Wednesday, 17 October 2018

TEKNOLOGI KUANTUM vs ANCAMAN JIN

Agak aneh tajuk artikel saya kali ini bukan? Ia merupakan dua hal yang berbeza untuk dibandingkan namun hakikatnya, masyarakat Malaysia khususnya komuniti Melayu-Islam perlu luangkan masa merenung apa sebenarnya yang mereka "terlepas" pandang, serta apa halnya yang mereka terlampau beri perhatian sehingga merendahkan tahap keintelektualan sebahagian dari kita. Sebagai umat Islam, kita wajib percaya kewujudan alam ghaib. Dalam kepercayaan agama-agama lain pun, kewujudan alam ghaib merupakan sebahagian dari pegangan spiritual para penganutnya. Definisi serta kefahaman manusia terhadap alam ghaib ini bergantung kepada tahap ilmu serta pendedahan mereka terhadap maklumat-maklumat yang mereka baca atau kaji. Ada juga yang menghayatinya melalui pengalaman peribadi. Maka kesimpulannya, perspektif seseorang itu terhadap alam ghaib adalah bersifat abstrak, subjektif dan individual. Saya tidak mahu berbicara lebih mengenai alam ghaib ini kerana saya bukanlah pakar mengenainya.
Namun oleh kerana kecenderungan kebanyakan masyarakat Asia yang konservatif terutama kaum Melayu di negara ini dalam perihal tersebut, ia cukup signifikan untuk dikupas dan dibicarakan di peringkat akademik bagi mencari faktor serta kesannya terhadap psikologi sesuatu bangsa, yang secara tidak langsung boleh mempengaruhi tahap pencapaian serta budaya sesuatu tamadun. Alam ghaib biasanya dikait dengan jin, iaitu sejenis makhluk halus dalam ajaran Islam yang hampir sama maksudnya dengan panggilan "Hantu" oleh orang Melayu atau "Demon" oleh orang Barat. Jin mungkin bukan merupakan salah satu faktor yang mampu mempengaruhi jatuh bangunnya sesebuah kerajaan di dunia moden hari ini. Tetapi kefanatikan dan kejumudan sesetengah orang Melayu kita dalam menafsirkan keterlibatan jin dalam kehidupan mereka menjadi punca tidak langsung kemunduran kaum majoriti negara ini terutama dalam bidang sains dan teknologi. Manakan tidak, di era teknologi kuantum hari ini, masih ada Melayu yang seringkali menyalahkan jin sebagai punca penyakit mental, konflik rumah tangga, kesukaran mencari rezeki termasuklah masalah akademik anak.
Pendek kata, jika boleh, jenis golongan Melayu ultra konservatif seperti ini mahu salahkan jin sahaja jika apa-apa terjadi dalam kehidupan seharian mereka. Dan sudah tentu ia mendatangkan durian runtuh kepada para "peniaga" agama termasuklah mereka yang menggelarkan diri sendiri sebagai "Ustaz" atau "Pakar" menghalau makhluk halus tersebut. Pernah dengar kaum selain Melayu mengalami histeria secara beramai-ramai dalam waktu serentak di negara ini? Di kala bangsa-bangsa maju di dunia hari ini terus fokus mencengkam dunia dengan kekuatan ekonomi dan teknologi terkini, umat Melayu di negara ini pula masih "berperang" dengan hantu raya. Umat Islam lupa bahawa tamadun Islam zaman Umayyah dan Abbasiyah hebat dahulu kerana pencapaian ilmu sains dan teknologi yang mendatangkan manfaat kepada umat manusia. Masalah kesihatan dirungkai melalui kajian saintifik serta bedah siasat oleh para ilmuan Muslim ketika itu. Mereka itulah pelita tamadun Islam yang sepatutnya dicontohi oleh Melayu yang mengaku Islam. Jika para pedagang Muslim yang hadir ke Nusantara dahulu hanya berbekalkan cerita lawan jin, tidak mungkin nenek moyang Rumpun Melayu menerima akidah Islam. Fikirlah.
Bukan kita tidak boleh percaya kepada kewujudan alam ghaib atau jin, namun biarlah berpada-pada. Mujur bangsa Jin tersebut tidak boleh jadi ahli parlimen negara Malaysia untuk membela nasib puak mereka yang seringkali dikambing-hitamkan dan dipersalahkan atas kelemahan manusia itu sendiri. Sewajarnya Melayu perlu mendahulukan pemikiran rasional dan analitikal apabila sesuatu ujian kehidupan itu terjadi. Soal campurtangan alam ghaib tersebut biarlah dalam senarai akhir setiap pertimbangan. Bangsa-bangsa maju hari ini juga sedar kepentingan alam ghaib tafsiran mereka. Ia dinamakan alam kuantum (Quantum Realm). Dan mereka sedang mengkaji "Quantum Theory of Gravity" untuk memahami realiti asas fizik dunia ini. Lantas dari ilmu tersebut, negara-negara kuasa besar tertentu sedang membangunkan Teknologi Kuantum untuk kegunaan pelbagai bidang termasuk perkomputeran, tenaga alternatif serta senjata generasi baru. Mereka rela membangunkan kompleks saintifik gergasi jenis "Large Hadron Collider" bernama CERN di Eropah demi mencapai alam ghaib yang misteri tersebut. China juga mengorak langkah ke arah itu. Kita di Malaysia, Nusantara dan Dunia Islam bila lagi?
-Dr. Muhammad Faiz Bin Na'aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU
Ketua Biro Integriti ARMADA Nasional
17 Oktober 2018

Copy and paste: Facebook - Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
17 Okt 2018: 10.45 mlm

No comments: