Monday, 12 February 2018

MELAYU BUKAN PENDATANG – MD SALLEH YAAPAR

PULAU PINANG, 27 FEBRUARI 2015 – Istilah ‘Pendatang’ yang cuba diaplikasikan terhadap orang Melayu di negara ini perlu digugurkan segera, kerana ia bercanggah dengan rakaman sejarah.
Perkara ini dibangkitkan oleh Penyelaras Operasi, Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CENPRIS), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, yang menegaskan bahawa orang Melayu berasal dari Kepulauan Melayu dan bukanlah pendatang.
Sebaliknya, dari sini suku-sakat mereka tersebar luas di Lautan Hindi & Lautan Pasifik, lantas menjadi penduduk awal/pribumi di sana pula.
“Sejarah membuktikan nama Melayu sudah dikenali sejak zaman Ptolemy (90-168 CE) pada abad kedua. Pada abad ketujuh telah wujud kerajaan bernama Melayu di sekitar Jambi. Ia kemudiannya terangkum ke dalam kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang & berkuasa di seluruh Kepulauan Melayu sehingga abad ke-13,” kata beliau ketika menyampaikan ucap utama bertajuk “The Malays: Their Origins & Migrations” di Bengkel Antarabangsa Migrasi dan Kesepaduan dalam Masyarakat Multi-Enik: Imigrasi Bukan Kelaziman, Warisan Nusantara dan Tanggungjawab Sosial di Bilik Persidangan, Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa.
Ujar Salleh, impak Srivijaya menyebabkan banyak penduduk menerima identiti mereka sebagai Melayu, dengan wilayah mereka pula dikenal sebagai tanah Melayu.
“Ini meliputi Jambi, Palembang, Minangkabau, Siak, Kampar, Rokan, Pane, Kampe, Aru, Mandaileng, Tumiang, Perlak, Samudra, Lamuri & Barus di Sumatera, bersama Langkasuka, Kedah, Kelantan, Pahang dll di Semenanjung.”
“Apabila Parameswara beralih dari Palembang ke Singapura (1389) dan Melaka (1402), ia bukanlah pendatang. Ia hanya merantau dan berpindah dari satu daerah ke daerah yang lain dalam wilayah besar atau tanah air kepunyaan bangsanya”
Justeru itu Salleh menegaskan adalah salah untuk sesiapapun menggangap orang Melayu sebagai pendatang di mana-mana bahagian Kepulauan Melayu.
Turut hadir Prof. Madya Dr. Reevany Bustami, Pengerusi, CSR & Kumpulan Bertindak Transdisiplin Dasar Awam, USM, Prof. Madya Dr. Elin Palm, Centre for Applied Ethics, Linkoping University, Sweden.
Selain itu, beliau menambah di dalam konteks pra-sejarah juga, orang Melayu bukanlah dikategori sebagai pendatang.
“Idea bahawa mereka berasal dari Taiwan & Yunnan, ternyata rapuh dan ketinggalan zaman. Malangnya, ia masih dijaja dalam dunia akademik, justeru sering diseret masuk ke dalam wacana awam & polimik politik semasa.”
“Kajian-kajian mutakhir menunjukkan bahawa nenek moyang orang Melayu-Polynesia telah mencapai kemahiran pertanian & samudra di Kepulauan Melayu, dan pada zaman yang lebih awal.”
Salleh turut merungkai kajian terbaru Anthony Dosset dkk, Universiti Wollongong, di Gua Moros, Sulawesi pada 2013 mendapati bahawa sekitar 39,000 tahun lalu sudah ada manusia di wilayah ini dan mereka sudah hebat membuat stensil tangan & lukisan rusababi di dinding gua.
“Hasil kajian Dr. Danny Natawidjaja, pakar geologi dari the Indonesia, malah lebih penting lagi. Hal ini kerana ia menemui piramid di desa Karyamukti di Jawa Barat. Piramid itu dibina di zaman Air Batu dan kini dikenali sebagai Gunung Padang.”
“Malangnya apabila air batu cair, maka sebahagian besar Kepulauan Melayu tenggelam bersama peradabannya, meninggalkan hanya pulau Jawa, Sumatera, Borneo dan tanah semenanjung. Mala petaka alam itu menyebabkan sebahagian besar umat Melayu terpaksa melarikan diri. Mereka yang mewarisi satu rumpun bahasa, terpaksa merentas dua lautan, termasuk ke Taiwan dan China di utara, ke New Zealand di selatan, ke pulau-pulau di Pasifik Selatan di timur, dan ke Madagascar di barat. Di sana mereka menjadi penduduk awal/pribumi.”
“Peristiwa di zaman kuno ini ditampilkan oleh Dr. Stephen Oppenheimer sebagai teori “Keluar dari Benua Sunda”melalui bukunya Eden in the East: The DrownedContinent of Southeast Asia (1998). Oppenheimer ialah ahli sains Universiti Oxford& mantan profesor arkeologi USM”
Akhir Salleh merumuskan bahawa, dari zaman pra-sejarah lagi orang Melayu sudah berada di Kepulauan Melayu dan mereka bukanlah pendatang di sini.
Apa-apa penggubalan dasar di wilayah ini perlu mengambil kira hakikat ini.
Bengkel antarabangsa yang berlangsung selama dua hari melibatkan peserta dari beberapa buah negara seperti Malaysia, Indonesia, Sweden dan Thailand merupakan anjuran CSR & Kumpulan Bertindak Transdisiplin Dasar Awam, Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) dengan kerasama Centre for Applied Ethics, Linkoping University, Sweden. Teks: Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar.
Sumber:



No comments: