Wednesday, 21 November 2018

MAT KELUBI Pahlawan yang dilupakan

MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika tidak disertai dengan cerita penglibatan seorang pahlawan bernama Mat Kelubi.
Mat Kelubi ialah pahlawan yang mati dalam perjuangannya.
Beberapa tahun selepas Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (1836-1914) terpaksa menandatangani perjanjian pada tahun 1888 meminta British memberi perlindungan ke atas Pahang seperti mana perlindungan yang diberikan ke atas Perak, Selangor dan Sungai Ujong, Negeri Sembilan, pergolakan tercetus di Pahang.
John P. Rodger dilantik sebagai Residen Inggeris pertama di Pahang dan bermulalah campur tangan Inggeris secara langsung dalam hal-hal pentadbiran, politik dan ekonomi negeri Pahang.
Di Perak pada tahun 1875, seorang Residen Inggeris, J.W.W. Birch telah mati dibunuh.
Selepas 13 tahun peristiwa pembunuhan di Pasir Salak, Perak, cengkaman Inggeris semakin kuat di Tanah Melayu. Sultan Ahmad tidak mampu lagi menolak walaupun para pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Maharaja Perba Jelai (Tok Raja), Datuk Orang Kaya Chenor dan Imam Perang Indera Gajah (Tok Gajah) meminta baginda menolak permintaan Inggeris dan bersedia berperang dengan Inggeris.
Dalam gerakan menentang Inggeris, Mat Kelubi atau Mamat Kelubi ialah seorang pengikut setia Dato Bahaman, Tok Gajah serta anaknya Mat Kilau.
Kesetiaan Mat Kelubi bermula semasa Dato Bahaman, Orang Kaya Semantan, dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Besar Daerah dengan kuasa pentadbiran di Sungai Semantan, Temerloh hingga ke Jeram, Bentong. Dato Bahaman telah melantik Mat Kelubi sebagai panglimanya sendiri.
Dengan pelantikan itu, Mat Kelubi bertanggungjawab sebagai ‘Kapit’ (pengawal peribadi) kepada Dato Bahaman. Nama sebenar Mat Kelubi ialah Awang Ahmad dan dia merupakan anak saudara Tok Gajah.
Ertinya Mat Kelubi ialah sepupu Mat Kilau, seorang pahlawan terkenal Pahang yang dilahirkan pada tahun 1865, terlibat dalam gerakan menentang Inggeris dan menyembunyikan identitinya sehingga tahun 1969 pada usia 104 tahun.
Pada awal pergolakan di Pahang setelah kedatangan Inggeris, Mat Kelubi hampir membunuh seorang pegawai Inggeris yang terlibat dalam satu pergaduhan dengan Dato Bahaman pada Oktober 1891 ekoran keengganan Dato Bahaman membenarkan Inggeris membuka lombong bijih di Semantan.
Bagaimanapun, tindakan Mat Kelubi itu dilarang oleh Dato Bahaman yang tidak mahu persengketaan berlarutan.
Mengutip cukai
Dato Bahaman juga marah dengan perbuatan Penguasa Inggeris di Hulu Pahang, E.A. Wise mendirikan balai polis di Lubuk Terua, Lanchang yang merupakan daerah kekuasaannya sebagai Orang Besar Semantan. Inggeris tidak lagi membenarkan Dato Bahaman mengutip cukai hasil hutan.
Ahli sejarah, Buyong Adil menulis dalam buku Sejarah Pahang bahawa pada tahun 1891, penduduk negeri Pahang terdiri daripada 50,509 orang Melayu, 3,241 orang Cina, 2,032 Orang Asli dan 102 orang Eropah.
Mengikut kajian riwayat Dato Bahaman oleh Noriah Sulong daripada Universiti Malaya, gerakan menentang Inggeris di Pahang berlarutan antara tahun 1891 hingga 1894.
Pada tahap kedua perjuangan pahlawan Pahang menentang campur tangan Inggeris, para pemimpin yang digelar pemberontak Pahang telah berpindah ke Terengganu dan Kelantan. Di Terengganu, Mat Kelubi dan pejuang Pahang bertemu dengan seorang ulama bernama Ungku Saiyid Paloh.
Bantuan Saiyid Paloh seramai 200 orang dari Besut, Terengganu serta Ulu Lebir, Kelantan telah bergabung tenaga dengan angkatan Pahang bersama Dato Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Awang Nong dan Teh Ibrahim. Mat Kelubi sebagai pengikut yang setia turut balik berjuang di Pahang.
Setelah melalui sempadan Terengganu-Pahang, pada 12 Jun 1894 mereka menghilir perahu di Sungai Tembeling hingga ke Pasir Tambang, Jerantut.
Di Pasir Tambang, mereka menyerang balai Polis Kuala Tembeling, membunuh lima orang polis Sikh yang ditempatkan oleh Inggeris untuk berkawal di situ.
Bagaimanapun, salah seorang daripada anggota polis Sikh yang dikenali sebagai Ram Singh dapat melarikan diri menaiki perahu hanyut menghilir Sungai Pahang sampai ke Pulau Tawar. Ram Singh menceritakan penyerangan balai polis Kuala Tembeling kepada Orang Besar Pulau Tawar yang menyebelahi Inggeris.
Berikutan kejadian itu, satu pertemuan antara Dato Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Lela di pihak penentang Inggeris dengan Tok Raja serta Panglima Garang Yusof yang bersimpati dengan Inggeris diadakan di Kampung Kedondong, Pulau Tawar untuk mencari jalan penyelesaian kepada persengketaan ekoran campur tangan Inggeris.
Mat Kelubi tidak menyertai pertemuan tersebut. Dia sebaliknya tinggal berkawal di Kuala Tembeling bersama lebih 50 orang pengikutnya.
Setelah gagal dalam perundingan dengan Tok Raja dan Panglima Garang Yusof, Dato Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau serta Mat Lela mudik balik ke Kuala Tembeling. Dalam perjalanan mereka bertempur di kubu Inggeris di Jeram Ampai, dan dapat membunuh 11 orang polis Sikh.
Mat Kelubi pula dengan enam orang pengikutnya mudik Sungai Jelai untuk menyekat tersebarnya berita kejatuhan balai polis Kuala Tembeling kepada pegawai Inggeris di Lipis yang ketika itu merupakan ibu negeri Pahang. Ketika itu Mat Kelubi tidak mengetahui kumpulan Dato Bahaman telah pulang dari Pulau Tawar dan berperang di Jeram Ampai.
Dalam buku Sejarah Pahang, Buyong Adil menjelaskan, pertempuran di Jeram Ampai mengorbankan 40 orang pengikut Dato Bahaman.
Dalam perkelahian di Jeram Ampai itu, pihak Inggeris juga telah kehilangan seorang pegawai kanannya, Wise, yang terbunuh dan mayatnya dikebumikan di Pasir Tambang, Kuala Tembeling.
Empat hari kemudian, semasa menaiki perahu di Sungai Tembeling bersama tiga orang pengikutnya pada 16 Jun 1894, Mat Kelubi pula telah diserang hendap oleh kumpulan pengikut Panglima Garang Yusof yang diupah oleh Inggeris.
Mat Kelubi terkena tembakan senapang. Dia terjun ke dalam sungai. Panglima Garang Yusof turut terjun ke dalam sungai dan menikam Mat Kelubi bertubi-tubi sehingga mati.
Sepupu pahlawan Mat Kilau itu berasal dari Kampung Pedah, Jerantut. Mat Kelubi berkahwin dengan Hawa dan memperoleh seorang anak bernama Awang.
Menurut cucu Mat Kelubi, Jalaluddin Awang yang ditemui penulis dua tahun lalu, ayahnya Awang telah berkahwin dengan Lehah. Mereka memperoleh lima orang anak bernama Hindun, Rashid, Habsah, Ropiah dan Jalaluddin.
Kata Jalaluddin yang sudah pun meninggal dunia pada usia 77 tahun pada Mac tahun lalu, ibunya pernah bercerita, datuknya Mat Kelubi telah mati ditembak oleh orang Melayu yang menjadi musuhnya ketika berperahu di sungai.
“Mat Kelubi terjatuh ke dalam sungai, kepalanya dikerat, manakala badannya tanpa kepala telah hanyut di Sungai Pahang lalu terdampar pada pasir di Pulau Dedari, Kampung Pedah, Jerantut,” kata Jalaluddin dalam satu wawancara dengan penulis.
Mayat
Orang kampung yang menjumpai dan mengenali Mat Kelubi membawa mayatnya untuk dikebumikan di perkuburan Kampung Lama Pedah.
Menurut Jalaluddin, sehingga kini kubur datuknya itu terletak berhampiran tiang masjid kampung tersebut dengan ditandakan menggunakan nisan batu sungai.
Wise, pegawai Inggeris yang terbunuh dalam pertempuran dengan orang Bahaman di Jeram Ampai, Sungai Tembeling, pernah menjadi Pegawai Daerah Temerloh antara tahun 1889-1891.
Pusara Wise terletak di atas bukit dikenali sebagai Bukit Gemuroh di pinggir Sungai Pahang di Pasir Tambang berhadapan pekan kecil Kuala Tembeling.
Di samping pusara Wise, terdapat sebuah lagi pusara dipercayai kubur seorang pegawai Inggeris yang tidak dikenali kerana tidak ada petunjuk pada batu nisannya.
Pasir Tambang menjadi tempat yang mencatatkan sejarah perjuangan pahlawan Pahang menentang Inggeris dan menjadi lokasi pertemuan para pembesar Pahang membawa balik Sultan Pahang Era Moden pertama, Sultan Ahmad dari Dungun, Terengganu ke Pahang.
Menurut Hikayat Pahang, iaitu cerita tradisi persejarahan Pahang dan juga tulisan tokoh sejarah Muhamad Yusoff Hashim dan Aruna Gopinath, bertempat di Pasir Tambang inilah Wan Ahmad menerima ikrar, sumpah setia serta pengakuan taat setia kepada Raja oleh orang besar-besar Pahang.
Wan Ahmad yang kemudian menjadi Sultan diceritakan telah bertitah kepada sekian orang-orang besar dengan menunjukkan perasaan tulus ikhlas serta menerima kasih dengan suara lemah lembut dan manisnya. Titah baginda: “Sebagai Raja, insya-Allah Taala, saya akan balas kebaktian sekian datuk-datuk.”
Diceritakan kononnya selepas pertempuran pada 16 Jun 1894, kepala Mat Kelubi telah dibawa ke Lipis untuk ditunjukkan kepada Inggeris sebagai bukti telah dibunuh.
Hanya badan tanpa kepala yang dipercayai Mat Kelubi dikatakan ditanam di Masjid Kampung Pedah iaitu kuburnya sekarang.
*Dipetik dari akhbar Utusan
Copy and paste: dari Facebook Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
21.11.2018: 12.50 pm

No comments: