bernama Karai.
Ramai yang tahu Karai kerana terkenalnya dengan Jambatan Victoria yang berusia lebih 100 tahun.
Namun, ramai yang tidak tahu berkenaan sebuah rumah agam usang yang kini ditinggalkan sepenuhnya itu sebenarnya berusia hampir sama bahkan mungkin lebih tua daripada Jambatan Victoria. Ia masih tersegam usang di sebalik rimbunan pokok diatas bukit.
Rumah agam yang memegang konsep seni bina Inggeris di belakang Sekolah Agama Rakyat Ad-Dinniyyah hari ini tidak lagi berpenghuni dan kelihatan semakin usang diamah usia. Buat pencinta monumen sejarah, rumah agam tersebut sebenarnya punyai nilai yang cukup tinggi!
Sebenarnya, banyak NGO yang mengambil inisiatif sendiri untuk membersihkan rumah agam tersebut bersama beberapa agensi lain dalam usaha mempromosikannya. Tidak mustahil sekiranya rumah agam ini mampu menjadi ikon di Karai seperti Kellie’s Castle menjadi lokasi tumpuan di Batu Gajah.
Apa yang dapat dilihat secara kasarnya ciri-ciri yang terdapat pada dinding rumah agam ini menggabungkan seni bina inggeris dan cina. Hal ini kerana terdapat seni abstrak berbentuk naga yang terdapat di bangunan ini.
Jika anda pembaca setia orangperak.com ingin tahu, bentuk naga ini cukup digemari oleh orang cina kerana ianya ada feng shui (nasib) yang baik. Siapa sangka cerita disebalik rumah agam ini punyai 1,001 cerita yang tersimpan didalamnya.
Antaranya adalah ia pernah digunakan oleh tentera Jepun sebagai ibu pejabat mereka pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu satu ketika dahulu
Pada asalnya, rumah agam usang ini dimiliki oleh seorang bangsawan yang dikenali dengan nama Datuk Setia. Beliau meninggalkan rumah tersebut ketika pihak Jepun mula masuk menceroboh Tanah Melayu pada tahun 1941. Semua orang takut dengan pihak Jepun dan ramai yang lari keluar dari kampung.
Menurut orang lama dikawasan rumah agam tersebut, dahulunya terdapat sebuah meriam kecil yang diletakkan dihadapan rumah agam tersebut. Namun ianya telah hilang tanpa khabar berita mungkin kerana diambil oleh individu yang tidak bertanggung-jawab.
Selepas Jepun kalah dan meninggalkan Tanah Melayu, rumah agam ini terus dijadikan penempatan sementara untuk anggota polis sebelum berek mereka disiapkan. Kemudian akhir sekali, rumah agam ini dijadikan sebagai sekolah agama pada tahun 1980an sebelum ditinggalkan begitu saja pada 2004.
Sekolah tersebut kini berpindah ke bangunan yang baru. Ramai penduduk asal di Karai cukup hargai dan ingin memulihara rumah agam tersebut kerana ia adalah satu ikon Karai yang tidak diangkat. Rondalah di sekitar Karai, anda tidak akan jumpa rumah agam seperti ini disana dan ianya hanya ada 1 di Karai.
OP
Copy and paste:
14 April 2024 > 6 Syawal 1445H: 10.30 p.m

No comments: