Wednesday, 17 May 2023

SURAQAH BIN MALIK: BIODATA & KISAH HIDUPNYA

Posted by: Rozza Zainal > FB PERISTIWA N' SEJARAH

Siapakah Suraqah bin Malik? Artikel ini akan membincangkan salah seorang sahabat nabi SAW yang anda perlu ketahui.
Siapakah Suraqah Bin Malik?
Pada masa jahiliyahnya, Suraqah merupakan seorang tokoh yang terkenal dikalangan masyarakat Arab dan juga merupakan salah seorang pemimpin di sebuah kabilah yang bernama Kinanah. Masyarakat Arab pada saat itu memandang beliau sebagai seorang yang berwibawa dan juga sangat dihormati serta disayangi oleh mereka disebabkan kebiasaan beliau yang selalu memberi makan orang-orang fakir dan miskin yang sedang kelaparan, suka memberikan perlindungan keamanan kepada orang-orang yang sedang ditindas, dan selalu menjaga siapa pun yang memerlukan penjagaan dari beliau.
Nasab Dan Keturunan
Nama lengkap beliau adalah Suraqah bin Malik bin Ju’syum bin Malik bin ‘Amr bin Taim bin Mudlij bin Murrah bin Abdi Manat bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin ‘Adnan yang berada pada garis keturunan Isma’il bin Ibrahim ‘alaihimas salam. Suraqah juga biasa dipanggil dengan panggilan Abu Sufyan.
Masuknya Suraqah Kedalam Islam
Pada waktu kemenangan serta keberhasilan umat Islam dalam pembukaan kota Mekah di bulan Ramadan pada tahun ke 8 hijriah dan tidak lama setelah itu pada bulan Syawal 8 Hijrah berakhirnya peperangan Hunain , Suraqah bin Malik dengan membawa surat jaminan keamanan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepadanya pergi untuk bertemu dengan baginda. Suraqah bertemu dengan Rasulullah SAW di sebuah tempat yang bernama Ji’ranah, tempat tersebut terletak di bahagian timur laut kota Mekah dengan jarak sekitar 20 kilometer. Pada saat itu Rasulullah SAW sedang membahagikan ghanimah hasil daripada peperangan Hunain.
Suraqah diam-diam menyelinap masuk ke pasukan berkuda kaum Anshar namun pada akhirnya kaum Anshar menyadarinya. Mereka pun mengepungnya serta mengacung tombak kepadanya lalu salah seorang dari mereka mengatakan, “Pergilah! Apa yang kau mahukan di sini?” Hinggalah beliau datang mendekati Rasulullah SAW yang sedang berada di atas untanya. Suraqah menunjukkan semula kepada Rasulullah SAW surat jaminan keamanan yang pernah baginda berikan kepadanya seraya berkata, “Wahai Rasulullah! Ini adalah surat yang anda berikan padaku dulu. Aku adalah Suraqah bin Malik bin Ju’syum.” Rasulullah SAW pun menjawab, “Ini adalah hari membalas semula budi dan memenuhi janjiku padamu. Mendekatlah!” Suraqah pun mendekat dan menyatakan dirinya sebagai seorang muslim.
Kisah Suraqah Memburu Rasulullah Saw Pada Saat Baginda Hijrah
Ketika kaum Quraisy mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah berjaya meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah, mereka pun mengeluarkan surat perintah untuk memburu Rasulullah SAW dan bagi yang berjaya membunuh atau menangkap Rasulullah SAW akan diberi ganjaran yang besar. Ganjarannya adalah hadiah sebanyak seratus ekor unta. Ramai kaum musyrik yang terpesona dengan ganjaran yang akan diberikan tersebut, sehingga ramai di antara mereka yang ikut serta dalam pemburuan tersebut dan salah satu diantara mereka adalah Suraqah bin Malik.
Sebelum Suraqah pergi untuk memburu Rasulullah SAW beliau sedang duduk di sebuah majlis yang diadakan kaumnya iaitu Bani Mudlij, tiba-tiba datang salah seorang menghampiri majlis tersebut lalu berkata, “Wahai Suraqah! Sungguh waktu perjalanan aku menuju kesini aku melihat beberapa orang sedang melakukan perjalanan jauh. Aku merasa bahawa itu adalah Muhammad bersama sahabatnya.’ Suraqah meyakini benar bahawa apa yang dikatakan orang tersebut. Namun dia menjawab sebaliknya, “Mereka bukan Muhammad dan sahabatnya. Tapi mereka adalah Fulan dan Fulan, kami melihat mereka keluar untuk mencari harta mereka yang hilang.’ Kemudian Suraqah diam sesaat dan bergegas menuju ke rumahnya. Beliau perintahkan hamba perempuannya untuk keluar dan membawa kudanya ke belakang sebuah bukit kecil lalu menahannya . Suraqah pun mengambil tombaknya dan keluar secara sembunyi-sembunyi menuju ke tempat di mana kudanya disiapkan lalu segera memulakan pemburuannya.
Suraqah dengan cepat mengekori perjalan Rasulullah SAW sehingga pada suatu ketika beliau pun berjaya mendekati baginda bersama sahabatnya, namun tiba-tiba kuda yang ditunggangi Suraqah pun tersandung lalu beliau pun terjatuh dari kudanya. Kemudian Suraqah berniat untuk mengambil anak panah dan menembakkannya, dan serta merta pada saat itu muncul bisikan dalam hatinya yang mengatakan “Apakah aku akan terus berusaha mencelakakan mereka ataukah tidak.” Lalu dia memutuskan untuk membatalkan tindakannya.
Suraqah menunggang kudanya kembali dan segera mengejar Rasulullah SAW. Pada saat itu kudanya berlari dengan cepat sehingga pada saat itu Suraqah dapat mendengar apa yang sedang dibaca oleh Rasulullah SAW, baginda tidak menoleh sama sekali kearah Suraqah hanya Abu Bakar sahaja yang banyak menoleh, tiba-tiba kedua kaki depan kuda yang ditunggangi Suraqah terjerumus ke dalam tanah sehingga mencapai kedua lututnya lalu beliau pun tercampak darinya. Kemudian beliau memaksa kudanya untuk berdiri. Kudanya berusaha bangkit namun sama sekali tidak dapat mengeluarkan kedua kakinya.
Lalu pada akhirnya Suraqah pun memanggil Rasulullah SAW dengan mengatakan, “Aku adalah Suraqah bin Malik bin Ju’syum. Tunggulah aku wahai Muhammad. Aku mahu berbicara dengan kalian. Demi Allah, aku tidak akan melakukan apa pun yang dibenci kalian.” Kemudian Rasulullah pun berhenti.
Suraqah kembali menaiki kudanya dan mendatangi Rasulullah SAW. Lalu Suraqah pun berkata kepada baginda, “Sungguh kaummu telah menjanjikan atas dirimu sebuah hadiah sebesar diyat.” Suraqah memberitakan kepada Rasulullah SAW apa yang kaum musyrikin lakukan terhadap mereka dan Suraqah menawarkan bekal makanannya kepada baginda. Namun Rasulullah SAW tidak menerima dan tidak pula meminta sesuatu pun kepadanya, baginda hanya mengatakan, “Rahasiakanlah tentang kami!” Lalu Suraqah pun meminta kepada baginda untuk menuliskan kepadanya sesuatu yang dapat menjadi tanda perdamaian antaranya dengan Rasulullah SAW. Kemudian baginda memerintahkan ‘Amir bin Fuhairah untuk menuliskannya di atas sebuah lembaran dari kulit. Setelah itu Rasulullah SAW pergi melanjutkan perjalanannya.
Suraqah memenuhi permintaan Rasulullah SAW untuk merahsiakan perjalanannya. Tidaklah Suaraqah menjumpai sesiapa pun yang sedang mencari baginda kecuali beliau mengajaknya untuk membatalkan pemburuannya, beliau mengatakan kepada mereka, “Aku telah mencukupkan untuk kalian pencarian di arah sini.”
Janji Rasulullah Saw Kepada Suraqah
Terdapat hadis yang meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW pernah berkata kepada Suraqah, “Bagaimanakah perasaanmu ketika engkau memakai dua gelang milik Kisra, tali pinggangnya, dan mahkotanya?” Kemudian pada zaman kehalifahan Umar bin Al Khaththab, dikirimlah kepada Umar dua gelang milik Kisra, tali pinggangnya, dan mahkotanya. Lalu Umar pun memanggil Suraqah untuk menghadapnya. Kemudian Umar pun memakaikannya kepada Suraqah lalu mengatakan kepadanya, “Angkatlah kedua tanganmu! Dan ucapkanlah: Allahu akbar! Segala puji hanya bagi Allah yang telah mengambilnya dari Kisra bin Hurmuz yang menyatakan dia adalah tuhan manusia, lalu Allah pakaikan kepada Suraqah bin Malik seorang Arab Badui dari Bani Mudlij.” Maka terbuktilah apa yang dikatakan oleh baginda Rasulullah SAW kepada Suraqah.
Wafatnya Suraqah Bin Malik
Suraqah bin malik wafat tahun ke-24 Hijrah dan pada saat itu kekhalifahan berada dibawah kepimimpinan sahabat Utsman bin Affan.
Sumber artikel : AkuMuslim
Copy and paste:
17/5/2023 > 26 Syawal 1444H: 6.36 pm