Thursday, 18 May 2017

Injil Barnabas Bukan Injil Asli

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan beberapa artikel berkenaan “Penemuan Injil Asli berusia 1,500 tahun di Turki”. “Injil” itu dinamakan sebagai Injil Barnabas. Ramai juga netizen mengatakan itulah Injil yang diwahyukan Allah kepada Nabi Isa suatu ketika dahulu. Kenyataan ini adalah kurang tepat kerana beberapa faktor yang bakal diperjelaskan.
Sebelum melangkah jauh, perlu diperjelaskan salah faham berkenaan maksud sebenar Injil. Bagi mengelakkan kekeliruan, al-Faqir gunakan istilah INJIL bagi mewakili wahyu yang diterima Nabi Isa dari Allah manakala istilah GOSPEL bagi mewakili “Injil” yang sering kita salah faham selama ini.
Sesungguhnya menurut al-Quran, Injil adalah wahyu Allah kepada Nabi Isa yang di dalamnya mengandungi :-
1) Hukum-Hakam asal Taurat yang telah diseleweng/diperselisihkan oleh para pendeta Yahudi. Dalam al-Quran menyebut bahawa nabi Isa yang dikurniakan Injil adalah diutuskan untuk menegakkan semula ajaran Taurat dan menjawab perselisihan para pendeta Yahudi.
2) Ilmu-Ilmu Hikmah. Ilmu-ilmu ini penting buat masyarakat Yahudi pada ketika itu agar dijadikan panduan untuk meneruskan survival kerana mereka sedang hidup dalam cengkaman kuasa politik Rom dan perpecahan serius mazhab-mazhab pendeta Yahudi. Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi Isa diutuskan dengan Kitab dan Hikmah.
3) “Ramalan” (perkhabaran) mengenai kedatangan Nabi Akhir Zaman agar Bani Israel kelak dapat menerima kedatangan baginda dengan hati terbuka. Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi Isa telah memberitahu kepada bani Israel perihal kedatangan Ahmad (Nabi Muhammad) yang kini dialih bahasa menjadi Periclytos.
Injil diberikan kepada Nabi Isa, kemudian baginda mengajarkan isi kandungannya kepada Hawariyyun dan menceritakan secara umum kepada Bani Israel. Oleh itu, isi kandungan Injil ini dicatat oleh para pendengar secara Bahasa Pindah bak nota-nota buat simpanan peribadi atau hanya disemat dalam hafalan. Namun, teks asli Injil sepertimana yang diterima oleh Nabi Isa sebenarnya telah pupus. Oleh itu, jika kita hendak mengetahui kesan jejak kandungan Injil yang mungkin masih lagi tercatat, maka kita perlu mengkajinya dalam taburan GOSPEL.
Gospel yang dianggap sebagai “Injil” ini sebenarnya adalah sebuah buku biografi (riwayat hidup) nabi Isa. Melalui Gospel yang mengandungi riwayat hidup baginda inilah kita boleh menjejak dan mengutip beberapa isi kandungan Injil yang telah Nabi Isa ajarkan kepada pengikut baginda. Hawariyyun yang masih hidup setelah sepeninggalan nabi Isa menyebarkan riwayat hidup nabi Isa kepada masyarakat sekitar. Bani Israel yang mengikut nabi Isa dan hawariyyun baginda kemudiannya mewariskan ajaran serta cerita nabi Isa secara turun temurun kepada generasi seterusnya.
Hal ini berlaku hinggalah ke zaman penulisan Gospel sekitar seawal tahun 150 masihi selepas “pemergian” nabi Isa (ke langit). Sehingga kini, kita tidak tahu siapa sebenarnya penulis kepada Gospel-Gospel tersebut. Para penulis Gospel hanya menulis dan mencatatkannya atas nama hawariyun baginda sebagai sandaran. Hawariyun jika menurut tradisi Kristian disebut sebagai Apostle (konsep kerasulan Kristian) atau disciple (murid-murid Isa).
Oleh itu, muncullah pelbagai jenis Gospel mengikut periwayatan masing-masing. ada 4 buah gospel yang diakui sah oleh seluruh gereja Kristian kini iaitu Gospel Matthew, Gospel Mark, Gospel Luke dan Gospel John. Gospel Matthew, Mark dan Luke dikenali sebagai himpunan Gospel Synoptik kerana jalan ceritanya lebih kurang sama walau ada beberapa isinya kelihatan bercanggah antara satu sama lain. Gospel John tidak disenaraikan sebagai Synoptik walaupun turut diakui sah kerana isinya terlalu berlainan dari 3 Gospel yang lain. Gaya Bahasa Gospel John juga agak “berbunga” berbanding 3 Gospel lain yang kelihatan agak “lurus”.
Selain 4 Gospel ini, terdapat banyak lagi Gospel lain yang disenaraikan sebagai “Gospel-Gospel Terlarang” iaitu tidak diakui oleh majlis gereja sewaktu dunia Roman menaungi gereja Kristian sebagai Gospel yang sahih. Sekitar puluhan bahkan ratusan lagi Gospel yang ada sekitar 300 tahun selepas zaman nabi Isa antaranya seperti Gospel Maryam, Gospel Peter, Gospel James, Gospel Thomas dan lain-lain. Masing-masing memiliki periwayatan, jalan cerita dan gaya bahasa tersendiri bagi merakamkan sejarah hidup Nabi Isa sepanjang perjuangan baginda menyebar luaskan isi ajaran Injil asli.
Begitu juga “Injil” Barnabas yang diperjudulkan dalam artikel ini. Gospel Barnabas juga mempunyai kisah nabi Isa versi tersendiri. Antara sebab Gospel Barnabas dianggap sebagai “Injil Asli” oleh sebahagian netizen adalah hanya kerana Gospel Barnabas mencatatkan bahawa nabi Isa tidak disalib sebaliknya diangkat ke langit. Atas sebab persamaan kisah hidup nabi Isa versi Gospel Barnabas dengan ayat al-Quran, maka terus ia dianggap sebagai “Injil Asli”. Sebenarnya, jika kita terjumpa dan mengkaji gospel-gospel lain, berkemungkinan juga untuk kita jumpa banyak lagi versi gospel yang turut menceritakan kisah nabi Isa diangkat ke langit.
Tidak bermakna hanya dengan satu plot yang memiliki persamaan ini terus kita menganggap ianya adalah Injil Asli yang dikhabarkan dalam al-Quran. Mungkin Gospel Barnabas tidak meriwayatkan kisah Hawariyun meminta makanan dari langit namun diriwayatkan dalam gospel yang lain pula. Apa yang pasti, dalam Injil yang diwahyukan, sudah tentu tidak akan tertulis pengakhiran nabi Isa yang diangkat ke langit melainkan ianya ditulis oleh orang yang hidup sesudah zaman nabi Isa. Ini kerana kandungan Injil bukanlah datang untuk menceritakan kisah hidup nabi Isa kepada bani Israel yang sememangnya hidup bersama nabi Isa.
* Artikel ini ditulis untuk memberi pencerahan mengenai sejarah khusus untuk bacaan orang Islam sahaja namun terbuka juga untuk tatapan bukan Islam. Tiada unsur-unsur penghinaan buat rakan-rakan yang menganut agama Kristian sebaliknya rakan-rakan Kristian bebas untuk berpegang kepada ajaran Mazhab Gereja masing-masing dalam hal Gospel.
#KitabTamadunYahudi

No comments: