Monday, 17 July 2023

Kaum Phoenicia (1500 – 539 SM): Orang Laut Mediterranean

28 April 2018
By Dans C'Kay
Dikenali sebagai Orang Ungu, kaum dari ketamadunan Semitik berasal dari timur Laut Mediterranean, di bahagian barat Sabit Subur (Fertile Crescent) yang menempatkan asal-usul kaum Mesopotamia. Tanah air mereka merangkumi tanah Syria, Lubnan dan Utara Palestin yang telah dikuasai oleh negara haram Israel.
Nama Phoenicia yang berasal dari terma bahasa Yunani Kuno iaitu Poinikes yang bermaksud ungu kerana barangan eksport utama kaum ini adalah pewarna pakaian berwarna ungu yang dihasilkan dari kota Tyre. Dengan pekerja yang dipenuhi pewarna ungu ketika pemprosesan, nama Phoenicia menjadi gelaran simbolik dari orang Yunani Kuno.
Asalnya tanah kaum Phoenicia terdiri dari banyak negara-kota sebelum bersatu sebagai sebuah kerajaan, sama kesnya di tanah Yunani ketika zaman awal ketamadunan mereka. Kemudian kesemua negara-kota bersatu pada 2750 SM dan menjadi kerajaan maritime sekitar 1500 SM. Kaum Phoenicia mahir dalam aktiviti perdagangan laut dan bidang maritime seperti pertukangan kapal.
Kepakaran laut mereka ditunjukkan dari kapal di mana bahagian depannya diukir kepala kuda, simbolik kepada penyembahan Dewa Laut, Yamm. Dalam perdagangan laut pula, selain menjadikan pewarna sebagai barang eksport utama, mereka juga menghasilkan barangan kaca dan barang kemas untuk jualan mereka. Dalam zaman kegemilangan mereka, kota Tyre dan Sidon menjadi kota perlabuhan terkaya manakala kota Byblos dan Baalbek menjadi kota keagamaan pagan terpenting.
Mengenai asal-usul kaum Phoenicia, sejarahwan Yunani Kuno iaitu Strabo dan Herodotus percaya bahawa asal kaum Phoenicia dari kawasan Bahrain. Mereka percaya bahawa kota Aradus yang bertempat di Tylos (nama kuno Bahrain) adalah tanah kelahiran kaum ini dan mempunyai kuil sembahan mereka. Namun dari segi arkeologi, terlalu sedikit bukti bahawa kaum Phoenicia berasal dari Bahrain malah rakyat kota Tyre telah sekian lama menjadi kaum yang berasal dari Teluk Parsi. Mungkin saja wujud kekeliruan nama Tylos dan Tyre sehingga timbul teori ini.
Selain mahir bertukang dan selok-belok maritime, kaum Phoenicia juga terkenal dengan penciptaan alphabet mereka sehingga penggunaannya meluas di sekitar Laut Mediterranean. Alphabet Phboenicia mempunyai 22 huruf, kesemuanya konsonan. Sejak 1050 SM, alphabet ini dijadikan sebagai bahasa utama kaum Semitik Utara. Alphabet ini dipercayai adalah moyang kepada alphabet yang kita gunakan sekarang. Melalui perdagangan laut, kaum Phoenicia menyebarkan bahasa mereka ke tanah Anatolia, Afrika Utara dan Eropah, di mana terdapat penempatan kaum Yunani Kuno, seterusnya menaiktaraf alphabet ini dengan tambahan beberapa huruf vokal. Makam raja Ahiram yang memerintah pada 1000 SM menjadi bukti terpenting dalam penggunaan alphabet Phoenicia yang diukir di dinding makam.
Hubungan Yunani Kuno dan Phoenicia amat rapat sejak awal ketamadunan mereka lagi. Selain berkongsi tanah sekitar Laut Mediterranean dan mempunyai hubungan perdagangan laut yang kukuh, agama pagan dan neo-pagan Yunani Kuno sebenarnya pinjaman dari agama pagan Phoenicia sebab mempunyai persamaan asal-usul Dewa Guntur Zeus dan Dewa Laut Poseidon dengan Dewa Baal dan Dewa Yamm milik kaum Phoenicia.
Dalam status sosial Phoenicia, raja, paderi dan para bangsawan adalah kuasa teratas mentadbir kerajaan. Di zaman kegemilangan Phoenicia iaitu pada 1200 SM, kota Byblos menjadi ibu kota pertama menguasai sekitar Laut Mediterranean dan jalan perdagangan laut di Laut Merah. Kemudian, kota Tyre menjadi ibu kota kedua menggantikan kota Byblos. Paderi T5yre iaitu Ithobaal (887 – 856 SM) menguasai kerajaan Phoenicia sehingga ke tanah Beirut dan sebahagian pulau Cyprus. Seterusnya, kota Carthage menjadi ibu kota ketiga dalam pemerintahan raja Pygmalion (820 – 774 SM).
Pada 539 SM, kerajaan Phoenicia mengalami zaman keruntuhan iaitu ketika penguasaan raja Parsi iaitu Cyrus The Great. Kerajaan Phoenicia di bawah pengaruh Parsi dipecahkan kepada 4 kerajaan kecil: Tyre, Byblos, Sidon dan Arwad. Segala kekayaan kerajaan itu diserahkan kepada raja Parsi seterusnya pengaruh Phienicia merundum teruk. Pada 350 SM, terdapat pemberontak dari kota Sidon yang diketuai oleh wira Tennes tetapi pemberontakan itu terhapus oleh tindakan raja Artaxerxes III yang telah menghidu awal akan pemberontakan itu.
Pada 334 SM, rombongan ketenteraan Alexander The Great muncul dan menguasai kota Baalbek (kemudian dinamakan sebagai Heliopolis) kemudian meneruskan penaklukan ke atas kota Byblos dan Sidon dari cengkaman Parsi pada 332 SM. Ketika Alexander tiba di kota Tyre, rakyat Tyre memohon perjanjian damai kepada Alexander. Beliau setuju tetapi dengan syarat dia perlu memberi sembahan korban kepada Dewa Melqart, salah satu dewa sembahan Phoenicia di kuil Tyre. Rakyat Tyre mendapati syarat Alexander bertentangan dengan adat penyembahan mereka yang tidak membenarkan orang asing menyembah dewa-dewi mereka dan mencadangkan Alexander untuk memberikan korban di kuil kota lain. Alexander merasakan syaratnya tidak diterima dan menghantar pengutusnya ke kota Tyre untuk menuntut penyerahan kalah. Namun rakyat Tyre berani membunuh pengutus Alexander dan membuang mayat di luar kota.
Tindakan rakyat Tyre mencetuskan kemurkaan Alexander dan mengarahkan para tenteranya menjarah kota Tyre untuk memberi pengajaran kepada mereka. Tujuh bulan berlalu, rombongan Alexander berjaya menembusi benteng Tyre dan menakluk kota itu. Seramai 30,000 orang rakyat kota Tyre dibunuh atau dijadikan sebagai hamba. Hanya mereka yang kaya boleh melarikan diri dari cengkaman Alexander setelah memberikan kekayaan mereka. Setelah kejatuhan kota Tyre, kota-kota Phoenicia lain menyerah kalah dan tunduk kepada penguasaan Alexander, seterusnya ketamadunan Phienicia terhapus dan digantikan dengan kebudayaan Helenistik.
Pada 64 SM, sebahagian tanah Phoenicia menjadi milik empayar Rom pada pada 15 SM kota Heliopolis menjadi kota terpenting dalam keagamaan pagan dengan pembinaan kuil dewa Jupiter serta kuil dewa Bacchus. Kini, apa yang tinggal dari kaum Phoenicia yang kita sedia maklum adalah alphabet yang kita sentiasa gunakan dalam penulisan dan bahasa. Tidak ketinggalan juga kepakaran mereka menghasilkan pewarna pakaian dan barangan kaca yang mempersona.
RUJUKAN:
1. Ancient History Encyclopedia: Phoenicia
2. Bowersock, G.W. (1986). “Tylos and Tyre. Bahrain in the Graeco-Roman World”. In Khalifa, Haya Ali; Rice, Michael.Bahrain Through The Ages – the Archaeology. Routledge. pp. 401–2.
3. Josephine Quinn (11 December 2017).In Search of the Phoenicians. Princeton University Press. p. 24.
4. Woolmer, Martin (2017).A Short History of The Phoenicians. I.B.Tauris.
Sumber artikel : thepatriots
Copy and paste:
17 Julai 2023 - 28 Zulhijjah 1444H: 4.44 pm

Sunday, 16 July 2023

5 Buah Kitab Sihir Yang Pernah Wujud Di Dunia

May 4, 2018, By Jiji Azizan
1. Kitab Galdrabok
Manuskrip ini menjadi kitab kuno yang ia dikenalpasti mula dicatatkan dan dikumpulkan sekitar tahun 1550 M-1650 M. Kitab ini kononnya berisikan 47 buah jenis mantera-mantera sihir yang dikumpulkan dari empat orang penyihir legenda Iceland. Beberapa pakar yang mengkaji buku ini menyimpulkan bahawasanya isi Kitab Galdrabok ini terdiri dari pelbagai macam mantera sihir seperti mantera yang memberikan kesan positif dalam penyembuhan tubuh badan manusia, namun di sebalik itu, mantera di dalam buku ini juga terisi dengan mantera yang diciptakan untuk tujuan kejahatan seperti membunuh.
Hanya tiga buah mantera sahaja yang dikenalpasti hanya digunakan oleh ahli sihir sebagai resipi untuk membuat ‘potion’ atau untuk tujuan perubatan. Lapan buah mantera dalam buku ini pula digunakan untuk mendapatkan sebuah kekuatan yang mampu mengalahkan manusia atau musuhnya sehingga ianya dikategorikan sebagai mantera yang mematikan.
Buku ini diterbitkan kepada umum buat pertama kali pada tahun 1921 oleh Adolf Natanael Lindqvist dengan diterjemahkan ke dalam bahasa Sweden. Edisi pertama terjemahan bahasa Inggeris pula diterjemahkan oleh Stephen Flower pada tahun 1989. Pada tahun 1995, Stephen Flower mengeluarkan buku ini ke dalam edisi kedua dengan beberapa pembetulan tatabahasan disertai dengan nota.
Setiap mantera yang ada di dalam kitab ini berisikan perbagai bait-bait ayat sihir bangsa yang menetap di Iceland sejak zaman dahulu.
2. The Black Pullet (La Poule Noire)
Kitab the Black Pullet ini menjadi kitab ilmu sihir yang cukup terkenal di kalangan bangsa Eropah kuno, khususnya di belahan negara Perancis. Dikisahkan, buku ini mula ditulis oleh salah seorang tentera dari pasukan Napoleon Bonaparte yang ketika itu sedang menakluki Mesir. Tentera ini tercedera dalam sebuah pertempuran lalu beliau diselamatkan oleh seorang lelaki misteri (berkemungkinan ahli sihir). Lelaki misteri ini mengajarkan beliau cara-cara untuk menghasilkan azimat atau tangkal dari bahan seperti sutera dan besi serta seni ilmu hitam Kabbalah melalui dari sebuah manuskrip sihir Mesir kuno yang diambil dari perpustakaan Alexandria ketika era Ptolemy I. Ilmu sihir lelaki misteri tersebut dicatatkan kembali oleh tentera ini dan dikumpulkan di dalam buku yang dikenali sebagai La Poule Noire.Mengikut pelbagai sumber, buku ini mengandungi sebanyak 22 cara untuk menghasilkan azimat ke dalam bentuk cincin ataupun tangkal yang masing-masing memberi keistimewaan kepada si pemakainya.
3. Kitab Picatrix (Ghayat al-Hakim)
Picatrix yang kebanyakkannya menerangkan tentang ilmu astrologi, sebenarnya terkenal sebagai sebuah buku yang menjelaskan teori pembentukan alam semesta atau yang dikenal dengan teori kosmologi.Kitab yang aslinya dalam bahasa Arab dan bernama Ghayat al-Hakim ini ditulis pada pertengahan abad ke-11. Jika nama ini diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris ianya berbunyi, ‘The Aim of the Sage’ atau ‘The Goal of the Wise’. Buku ini awalnya diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol sebelum ianya diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada tahun 1256 Masihi oleh seseorang untuk dihadiahkan kepada Raja Alfonso the Wise dengan menyandang nama sebagai buku ‘Picatrix’.Buku ini mengumpulkan koleksi pelbagai manuskrip kuno ilmu sihir yang digunakan secara meluas pada abad ke sembilan dan kesepuluh sebelum Masihi. Pacitrix dibahagikan kepada empat buah bahagian besar iaitu Book I, Book II, Book III dan Book IV, yang di mana setiap bahagiannya mempunyai pelbagai cabang ilmu sihir melalui 55 buah sihir astrologi, 22 buah kebaikan azimat, cara membuat ‘potion’ cinta, mencari harta karun, menyuburkan hasil tanaman dan lain-lain lagi.Namun beberapa orang percaya jika buku Picatrix adalah sebuah kitab ilmu sihir yang mengajar pembacanya untuk mendapatkan kekuatan sihir dengan mengetahui melalui penyelarasan kitaran bulan, waktu, dan tata atur tertentu dari beberapa planet yang terdapat di dalam sistem suria.
Salah satu ajaran ataupun ilmu sihir yang didapati di dalam buku ini melalui terjemahan John Michael Greer adalah:
“Ambil empat gram darah anjing hitam, dua gram darah babi dan otaknya dan satu gram otak keldai. Campurkan kesemua bahan terbabit sehingga hancur. Jadikan ia sebagai minuman dan berikan minuman ini kepada mangsa. Mangsa yang meminum minuman ini akan membenci kau seumur hidup”.
4. Kitab Abramelin
Kitab Abramelin atau yang lebih dikenal dengan nama ‘The Book of Abramelin’ juga diyakini sebagai kitab yang mengajarkan tentang ilmu sihir. Kitab ini diawali dengan sebuah kisah yang menceritakan seorang ahli sihir Mesir bernama Abra-Melin atau lebih dikenali sebagai Abramelin. Namanya menyamai dengan nama ahli sihir mitos ‘Merlin’. Abramelin digambarkan sebagai sosok yang zuhud, tidak terpengaruh kepada harta duniawi. Hanya hidup beribadah kepada Tuhannya.
Sekitar tahun 1362 M – 1458 M.
Abramelin merupakan seorang ahli sihir semi-mitos yang terkenal mengajarkan ilmu sihir Kabbalah ke atas masyarakat Mesir dan segala mantera sihirnya ini dimuatkan ke dalam bukunya yang bertajuk ‘The Book of Abramelin’. Abramelin dikenalpasti tinggal di padang pasir luar wilayah Arachi (sebuah kota kuno Tamadun Mesir yang berhampiran dengan sungai Nil). Abramelin mempunyai seorang anak murid yang bernama Abraham the Worm dan beliau memberikan dua buah manuskrip sihir iaitu ‘Divine Science’ dan ‘True Magic’ kepada anak muridnya ini setelah Abraham mengikat janji setia untuk mengubah hidupnya kepada seorang yang warak dan menyembah ajaran Tuhan Abramelin ‘The Way and Law of the Lord’. Dua buah manuskrip ini hanya diberikan kepada orang yang dipercayainya sahaja.
Si pengamal sihir ajaran Abramelin harus melakukan sebuah ritual misteri seperti bertemu dengan malaikat penjaga untuk mendapatkan ilmu sihir secara langsung dan kuat.
Buku ini dipercayai terisi dengan ajaran-ajaran untuk mengawal kekuatan iblis dan membuatnya menuruti semua perintah ahli sihir, menemukan harta karun, terbang di langit, menjadi halimunan dan kemampuan-kemampuan lainnya yang tidak dapat terjangkau dengan akal sihat manusia.
Buku ini akhirnya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Samuel Liddell MacGregor Mathers di bawah tajuk ‘The Book of Abramelin the Mage’ pada tahun 1898 yang dibahagikan kepada tiga buah fasa iaitu Book I mengandungi 12 tajuk, Book II pula mengandungi 20 tajuk dan terakhir Book III mengandungi 30 tajuk kesemuanya.
5. Kitab Luratus Honori (Liber Juratus).
Kitab yang ditulis oleh ahli sihir yang bernama Liber Juratus Honorii ini diyakini sebagai buku petunjuk ilmu sihir yang paling dahsyat pada abad pertengahan. Kerana, segala isi di dalam buku ini menjelaskan cara-cara untuk mendapatkan ilmu sihir yang mengerikan.
Menurut sumber, isi kitab yang juga dikenal dengan nama ‘The Sworm Book of Honorius’ ini mengajarkan cara menyeru iblis, malaikat, atau roh berdamping dengan ahli sihir untuk mendapatkan sebuah kemampuan tertentu seperti meramal masa hadapan seperti tukang tilik (fortune teller).
Buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Latin dengan pelbagai versi seperti:
a. The Sworn Book of Honorius: Liber Iuratus Honorii oleh Joseph H. Peterson.
b. The Sworn Book of Honourius the Magician oleh Daniel Driscoll.
c. Liber Iuratus Honorii: A Critical Edition of the Latin Version of the Sworn Book of Honorius oleh Gosta HedegÄrd.
Sumber Rujukan:
1. ‘The Icelandic Magic: Analysis of Late-Eighteenth Century Icelandic Galdrabok’ oleh Christopher Smith.
2. The Black Pullet: Science of Talismanic Magic. New York, oleh Samuel Weise.
3. The Picatrix or Ghayat al Hikam: The Premier Grimoire of Astrological Magic oleh Muhammad Ali Ben Marcus.
4. Famous Witches – Abramelin the Mage (15th Century) oleh Mastin L.
Sumber artikel : thepatriots
Copy and paste:
16 Julai 2023 > 27 Zulhijjah 1444H: 1.50 pm

Friday, 14 July 2023

KERAJAAN GANGGA NEGARA

Sumber: Sulalatus Salatin Sejarah Melayu

Gangga Negara dipercayai merupakan kerajaan Melayu - Hindu lama yang hilang dan ada disebut dalam Sejarah Melayu yang kini merangkumi Beruas, Dinding dan Manjung yang pada masa kini terletak di negeri Perak, Malaysia. Para penyelidik mempercayai bahawa kerajaan ini berpusat di Beruas dan ia runtuh selepas serangan oleh Raja Rajendra Chola I dari Coromandel, India Selatan di antara tahun 1025 dan 1026. Menurut sebuah lagi catatan sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa, Gangga Negara mungkin telah diasaskan oleh anak Merong Mahawangsa, Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah, yang dikatakan sebagai keturunan Iskandar Agung atau keluarga diraja Khmer tidak lewat dari abad ke-2.
Jabatan Muzium Negara telah mengkaji kerajaan Gangga Negara dari pelbagai aspek termasuk tradisi lisan yang terdapat di negeri Perak. Muzium Beruas ditugaskan untuk membuat penyelidikan dari sudut arkeologi.
Kerajaan Gangga Negara meliputi Beruas dan Dinding/ Manjung . Artifak arca-arca Buddha abad ke-5 dan ke-6 Masihi yang dijumpai di Beruas menunjukkan kewujudan kerajaan Gangga Negara ini. Kerajaan Gangga Negara ini berpusat di Beruas.
Pengasas Kerajaan Gangga Negara ialah Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah.Ada Pendapat lain yg mengatakan Kerajaan Gangga Negara telah diasaskan oleh Raja Khmers dari Kemboja.
Menurut kajian lain,dinyatakan juga bahawa Kerajaan Gangga Negara wujud tidak lewat dari abad ke-2 Masihi. Kerajaan Gangga Negara ini dipercayai terletak di daerah Dinding(Manjong), sekitar kawasan Selatan Gunung Bubu (1657 meter ) arah timur Bukit Segari di tepi Sungai Dendang. Pendapat ini juga menyebut kemungkinan pusat Kerajaan Gangga Negara berubah-ubah.
Berdasarkan taburan artifak-artifak purba yang ditemui dan pengaliran cabang Sungai Perak, kerajaan ini dipercayai pernah berpusat di Pengkalan ( Ipoh ), Lembah Kinta, Tanjung Rambutan, Bidor dan Sungai Siput.Kewujudan Kerajaan Gangga Negara dan kemudiannya Kerajaan Melayu Beruas dipersetujui penyelidik sejarah pada masa kini. Kedua-dua kerajaan tua yang dikatakan pernah bertapak di bumi Beruas bukanlah suatu kisah dongeng ataupun mitos semata-mata. Ini berikutan beberapa peninggalan kesan sejarah mengenainya yang masih wujud di beberapa kawasan negeri Perak amnya dan Beruas khususnya.
Gangga Negara bererti "bandar di Ganges" dalam bahasa Sanskrit, nama yang dipetik dari Ganganagar di barat laut India di mana penduduk Kambuja tinggal.Kambuja merupakan puak Aryan India-Iran dalam keluarga India-Eropah, pada asalnya tempatan di Pamir dan Badakshan. Terkenal sebagai pedagang Hindu, mereka membina koloni mereka di Asia Tenggara sekitar 2,000 tahun dahulu di lembah Mekong dan juga di Kepulauan Melayu di Funan, Chenla, Champa, Khmer, Angkor, Langkasuka, Sailendra, Srivijaya, dll. Pakar sejarah mendapati pedagang Kambuja mengembara dari Gujarat ke Sri Lanka dan ke Ligor (Nakhon Sri Thammarat) di utara semenanjung Tanah Melayu, merentasi Thailand dan Kemboja.
SEJARAH
Menurut kajian yang dijalankan oleh Tuan Haji Abdul Hamid Zamburi, berdasarkan buku Geographike Huphegesis yang ditulis oleh Ptolemy sekitar 150M ada menyebut tentang sebuah tempat bernama Coconagara yang terletak di Avrea Cheronesvs (Semenanjung Emas; merujuk kepada Tanah Melayu). Secara fonetiknya, sebutan Coconagara seakan-akan menyamai sebutan Gangga Negara. G. Coedes dalam The Indianized States of Southeast Asia berpendapat bahawa Coconagara itu terletak di tebing Sungai Dinding, sementara Kolonel Low pula mencadangkan ianya terletak di Sungai Dinding dan Beruas. Jika perkara ini tepat, maka ketamadunan Melayu di Beruas telah wujud sekurang-kurang sejak abad kedua tahun Masihi, iaitu merujuk kepada tahun penulisan Ptolemy. Menurut catatan Hikayat Merong Mahawangsa, Gangga Negara telah diasaskan oleh anakanda Merong Mahawangsa yang bernama Raja Ganjil Sarjuna. Kerajaan ini terletak di kawasan Beruas, sekitar selatan Gunung Bubu, ke arah timur Bukit Segari dan di tepi Sungai Dendang. Kerajaan ini turut merangkumi kawasan Pengkalan (Ipoh), Lembah Kinta, Bidor, Tanjung Rambutan dan Sungai Siput ,selain berubah-ubah dipercayai ekoran perubahan aliran sungai.Gangga Negara merupakan sebuah kerajaan Melayu-Hindu. Gangga Negara dipercayai sempena nama Sungai Ganges di India, manakala Negara bererti negeri dalam bahasa Sanskrit. Empayar Gangga Negara musnah ekoran serangan dan penjarahan Raja Rajendra Chola Deva I dari Coromandel, India sekitar 1025-1026. Dipercayai bahawa Raja Gangga Negara, iaitu Raja Gangga Shah Johan terkorban dalam peperangan tersebut.
PERDAGANGAN
Pelabuhan Gangga Negara terletak di pusat-pusat seperti Pengkalan, Bidor, Sungai Siput, Tanjung Rambutan dan Lembah Kinta. Barang-barang yang telah didagangkan di pelabuhan ialah emas, bijih timah, rempah-rempah, kayu barus dan damar.
ARTIFAK
Penyelidikan pertama mengenai kerajaan Beruas dimulakan oleh Kolonel James Low pada tahun 1849 dan satu abad kemudian oleh HG Qlaritch-Males. Menurut Jabatan Antikuiti dan Muzium, kedua penyelidik bersetuju bahawa kerajaan Gangga Negara wujud tetapi tidak dapat menentukan dengan pasti tapaknya. Selama beberapa tahun, penduduk kampung telah menemui artifak, termasuk nesan dengan tulisan yang menunjukkan bahawa Beruas mungkin merupakan titik mula penyebaran Islam di Semenanjung Malaysia. Kebanyakan artifak, dipercayai semenjak kerajaan kuno, kini dipamerkan di Muzium Beruas bertarikh semenjak abad ke-5 dan ke-6. Artifak yang dipamerkan termasuk meriam 128 kg, pedang, keris pitis, ketulan timah, tembikar dari kerajaan Dinasti Ming dan pelbagai era, dan tempayan besar. Melalui artifak ini, ia telah dijangka bahawa Pengkalan (Ipoh), Lembah Kinta, Tanjung Rambutan, Bidor dan Sungai Siput merupakan sebahagian kerajaan Beruas. Artifak turut mencadangkan bahawa pusat kerajaan mungkin telah berpindah beberapa kali. Gangga Negara dinamakan menjadi Beruas selepas Islam bertapak di sana.
POKOK BERUAS
Beberapa batu nisan diraja Aceh turut ditemui di daerah Beruas dan ini mempunyai bukti kaitan dengan sumber sejarah bahawa putera raja dari Aceh, Sumatra berehat di bawah pokok Beruas, Namanya Malikul Mansur. Sejarah Pasai ada menyebut mengenai Malikul Mansur yang dibuang oleh Sultan Malikul Mahmud. Kini pokok beruas telahpun pupus tetapi masih dapat dijumpai di perkampungan berhampiran di Pengkalan Baru dan Batang Kubu.
RUJUKAN;
National Library of Malaysia. Sejarah Malaysia. URL accessed April 14 2006.
Laman Rasmi Muzium-Muzium Negeri Perak Diarkibkan 2006-09-07 di Wayback Machine. URL accessed April 14 2006.
http://www.sabrizain.demon.co.uk/malaya/hindu.htm Diarkibkan 2006-06-23 di Wayback Machine
http://muzium.perak.gov.my/m_br_bahan.html Diarkibkan 2006-09-07 di Wayback Machine Beruas Museum
Beruas: kerajaan Melayu kuno di Perak, Othman bin Mohd. Yatim, Hassan Shuhaimi bin Nik Abd. Rahman (Nik.), Abd. Hamid Zamburi, Zainol Haji Hussin, Abd. Latib Ariffin, Persatuan Muzium Malaysia, Persatuan Muzium Malaysia, Muzium Negara, 1994 - Beruas (Kingdom).

Copy and paste:
14 Julai 2023 > 25 Zulhijjah 1444H: 3.20 pm


Thursday, 13 July 2023

KEDATANGAN PROTO MELAYU & DEUTRO MELAYU

Oleh Ridha Andai
Dipetik dari Academia

Menurut Von Hiene Geldern, nenek moyang bangsa Indonesia berasal dari daerah Yunnan di Cina Selatan,iaitu di antara sungai-sungai besar Yang-tse,Sungai Mekhong dan Menam.
Geldern berpendapat demikian kerana telah menemukan benda-benda Sungai yang sama bentuknya di Yunnan dan di Indonesia, seperti kapak persegi dan kapak lonjong.

1. Bangsa Proto Melayu Sekitar tahun 2000 SM diduga bangsa Proto Melayu (Melayu Tua) telah tiba di Kepulauan Nusantara.Bangsa Proto Melayu memiliki kebudayaan yang setingkat lebih tinggi daripada kebudayaan Homo Sapiens Indonesia.Kebudayaan mereka adalah kebudayan batu-baru atau Neolitikum dalam dua cabang Cabang pertama iaitu bangsa yang membawa kebudayaan kapak lonjong yang disebut sebagai ras Papua-Melansoid. Arah peyebaran nya dari Yunnan lewat Filipina, kemudian ke Sulawesi Utara, Maluku, dan ada yang sampai ke Irian. Sedangkan cabang yang kedua adalah bangsa Proto Melayu yang disebut ras Austronesia.
Arah gelombang cabang yang kedua ini dimulai dari Yunnan kemudian ke Malaya, Sumatera, Jawa, Nusa Tenggara dan pulau-pulau lainnya. Jenis kebudayaan yang mereka bawa berupa kapak persegi. 

2. Bangsa Deutero Melayu
Kira-kira tahun 500 SM, nenek moyang kita gelombang ke dua mulai memasuki Indonesia. Bangsa Deutero Melayu memasuki Indonesia melalui satu jalan saja, iaitu jalan barat (yakni melalui Malaya - Sumatera ).

Menurut N. Daldjoeni (1984), bangsa Deutero Melayu atau Melayu Muda ini berasal dari Dongson di Vietnam Utara, sehingga mereka ini kadang kala disebut orang-orang Dongson. Mereka telah memiliki kebudayaan yang lebih tinggi daripada bangsa Proto Melayu.
Peradaban mereka ditandai dengan kemampuan mengerjakan logam dengan sempurna. Barang-barang hasil kebudayaan mereka telah terbuat dari logam. Mula mula dari perunggu dan kemudian dari besi. Hasil kebudayaan logam di Indonesia yang terpenting ialah kapak corong atau kapak sepatu dan nekara. Di bidang pengola hartanah, mereka telah sampai pada usaha irigasi atas tanah-tanah pertanian yang berhasil mereka wujudkan, yakni dengan membabad hutan terlebih dahulu. Sudah selayaknya mereka mencari daerah-daerah seperti di Jawa dan pantai-pantai Sumatra untuk digarap seperti di negeri asal mereka.
Mereka juga telah mengenal perikanan laut dan pelayaran, sehingga perpindahan ke Nusantara juga memanfaatkan jalan laut.
Bangsa Indonesia sekarang yang termasuk keturunan bangsa Deutero Melayu, misalnya suku bangsa Jawa, Madura, Menado dan Melayu (Sumatra, Kalimantan dan Melaka).
Selanjutnya berdasarkan perbezaan Ras-ras manusia penduduk Indonesia awal paling tidak ada 4 (empat) ras, iaitu Manusia Purba, Ras Weddid (Wedda), Ras Papua - Melanesoida (Negrito), dan Ras Melayu (Austronesia).

Copy and paste: 
13 July 2023 > 24 Zulhijjah 1444H: 1.49 pm



Wednesday, 12 July 2023

Sejarah Tasik ‘Bekas Lombong’ The Mines

Posted by : Nizam Ali > PERISTIWA N' SEJARAH


Lombong dedah pernah menjadi terbesar di dunia, iaitu Lombong Sungai Besi yang kini bernama The Mines.
Dikatakan kedalamannya adalah melebihi bangunan 50 tingkat. Sangat dalam dan begitu menjauh dasarnya.
Terletak di Seri Kembangan, Selangor yang di dalamnya terdapat ikan-ikan besar.
Menjangkau lebih khusus lagi, tasik itu juga merupakan sebuah bekas lombong antara yang terbesar dan terdalam di dunia
Ia mencapai kedalaman 600 kaki atau 180 meter dan bersamaan ketinggian pangsapuri 52 tingkat. Dasarnya terletak pada paras kira-kira 155 meter di bawah paras laut.
Sebelum ditutup pada pertengahan 1980an, lombong dedah ini dimiliki oleh Sg Besi Mines Ltd. yang dikawal oleh MMC melalui Pernes Charter Management Co. di mana MMC adalah 71 peratus milik kerajaan dengan 20 peratus dimiliki Charter Consolidated.
Pernes Charter Management pula dikuasai 50 peratus oleh Charter Consolidated dan 50 peratus oleh Kerajaan Malaysia.
Web geologis Australia yang khusus menyelidiki perlombongan menyebut Sungai Besi telah dilombong sejak abad ke-10 dan pedagang Arab diketahui telah tiba di situ, manakala menjelang abad ke-13 orang Siam pula yang melombong di situ.
Bermula 1911, British mengeskploitasi kawasan itu dan tinjauan pada 1978 menunjukkan ia merupakan bekas alur sungai purba, melihat kepada profil kaserit, timah oksida yang terdeposit di situ.
Kenyataan bahawa ia telah dikunjungi orang Arab sejak abad ke-10 dan perlombongan oleh orang Siam pada abad ke-13 tentulah berdasarkan artifak, relik dan tapak yang kini sudah tidak ditempatnya dan dibawa pergi ke mana untuk apa oleh penjajah demi mengaut sedalamnya perut bumi tapak tersebut.
Dan ia tidak pernah disebut dalam sejarah kita sempena penjarahan tanah yang akhirnya menjadi tasik yang menelan seribu cerita. Ia diisi air hanya pada tahun 1990an.
Di mana terletaknya titik terdalam lombong tersebut? Ia terletak di tengah tasik di antara bangunan Sapura dan persimpangan menuju Seri Kembangan.
Sumber
Admin

Copy and paste:
12 Julai 2023 > 24 Zulhijjah 1444H: 11.09 pm


MITOS BERKENAAN GUNUNG JERAI

Posted by Ibn Kamal > PERISTIWA N' SEJARAH

Ketika dilihat dari jauh berserta sawah padi menghijau, pemandangan gunung setinggi 1,217 meter dari aras laut itu kelihatan sangat indah.Bagaimanapun ramai yang tidak mengetahui antara gunung tertinggi di Kedah itu penuh dengan misteri dan mitos yang masih belum terungkai.Bagi penduduk yang tinggal di sekitar pergunungan tersebut, pelbagai cerita kejadian aneh sering didengar oleh mereka, malah ada yang mendakwa berlaku di depan mata.
Antara mitos Gunung Jerai dikaitkan dengan kedatangan Raja Bersiong yang dikatakan orang pertama membuka kawasan penempatan di kaki gunung berkenaan. Malah, kerja cari gali arkeologi menemui tapak dipercayai Kuil Kolam Air Sembilan yang kononnya menjadi tempat bersiram Raja Bersiong.
Pada zaman dahulu, Kedah berada di bawah pemerintahan Siam. Kebanyakan Raja Kedah menggunakan nama dalam bahasa Siam. Raja Ong Maha Perita Daria adalah salah seorang daripada mereka, namun baginda lebih dikenali sebagai Raja Bersiong.Raja Bersiong terkenal dengan tabiatnya yang suka meminum darah manusia.
Mitos lain yang dikaitkan dengan Gunung Jerai adalah sebuah batu besar di atas puncak yang berbentuk sebuah kapal dipercayai disumpah Sang Kelembai.Sang Kelembai adalah gergasi yang mempunyai kuasa sakti.Namun, mitos yang paling popular bagi setengah penduduk tempatan seperti Wan Teh Wan Shaari, Gunung Jerai dikenali sebagai lubuk bunian.Lelaki berusia 54 tahun itu memaklumkan, gunung itu dikatakan menjadi penempatan bunian terbesar diperintah oleh seorang raja.
“Penduduk di sekitar Gunung Jerai percaya bahawa kawasan itu mempunyai sekurang-kurangnya tiga buah perkampungan bunian.
“Bunian ini dikatakan akan menjelmakan diri mereka menyerupai sesiapa sahaja yang disukainya termasuk perempuan cantik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
RUMAH DALAM HUTAN
Wan Teh yang sering keluar masuk ke pergunungan Gunung Jerai untuk mencari sumber hutan sejak tahun 1980-an juga pernah melalui pengalaman aneh.Ceritanya, pernah satu hari, dia bersama seorang rakan masuk ke kawasan pergunungan itu untuk mencari akar kayu sebelum tersesat ketika dalam perjalanan pulang.Tambahnya, ketika itu waktu sudah senja dan hujan lebat sehingga menyebabkan mereka sukar mengesan laluan denai yang sering digunakan.“Dalam keadaan cemas , saya ternampak beberapa buah rumah kayu yang berlampu di satu sudut hutan di gunung ini. Saya panggil kawan yang sedang berteduh di bawah pokok untuk pergi meminta bantuan.
“Lepas saya pusing balik, rumah itu sudah hilang. Selepas itu, baru kami jumpa jalan pulang. Pelbagai tanda tanya bermain dalam minda dengan bulu roma meremang,” katanya.
Tegasnya, dia berasa amat bersyukur kerana tidak masuk ke perkampungan bunian tersebut, kalau tidak mereka berdua mungkin tidak akan jumpa jalan keluar hingga hari ini.
Cerita mengenai bunian di Gunung Jerai juga pernah menggemparkan negara dengan kehilangan seorang pemuda berusia awal 20-an pada tahun 2000.Pemuda itu dikatakan mengikut seorang gadis cantik yang berada di gunung tersebut. Pelbagai usaha dilakukan untuk mencari pemuda tersebut, namun gagal ditemui.
Setelah seminggu misteri kehilangannya heboh diperkatakan, akhirnya mangsa dijumpai mati di sekitar kawasan air terjun.Mayat mangsa ditemui dalam keadaan ngeri tanpa kepala dan badannya diceraikan.Dikatakan tempat pemuda itu ditemui adalah penempatan bunian.PENGUNJUNG dinasihatkan tidak bercakap besar ketika mendaki Gunung Jerai, dibimbangi tidak bertemu jalan pulang. –
Meskipun gunung tersebut terkenal dengan pelbagai kisah aneh, namun ia sentiasa menjadi tumpuan pengunjung terutamanya bagi mereka yang ingin mencari ketenangan dan menikmati keindahan alam.Wan Teh turut mengakui, terdapat individu yang datang ke situ semata-mata untuk bertapa terutamanya dalam kalangan pengamal perubatan tradional.
Justeru, dia menasihati pengunjung supaya jangan terlalu taksub dengan cerita-cerita yang diperkatakan supaya tidak menjerat diri.
“Saya selalu bawa orang luar mendaki gunung ini. Saya sering menasihatkan mereka supaya tidak bercakap besar.
“Paling penting, perlu ada niat yang baik ketika mendaki. Jangan sesekali ada niat tidak elok, takut-takut tidak jumpa jalan pulang,” tuturnya.
Kisah Sejarah Melayu

Copy and paste:
12.7. 2023 > 24 Zulhijjah 1444H: 7.44 pm

Rahasia Ilmu P.Ramlee


Posted by Rozza Zainal > PERISTIWA N' SEJARAH

May 27, 2018, By Hidir Ali Razali
Apabila memperkatakan tentang P.Ramlee, masyarakat hari ini akan merujuk kepada keberhasilan karya seni beliau. Tidak dinafikan P.Ramlee sememangnya mempunyai bakat anugerah Allah yang sangat luar biasa dan mempunyai satu sentuhan yang ajaib kepada sesuatu perkara yang dilakukan berkaitan dengan kerjayanya sebagai pengarah filem, pelakon, penyanyi, penulis lirik, penggubah lagu dan pelawak.
Hari ini masyarakat sering menyamakan filem P.Ramlee dengan apa yang berlaku di dalam kehidupan dunia sekarang. Saya tidak menafikan perkara itu, sememangnya filem-filem P.Ramlee mempunyai kritikan sosial dan nilai sindiran yang tinggi bersangkutan dengan kehidupan manusia hari ini. Tetapi jangan sesekali mengatakan P.Ramlee itu sebagai peramal masa depan seperti Nostradamus. Apa yang kita perlu kaji adalah dari mana datangnya ilham dan ilmu sehingga beliau boleh berfikiran sedemikian. Adakah ianya secara kebetulan? Mari kita bincangkan dengan penuh berhemah tentang perkara ini yang memungkinkan kita juga beroleh menfaatnya dari apa yang dibincangkan.
Semasa P.Ramlee bersekolah di Penang Free School, beliau adalah seorang pelajar yang mempunyai tulisan paling cantik sekali. Tidak kira tulisan itu dalam bentuk rumi atau jawi. Kenyataan ini kita boleh rujuk kepada tandatangan P.Ramlee yang seringkali berubah-ubah dari satu gaya ke satu gaya lebih kreatif dan unik. Menurut guru sekolah beliau iaitu Cikgu Hashim (bapa seniman Ahmad Daud), beliau sering meminta bantuan P.Ramlee untuk membawa buku sekolah murid-murid pulang ke rumahnya untuk disemak. Apabila sampai dirumah, isteri Cikgu Hashim akan menjamu P.Ramlee makan tengahari bersama. P.Ramlee sentiasa senang hati makan tengahari dirumah gurunya dan tidak payah lagi beliau makan dirumah.
Semasa di zaman persekolahan P.Ramlee tidak suka membuang masa. Selepas makan tengahari beliau akan pergi belajar agama. Menurut beberapa sumber, P.Ramlee pernah menuntut ilmu agama dengan Syeikh Abdullah Fahim (datuk kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi). Beliau adalah seorang Ulama besar yang terkenal di zaman itu. Syeikh Abdullah Fahim adalah individu yang dirujuk oleh Tunku Abdul Rahman dalam menetapkan tarikh bagi hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kerana beliau mempunyai pengetahun yang tinggi dalam ilmu Falak. Selain itu beliau juga cenderung mengajar ilmu agama berkaitan dengan ilmu Usuluddin, Fiqh, Tauhid, Tasawuf dan Al-Quran.
Selepas selesai belajar agama, P.Ramlee akan membuat aktiviti sukan. P.Ramlee sangat gemar bermain sepak raga dan badminton bersama rakan-rakan sekolahnya. P.Ramlee juga sangat aktif bersukan dan berpesatuan semasa di sekolah. Selepas selesai solat Isyak, P.Ramlee akan berlatih muzik bersama kumpulan pancaragam Sinar Bintang Sore. Setelah beberapa lama bersama pancaragam itu beliau sertai pula pancaragam Teruna Sekampong sebagai pemain biola, penyanyi dan pencipta lagu. Sebenarnya bakat seni P.Ramlee ini telah terlihat dari beliau remaja lagi. P.Ramlee juga pernah belajar bermain biola bersama dengan Cikgu Kamaruddin seorang guru biola terkenal di Pulau Pinang.
Apabila diadakan pertandingan menyanyi anjuran Radio Malaya pada tahun 1945, P.Ramlee telah mencuba nasibnya sebagai penyanyi. Tetapi pada tahun itu P.Ramlee hanya mendapat tempat ketiga. Setelah tiga tahun mencuba akhirnya P.Ramlee berjaya mendapat johan pada tahun 1947. Semenjak itu nama P.RAMLEE dan pancaragam Teruna Sekampung telah mula dikenali di kawasan utara Malaya. Perkara ini telah membuatkan pengarah B.S Rajhans berminat akan bakat yang ada pada P.Ramlee sehingga meminta beliau ke Singapura seperti yang kita semua tahu.
Apabila P.RAMLEE sampai ke Singapura, beliau banyak juga menuntut ilmu dengan beberapa orang guru dan tokoh muzik. Antara tokoh muzik yang P.Ramlee pernah berguru ialah Zubir Said, Osman Ahmad, Alfonso Soliano, Yusof B dan Ahmad Jaafar. P.Ramlee juga pernah balajar cara mengendalikan muzik dengan Fred Libio dan LB Ventura. Moral dari kisah P.Ramlee ini yang kita boleh dapat adalah dengan berguru. Kerana segala ilmu di dunia ini perlu ada guru. Bukan hanya sekadar menadah kitab tetapi ianya juga perlu bimbingan dan rujukan guru. Seperti P.Ramlee kita tahu bahawa beliau sememangnya dianugerahkan bakat dari Allah, tetapi P.Ramlee juga berguru dan menuntut ilmu. Kerana guru tidak kira dalam apa bidang sekalipun perlu kita mendatangi bukan guru mendatangi kita.
TABIAT P.RAMLEE
P.Ramlee mempunyai beberapa tabiat. Beliau memiliki kepandaian berbual dan bercerita secara spontan. Ini membuatkan beliau menjadi seorang periwayat yang baik untuk filem-filem arahannya.
Satu tabiat P.Ramlee ketika beliau duduk sambil bercerita atau berbual, sebelah kakinya tidak berhenti terhenjut-henjut dengan cepat, ini menandakan yang otaknya sedang berfikir. P.Ramlee suka duduk berbual bersama rakan-rakannya di kedai kopi Siput berdepan dengan Studio Nombor 8 di Jalan Ampas. Kebiasaannya ketika beliau sedang rancak berbual atau bercerita mesti ada segelas kopi dan sebungkus rokok Lucky Strike di hadapannya. Antara pelakon pelakon yang selalu menjadi pendengar setia ketika P.Ramlee bercerita ialah seperti S.Sudarmaji, Ahmad C, A.Rahim, Aziz Sattar, S.Shamsudin dan beberapa lagi yang lain.
Apabila kita menonton filem Seniman Bujang Lapok, kita semua telah disajikan dengan keadaan dan suasana sebenar di Studio Jalan Ampas. Jikalau tidak ada filem itu, maka kita semua tidak akan tahu bagaimanakah keadaan dan suasana yang sebenarnya di studio itu ketika zaman gemilang filem Melayu klasik di Singapura. Kita semua bangsa Melayu di seluruh nusantara patut berterima kasih kepada P.Ramlee dan juga semua pemain watak di dalam filem itu kerana telah memberikan gambaran yang sebenar keadaan di Jalan Ampas. Walaupun tidak keseluruhannya, tetapi ada. Ini kerana, hanya filem Seniman Bujang Lapok satu satunya yang memberikan gambaran tersebut.
Sumber :
Gagak Di-Rimba – SN Datuk Abdullah Hussain
Erti Yang Sakti – Tun Ahmad Sarji
Kacha Permata – Jamil Sulong
Bulanan Gelanggang Filem
Dato’ Ahmad Fauzee Samad
Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
Sumber artikel : thepatriots
Copy and Paste:
12 Julai 2023 > 24 Zulhijjah 1444H: 7.35 pm