Friday, 11 February 2022

ANGKOR WAT: KEJURUTERAAN MELAYU YANG HILANG?

Posted by :Mohd Hakimi > KISAH SEJARAH MELAYU

Kredit : THE PATRIOTS

Saya tahu, bila kalian membaca tajuk di atas, pastinya akan ada tohmahan demi tohmahan yang akan dilontarkan ke atas kami dari segenap arah. Angkor Wat, sebuah keajaiban dunia yang diiktiraf dan dikagumi sehingga ke hari ini, tiba-tiba muncul sebuah page, mendakwa bahawa sesungguhnya ianya adalah sebuah seni bina Melayu yang hilang.

Apakah semua ini? Mengapakah Melayu mahu mendakwa segala-galanya milik Melayu? Dan kemudian, pasti dakwaan ini akan membawa kita pada dakwaan yang selalu muncul sewaktu kita mahu merdeka dahulu.

“Orang Melayu mahu membina sebatang jarum pun tidak mampu, ada hati mahu merdeka.”

Benarkah sedemikian? Apakah orang Melayu tidak mampu langsung untuk membina sebatang jarum sekalipun? Kalau dulu kita belajar Borubudur yang maha hebat itu, yang diikitraf sebagai keajaiban dunia sebagai milik Dinasti MELAYU Sailendra yang memerintah Nusantara dan Pulau Jawa, serta sebahagian daripada Empayar Melayu Srivijaya, kali ini kita belajar bahawa Angkor Wat itu menggunakan teknologi Melayu dan raja yang membinanya adalah dari keturunan Melayu.

[Budaya Melayu Meresapi Khmer]

Sebelum kita terus berbasa-basi mendakwa bahawa Angkor Wat itu menggunakan teknologi yang dipakai oleh orang Melayu, semoleknya kita belajar dahulu bahawa pada pengasas kerajaan Angkor ialah seorang putera raja yang pernah diambil sebagai anak angkat dan dibesarkan dalam kalangan orang Melayu Sailendra.

Kalau kalian peminat The Patriots, kalian pasti mengetahui bahawa kerajaan orang Khmer, iaitu Chenla pernah diserang oleh sebuah empayar agung dari selatan yang dipanggil sebagai Empayar Melayu Srivijaya, melalui dinastinya iaitu Dinasti Sailendra. Kami pernah menceritakan tentangnya beberapa kali.


Ketika fasa di mana Chenla berada di bawah Empayar Melayu Srivijaya, ketika inilah seorang putera raja bernama Jayavarman II, di bawa ke Pulau Jawa dan dibesarkan di sana. Kalau saya meneliti catatan sejarawan barat seperti Coedes, bahawa Jayavarman II adalah putera raja Khmer yang dibesarkan di Jawa, di bawah jajahan raja-raja Melayu Sailendra.

Namun, berdasarkan artikel daripada rakan penulis yang menjadi inspirasi saya menulis artikel ini – cik Srikandi - dapat dilihat dakwaannya yang turut disokong oleh seorang pengkaji sejarah daripada Jepun, Prof Suzuki Takashi, daripada Universiti Kobe, yang menulis buku History Of Srivijaya, mengatakan bahawa sebenarnya Jayavarman II, pengasas empayar Angkor itu adalah gabenor Melayu yang memerintah Kemboja dan Khmer dan mewakili Empayar Melayu Srivijaya di sana.

Dan kemudian Jayavarman II inilah berjaya bebas dari pengaruh Srivijaya di selatan lalu menubuhkan sebuah kerajaan Angkor di Kemboja hari ini. Dakwa Srikandi lagi, terdapat sebahagian wat-wat tertentu di Thailand memaparkan sebahagian Ubosoth yang memiliki keris,sebagai perlambangan hulubalang-hulubalang Melayu semasa era Angkor. Gambar boleh dilihat pada link yang saya sertakan pada rujukan di akhir artikel.

Kalau kita ambil pendapat ini, maka tidak keterlaluan kita katakan bahawa Empayar Khmer yang nanti pada suatu masa, mempunyai populasi mencecah satu juta dan dilabel para sejarawan sebagai sebuah bandar mega pertama di dunia adalah diasaskan oleh seorang Raja Melayu yang pada asalnya seorang gabenor di bawah Srivijaya.

Perlunya untuk kita memahami perkara ini bahawa Jayavarman II ini, walaupun sesiapa pun beliau, berdasarkan perbezaan pendapat, sama ada putera raja Khmer yang ditangkap dan dibesarkan di Sailendra ataupun seorang gabenor Srivijaya berdarah Melayu, bahawa sesungguhnya budaya Melayu Sailendra ketika itu adalah di bawa oleh beliau buat pertama kalinya memasuki Kemboja. Ini dapat dilihat pada seni-seni bina awal yang di bawa masuk ke Kemboja.

Jacques Dumarcay dalam bukunya iaitu Cambodian Achitecture: Eight To Thirteenth mengatakan bahawa seni bina awal Khmer mempunyai banyak pengaruh dari Kerajaan MELAYU Champa, dan juga Jawa. Saya perkirakan Jawa yang dimaksudkan ialah daripada Dinasti Sailendra. Ini kerana candi-candi yang dipetik sebagai mempunyai pengaruh daripada Sailendra adalah sezaman dengan era Sailendra memerintah Pulau Jawa iaitu pada abad ke-8 sehingga ke abad ke-9.

Candi terawal yang dikatakan mempunyai pengaruh jawa ini adalah Candi Bakong. Dan Candi Bakong ini dikatakan dibina berdasarkan prototype Candi Borubudur yang dibina oleh orang Melayu Sailendra. Candi-candi lain yang terkemudian mewarisi pengaruh Melayu Champa dan Sailendra ini ialah Candi Baphuon, Prae Roup, Ta Keo dan banyak lagi.

Tidak ketinggalan yang berkongsi pandangan dengan Jacques Durmacay ini adalah sejarawan tempatan sendiri. Saya meneliti pendapat Shaharir Mohamad Zain, seorang pakar matematik dan juga sejarawan termasyhur di Malaysia dalam berkisar mengenai warisan seni bina Champa dan kerajaan Funan pada seni bina Khmer. Saya akan ulas lebih lanjut kerana pendapat Shaharir adalah lebih kepada seni bina Angkor Wat.

Kita perlu mempelajari beberapa perkara sebelum melompat terus ke penceritaan Angkor Wat. Maka di sini, dapatlah kita simpulkan beberapa perkara bahawa sejak zaman Jayavarman II, dapat dilihat bahawa budaya Melayu mula meresapi Khmer melalui seni bina yang berada di sana. Ini penting untuk kita cantum puzzle yang berkisarkan sejarah Melayu di IndoChina.

Perlu diketahui di sini bahawa budaya Melayu yang diperkatakan bukanlah budaya seni bina Melayu yang wujud pada hari ini. Budaya Melayu yang dipakai oleh orang Melayu kini adalah didefinisikan semula oleh Kesultanan Melayu Melaka selepas masuknya hidayah nur Islam ke dalam Tamadun Melayu. Budaya yang diperkatakan dalam artikel ini ialah ketika zaman Hindu-Buddha dahulu.

[Raja-Raja Melayu Yang Memerintah Kemboja]

Sebenarnya, selain daripada Jayavarman II, yang dimana keturunannya merupakan raja-raja Melayu yang memerintah Cambodia, terdapat sebuah susuk yang dipersetujui oleh para sejarawan bahawa datang daripada sebuah kerajaan Melayu Segenting Kra (Isthmian Malay) bernama Tambralingga.

Memperkenalkan kepada anda, seorang raja Melayu yang pernah memerintah Kemboja, dan dinasti ini dikatakan datangnya daripada sebuah kerajaan Melayu dari Selatan Kemboja, iaitu Tambralingga. Namanya ialah Suryavarman I.

Yang mencadangkan bahawa Suryavarman I seorang raja Melayu adalah George Coades, di mana beliau membangkitkan bahawa keluarga Sujita yang mempunyai perkaitan dengan Suryavarman I adalah pemerintah Melayu daripada Sri Dharmaraja. Antara hujah Coades dalam memperkatakan tentang asal usul Suryavarman I ini adalah mengenai gelaran “kamvtan” yang digunakan oleh Suryavarman I.

Menurut Coades, gelaran itu datang dari selatan Khmer, dan ianya merujuk kepada Tambralingga yang merupakan sebuah kerajaan Melayu di Segenting Kra. Selain itu, yang diperdebatkan ialah agama Suryavarman I ini. Agama yang dianuti oleh Suryavarman I ini juga adalah Buddha Mahayana daripada Tambralingga manakala agama yang dianuti oleh majorit di Khmer ketika itu ialah Hindu Devaraja. Coedes mencadangkan lagi bahawa keluarga Sujita ini mempunyai kaitan dengan kedatuan Srivijaya, sebuah empayar agung Melayu dari selatan Khmer.

Setelah Maharaja Jayavarman mangkat pada 1001 Masihi, perang saudara yang panjang selama 9 tahun telah meletus di Angkor. Suryavarman yang terlibat dalam peperangan tersebut telah berjaya mengalahkan pesaing-pesaingnya dan menaiki takhta sebagai Raja Kemboja pada 1010 Masihi.

Suka saya untuk menceritakan sejarah raja Melayu bernama Suryavarman I ini kerana kita perlu mengenali tokoh-tokoh Melayu yang memerintah Kemboja ketika itu, dalam kita untuk terus melompat ke topik Angkor Wat. Mari kita belajar secara ringkas kehebatan raja agung Suryavarman I ini:

a.) Toleransi beragama yang diamalkan oleh Suryavarman I apabila tidak memaksa para pengganut Hindu Devaraja memeluk agama Buddha bagi menjaga takhtanya.

b.) Empayar Khmer mula meluas ketika di bawah pengaruhnya, Dengan bantuan ayahnya yang memerintah Tambralingga, baginda memulakan dasar perluasaan kuasa Angkor sehingga menjadi sebuah empayar hebat. Antara negeri-negeri yang dimasukkan ke dalam jajahan takluknya ialah Negara Mon di Sungai Menam, Tanah Dataran Korat. Kemudian Suryavarman I meluaskan empayarnya ke bahagian selatan sehingga ke Segenting Kra dan juga utara Chiang Mai.

c.) Membina sebuah projek yang sangat mengagumkan iaitu West Baray. Teknologi membina sebuah tasik untuk mengairi seluruh tanaman di Angkor ini memang menakjubkan. Berukuran 7.8 kilometer x 2.1 kilometer, adalah sangat mengagumkan apabila seorang raja Melayu memerintah mampu membina sebuah takungan air yang sungguh menakjubkan.

Tidak cukup dengan itu, sejarawan Khmer iaitu Keng Vannsak pula mengatakan bahawa terdapat sebuah Dinasti raja-raja Melayu Champa yang pernah memerintah Khmer. [Dinasti itu dimulakan oleh Jayavarman VII (1181 - 1217) kemudian diteruskan oleh Indravarman II (1218 - 1242), dan diakhiri oleh Jayavarman VIII (1243 - 1294).

[Angkor Thom –Bandar Mega (Megapolis) Pertama Di Dunia]

Saya suka untuk kita belajar mengenai Angkor Thom, sebuah kota yang dibina oleh seorang raja Melayu daripada Champa, yang berdarah kacukan Khmer di sebelah ibunya, iaitu Jayavarman VII sebenarnya berdarah MELAYU CHAMPA. Dan perlunya anak Melayu mengenali siapakah Jayavarman VII ini.

Untuk pengetahuan semua, Angkor Thom adalah adalah dibina oleh Jayavarman VII yang dikatakan mempunyai darah Champa dari sebelah ayahnya, dan darah Khmer dari sebelah ibunya. Kalau kita ikut pendapat Ken Vannsak, maka mari kita katakan bahawa Angkor Thom itu dibina oleh raja Melayu kita.

Kenapa saya suka tegaskan di sini bahawa Angkor Thom dalam artikel saya? Kerana menurut beberapa dakwaan, Angkor Thom di label sebagai sebuah "Mega City" pertama di dunia. Bandar ini juga kekal sebagai antara bandar terbesar di dunia setaraf dengan Baghdad sehinggalah zaman Rennaisance di Eropah menyapa dunia.

Bandar ini mampu menampung sehingga 1 juta orang penduduk, di samping kehebatan lain kota ini yang sangat menakjubkan. Dikatakan bahawa kota ini dibina dalam bentuk empat segi yang sempurna. Ianya dikelilingi oleh dinding setinggi 18 meter, 12 kilometer lebar. Kota ini dikelilingi oleh parit selebar 100 meter, di mana dalam parit itu diletakkan buaya-buaya ganas. Terdapat pintu gerbang di setiap dinding, berjumlah dalam lima buah. Pintu gerbang ini setinggi 20 meter!

Banyak lagi sebenarnya keistimewaan Angkor Thom, ini namun takut akan memanjangkan lagi artikel ini. Cukuplah kita tahu bahawa Angkor Thom ialah sebuah bandar mega-city yang diikitraf dunia. Namun, dakwaan bahawa Jayavarman VII ini adalah Melayu Champa masih belum cukup kuat kerana Keng Vanssak terpaksa melarikan diri ke Perancis kerana diburu oleh pihak berkuasa Kemboja akibat melahirkan teori ini. Dokumen yang didakwa dimiliki oleh sejarawan Perancis ini kekal misteri kerana beliau dipaksa untuk menyembunyikan dokumen yang didakwa dari Coedes dan menceritakan tentang asal usul Jayavarman VII dari Champa.

[Angkor Wat, 7 Keajaiban Dunia]

Ratusan tahun selepas era Suryavarman I, terdapat seorang raja agung iaitu Suryavarman II, yang mempunyai susur galur dengan raja Melayu Suryavarman I yang merampas takhta dari kerajaan Melayu Sri Dharmaraja/Ligor/Tambralingga. Raja agung inilah yang disahkan dalam sejarah sebagai pembina Angkor Wat, salah satu daripada 7 Keajaiban Purba dunia silam.

Kedua, saya mendapati terdapat banyak dakwaan yang mengatakan bahawa seni bina Angkor Wat dipengaruhi oleh seni bina Borubudur di Sailendra. Ini tidak dihairankan sama sekali kerana kalau kita perhatikan di sini, pengaruh Dinasti Melayu Sailendra dan juga dari Champa dan Funan dalam pembinaan dan kebudayaan di Khmer.

Artikel kami mengenai Borubudur boleh di baca di sini:


Seorang sejarawan Malaysia, iaitu Shaharir Mohd Zain dipetik dalam makalahnya berpendapat bahawa sesungguhnya seni bina Angkor Wat mempunyai pengaruh dari Champa. Shaharir dipetik lagi dengan mengetengahkan teknologi seni bina candi orang Melayu Champa adalah antara seni bina candi tertua di dunia sejak abad ke-4 Masihi lagi.

William Michael Johnston, seorang sejarawan dari Amerika pula ada memetik bahawa antara seni bina yang didapati terdapat persamaan antara Angkor Wat dan juga Borubudur dari Dinasti Sailendra ialah bentuk piramid bertingkat yang menggelilingi sebuah monument di tengah-tengah yang melambangkan Gunung Meru,sebuah gunung yang dianggap mulia dalam ajaran Hindu dan Buddha .

Namun kalau anda begitu setia mengikuti artikel ini, anda tidak akan hairan dengan apa yang terpapar dalam info ini. Macam yang diperkatakan oleh kami, sejak zaman Jayavarman II lagi, dikatakan bahawa budaya dan seni bina daripada Sailendra diambil lalu diasimilasikan oleh masyarakat Khmer. Kalau kalian perasan, saya ada menyebut mengenai Candi Bakong pada awal artikel saya untuk mengulas mengenai kemasukan Budaya Melayu ke dalam Khmer. Sebenarnya, seni bina candi Bakong ini dikatakan sangat mirip sekali dengan pembinaan Angkor Wat. Sebuah menara yang dibina pada candi Bakong ini dikatakan mirip sekali dengan menara yang dibina di Angkor Wat.


Justeru, pembinaan Angkor Wat harus berterima kasih kepada sumbangan daripada Dinasti Melayu Sailendra kerana kalau tidak kerana berkat teknologi, seni bina, dan pengaruh orang Melayu, tidak akan berdirinya sebuah monumen gagah ini. Sekejap... apa sebenarnya yang dibanggakan sangat mengenai Angkor Wat?

Kalau raja yang berketurunan Melayu yang membinanya, dan sekalipun teknologi dan seni bina daripada bangsa Melayu itu menyebabkan monumen ini berdiri, apa yang hebat sangat pasal Angkor Wat yang menyebabkan kita harus tumpang bangga?

Mahu menjawab persoalan itu, mari saya akan letakkan beberapa trivia mengenai Angkor Wat dan mengapakah binaan ini dinobatkan sebagai salah satu keajaiban dunia:

1.) Seni ukiran penuh dengan keindahan, dengan gambaran-gambar mitologi agama Hindu seperti pertempuran epik yang tercatat di dalam Epik Ramayana dan Mahabrata pada relif rendah. Ini adalah seni ukiran yang lebih kurang sama yang ditemui di Borubudur, yang jauh beribu batu daripada Angkor Wat.

Antara yang terkenal ialah Churning of the Sea of Milk yang didedahkan mewakili perkiraan hari untuk solstis musim sejuk dan juga panas. Ini turut membuktikan bahawa pembina Angkor Wat mengetahui bahawa bumi itu Sfera sejak ratusan tahun yang lalu sebelum saintis dunia Barat mengetahuinya!

2.) Menara-menara di Angkor Wat dicatatkan terdapat beberapa penjajaran lunar menandakan bahawa menara-menara yang ada mencapai tinggi sehingga setinggi 65 meter ini memainkan peranan penting dalam bidang astronomi untuk para ahli astronomi mencatatkan penggerakan bulan dan bintang.

3.) Angkor Wat diperbuat daripada jutaan tan batu pasir dan berat yang digunakan untuk membina menara ini adalah lebih berat daripada jumlah berat yang digunakan untuk pembinaan Piramid Giza di Mesir. Batu-batu pasir ini diangkut sejauh 40 kilometer daripada timur laut lokasi monumen ini dibina. Dipercayai bahawa batu-batu ini diangkut di dalam rakit dan dihanyutkan melalui terusan air (baray).

4.) Dikatakan bahawa ianya adalah salah satu daripada monumen yang terindah di dunia. Salah seorang pengembara Perancis bernama Henri Mouhot yang memperkenalkan monumen ini pada dunia luar pernah berkata:

“Kuil ini adalah saingan kepada Haikal Sulaiman di Jerusalem, dan ianya adalah dibina oleh pengukir-pengkuir purba yang sehebat Michelangelo, dan tidak keterlaluan kalau saya sematkan bahawa ianya merupakan sebuah binaan tercantik di dunia. Sesungguhnya, binaan ini jauh lebih cantik daripada segala yang ditinggalkan oleh Tamadun Rom dan Yunani kepada kita.”

[Kesimpulan]

Melihatkan bukti-bukti di atas, saya terus teringat akan dakwaan sejarawan Thailand mengenai Khmer. Umumnya kita mengetahui negara Kemboja dan juga Thailand memang saling bermusuhan sejak lama dahulu kerana Empayar Khmer ditawan oleh orang Thai.

Menurut beberapa dakwaan, di katakan bahawa orang Khom yang mengajarkan erti tamadun kepada orang Khmer. Orang Khmer bermati-mati menafikan perkara ini. Namun, daripada penemuan-penemuan yang dibuat di atas, maka tidak keterlaluan kalau kita mengatakan bahawa Khom itu merujuk kepada orang Melayu?

Oh ya, terdapat juga dakwaan yang saya jumpa yang konon mengatakan bahawa dinasti yang betul-betul dibina oleh orang Khmer adalah bermula pada tahun 1336, yang di mana pemerintahannya dimulakan oleh Trosok Peam (1336 – 134). Sebelum itu, dinasti-dinasti Empayar Khmer sebenarnya diperintah oleh raja dari bangsa yang berbeza termasuk orang Thai sendiri.

Apa-apa pun artikel ini bukanlah untuk menoktahkan bahawa apa yang dipaparkan di dalam ini adalah kebenaran semata-mata, kerana apa yang dipaparkan sekadar hipotesis dan teori yang dicadangkan oleh penulis sendiri berdasarkan pembacaannya. Ianya masih boleh dibincangkan oleh kita semua, memandangkan setiap hari penemuan demi penemuan ditemukan oleh sejarawan. Artikel ini masih terbuka kepada perbincangan daripada para likers semua.

Saya mahu mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan penulis yang lain, yang membantu dalam penyiapan artikel ini seperti Srikandi, Amir Wijaya, ASJ dan juga RAD.

Rujukan:

1. George Coedès. Walter F. Vella, ed. The Indianized states of Southeast Asia. Terjemahan. Susan Brown Cowing dari University of Hawai`i.


3. Jacques Dumarçay; et al. (2001). Cambodian Architecture, Eight to Thirteenth Century. Pg 44-45

4. Classical Civilizations of South-East Asia. Vladimir Braginsk. Pg 88.

5. Tokoh-Tokoh Melayu Agung Dalam Sejarah. Raja Mohd Afandi pg 21 – 24




9. A Global History of Architecture oleh Francis D. K. Ching, Mark M. Jarzombek, Vikramaditya Prakas

10. Sains Matematik dalam acuan bahasa Melayu dan Islam oleh Shaharir Mohamad Zain. Pg 82

11. Encyclopedia of Monasticism: A-L oleh William M. Johnston. Pg 27



-HE-
Kredit : The Patriots
Copy and paste: 
11/2/2022 > 9 Rejab 1443H: 7.42 am

No comments: