Monday, 29 May 2017

RUNTUHAN GUNUNG CHEROH 1973


HUJAN renyai membasahi Kampung Kachang Putih di Gunung Cheroh, Ipoh, Perak pada malam 18 Oktober 1973

Suasana sedikit dingin tetapi kebanyakan penduduk mula merasakan 'kehangatan' sambutan Deepavali yang bakal menjelma kira-kira seminggu saja lagi. 

Ramai antara mereka tidak berada di perkampungan itu lantaran sibuk membeli pelbagai barang persiapan sambutan di bandar. 

Kebanyakan penduduk yang tidak ke mana-mana pula sekadar memerap di dalam rumah. Mereka tidak mahu tubuh dibasahi air hujan yang merintik jika keluar dari rumah masing-masing. 

Secara tiba-tiba, satu bunyi aneh yang teramat kuat dan menakutkan bergema sehingga menggemparkan kedamaian dan suasana sepi di perkampungan itu. 

Bunyian yang menggegarkan kawasan sekitar jam 9 malam itu segera menyentak debaran yang tidak sudah di jiwa beberapa penduduk yang masih berada di dalam rumah. 

"Bunyi apakah itu?" Mereka tertanya-tanya dalam kebingungan. 

Hairan dengan bunyian pelik itu menyebabkan mereka melangkah ke luar kediaman masing-masing untuk meninjau kejadian apakah yang sebenarnya sudah berlaku. 

Ketika itulah pandangan masing-masing terpaku dan jasad kebanyakan penduduk terbabit tergamam. Debaran semakin menghentak dada, perasaan takut meresap ke dalam diri dan cemas mengiringi rasa terkejut tatkala melihat kejadian ngeri di hadapan mata mereka. 

Tanpa diduga, malam yang sepi dan damai di Kampung Kachang Putih yang terletak di kaki Gunung Cheroh sudah bertukar menjadi malam petaka pada hari itu. 

Dalam sekelip mata, 20 rumah, dua kedai selain kandang ternakan lembu dan kambing hilang dihempap bongkah batu kapur gergasi seberat lebih sejuta tan. Bayangan ngeri mula menjelma tatkala memikirkan nasib lebih 40 penghuni termasuk kanak-kanak yang berada dalam rumah berkenaan ketika batu gergasi itu menghempap. Bagaimanakah keadaan mereka? 

Ketika itulah suara jeritan, tangisan dan pekikan bergema memenuhi ruang udara kawasan berkenaan. Nyata ada mangsa yang cedera parah dan terperangkap di bawah batu gergasi yang menghempap. 

Dalam sekelip mata juga penduduk berdekatan mula mengerumuni lokasi runtuhan dahsyat itu. Keadaan cemas dan panik masih tidak hilang ketika mereka mula menggali tanah dan mengalihkan kesan runtuhan bagi mencari mangsa yang terperangkap selain memberi bantuan kepada mangsa yang cedera. 

Tidak lama selepas itu, jentera bomba dan pelbagai pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian. Tanpa membuang masa, kerja-kerja mencari segera dilakukan dengan harapan dapat menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap. 

Jentolak dan lori digunakan bagi menolak dan mengangkat serpihan batu yang runtuh. Operasi mencari dan menyelamat disertai lebih 500 orang termasuk daripada beberapa pertubuhan sukarela. 

Ketika itulah, pelbagai pandangan mengerikan kelihatan di sebalik tanah dan serpihan batu yang digali. Selain jasad mayat yang berjaya dikeluarkan daripada timbusan, ada antara pasukan pencari yang hanya menemui cebisan daging atau bahagian badan saja selepas tubuh mangsa berkecai dihempap batu keras. 

Dengan perasaan seram, ngeri dan takut, bahagian anggota jasad itu dikumpulkan di suatu tempat tertentu. 

Segelintir mangsa yang terselamat dan berjaya ditemui selepas beberapa jam gerakan mencari di bawah runtuhan batu dan tanah itu segera dikejarkan ke Hospital Besar Ipoh (HBI). 

Usaha mencari mangsa atau mayat nyata tidak mudah dilakukan. Saiz batu yang menghempap teramat besar dan gergasi menyebabkan ia sukar dialihkan. Justeru, kebanyakan mangsa yang terbenam ke dalam tanah di bawah batu itu sukar untuk dibawa keluar. 

Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Kamaruddin Isa, tiba di kawasan berkenaan kira-kira jam 3 pagi selepas bergegas pulang dari Kuala Lumpur sebaik dimaklumkan tragedi berkenaan. 

Berjam masa berlalu, matahari pagi mula menjelma tetapi gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan. 

Bagaimanapun, kesukaran yang teramat menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengambil keputusan untuk menghentikan gerakan mencari tidak lama selepas itu sekali gus membiarkan mayat yang belum ditemui terus berada di bawah batu gergasi berkenaan. 

Berdasarkan laporan selepas kejadian, 12 mayat ditemui selepas usaha menggali dilakukan manakala kira-kira 30 lagi mayat, sebahagian besarnya keturunan India dipercayai masih tertanam di bawah batu besar itu dan gagal di bawa keluar sehingga kini. 

Kematian akibat tragedi antara paling tragik di negara ini itu tidak saja mengorbankan kira-kira 42 nyawa manusia tetapi kira-kira 60 ekor lembu dan kambing yang dikurung di kandang yang turut tertimbus dihempap batu gergasi. 

Kejadian itu menyebabkan kerajaan membuat keputusan memindahkan 120 penduduk yang masih tinggal di Kampung Kachang Putih itu ke tempat lain selepas menyedari yang lokasi itu tidak lagi selamat untuk diduduki. 

Sebahagian besar mereka kemudian berpindah ke kawasan penempatan baru di Buntong, Ipoh tetapi nama Kampung Kacang Putih
dikekalkan. 

Selepas 37 tahun tragedi itu berlalu, bongkah batu besar itu masih berada pada kedudukan seperti ketika kejadian itu berlaku. 

Ia kekal sebagai 'batu peringatan' bagi mengingati betapa tragisnya kejadian ngeri itu selain sebagai 'nesan' buat kira-kira 30 mangsa yang masih 'terkubur' di bawahnya.

Sumber:

No comments: