Saturday 16 November 2013

7 PERINGKAT NAFSU MANUSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Semua manusia memiliki nafsu. Nafsu adalah anugrah Allah SWT kepada manusia. Ada nafsu yang mendorong kepada kebaikan dan ada juga nafsu yang mendorongan manusia kepada kejahatan. 



Terdapat tujuh peringkat nafsu yang dimiliki oleh manusia. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :


1. Nafsu Ammarah
Nafsu yang paling jahat dan paling zalim. Jika berbuat kejahatan, dia berbangga dengan kejahatannya. Kalau terpaksa susah kerana kejahatannya, dia sanggup. Jika ada orang mengingatkannya tentang kejahatannya, dia akan menjawab, "Saya anak jantan." Bayangkanlah, kalau orang macam ini jadi pemimpin dan berkuasa.

2. Nafsu Lawwamah
Nafsu yang mencerca dirinya sendiri. Sentiasa kesal dengan din sendiri. Tidak hendak berbuat jahat tetapi tidak mampu melawan nafsu. Bila melakukan kejahatan, sedih tapi buat lagi. Ada kalanya buat jahat sehingga dikenakan hukuman dalam penjara. Janji tidak buat lagi tapi buat juga. Rasa sedih lagi dan buat jahat bukan kerana seronok tapi lemah melawan nafsu. Walaupun sudah niat tidak mahu buat lagi dan sudah serik, namun terbuat juga lagi. Contohnya, ketika lalu di kebun orang, ternampak limau, rambutan dan sebagainya, walaupun sudah berazam tidak akan mencuri, tetapi ambil dan mencuri lagi. Orang nafsu di peringkat ini sudah mula sedar tetapi tidak larat hendak melawan hawa nafsunya.

3. Nafsu Mulhamah
Erti pada lafaz ialah nafsu yang telah diberi ilham, sudah mula dipimpin, diberi hidayah. Tuhan ambil perhatian sebab dia sudah mula mendidik nafsunya. Apabila seseorang itu bersungguh-sungguh melawan nafsunya, atas belas kasihan Allah maka Tuhan akan pimpin. Oleh kerana baru dididik, ibarat orang berjalan hendak menyeberang dan melintas jalan yang di tengah-tengah ada benteng, dia sudah berada di atas benteng. Ertinya dia sudah di atas sempadan (border).

Kalau tidak ada ribut atau ujian, jika mati insyaAllah selamat. Sebab sudah di atas border tapi belum sampai ke seberang. Namun masih dalam bahaya kerana apabila datang ribut, dia mungkin berbalik semula. Atau bila ujian datang, walaupun tidak jatuh tetapi sudah mula goyang. Orang di atas border ini tidak dikatakan tenang, masih dalam keadaan bahaya. Baru diberi ilham. Bila sudah sampai ke seberang barulah, masuk kawasan selamat dan barulah dikatakan tenang.

4. Nafsu Mutmainnah
Istilah mutmainnah bermaksud tenang, tidak digugat oleh kesenangan dan kesusahan, tidak digugat oleh sihat atau sakit, orang hina atau orang puji. Semuanya sama sahaja. Pujian orang tidak menyebabkan hati terasa sedap dan tidak berbunga. Orang keji, tidak terasa sakit. Tidak ada perasaan hendak marah atau berdendam. Sebab hatinya sudah tenang, perkara positif atau negatif tidak menggugatnya. Orang ini sudah menjadi wali kecil, sudah naik di atas border orang soleh. Nafsu peringkat ini sudah sampai ke kawasan selamat, tidak tergugat lagi.

Maka Tuhan mengalu-alukan ketibaannya, dengan firman-Nya yang bermaksud : "Wahai nafsu (jiwa) yang tenang (suci). Kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dengan (hati) redha dan diredhai (Tuhan). Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah kamu ke dalam Syurga-Ku." (Surah Al Fajr ayat  27-30)

Dari ayat ini, seolah-olah Tuhan tidak sabar hendak menyambut tetamu-Nya: "Mari-mari, cepat-cepat Aku tidak sabar, Aku hendak jumpa engkau ini."

Kemudian, dalam ayat tadi, Tuhan berfirman:
Maksudnya: "Kembalilah dalam keadaan redha kepada Aku, dan Aku redha dengan engkau." (Al Fajr: 28)

Tuhan mengalu-alukan dan kalau mati pada waktu itu, dia selamat. Oleh kerana dia sudah selamat, sebab itulah Tuhan menyeru. Manakala bagi orang yang nafsunya belum selamat, dia akan mati dalam keadaan jikalau Tuhan hendak azab pun boleh, hendak diampunkan pun boleh.

Semuanya atas sebab keadilan Tuhan. Kalau kita hendak mengharapkan kekuatan diri sendiri, bimbang tidak selamat. Sebab itu kita mesti mencari kekuatan lain. Di antaranya perbanyakkan selawat, berbuat baik, bertawasul dengan guru-guru dan lain-lain, mudah-mudahan itu menyelamatkan. Allah berfirman:
Maksudnya: "Bergaullah dengan hamba-hamba-Ku (iaitu para rasul, para nabi dan wali-wali), dan masuklah ke Syurga. Ku." (Al Fajr: 29-30)
Ertinya, cari-carilah sebab untuk mendapatkan rahmat dan Allah SWT. Bila mencapai peringkat nafsu mutmainnah, baru¬lah selamat. Nafsu-nafsu di bawah daripada peringkat itu tidak selamat.

5. Nafsu Radhiah
Orang yang berada di peringkat nafsu radhiah ini, dia me redhai apa sahaja yang Allah takdirkan kepadanya. Ia terhibur dengan ujian. Ia merasakan ujian adalah hadiah dari Tuhan. Bila orang menghinanya, dia berterima kasih kepada Tuhan dan dia rasa bahagia. Sebab itu mereka yang berada di maqam ini, bila kena pukul, mereka rasa puas. Bila ditampar, seolah-olah minta ditampar lagi. Nafsunya sudah jadi malaikat.

6. Nafsu Mardhiah
Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Tuhan. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi: "Mereka melihat dengan pandangan Tuhan, mendengar dengan pendengaran Tuhan, berkata-kata dengan kata-kata Tuhan."
Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Tuhan lakukan.

7. Nafsu Kamilah
Nafsu peringkat ke-5, ke-6 dan ke-7 adalah darjat atau peningkatan kepada nafsu mutmainnah tadi. Bagi nafsu kamilah, manusia biasa tidak boleh sampai ke macam ini. Kamilah hanya darjat untuk para rasul dan para nabi. Manusia biasa hanya setakat peringkat keenam sahaja iaitu mardhiah. Ini sudah taraf wali besar.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita tingkatkan nafsu kita daripada Ammarah atau Lawwamah kepada nafsu Mutmainnah dan seterusnya kepada nafsu Radhiah dan Mardhiah. Beruntunglah sesiapa yang dipilih oleh Allah SWT untuk dimasukkan kedalam hamba-hamba-Nya yang dirahmati dan diredai-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhan-Mu dengan hati yang reda dan diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Surah al-Balad ayat 27-30)

No comments: