Saturday, 7 February 2015

Bila dukkha bertukar sukkha

DR YAMIN CHENG
14 Januari 2015


KEPADA yang memilih untuk mengalih perjalanan hidup mereka dari landasan ajaran Buddha atau Buddhisme kepada landasan Islam, peralihan apakah yang berlaku?

Inti ajaran Buddhisme ialah ‘dukkha.’ Secara ringkasnya, dukkha ialah pandangan hidup bahawa segala yang ada tidak akan kekal dan kerana itu hidup senantiasa diselubungi oleh rasa ketidakpuasan, kesedihan, kekurangan, dan kehilangan.
Sebagai contoh, ramai yang suka minum kopi dan kopi yang datang dengan berbagai nama seperti cappuccino, americano, café au lait dan sebagainya.
Bila habis minum secawan, rasa sedap kopi itu mula hilang walaupun kita ingin ia kekal di bibir kita. Ini disebut sebagai dukkha kerana yang tinggal adalah kenangan tentang kopi itu tetapi bukan rasanya.
Kekadang kerana sedap kopi itu kita menambah secawan lagi dan secawan lagi sehingga satu ketika di mana rasanya tidak sesedap mana berbanding dengan yang sebelumnya.
Ini juga dikatakan dukkha kerana walaupun kita dapat minum lebih dari secawan kopi, terlalu banyak meminumnya boleh menyebabkan rasa sedap itu menjadi kurang dari sebelumnya. Kerana itu kita akan berasa kehilangan dan ketidakpuasan.
Dalam ruang lingkup yang lebih luas, dukkha merangkumi segala yang tidak kekal. Yang lahir akan mati menyebabkan kerunsingan, riang boleh tukar kepada berang menyebabkan ketakutan, merpati dua sejoli boleh jadi dua merpati tak menjadi, menyebabkan kesedihan dan sebagainya. Kerunsingan, ketakutan, dan kesedihan adalah dukkha.
Sememangnya segala yang ada di dunia ini tidak berkekalan dan Islam juga berpandangan sedemikian. Namun untuk Islam, di sebalik yang tidak kekal, ada yang kekal.
Apabila seorang bernama Malunkyaputta datang kepada Siddharta Gautama yang bergelar Buddha (pencetus ajaran Buddhisme) dan bertanya tentang masalah kekal dan tidak kekal, Siddharta tidak memberi jawapan dan hanya berpesan kepadanya untuk tumpu kepada persoalan yang menyelubungi kehidupan di dunia.
Malah Siddharta tidak memberitahu apa yang akan berlaku selepas kematian dan perginya segalanya dari wajah kewujudan.
Seseorang yang memilih jalan hidup Islam akan mendapati bahawa yang tidak kekal adalah jalan kepada yang kekal. Dunia tidak kekal dan apa yang kita miliki seperti harta benda, ahli keluarga ataupun kuasa, kesemuanya akan sampai ke titik penghujungnya. Maka yang kekal apanya?
Yang kekal adalah amalan baik kita dan natijah serta kesannya kepada diri kita. Apabila kita berkongsi secebis harta kita dengan yang kurang bernasib baik, tentunya berlaku kekurangan dalam apa yang kita miliki dan sepatutnya ia melahirkan rasa kehilangan dan menyebabkan kita dukkha.
Tetapi kekurangan ini akan menjelma sebagai kegembiraan dan menjadikan kita sukkha apabila kita mendapati secebis harta kita membawa keriangan kepada mereka yang memerlukannya.
Sebab itu Islam mewajibkan berzakat dan menggalakkan bersedekah kerana ia adalah hidayah untuk memahami erti dan hikmat tentang yang tidak kekal terhadap yang kekal. Walau harta menjadi kurang tetapi yang bertambah ialah rasa gembira melihat orang lain dapat bersama menikmati hidup bahagia.
Lebih dari itu, jasa dan budi baik kita akan jadi bekalan kita di akhirat nanti di mana pahala-pahalanya akan diterjemahkan dalam bentuk kenikmatan berkekalan di satu suasana yang bernama jannah iaitu taman-taman syurga yang berwangian dengan amalan-amalan soleh kita.
Nabi kesayangan kita Muhammad (SAW) ada berpesan bahawasanya selepas kematian seorang anak Adam, amal jariahnya akan menjadi penghubung di antara dirinya yang semasa hidup dengan dirinya yang selepas mati, di samping ilmunya yang memanfaatkan orang lain serta doa anaknya yang soleh.
Mereka yang memilih jalan hidup Islam boleh menjadi insan yang sukkha dalam dukkha. Manisnya secawan kopi yang kemudiannya tinggal sebagai kenangan dan dukkha akan menjadi seri dan sukkha bila kita melihat yang lain dapat menikmati apa yang kita nikmati untuk diri sendiri.
* Penulis mantan pensyarah, Jabatan Pengajian Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Sumber: Sinar Harian

No comments: