Tuesday, 20 February 2018

Ulama, Tabligh, Tarekat

Pernah sekali ada orang tanya pada Shaikh Zakariyya rahimahullah,
"Antara kerja Tabligh dan kerja Khanqah, yang mana lebih penting dan patut saya utamakan?"
Maulana Zakariyya rah. sangat terganggu dengan soalan berbentuk provokasi seperti ini kemudiannya menjawab lebih kurang:
"Antara makanan dengan air, mana yang lebih penting dan mana yang patut kamu utamakan?"
Lelaki tu terpinga-pinga tak tau nak jawab apa.
Dari jawapan Maulana Zakariyya yang tentunya adalah ilham kewalian daripada Allah ni dapat kita fahami agama dengan sempurna, bukan dengan nafsu kita. Kita yang jauh dari Allah ni akan mudah taksub dengan satu jalan dan anggap itu sahaja jalan agama dan yang lain-lain bukan agama. Lalu menganggap dirinya sudah pun faham agama dan orang lain tidak faham agama.
Sedangkan ini salah faham besar!
Orang yang kenal agama melalui ilmu, akan taksub dengan ilmu.
Yang kenal melalui dakwah, akan taksub pada dakwah.
Yang kenal melalui Tareqat, akan taksub pada Tareqat.
Sedangkan jalan suci para nabi ialah menjalani hidup dengan agama yang sempurna bukan hanya dengan satu juzuk dari agama sahaja.
Orang yang hanya berdakwah dan mujahadah tabligh, iman mereka akan tinggi melangit, tetapi hati mereka akan kekal kotor dan tak akan kecapi kerohanian istimewa yang dikecapi oleh ahli-nisbat (ahli Tareqat Muktabar). Mereka akan mengganggap diri mereka sebagai sohib-hidayat (pemilik Hidayat) dan menganggap sesiapa yang tidak mengikut jalannya sebagai golongan yang "belum dapat hidayah" walaupun orang itu seorang ulama besar atau wali Allah. Mereka akan merasa sangat berjasa pada ummah kerana kerja-kerja mereka yang akhirnya orang ramai memang akan mendapat manfaat daripada dakwah mereka, tetapi mereka sendiri gagal Islah diri dengan dakwah mereka sendiri.
Orang yang hanya sibuk dengan Tareqat, hatinya tentu akan bersih suci dari segala penyakit hati, mudah taubat dan insaf, rendah diri dan melihat diri hina dan lain-lain sifat kemuliaan akan zahir pada batinnya, tetapi dia tidak akan mendapat kekuatan iman sepertimana yang didapati oleh para da'i melalui mujahadah dan pengorbanan mereka, dia tidak akan dapat fikir dan risau para nabi dan tidak mendapat sifat peduli pada ummah dengan penuh kasih sayang dan hanya akan sibuk dengan diri sendiri. Yang lebih menakutkan ialah apabila ditipu syaitan dengan perkara kerohanian seperti kasyaf, karomah, sirr, Nur dan sebagainya hingga dia hanya sibuk mencari itu bukan mencari Allah. Ramai yang tersesat dalam diri sendiri dan memandang orang lain yang tidak alami apa yang dia alami sebagai batil dan sesat.
Orang yang hanya sibuk dengan ilmu tanpa peduli pada dakwah dan Tareqah, mereka akan alami masalah hati yang sangat dahsyat, mereka akan kejar dunia dengan ilmu, kejar mahsyur dengan ilmu, kejar nama dan pujian dengan mahsyur, beranggapan dirinya paling berjasa pada ummah dan mengganggap semua orang yang jahil sebagai hina termasuklah pekerja² agama, maka akan terzahirlah para ulama dunia yang sangat jelas dan terang mengaut untung dunia dengan ilmunya , tanpa dunia, ilmunya tidak akan diberi kepada sesiapa pun, takabur akan membesar, tamak akan subur dan lain-lain sifat yang semuanya dapat ditutup dengan pakaian ulama sehingga orang ramai menganggap dia adalah pewaris nabi yang sahih.
Semoga Allah lindungi kita semua daripada fitnah-fitnah agama.
Wallahu'alam.
Dari Ustaz Hafiz, kalam Maulana Hussein
Copy and paste

No comments: