SUMBER: ISLAM ITU INDAH
Allah telah menjadikan dalam hati umat islam suatu perasaan cinta dan rindu untuk menjejakkan kaki ke dua tanah suci Mekah dan Madinah. Bumi yang penuh bersejarah. Bumi yang penuh berkah.
Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri. Pada tanggal 2 Febuari 2017, saya dan keluarga diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk merasai kenikmatan beribadah dikedua tanah suci Mekah dan Madinah.
Pengalaman pertama kali menaiki pesawat dan pertama kali berkunjung ke negara luar merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Alhamdulillah penerbangan pertama saya adalah ke bumi haramain.
Penerbangan yang mengambil masa selama 8 jam itu membuatkan hati tidak keruan memikirkan segala kemungkinan yang bakal berlaku.
Zikir dan istighfar tidak lekang dibibir seolah hari itu merupakan hari terakhir kehidupan kami di dunia. Jam 9.30 pagi (waktu Malaysia) syukur pada Allah, kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah.
Perasaan teruja untuk melihat sendiri Masjid Nabi SAW mula meronta apabila dari kejauhan mata sudah pun mulai melihat kubah hijau Masjidil Nabawi.
Usai meletakkan bagasi di dalam bilik hotel, kami sekeluarga bergegas ke Masjid. Walaupun jarak hotel dengan masjid mengambil masa lebih kurang 20 minit namun, jarak dan cuaca sejuk pada ketika itu tidak menjadi penghalang.
Kecintaan dan kerinduan yang membara terus membuatkan kami melangkah walaupun kepenatan jelas terasa. Tiba sahaja dihadapan pagar masjid Nabawi, saya mengucapkan salam;
“Assalamualaikum Ya Rasulullah. Aku datang Ya Rasulullah. Aku datang menziarahimu. Syafaatilah aku.”
Tanpa disedari, air mata menitis. Perasaan indah bertemu Rasulullah tidak dapat digambarkan. Walaupun bukanlah bertemu muka atau bertentang mata, namun perasaan rindu itu jelas terubat dengan hanya melihat Masjid baginda yang di dalamnya bersemadi jasad mulia Rasulullah SAW.
Banyak peristiwa berlaku di Madinah kerana di Madinah Islam mula membangun. Islam yang sampai kepada kita hari ini adalah berkat usaha dan kesungguhan Nabi SAW dan para sahabatnya dalam menyampaikan risalah agama.
Walaupun berat ujian yang melanda, walaupun diuji dengan pelbagai ancaman dan kesakitan namun, Nabi SAW dan para sahabatnya tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah SWT.
#1 – Pesona Madinah Munawwarah
Memasuki Masjid Nabawi dengan langkah kaki kanan sambil mata tidak lepas daripada meneroka keindahan stuktur seni bina dan ukiran Masjid yang terlalu indah dan unik membuat saya terpegun dan terpesona.
Inilah Masjid yang Nabi SAW bina dengan tangan mulianya. Inilah masjid yang Nabi SAW solat didalamnya.
Inilah Masjid yang Nabi SAW berjalan dan duduk, berbicara, berkhutbah serta berkumpul dengan para sahabatnya dan inilah masjid dimana jasad baginda Nabi SAW disemadikan.
Allahuakhbar. terasa seperti Nabi masih ada walaupun kenyataannya telah beribu tahun baginda meninggalkan kita.
Akhirnya, waktu solat Zohor tiba. Perasaan teruja untuk solat berjemaah di Masjidil Nabawi bakal terlaksana. Selesai azan, kami bersedia untuk menunaikan solat.
Keseronokan dan kekhusyukan jelas terasa dalam diri. Suatu perasaan yang tidak boleh diceritakan.
Padahal kalau difikirkan semula, solat itu walau dimana-mana pun ia tetap sama. Niat yang sama, kaifiat yang sama. Cuma tempat solat dan ganjaran solat itu sahaja yang berbeza.
Umum mengetahui, yang solat di Masjidil Nabawi pahalanya berganda melebihi solat di masjid lain. Nabi SAW bersabda yang bermaksud;
“Pahala solat dimasjidku ini adalah seribu kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram.
” Sahih Bukhari dan Muslim
Usai memberi salam, saya sempat berwirid sekejap dan bangun untuk melaksanakan solat jenazah. Untuk pengetahuan, di Mekah dan Madinah hampir 2 hingga 5 orang jenazah akan disolatkan pada setiap waktu solat setiap hari.
MasyaAllah, sungguh! betapa beruntungnya mereka yang meninggal dunia di bumi berkah ini kerana Rasulullah pernah bersabda;
“Sesiapa yang mampu untuk mati di Madinah hendaklah dilakukannya. Sesungguhnya aku akan memberikan syafaat kepada mereka yang mati di Madinah.”
Riwayat Ahmad no.5438
Mafhum hadis ini adalah sesiapa yang tinggal di Madinah hendaklah dia mati disitu dan kalau boleh berdoalah biar Allah matikan kita di Madinah.
#2 – Pertemuan Pertama
Setelah 3 hari berada di bumi Madinah, pelbagai perkara baru yang cuba kami biasakan dan cuba sedaya upaya untuk menyesuaikan diri di negara orang.
Perbezaan cuaca, bahasa, budaya, warna kulit dan mazhab membuatkan kami sedikit teruji. Namun, syukur pada Allah kerana mempermudahkan segalanya.
Pada malam hari ke 3, mutawwif memaklumkan bahawa malam tersebut merupakan giliran jemaah muslimat untuk menziarahi makam Rasulullah yang lebih dikenali sebagai Raudhah.
Perasaan teruja dan tidak sabar menunggu waktu kemuncak iaitu waktu pertemuan pertama kami dengan Rasulullah SAW. Untuk memasuki ruangan Raudhah, kami perlu menunggu giliran.
Sambil menunggu, ustazah banyak memberikan maklumat dan bercerita tentang Masjidil Nabawi. Kisah bermula daripada Nabi SAW membinanya sehinggalah Nabi SAW wafat.
Kedudukan Raudhah adalah di antara rumah Rasulullah dengan Saiyidatina Aishah R.A dengan mimbarnya. Sebagai tanda, tempat ini dihampari dengan karpet berwarna hijau.
Kawasan ini dipanggil Raudhah kerana ia merupakan salah satu dari taman syurga. Sepertimana Rasulullah SAW bersabda;
“Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman syurga.”
Sahih Bukhari no.1196
Bersebelahan dengan makam Nabi SAW, terdapat juga makam 2 sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Umar R.A.
Suasana di dalam masjid yang tadinya riuh tiba-tiba bertukar menjadi tenang. Rupa-rupanya ketika itu saya sudahpun berada di dalam ruangan Raudhah. Ya Allah. sungguh hati terasa sayu.
Rindu pada Baginda Nabi SAW semakin membuak-buak. Usai memberi salam kepada Nabi SAW dan kedua sahabat baginda, bibir ini tidak henti daripada berselawat dan berzikir.
Tiba-tiba saya menangis teresak-esak. Tidak dapat ditahan air jernih yang laju mengalir dari tubir mata. Entah daripada mana perasaan aneh itu datang, saya sendiri tidak pasti.
Alhamdulillah saya dan jemaah lain sempat untuk solat sunat 2 rakaat dan berdoa di Raudhah.
Kata ustazah, pintalah apa sahaja yang kita mahukan untuk dunia dan akhirat kita kerana kawasan tersebut merupakan salah satu tempat mustajab doa.
#3 – Panggilan Rindu
Setelah 5 hari kami di Madinah, tiba masa untuk beralih ke Mekah Mukarramah. Terasa sedih dan begitu sayu untuk meninggalkan bumi Madinah. Bumi yang cukup indah dan cukup tenang.
Pada hari terakhir, saya sekeluarga meluangkan masa beriktikaf di masjid sehinggalah waktu asar menjelma. Usai solat asar, kami terus meninggalkan Madinah dengan doa dan harapan semoga Allah mengizinkan kami untuk kembali semula ke sini.
Jarak perjalanan dari Madinah ke Mekah mengambil masa lebih kurang 7 jam dengan menaiki bas. Sepanjang perjalanan kami, kedengaran suara para jemaah melantunkan laungan talbiah;
“labbaikallahumma labbaik labbaika laa sharikalaka labbaik innalhamda wan ni’mata laka wal mulk laa sharikalak”
Ertinya;
“Aku memenuhi panggilanMu Ya Allah aku memenuhi panggilanMu. Tiada sekutu bagiMu. Aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujian dan nikmat adalah bagiMu begitulah juga kerajaan tiada sekutu bagiMu.”
Kami tiba di hotel kira-kira jam 1 pagi (waktu Mekah). Di sebabkan kami masih dalam keadaan berihram, ustaz mengarahkan kami untuk terus melakukan ibadah umrah.
Bayangkan ketika itu dengan keadaan mengantuk, penat dan waktu yang sudah agak lewat, kami terus berjalan menuju ke Masjidil haram dengan bibir yang tidak henti-henti bertalbiah.
Semangat yang membara dan keterujaan untuk melihat Kaabah dalam diri masing-masing membuatkan kami lupa akan segala kepenatan ketika itu.
#4 – Mekah Kota Keberkatan
Setibanya kami di Masjid, kami tercari-cari di mana letaknya Kaabah. Daripada pintu utama Masjidil haram, kami terus berjalan ke dalam menyelusuri tempat solat jemaah muslimin.
Di kiri dan kanan saya juga seperti di Madinah, ada tong-tong air Zam-zam yang disediakan untuk para Jemaah. Suasana di Mekah agak meriah walaupun ketika itu jam telah menunjukkan hampir pukul 2 pagi.
Pencarian kami berakhir. mata bertemu Kaabah. Allahuakbar, tidak tergambar perasaan waktu itu. Melihat Kaabah secara langsung dengan mata sendiri membuatkan jantung berdegup dengan kencang.
Hati tidak keruan. Bibir asyik dengan kalimah Subhanallah, MasyaAllah, sungguh! keindahan Baitullah tiada tandingannya.
Tanpa berlengah, kami terus mengikut mutawwif yang ditugaskan untuk membawa kami menunaikan ibadah umrah yang dimulakan dengan ibadah tawaf seterusnya sa’ei dan akhir sekali tahallul (bercukur).
Pengalaman pertama kali melakukan ibadah tawaf sangat menguji tahap kesabaran kami. Kesesakan orang yang pelbagai ragamnya, perlu menjaga diri daripada terbatal wuduk dan perlu mengingati berapa bilangan pusingan tawaf.
Ya Allah, memang ujian. Namun, dari situlah Allah mengajar untuk bersabar dan berfikir bahawa ujian itu tidak akan terlepas walau di hadapan Baitullah sekali pun.
Benar! Walaupun terselit ujian tetapi perasaan gembira tidak boleh diselindungkan. Tawaf mengelilingi kaabah, berulang-alik dari safa ke marwah sebanyak 7 kali dan bertahallul merupakan satu ibadah yang dapat mendekatkan diri hina ini dengan Allah SWT.
Semasa melakukan ibadah umrah, hati ini berasa begitu tenang, lapang dan banyak mengingati Allah semata. Tiada lagi ukiran dunia yang melayang di jiwa.
Tiada lagi fikiran tentang manusia atau harta. Cuma Allah sahaja. Begitu berkahnya bumi Mekah Mukarramah.
Selama 7 hari berada di Mekah, saya sempat melaksanakan ibadah umrah sebanyak 3 kali. Selebihnya, ibadah yang dilakukan adalah tawaf sunat, solat 5 waktu, beriktikaf di masjid dan membaca Al-Quran.
Walaupun rutin seharian kami hanyalah beribadah, namun ia sangat memberi kesan pada diri. Berada di Mekah membuatkan hati sentiasa sedar tentang kehambaan, membuatkan diri rasa begitu hampir dengan Allah yang Maha Tinggi.
Percayalah, setiap orang yang diberi peluang untuk datang ke bumi Al-Haramain ini pastinya akan pulang membawa seribu rasa kemanisan.
Pengalaman umrah ini pastinya berbeza antara kita dan orang lain. Ada yang mampu memanfaatkan segala bentuk pelajaran dan ilmu yang mereka perolehi di sini dan dibawa pulang ke tanah air dan ada juga yang tidak mampu melakukan perubahan atau islah diri kearah kebaikan.
Tetapi ingatlah, Allah itu Maha Baik. Setiap yang didoakan, dihajatkan pasti akan diperkenankan. Cuma mungkin belum tiba masanya Allah makbulkan.
Setiap ibadah yang kita kerjakan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Allah itu Maha Kaya.
Justeru, sentiasalah berdoa agar Allah mengurniakan kita rezeki dan peluang untuk menjejakkan kaki di bumi Mekah dan Madinah sebelum kita kembali menemui Allah SWT. Insyaa Allah.
Sumber: Tazkirah.net
Copy and paste: 30 Mei 2023 > 10 Zulkaedah 1444H: 11.41 am
No comments:
Post a Comment