Tuesday, 30 May 2017

Tarikh melihat anak bulan puasa, hari raya dan sejarahnya


Assalamualaikum dan salam 1Dunia, pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia selepas Maghrib pada 10/8/2010 sememangnya ditunggu oleh semua rakyat Malaysia untuk pengetahui tarikh sebenar berpuasa. Majlis Raja-Raja telahpun menetapkan bahawa tarikh melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa bagi semua umat Islam di seluruh Malaysia ialah pada petang Selasa, 10 Ogos bersamaan 29 Syaaban 1431 Hijrah.

Fakta menunjukkan amalan merukyah atau melihat anak bulan bermula sejak dari tahun 1933 di negeri Johor yang di ketuai oleh Datuk Al Syed Salaim bin Syed Hassan Al-Attas. Kemudian pada tahun 1934 Al Syed Alwi bin Tahir Al-Hadad telah mengetuai rombongan merukyah anak bulan dari atas menara Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru yang kebetulan terletak di tepi pantai. Walau bagaimanapun tiada bukti yang menunjukkan keupayaan tempat tersebut untuk merukyah anak bulan.

Apabila Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam ditubuhkan, bermula tahun 1972 penentuan kedua-dua tarikh ini dilakukan secara rukyah dan hisab. Kaedah ini menyatakan sekiranya anak bulan tidak kelihatan ketika merukyah, tetapi mengikut hisab falak (kiraan untuk menentukan kedudukan anak bulan) anak bulan itu wujud dan umurnya mencapai 8 jam ketika matahari terbenam, maka hisab falak digunakan.

Amalan penetapan puasa dan hari raya ini berjalan dengan sempurna sehinggalah pada tahun 1977, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam tiba-tiba telah menerima rumusan Seminar Pentadbiran Undang-undang Jenayah dan Keluarga Islam. Rumusan seminar tersebut menyatakan tarikh puasa dan hari raya hanya ditentukan dengan cara rukyah sahaja. Maknanya ketika merukyah anak bulan pada petang 29 Syaaban atau Ramadhan jika mendapati anak bulan tidak kelihatan, keesokan harinya dicukupkan menjadi 30 Syaaban atau Ramadhan. Penetapan ini tidak mengambil kira hisab tetapi ianya hanya berfungsi sekadar membantu dalam kerja-kerja merukyah sahaja.

Kesan dari penetapan ini timbul semula perbincangan hangat berhubung dengan kaedah yang diamalkan. Ini jelas memperlihatkan negara kita sering sahaja terlewat memulakan puasa dan hari raya berbanding dengan negara-negara lain. Apa yang berlaku negara kita sentiasa mencukupkan puasa sebanyak 30 hari kerana anak bulan tidak kelihatan disebabkan faktor cuaca, wal hal seperti yang sedia maklum bulan-bulan Islam itu sentiasa berselang seli antara 29 atau 30 hari. Bahkan di zaman Rasulullah s.a.w, dalam jangka masa 10 tahun hanya sekali sahaja baginda berpuasa selama 30 hari.

Kemuncak kepada kontroversi ini berlaku semasa penentuan Ramadhan dan Syawal 1401H (1981M). Kerajaan telah memutuskan penentuan tarikh ini secara rukyah semata-mata. Mengikut hisab, ijtimak bulan Ramadhan 1401H berlaku pada 3.00 pagi pada 2 Julai 1981. Pada petang hari tersebut matahari terbenam pada pukul 6.54 petang manakala bulan pula terbenam pada pukul 7.30 petang. Ini bermakna peluang merukyah anak bulan mengambil masa 36 minit setelah matahari terbenam. Akan tetapi rombongan merukyah anak bulan pada petang tersebut gagal melihat anak bulan kerana faktor cuaca yang dialami di negara kita. Justeru Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengisytiharkan permulaan puasa jatuh pada 4 Julai 1981. 3 Julai 1981 bulan Syaaban disempurnakan menjadi 30 hari. Hal ini tidak disedari oleh sebahagian besar umat Islam, tetapi bagi ahli-ahli falak menyedari akan timbul masalah semasa menentukan hari raya kelak.

Ketika menentukan hari raya, ijtimak bulan Syawal 1401 telah berlaku pada 31 Julai 1981. Mengikut hisab pada petang hari tersebut matahari terbenam pada pukul 6.56 petang dan bulan pula akan terbenam pada pukul 7.09 petang. Maknanya anak bulan akan berada di atas ufuk ketika matahari terbenam selama 13 minit. Mengikut hisab anak bulan boleh dirukyah pada petang tersebut. Tetapi pada tarikh tersebut (31 Julai), umat Islam di Malaysia baru mencukupkan puasa selama 28 hari sedangkan menurut rukyah anak bulan hanya akan dirukyah pada 29 haribulan hijrah. Oleh itu pada 31 Julai 1981 anak bulan tidak dirukyah sedangkan negara-negara jiran Singapura, Indonesia dan Thailand telah mengisytiharkan hari raya pada 1 Ogos 1981. Sedangkan Malaysia pada tarikh tersebut (1 Ogos) baru hendak merukyah anak bulan Syawal dan hasilnya anak bulan (sebenarnya bulan sabit yang telah berumur dua hari) telah kelihatan dengan jelas di Teluk Kemang, Negeri Sembilan dan Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda Kedah. Ini bermakna Malaysia telah terlewat sehari berhari raya dengan negara-negara jirannya.

Menjelang tahun 1984, negara kita sekali lagi telah melakukan perubahan penetapan tarikh puasa dan hari raya dengan menggabungkan kedua-dua kaedah rukyah dan hisab. Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam telah menetapkan penentuan awal Ramadhan dan Syawal berdasarkan kriteria kebolehnampakan (imkanur rukyah) seperti yang ditetapkan dalam Persidangan Hilal Negara-negara Islam Sedunia di Istanbul, Turki (1978). Rumusan itu menyatakan, pada hari rukyah anak bulan dikira nampak jika ketika matahari terbenam;
a. Tinggi anak bulan tidak kurang dari 5 darjah dari ufuk barat
b. Jarak lengkung anak bulan ke matahari tidak kurang dari 8 darjah.
c. Umur anak bulan tidak kurang dari 8 jam selepas ijtimak berlaku.

Ini bermakna jika anak bulan sudah lahir tetapi tidak kelihatan ketika merukyah dan kedudukan anak bulan mengikut hisab berada di luar lingkungan tiga syarat di atas, anak bulan di kira tidak nampak dan esoknya disempurnakan 30 Syaaban atau 30 Ramadhan. Akan tetapi jika anak bulan sudah lahir tetapi tidak kelihatan ketika merukyah dan kedudukan anak bulan mengikut hisab berada di dalam lingkungan tiga syarat di atas, anak bulan di kira nampak. Dengan itu esoknya dikira sudah bermula bulan baru samada 1 Ramadhan atau 1 Syawal.

Walaupun kaedah penentuan puasa dan hari raya ini sudah diterima dengan baik oleh masyarakat Islam di negara kita tetapi masih lagi berlaku ketidak seragaman tarikh tersebut berbanding dengan negara-negara jiran di persekitaran Asia Tenggara. Ini berpunca dari ketidak selarasan kaedah penetapan Ramadhan dan Syawal. Contohnya Brunai masih lagi mengamalkan kaedah rukyah sahaja manakala Singapura pula menggunakan kaedah hisab sahaja. Cuma Malaysia dan Indonesia sahaja yang menggunakan gabungan kaedah rukyah dan hisab tetapi mungkin juga wujud perbezaan dari segi penggunaan kriteria imkanur rukyah. Sebab itulah ketika menyambut puasa dan hari raya sering tidak selaras dengan negara-negara jiran walaupun kedudukan kita serumpun dan bersebelahan.

Menyedari hakikat perbezaan ini, langkah awal untuk mewujudkan keseragaman tarikh penting ini dilakukan oleh negara kita bersama-sama dengan Indonesia, Brunai dan Singapura kesan langsung dari pertemuan tidak rasmi Menteri-menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS). Perbincangan yang berterusan di antara anggota-anggota MABIMS dengan mengambil kira keperluan dan pengalaman semasa dan persetujuan semua pihak menghasilkan suatu keputusan baru yang lebih bersesuaian. Hasilnya MABIMS telah bersetuju menetapkan puasa dan hari raya dengan gabungan kaedah rukyah dan hisab. Tetapi kriteria imkanur-rukyah yang digunakan di resolusi Persidangan Negara-negara Islam di Istanbul pada 1978 telah diubahsuai dengan menetapkan anak bulan di kira nampak dan boleh di lihat jika mengikut hisab anak bulan berada di kedudukan berikut pada hari rukyah:

a. Anak bulan berada pada ketinggian tidak kurang dari 2 darjah di ufuk barat ketika matahari terbenam, dan
b. Jarak lengkung anak bulan ke matahari ketika matahari terbenam tidak kurang dari 3 darjah, atau
c. Umur anak bulan ketika bulan terbenam pada hari rukyah tidak kurang dari 8 jam selepas ijtimak berlaku.

Kesan dari penyeragaman ini, sejak dari tahun 1992 hingga sekarang ummat Islam di negara kita menjalani ibadah puasa dan berhari raya serentak dengan Indonesia, Singapura dan Brunei. 

Sumber : http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=262976

No comments: