Saturday, 6 May 2023

GEMPAR: KERIS MELAYU YANG DIJUMPAI DI BUMI JEPUN...

Credit : Helmi Effendi > PERISTIWA N' SEJARAH

Pada tahun 2003, sebuah artifak keris Melayu yang mempunyai sembilan lok dan sepanjang 22 cm yang ditemui di Kuil Enkakuji, di tapak yang berdekatan dengan Istana Shurijo, yang berusia abad ke-15 Masihi adalah salah satu tanda hubungan diplomatik antara Melayu dan penduduk Okinawa sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dapat dijejak sehingga 1463 hingga jatuhnya empayar agung Melayu Melaka. Adapun mitos yang berlegar di internet bahawa keris ini dijumpai di dasar laut di sebuah piramid adalah tidak benar sama sekali.
Ada yang mencadangkan bahawa keris tersebut mungkin dibawa oleh pedagang. Namun, pakar keris menolak andaian mentah itu kerana dalam tradisi masyarakat Melayu, keris yang berlok sembilan sebenarnya membawa isyarat bahawa ia milik orang kenamaan dari Istana.
Justeru, kajian dilakukan dan penemuan lebih mengejutkan bahawa keris tersebut mungkin datang sebagai hadiah rasmi daripada Kesultanan Melayu Melaka untuk kerajaan Ryukyu. Bersama dengan keris tersebut yang dijadikan alat diplomasi dua kerajaan ini, tersimpan pula rahsia lain yang sekaligus membuktikan bahawa sesungguhnya Laksamana Hang Tuah adalah sebuah figura yang bukanlah semata-mata dongengan orang tua kita.
Kapal-kapal dari Ryukyu dikatakan mengunjungi Melaka pada setiap tahun sepanjang menjalani hubungan dengan kerajaan Melayu Melaka untuk berdagang sumber-sumber yang diperlukan untuk membangunkan Ryukyu dengan pedagang Melayu, China, India dan pelbagai lagi kawasan dari serata dunia, memandangkan Melaka merupakan metropolitian dan pelabuhan entrepot yang menarik perhatian seluruh manusia. Mereka akan membawa hasil alam seperti emas, perak, gangsa, bijih timah, keramik dari China, dan selalunya akan menukarkan dengan gading gajah dan juga wain. Lagipun ketika era awal, Melaka memang terkenal dengan kualiti wain yang dipercayai diperbuat daripada Pokok Nipah yang kononnya menandingi wain yang diperbuat daripada bahan lain.
Namun, apabila Melaka mula menghentikan pembuatan wain nipahnya, dipercayai kerana pengaruh Islam, maka Ryukyu terpaksa mengimportnya dari lokasi yang lain. Selain itu, budaya Melayu yang mungkin hasil perhubungan antara Ryukyu dan kerajaan Melayu di Nusantara ialah kewujudan batik dan juga tengkolok yang menjadi pemakaian rasmi budaya orang Ryukyu.
Antara yang masyhur adalah import teknologi tenun 'ikat' yang mesinnya direkodkan telah dibawa dari Melaka pada zaman Mansur Syah dan Sho Shin. Produknya yang dipanggil kain Bingata terkenal dengan kehalusan dan kualitinya yang dicemburui masyarakat Jepun yang kemudian mencedok industri tersebut ke Jepun sekitar 1600-an setelah Ryukyu didominasi kuasa Shogun Satsuma yakni wakil Lautan Selatan Keshogunan Tokugawa. Bingata ini menjadi komoditi Ryukyu yang hanya dipakai oleh orang istana. Ini telah menimbulkan budaya pemakaian batik Biganta, akibat perhubungan antara Melayu dan Ryukyu.
Tidak lupa juga, apabila teknologi Melayu ini diimport oleh Ryukyu, pemakaian budaya Melayu seperti tengkolok mula menjadi sebahagian daripada budaya Ryukyu. H.K. George dalam bukunya Okinawa The History of an Island People mencatatkan seperti yang diterjemahkan di bawah:
“Kegunaan warna-warni yang cerah serta jenis corak yang unik yang dihasilkan di Okinawa dipengaruhi oleh barangan import daripada pulau-pulau di Selatan. Dari situ juga, wujudlah turban unik atau “hachimaki” yang digunakan oleh golongan atas Okinawa sehingga zaman moden. (Captain Broughton, yang begitu arif dengan Asia Tenggara, pada 1797, berkata bahawa gaya rambut dan turban Okinawa adalah dalam gaya orang Melayu).”
Rupanya seakan-akan lilitan tengkolok orang Brunei. Brunei pula perlu diperhati bahawa kesultanannya dipengaruhi kebudayaan Johor yakni waris Melaka. Gaya ini kemudian mengambil ilham dari Dinasti Ming yang menetapkan warna tutup kepala tertentu bagi mewakili kelas bangsawan tertentu. .
Baik, kita sampai ke topik yang paling menarik mengenai penemuan keris ini. Bukan itu sahaja yang ditemukan di bumi Okinawa, Jepun tentang perhubungan jauh dua tamadun ini. Bahkan, terdapat sebuah dokumen rasmi kerajaan Ryukyu iaitu Rekidai Hoan yang tersimpan di Perpustakaan Okinawa. Dokumen ini adalah catatan rasmi Ryukyu dan kerajaan-kerajaan asing yang menjalankan hubungan diplomatic dengan Ryukyu.
Dalam sebuah huraian berkaitan hubungan antara Ryukyu dengan Melaka pada bahagian yang ii, terdapat sekurang-kurangnya 19 pucuk surat yang menjadi perutusan antara Ryukyu dan Melaka, dan 11 daripadanya ialah dari perutusan Melaka kepada Ryukyu. Dokumen ke-9, ke-10 dan ke-15 dengan jelas menyebut bahawa seorang laksamana yang berkhidmat bagi pihak Melaka telah menulis surat tersebut. Rekod surat tersebut di dalam Bahasa Cina, namun tidak dihairankan kerana Hang Tuah mengetahui lebih kurang 12 buah bahasa!
Dua orang sejarawan Jepun yang mengkaji surat tersebut iaitu Professor Atushi Kobata dan Mitsugu Matsuda menegaskan bahawa Laksamana yang disebutkan dalam surat tersebut merupakan Laksamana Hang Tuah, kerana pada tempoh waktu tersebut, sejarah dengan jelas mengatakan bahawa yang berkhidmat bagi Sultan Alaudin Riayat Syah ketika sekitar 1480 tidak lain dan tidak bukan ialah Laksamana Hang Tuan, Dipercayai juga usia Hang Tuah ketika itu dalam lingkungan 50 tahun!
Sumber:
Ahmadizhamnayan@blogspot.com
Rujukan:
1. Hashim Musa dan Rohaidah Kamaruddin. (2016) Hang Tuah: Catatan Okinawa. Penerbit UPM
2. H.K. George. (2000) Okinawa The History of an Island People, US. Tuttle Publishing
3. Artikel The Star bertarikh 26/6/2003 bertajuk "Surprising find at Okinawa temple."
Posted 16th March 2017 by DR IZHAM NAYAN

Copy and paste:
6/5/2023 > 15 Syawal 1444H: 9.09 am

No comments: