Thursday, 3 February 2022

SEJARAH PERKEMBANGAN TAMADUN MELAYU

International Conference on Malay-Polynesian Ancestral Nations
(Reestablishing and Revitalising Melayu-Polynesian
Cultural Common Grounds and Global Relationships)

5 – 6 July 2012
Klana Resorts Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia

SEJARAH PERKEMBANGAN TAMADUN MELAYU
(Historical development of the Malayo-Polynesian civilisation)

Kenapa Cerita
Bercerita tentang tumbuh dan membangun dan tersebarnya tamadun bangsa Melayu bukanlah satu usaha mencungkil ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi juga satu peluang bagi timbul satu kesedaran bahawa bukan sahaja bangsa Melayu itu mempunyai satu alamnya, tetapi juga ia mempunyai satu tamadun - tamadun yang asli dan terus lestari. Penghujahan ini penting dan tepat pada masanya kerana perdebatan masa kini yang begitu meningkat yang sering menimbulkan hujah-hujah globalisasi dan hak dan nilai sejagat (universal rights and universal values), dunia tanpa sempadan, seolah-olah tidak ada tamadun-tamadun yang lokal atau setempat, yang lain daripada tamadun Barat yang perlu mendominasi. Hujah-hujah manusia globalisasi ini yang dibawa oleh arus antarabangsa yang rata-rata didalangi oleh media dan pendidik Barat, yang mengenepikan nilai-nilai malah menafikan terus bahawa ada wujud tamadun dan alam yang lain daripada apa yang boleh diterima oleh hujah-hujah Barat, dan mereka yang sealiran dengan penghujah-panghujah Barat.

Sehingga hari ini sangat sedikit yang diperkatakan tentang tamadun Melayu yang sebenarnya, satu tamadun yang telah lama wujud, kerana kecenderungan dalam bukan sahaja bidang ilmu yang dibangunkan oleh pendidik Barat, tetapi juga kecenderungan fikiran umum, yang menekankan kepada kebesaran Barat, China dan India sahaja. Alam dan tamadun lain, termasuk tamadun Melayu di Asia Tenggara dipandang remeh, maka dikatakan tidak wujud, dan diketepikan begitu sahaja. Dan, tidak kurang pula dalam kalangan orang Melayu sendiri yang terpengaruh dengan kecenderungan pemikiran ala Barat ini. Bangsa dan tamadun lain daripada bangsa dan tamadun Barat, China dan India, dikira kerdil belaka dan harus, malah mesti, menerima apa sahaja yang dihujahkan oleh media dan pendidik Barat.

Sebenarnya telah banyak dalil-dalil, fakta-fakta dan ilmu pengetahuan yang telah terkumpul tentang alam dan tamadun Melayu, yang kebanyakannya sebenarnya adalah usaha pengkaji-pengkaji Barat juga, semenjak tidak kurang dari 200 tahun yang lalu. Tetapi, ilmu yang terkumpul ini disisihkan akibat pendirian arus perdana ilmu antarabangsa yang berpaksikan tesis atau kepercayaan tidak ada tamadun lain daripada tamadun Barat, Timur Tengah, China dan India.

Hari ini saya bercerita tentang alam dan tamadun Melayu ini, yang benar- benar wujud, yang ramai orang Melayu sendiri tidak sedar akan dalam dan luasnya tamadun ini.

Istilah

Dalam bidang ilmu ketamadunan manusia, tamadun Melayu yang kita kenali di Malaysia dan di Kepulauan Melayu ini dikenali sebagai tamadun Melayu- Polinesia atau tamadun Austronesia. Dan, tamadun Melayu-Polinesia atau tamadun Austronesia ini jauh lebih luas wilayahnya daripada Kepulauan Melayu.

Adakah benar dunia yang sebegitu luas ini (Austronesia) ini adalah dunia bangsa dan tamadun Melayu ? 
Memang benar, kerana perkara ini telah disahkan mulanya daripada kajian bahasa oleh pakar-pakar bahasa bangsa Barat. Hakikat ini telah pertama sekali diketahui dalam tahun 1769, apabila pengembara-pelayar Inggeris diketuai oleh Kapten James Cook telah belayar memasuki Lautan Pasifik. Apabila Cook meredah Lautan Pasifik di tahun itu beliau mendarat di Pulau Tahiti. Seorang pakar bahasa bersama Cook menyedari bahasa orang Tahiti ada menunjukkan persamaan istilah dengan bahasa di Hindia Timur (Indonesia) yang diketahuinya. Akibat penemuan ini, James Cook terus merumuskan (dan rumusannya sah diketahui tepat oleh pakar-pakar) bahawa orang Polinesia pasti telah berasal daripada Kepulauan Melayu. Walau pun hari ini kita sedar jarak antara Kepulauan Melayu dengan Pulau Tahiti adalah sepertiga muka bumi.

Selepas daripada James Cook, pakar-pakar bahasa juga menemui bukti bahawa bahasa-bahasa di Pulau Madagascar di seberang Lautan Hindi, dan di Pulau Hawaii dan di Pulau Easter di bahagian paling utara dan paling timur Lautan Pasifik juga menunjukkan bahasa-bahasa ini juga ada persamaan dengan bahasa di Kepulauan Melayu. Bahasa penduduk asli di Pulau Taiwan juga ditemui ada menunjukkan persamaan dengan bahasa dari Kepulauan Melayu.

Ini bermakna bangsa yang bertutur bahasa Melayu dan yang telah mencambahkan tamadun di Kepulauan Melayu telah tersebar jauh mengharungi dua lautan terluas di dunia. Ini bermakna bangsa Melayu tersebar sejauh dua pertiga muka bumi. Dengan cara mengesan dan mengecam bahasa maka tersebarnya tamadun Melayu telah dapat dipastikan. Dan, hakikat ini telah diterima semua pakar antabangsa, tanpa sesiapa pun yang mempertikaikannya.

(Sumber : Tamadun Alam Melayu, Mohd Arof Ishak. 2009. Persatuan Sejarah Malaysia)

Kenapa tidak istilah tamadun Melayu sahaja dipakai ? 
Sebabnya ialah bangsa yang mencambahkan dan membangunkan tamadun Melayu ini telah tersebar begitu jauh sekali melepasi Kepulauan Melayu ini, maka suku-suku kepada bangsa Melayu yang asal itu dengan tersebar terpisahnya begitu jauh sekali telah mempunyai nama-nama panggilan sendiri untuk kelompok suku mereka.

Tetapi, para pengkaji masih dapat mengenali semua kelompok-kelompok suku ini sebagai satu bangsa dengan nama besar bangsa Melayu-Polinesia atau Austronesia (atau bagi kita di Kepulauan Melayu, sebagai bangsa Melayu, kerana asal semuanya dari pulau-pulau kita.

Tamadun Melayu, Tamadun Tua

Apakah makna atau signifikan hakikat telah tersebarnya bahasa, yakni tamadun Melayu, sebegitu jauh sekali. Apakah mungkin luas dan jauh tersebarnya bahasa dan bangsa dari Kepulauan Melayu ini telah berlaku dalam jangka masa yang singkat atau pantas seperti 100 - 200 tahun, umpamanya. Hakikat tersebarnya bahasa yakni tamadun Melayu ini meliputi 2/3 dunia pasti sekali menunjukkan ia satu tamadun yang amat tua, kerana fenomenon tersebar ini pasti sekali mengambil masa yang amat lama di zaman dahulu, apatah lagi dengan teknologi tua zaman itu.

Kajian para pakar antarabangsa dalam bidang seperti bahasa, dan arkeologi menunjukkan orang zaman kuno yang bertutur bahasa Melayu dan berbudaya Melayu itu, yakni di Kepulauan Melayu, telah mula bergerak memasuki Lautan Pasifik di zaman kuno, yakni sebelum tahun masihi. Amat menonjol sekali adalah satu anggaran yang telah dibuat bahawa besar kemungkinan sekali orang Melayu telah mula memasuki Lautan Pasifik dari masa 6,000 tahun dahulu lagi, malah kemungkinannya jauh lebih lama daripada itu. Satu penemuan oleh seorang ahli arkeologi Malaysia akan sejenis kaca gunung berapi di pantai timur Sabah telah berhasil menunjukkan bahawa kaca tersebut berasal dari pulau-pulau di timur laut Papua New Guinea, beribu kilometer jauhnya dari Kalimantan. Dan, kaca ini telah ditentukan oleh pakar- pakar antarabangsa sebagai telah berusia 6,000 tahun. Ini bermaksud telah wujud satu kegiatan pelaut berdagang atau berulang-alik antara Pulau Kalimantan di Kepulauan Melayu, dengan pulau-pulau di pinggiran barat Lautan Pasifik pada masa 6,000 tahun dahulu lagi.

Pakar-pakar akademik antarabangsa memang telah mengiktiraf bahawa ada satu tamadun di Asia Tenggara di zaman kuno yang bersifat pelaut, dan kalangan pakar ini ada yang menyatakan kebanyakan orang tamadun ini bertutur bahasa Melayu-Polinesia/Austronesia (atau, bahasa Melayu). Cuma mereka sahaja yang mempunyai kepandaian belayar di laut luas di zaman kuno. Oleh kerana pedagang atau pelaut yang berulang-alik di laut ini boleh dipegang sebagai pasti pelaut-pedagang Melayu, dan tarikh 6,000 tahun dahulu telah dinyatakan, ini bermaksud tamadun Melayu telah pun wujud ketika itu. Malah, ini dengan sendirinya menyatakan hakikat bahawa tamadun Melayu pasti telah berusia lebih daripada 6,000 tahun - satu tamadun yang amat tua. Tamadun Cina yang dikatakan tamadun tertua di Asia berusia anggaran 4,000 tahun sahaja.

Seterusnya, setelah memasuki Lautan Pasifik dari sebelah barat, kelompok asal Melayu dari Kepulauan Melayu akhirnya menakluki seluruh Lautan Pasifik yang seluas separuh daripada muka bumi ini. Kajian bahasa dan arkeologi oleh pakar-pakar antarabangsa menunjukkan manusia dari Kepulauan Melayu telah menghuni ke semua pulau-pulau yang boleh dihuni di Lautan Pasifik, yang berjumlah dalam ribuan itu. Kegiatan penemuan dan penerokaan ke semua pulau-pulau ini di Lautan Pasifik ini, mengikut tafsiran pakar-pakar, telah mengambil masa lebih kurang 2,700 tahun, selesai kira-kira 800 tahun dahulu.

Apakah ada dalil-dalil lain yang boleh menyatakan bahawa memang benar tamadun bangsa Melayu itu adalah amat tua ? 

Para pakar bahasa menyatakan bahawa bahasa-bahasa manusia boleh dikelompokkan ke dalam beberapa keluarga bahasa. Pakar-pakar ini juga menyatakan lebih tua sesuatu keluarga bahasa tersebut, maka lebih besar jumlah bahasa-bahasa yang ada dalamnya. Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga bahasa yang dikenali sebagai keluarga bahasa Austronesia yang meliputi Kepulauan Melayu, di semua pulau- pulau di Lautan Pasifik, dan di Pulau Madagascar, dan di Pulau Taiwan. 
Keluarga bahasa Austronesia ini mempunyai sejumlah 1,268 bahasa di dalamnya. Dengan jumlah ini bahasa Austronesia adalah bahasa yang paling banyak bahasa di dalamnya, di Asia. Malah, Austronesia merupakan keluarga bahasa yang kedua terbesar di seluruh dunia. Ini dapat membawa makna bahawa keluarga bahasa Austronesia (atau, keluarga besar bahasa Melayu) adalah keluarga bahasa yang tertua di Asia (dan, besar kemungkinannya juga, yang kedua tertua di dunia).

Keluarga Bahasa Utama di Asia

Sekaligus Ini dapat menyatakan bahawa tamadun Melayu adalah satu tamadun (‘tamadun’ bermaksud mempunyai a body of culture, a body of values, dan a body of wisdom - satu ketinggian budaya, satu ketinggian nilai dan satu ketinggian kebijaksanaan) yang amat tua sekali, mungkin boleh dianggap tertua di Asia.

Kepulauan Melayu, Empulur Tamadun Melayu-Polinesia

Kapten Inggeris, James Cook, 243 tahun dahulu yakin penduduk Pulau Tahiti jauh di tengah-tengah Lautan Pasifik yang ditemuinya, berasal dari Kepulauan Melayu (East Indies) dan Cook menyatakan mereka mewarisi teras tamadun yang sama seperti yang terdapat di Kepulauan Melayu. Ini membawa maksud bahawa Kepulauan Melayu adalah satu pusat tamadun manusia yang maju berkebolehan mengharungi lautan, kerana ketemadunan yang tinggilah yang boleh memunculkan kepakaran belayar yang membawa orang, yang dari Kepulauan Melayu sampai untuk menghuni pulau Tahiti.

Namun, para pengkaji dan ahli akademik Barat yang mengkaji budaya-budaya di Asia kemudian daripada Cook, sering menumpukan perhatian mereka ke arah China dan India semata-mata, kerana inilah dua negara terbesar di Asia. Dan, kajian orang Barat memang ada menunjukkan China dan India ada mempunyai tamadun yang tua. Maka, tumpuan pengkaji Barat sedemikian memunculkan satu kecenderungan menginterpretasi segala perkara tentang budaya dan sosial, tamadun dan sejarah bangsa-bangsa lain di Asia sebagai berpunca daripada pengaruh budaya dan manusia dari China dan India sahaja.

Maka, dari tahun-tahun 1930-an muncullah teori-teori yang menyatakan penduduk Asia Tenggara semuanya berasal dari negara China. Orang Melayu dikatakan berasal dari kawasan Yunan, di selatan negara China sekarang ini. Inilah ilmu yang diajarkan di sekolah-sekolah termasuk di Malaysia sendiri. Apabila masuk tahun-tahun 1960-an kajian arkeologi dan bahasa berkembang di Asia timur. Namun arus perdana ilmu tentang Asia dan juga Asia Tenggara tetap membuat interpretasi bahawa tamadun di Asia Tenggara, termasuk tamadun Melayu telah muncul dan maju akibat pengaruh dari China, dan India.

Walaupun kawasan utama tamadun Austronesia amat nyata di Kepulauan Melayu, pendapat para pengkaji Barat diikuti juga oleh pengkaji-pengkaji di Asia sendiri, terus menyatakan orang Melayu/Austronesia berasal dari China juga, tetapi bukan dari Yunan, sebaliknya dari sebelah pantai negara China pula. Teori-teori tahun 1960-an ini menjadi pegangan kuat yang baru dalam kalangan para pengkaji hingga ke penghujung abad ke-20, dan ini menambah kepada kepercayaan (malah kalangan orang Melayu sendiri) bahawa orang Melayu memang berasal dari China. Manakala dalam kalangan masyarakat umum di Malaysia yang sedikit berpendidikan masih ada terus berpegang bahawa orang Melayu berasal dari Yunan.

Sebarang interpretasi baru berdasarkan pelbagai dalil-dalil terkini yang diketengahkan oleh beberapa pakar, yang menunjukkan bahawa bangsa Melayu muncul di Asia Tenggara sendiri dipandang dengan prasangka atau prejudis oleh para akademik umumnya, termasuk juga di Asia. 
Namun, semenjak tahun-tahun 1970-an, hujah-hujah dan bukti-bukti terus meningkat yang mengutarakan pendapat bahawa bangsa Melayu muncul di Kepulauan Melayu ini sendiri. Maksudnya, bangsa Melayu adalah penduduk asli Kepulauan Melayu semenjak sedia kala. Ada para ahli arkeologi terkenal yang telah mengemukakan dalil seperti penganalisisan penemuan artefak zaman kuno, seperti beliung dsb. yang menunjukkan tamadun manusia amnya, dan tamadun Melayu khusus sekali, telah tumbuh di Asia Tenggara sendiri tanpa sebarang pengaruh idea atau ciptaan dari luar (maksudnya, dari China atau India). Kajian bahasa atau linguistik juga telah dikemukakan sebagai dalil bahawa bahasa Melayu/Austronesia pasti telah mula muncul di Kepulauan Melayu, seperti adanya bahasa-bahasa tua Austronesia di Filipina dan di Indonesia, dan hakikat tidak ada langsung pula sebarang peninggalan bahasa di sebarang wilayah di China yang menunjukkan ia sisa-sisa bahasa Melayu/Austronesia.

Interpretasi-interpretasi baru arkeologi dan bahasa kini telah disokong kuat oleh dali-dalil daripada bidang DNA, dari penghujung abad ke-20. Kajian-kajian pakar DNA antarabangsa serta juga kajian-kajian DNA para saintis Malaysia telah menemukan fakta-fakta yang sama iaitu DNA Melayu/Austronesia di Kepulauan Melayu, di Malaysia khususnya, adalah sangat tua berbanding dengan DNA manusia di China, dan kandungan DNA penduduk-penduduk Asia Tenggara (yang sebahagian besarnya adalah bangsa Melayu/ Austronesia) dibandingkan dengan penduduk-penduduk di China menunjukkan DNA penduduk di China banyak mengandungi DNA yang berasal dari penduduk di Asia Tenggara. Ini bermaksud penduduk di negara China sekarang ini berasal dari Asia Tenggara. Maksudnya juga Asia Tenggara, apatah lagi Kepulauan Melayu, adalah empulur tamadun manusia di Asia timur umumnya, dan empulur tamadun Melayu/Austronesia. Di Kepulauan Melayulah bermulanya tamadun yang kini telah dikenali sebagai tamadun Austronesia. 
Apa yang dipercayai oleh pengembara Inggeris Kapten Cook 243 tahun dahulu, ketika kapal beliau singgah di Pulau Tahiti jauh di tengah-tengah Lautan Pasifik, bahawa orang Tahiti berasal dari Kepulauan Melayu, memang telah diterima sebagai satu kenyataan hari ini.

Tamadun Melayu, Tamadun Pelaut

Macam mana tamadun Melayu/ Austronesia boleh tersebar begitu jauh sekali? Kepulauan Melayu sendiri adalah kepulauan yang terbesar di dunia. Dari penghujung barat ke penghujung timur Kepulauan Melayu, jaraknya lebih jauh dari penghujung barat ke penghujung timur negara China. Gugusan pulau- pulau Melayu di Asia Tenggara ini dicantumkan oleh pelbagai selat dan laut. Pulau-pulau dan laut dan selat ini adalah alam Melayu. Tamadun Melayu adalah satu tamadun pelaut. Tamadun Melayu adalah tamadun maritim atau tamadun pelaut yang tunggal dalam sejarah manusia. Tiada tamadun lain yang seumpama dengannya di dunia. Kepada Melayu pelaut darat dan laut adalah satu - satu alam, maka lahirlah kefahaman tentang tanah-air sebagai panggilan bagi alam Melayu itu - satu istilah yang khusus kepada tamadun Melayu.

Akibat ketemadunan pelaut orang Melayu inilah maka tamadun Melayu telah tersebar jauh ke separuh muka bumi. Sebagai manusia tamadun pelaut, orang Melayu menonjolkan satu kejayaan yang paling unggul dalam pembuatan perahu dan kapal di zaman kuno dan purba, juga kepakaran pelayaran dengan ilmu laut dan ilmu cakrawala yang membolehkan Melayu zaman kuno dan purba menemui pulau-pulau yang dituju, walau sekecil mana pun di lautan yang luas, dengan tepat sekali, berulang kali walau pun dalam cuaca yang paling buruk. Sebagaimana yang telah disedari oleh ramai pengembara-pelaut Barat yang telah meneroka Lautan Pasifik, ke semua pulau di Lautan Pasifik telah meninggalkan tanda-tanda telah dikunjungi, walau pun tidak semuanya dihuni, oleh orang Melayu-Polinesia pelaut. Kepakaran membelah lautan paling luas di dunia walau pun menentang angin menjadi satu tambahan ilmu kepada pengembara-pelaut Barat yang memasuki Lautan Pasifik.

Ketika orang Barat pertama (Sepanyol) sampai ke sebelah barat Lautan Pasifik di pulau-pulau Mikronesia dalam tahun 1521, mereka kagum melihat perahu yang penduduk asli Melayu-Mikronesia yang amat laju, digelarkan oleh mereka ‘perahu terbang’, yang mudah sekali memintas kapal-kapal orang Sepanyol. Apabila orang Barat pertama (Inggeris) sampai ke pulau-pulau Polinesia dalam tahun 1769, mereka hairan bagaimana penduduk asli Polinesia telah boleh sampai menghuni pulau-pulau Polinesia sedangkan mereka pasti telah berlayar menentang angin di khatulistiwa dari tempat asal mereka di Kepulauan Melayu. Apabila orang Barat terus mengenali banyak lagi pulau-pulau di Polinesia mereka mula pula menemui perahu-perahu besar kembar yang besar. Perahu-perahu besar ini dikenali kemudian sebagai perahu penjelajah (voyaging canoes) Melayu-Polinesia. Di Kepulauan Melayu sendiri orang Portugis pula telah menemui jong Melayu, kapal paling besar yang pernah mereka temui di dunia, kapal yang dinyatakan oleh mereka menyebabkan kapal Portugis tidak lagi serupa kapal, dengan tinggi kapal Portugis sekadar menyamai geladak jong Melayu sahaja.

Tamadun Melayu bukan semata-mata tamadun pelaut yang mengembara dan meneroka lautan luas. Tamadun Melayu adalah juga tamadun pedagang lautan. Melayu zaman kuno dan purba berdagang dengan orang asing di seberang laut dan lautan, di China, India, Afrika dan di timur tengah sekarang ini. Dagangan orang Melayu adalah rempah ratus yang tumbuh asli di Alam Melayu, khususnya di pulau-pulau Maluku. Rempah ratus di zaman dahulu amat bernilai sekali lebih berharga daripada emas. Kapal-kapal bangsa Melayu serta pelaut bangsa Melayu membawa rempah ratus keluar dari Kepulauan Melayu menyeberangi Laut China Selatan (nama sekarang) dan Lautan Hindi (nama sekarang) untuk didagangkan kepada orang China, Afrika dan Arab dan seterusnya rempah ini sampai ke benua Eropah. Kekayaan Alam Melayu ini - iaitu rempah ratus – telah menjadi sasaran utama untuk ditawan oleh penjelajah Eropah yang mula mengharungi lautan dari penghujung abad ke-15.

Rumusan

Apakah yang dapat dirumuskan tentang huraian tentang tamadun Melayu/Austronesia ini. Pergerakan perpindahan manusia yang keluar dari benua Afrika, mungkin 65,000 tahun dahulu, mengikut jalan pantai akhirnya sampai ke Asia Tenggara. Di tengah-tengah Asia Tenggara, iaitu di bumi luas yang disebut oleh pakar-pakar sebagai Bumi Sunda, yang akhirnya terbentuk Kepulauan Melayu akibat naiknya paras laut (lebih kurang 12,000 tahun dahulu), telah muncul bangsa Rumpun Melayu daripada kalangan orang yang keluar dari benua Afrika dahulu. 
Bumi Sunda menjadi alam semulajadi orang bangsa Rumpun Melayu ini. Di alam tempat lahirnya bangsa Rumpun Melayu ini, orang bangsa Rumpun Melayu membangunkan satu tamadun pelaut, sesuai dengan tanah-dan-airnya, satu cara hidup yang sangat berbeza dengan cara hidup asal orang yang keluar dari benua Afrika dahulu. Tamadun ini meningkat dan berkembang. Dari satu kepulauan, pelaut bangsa Melayu menjadi pengembara, peneroka dan pedagang melepasi dua lautan.

Cerita tumbuhnya tamadun Melayu pelaut adalah satu kisah manusia di Asia yang telah melintasi ribuan tahun. Keseluruhan cerita ini tidak pernah lagi sampai kepada pengetahuan masyarakat umum sama ada di Asia atau di Malaysia sendiri. Apa yang telah dipelajari di sekolah-sekolah ialah betapa banyak pengaruh budaya India dan China telah meninggalkan kesan kepada masyarakat Asia Tenggara dalam 2,000 tahun yang lalu. Tetapi, apakah yang telah berlaku sebelum 2,000 tahun dahulu ?

Apakah mungkin tamadun tua bangsa Rumpun Melayu ini tidak mempunyai ketinggian nilai dan kebijaksanaan silam maka ia harus akur kepada semua yang dikatakan sebagai “nilai-nilai sejagat” yang sekarang ini diwar-warkan dan dibawa oleh orang Barat (maksudnya orang Eropah dan Amerika) yang tidak pun mempunyai tamadun setua tamadun kita, dan tidak juga memahami alam budaya bangsa di dunia di sebelah sini.

Mohd Arof Ishak
Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) Jun 2012

Copy and paste:
3 Februari 2022 > 1 Rejab 1443H: 10.26 am












15

No comments: