Sunday, 30 May 2021

AL-KAFI #1674 : MENINGGALKAN TIGA KALI SOLAT JUMAAT DALAM SUASANA COVID- 19

SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, sekiranya ditakdirkan Perintah Kawalan Pergerakan yang turut melibatkan larangan menghadiri solat Jumaat dan solat berjemaah sekarang ini akan dipanjangkan tempohnya, adakah saya termasuk dalam amaran yang terdapat dalam hadis berkenaan mereka yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut itu ? Mohon penjelasan.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapakan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Menghadiri solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak kepada setiap lelaki beragama Islam yang mukallaf. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Surah Al-Jumu‘ah (9)

Maka dapat difahami bahawa menghadiri dan mendirikan kewajipan solat Jumaat merupakan ciri seorang mukmin yang mendahulukan tanggungjawab seorang hamba kepada Allah S.W.T mengatasi sebarang kepentingan duniawi seperti berjual beli pada masa tersebut.

Meskipun begitu, tuntutan menghadiri solat Jumaat secara berjemaah ini diberikan keringanan kepada mereka yang mempunyai keuzuran yang diambil kira di sisi syarak untuk tidak menghadirinya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya : Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.

Riwayat Ibn Majah (793)

Menurut hadis di atas, secara asasnya seseorang itu dituntut untuk menghadiri solat berjemaah sekiranya dia mendengar panggilan azan. Meskipun begitu, jika ada keuzuran tertentu maka dia diberi pengecualian untuk hadir menyahut seruan tersebut. Manakala dalam sebuah riwayat yang lain, para sahabat bertanya kepada Rasulullah S.A.W apakah yang dimaksudkan dengan keuzuran ? Maka Rasulullah S.A.W. menjawab :

خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ

Maksudnya : Perasaan takut ataupun sakit.

Riwayat Abu Daud (551)

Maka jelas daripada hadis di atas bahawa perasaan takut atau sakit termasuk dalam kategori uzur yang membolehkan seseorang itu untuk tidak hadir ke masjid bagi solat berjamaah. Kemudian para fuqaha memperincikan lagi akan tahap ketakutan yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat berjemaah dan juga solat Jumaat. Ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh Ali al-Qaradaghi seperti berikut :

Harus untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah dalam keadaan virus yang sedang tersebar disebabkan oleh perasaan takut dijangkiti virus tersebut.’’ Beliau juga menyebut bahawa keharusan tersebut perlulah disyaratkan dari sudut ketakutan penyebaran itu benar-benar yakin berlaku dan bukanlah pada sangkaan semata-mata. Rujuk https://bit.ly/2WvN367

Justeru, bertitik tolak dari nasihat dan pandangan pakar yang berautoriti berkenaan cepatnya Covid-19 ini merebak, maka dikeluarkan arahan supaya segala aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dihentikan sementara waktu. Maka ketidakhadiran umat Islam ke masjid pada tempoh ini merupakan suatu keuzuran yang diambil kira di sisi syarak iaitu wujudnya perasaan takut akan jangkitan virus ini.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa memang benar terdapatnya ancaman terhadap mereka yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali secara berturut-turut di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu al-Ja’d al-Dhamri (sebahagian menyatakan Al-Dhumairi) R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya : Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat jumaat kerana mengambil mudah akannya, nescaya Allah akan mengunci jantung hatinya.

Riwayat Abu Daud (1052)

Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya : Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang dharurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya.

Riwayat Al-Nasa’ie (1370)

Kedua riwayat hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita ancaman dan amaran yang terdapat di dalam hadis tersebut terikat dengan keadaan meninggalkan solat Jumaat kerana mengambil enteng, meremehkan ia, serta meninggalkan perlaksanaannya tanpa sebarang dharurat.

Syeikh Badruddin al-‘Aini dalam syarahan beliau terhadap hadis riwayat Abu Daud di atas berkata : ‘’Bab ini menjelaskan tentang kerasnya ancaman bagi perbuatan meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran’’. Beliau menambah, perkataan تهاونا بها membawa masud : ‘’(Meninggalkannya) kerana malas serta culas dalam melakukannya’’. 

Rujuk Syarah Abi Daud, Badr al-Din al-‘Aini (4/371).

Manakala Mulla ‘Ali al-Qari ketika mengulas hadis tersebut menukilkan kata-kata Al-Thibi yang menyebut : ‘’(Iaitu meninggalkannya dengan tujuan menghina)’’. Kemudian dinukilkan pendapat ulama lain yang menyebut : ‘’Meninggalkannya kerana mengambil mudah’’. 

Rujuk Mirqaat al-Mafatih, Mulla ‘Ali al-Qari (3/1024).

Maka jelas kepada kita bahawa ancaman yang dimaksudkan di dalam hadis di atas merupakan ke atas mereka yang meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan di sisi syarak. Manakala mereka yang meninggalkan solat Jumaat disebabkan ada keuzuran, maka mereka tidak termasuk dalam ancaman tersebut. Sebaliknya, diberikan ganjaran sama seperti yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W :

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya : Apabila seseorang hamba itu sakit atau bermusafir, akan ditulis buat dirinya ganjaran sama seperti yang diamalkannya semasa bermukim atau sihat.

Riwayat Al-Bukhari (2996)

Penjelasan panjang lebar berkenaan hal ini boleh dirujuk kepada Al-Kafi #1661: Ganjaran Solat Berjemaah Di Rumah Jika Meninggalkan Perlaksanaannya Di Masjid Disebabkan Keuzuran menerusi pautan berikut https://bit.ly/33wpOu7

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan yang dikemukakan di atas, maka kami berpendapat sekiranya tempoh kawalan pergerakan ini mengambil masa yang lama sehingga membawa kepada terlepasnya perlaksanaan solat Jumaat sebanyak tiga kali, mengambil kira faktor takut merebaknya Covid-19 dengan lebih meluas, maka mereka yang meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran ini tidak termasuk di dalam ancaman yang terdapat di dalam hadis-hadis tersebut. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

C&P: 30/5/2021 @ 18 SYAWAL 1442H: 4.40 PM

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-572 : ADAKAH WAJIB SOLAT TAUBAT JIKA TIDAK HADIR SOLAT JUMAAT SEBANYAK TIGA KALI?

SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

SOALAN
 
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah para lelaki mukallaf yang tidak hadir solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut kerana mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan kerajaan wajib untuk bertaubat dengan mendirikan solat sunat taubat?
 
Mohon penjelasan. Terima kasih.
 
RINGKASAN JAWAPAN
 
Tidak diwajibkan bertaubat dan juga tidak wajib mengerjakan solat taubat bagi mereka yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut disebabkan mematuhi arahan kerajaan dan menjaga diri daripada wabak Covid-19.
 
Hal ini kerana ia termasuk dalam keuzuran yang dibenarkan oleh syarak, maka ia bukanlah satu dosa yang memerlukan kepada taubat. Dalam situasi sekarang digalakkan untuk kita sentiasa beristighfar kepada Allah SWT dalam setiap masa kerana Rasulullah SAW sendiri beristighfar sebanyak seratus kali sehari walaupun Baginda SAW maksum.
 
Walau bagaimanapun, seseorang lelaki yang mukallaf perlulah untuk berusaha dengan sebaiknya mendapatkan tempat jika dibenarkan solat Jumaat di masjid dengan kouta dan SOP yang tertentu yang ditetapkan oleh pihak masjid seperti mengisi borang yang disediakan dan hadir awal ke masjid. Ini supaya tidak termasuk dalam perbuatan mengambil ringan kewajipan solat Jumaat sehingga tidak mempedulikan tentangnya.
 
WaAllahu a’lam.
 
HURAIAN JAWAPAN
 
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
 
Allah SWT telah menetapkan tentang kewajipan solat Jumaat ke atas lelaki yang mukallaf di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:
 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
 
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
 
(Surah al-Jumu’ah: 9)
 
Begitu juga, Rasulullah SAW memberi ancaman kepada orang yang meninggalkan solat Jumaat secara sengaja dan mengambil mudah tentang kewajipannya dengan Allah SWT akan mengunci mati hatinya. Rasulullah SAW bersabda:
 
مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
 
Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat jumaat kerana mengambil ringan akannya, nescaya Allah SWT akan mengunci mati hatinya.
 
Riwayat Abu Daud (1052) dan al-Nasa’ie (1369)
 
Selain itu, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan al-Nasaie, Rasulullah SAW bersabda:
 
لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ، أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ، ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ
 
Maksudnya: Hendaklah sesuatu kaum itu menghentikan daripada perbuatan mereka meninggalkan solat Jumaat, jika tidak Allah akan menutup hati-hati mereka, maka demikian mereka akan tergolong daripada golongan yang lalai.
 
Riwayat Muslim (865) dan al-Nasa’ie (1370)
 
Berkaitan hadis-hadis ini, kami telah menghuraikannya bahawa ancaman tersebut merujuk kepada mereka yang meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan di sisi syarak. Jika sekiranya seseorang itu meninggalkannya walau sebanyak tiga kali berturut-turut disebabkan keuzuran yang dibenarkan syarak, maka dia tidak termasuk dalam ancaman ini. Untuk penjelasan lanjut, 
 
Oleh yang demikian, jika seseorang meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran seperti khuatir menularnya wabak Covid-19 serta mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan kerajaan, maka dia tidak berdosa. Kewajipan untuk bertaubat kepada sesiapa yang sengaja melakukan dosa sama ada melakukan maksiat atau meninggalkan kewajipan. Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitab Riyadh al-Salihin bahawa:
 
ويجِبُ أنْ يَتُوبَ مِنْ جميعِ الذُّنُوبِ، فَإِنْ تَابَ مِنْ بَعْضِها صَحَّتْ تَوْبَتُهُ عِنْدَ أهْلِ الحَقِّ مِنْ ذلِكَ الذَّنْبِ وبَقِيَ عَلَيهِ البَاقي. وَقَدْ تَظَاهَرَتْ دَلائِلُ الكتَابِ والسُّنَّةِ، وإجْمَاعِ الأُمَّةِ عَلَى وُجوبِ التَّوبةِ.
 
Maksudnya: Wajib untuk bertaubat ke atas semua dosa-dosa, jika sekiranya seseorang itu bertaubat ke atas sebahagian sahaja daripada dosa-dosanya, maka taubat sah bagi dosa-dosa tersebut di sisi para ulama’. Oleh itu, masih berbaki lagi dosa-dosa yang belum dia bertaubat. Terdapat banyak dalil-dalil daripada al-Quran, Sunnah dan ijma’ ulama berkaitan kewajipan bertaubat. 
(Rujuk Riyadh al-Salihin Min Kalam Sayyid al-Mursalin: 17)
 
Justeru, tidak wajib ke atasnya untuk bertaubat dan solat taubat atas perkara tersebut kerana ia bukanlah satu dosa yang memerlukan kepada taubat. Namun digalakkan untuk memperbanyakkan beristighfar di setiap masa dan waktu kerana Rasulullah SAW sendiri beristighfar sebanyak seratus kali sehari walaupun Baginda SAW seorang yang maksum. Sabda Nabi SAW:
 
يَا أَيُّهَا النَّاسُ، تُوبُوا إِلَى اللَّهِ، فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ
 
Maksudnya: Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kalian kepada Allah SWT. Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah SWT seratus kali dalam sehari.
 
Riwayat Muslim (2702)
 
Walau bagaimanapun, seseorang lelaki yang mukallaf itu hendaklah berusaha dengan sebaiknya untuk mendapatkan tempat jika dibenarkan solat Jumaat di masjid dengan kouta dan SOP yang telah ditentukan. Antara usaha yang perlu dilakukan ialah seperti mengisi borang yang disediakan dan hadir awal ke masjid. Berkaitan hal ini, rujuk artikel Al-Kafi #1735 : Adakah Wajib Hadir Beratur Untuk Mendapat Tempat Bagi Solat Jumaat Pada Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)?
 
Berbalik kepada maksud hadis yang dinyatakan sebelum ini, ia memberi gambaran jelas bahawa golongan lelaki yang mukallaf tidak boleh mengambil ringan tentang kewajipan solat Jumaat. Imam Badruddin al-Aini menjelaskan maksud lafaz تَهَاوُنًا (mengambil ringan) sepertimana yang dinyatakan dalam hadis di atas, kata beliau:
 
قوله: "تهاونا بها" أي: كسلاً واستهتارا بها
 
Maksudnya: (Maksud) sabda Rasulullah SAW “mengambil ringan terhadapnya (kewajipan solat Jumaat)” ialah meninggalkannya kerana bermalasan dan tidak peduli tentangnya. (Rujuk Syarah Sunan Abi Daud, 4:372)
 
Manakala menurut Imam al-Suyuti dalam tentang maksud hadis ini:
 
الظَّاهِر أَن المُرَاد بالتهاون التكاسل وَعدم الْجد فِي أَدَائِهِ لَا الاهانة وَالِاسْتِخْفَاف فَإِنَّهُ كفر
 
Maksudnya: Apa yang nyata bahawa maksud mengambil ringan ialah bermalas-malasan dan tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya, bukan maksud menghina dan memandang enteng (kewajipannya) kerana perkara tersebut adalah satu kekufuran. (Rujuk Syarh Sunan Ibn Majah, 1:79)
 
Kesimpulannya, dapat difahami bahawa perlulah ada usaha dan kesungguhan untuk melaksanakan solat Jumaat di masjid supaya tidak timbul rasa bermalas-malasan dan tidak mempedulikan kewajipan solat Jumaat. Ambillah iktibar dan pengajaran daripada kisah Imam al-Buwaithi, seorang anak murid Imam al-Syafie, yang diriwayatkan bahawa beliau walaupun dipenjara, beliau akan mandi dan memakai pakaian yang terbaik baginya pada setiap hari Jumaat, kemudian beliau pergi mengetuk pintu jeriji penjara bagi menarik perhatian pengawal penjara. Lalu pengawal penjara itu bertanya kepada beliau, “Apa yang tuan mahu?”. Kata beliau, “Aku mahu menyahut seruan Tuhan-ku (azan Jumaat)”, walaupun dia mengetahui pengawal penjara tersebut tidak akan membenarkannya keluar. Begitulah pada setiap hari Jumaat, Imam al-Buwaithi melakukan hal yang sama sebagai usaha beliau untuk pergi mendirikan solat Jumaat. Rahimahullah taala.
 
WaAllahu a’lam.

C&P: 30/5/2021 @ 18 SYAWAL 1442H: 4.23 PM

Kelebihan Solat Witir

SUMBER: NORMINIEZA.BLOGSPOT

Solat Witir ialah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam selepas solat isyak sehingga terbit fajar saddiq (sebelum masuk waktu subuh), lebih afdal lagi bila ia dilakukan pada sepertiga malam yang terakhir. Ia boleh dilakukan setiap malam, tidak hanya pada bulan ramadan sahaja.
Solat Witir adalah solat yang unik kerana dikerjakan pada jumlah rakaat yang ganjil jumlahnya iaitu sekurang-kurangnya satu rakaat, selebihnya 11 rakaat. Paling afdal ialah 3 rakaat iaitu dimulai dengan solat witir dua rakaat satu salam dan disambung dengan solat witir satu rakaat satu salam. Kerana ianya unik, Solat witir mesti dilakukan dengan rakaat yang ganjil sebagai penyudah.
Solat witir sangat digalakkan untuk dilakukan berdasarkan hadis Nabi Muhammad saw
Rasulullah saw, bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah itu witir (ganjil), dan Dia menyukai witir, maka lazimkanlah solat witir, wahai ahli Al-Quran.”
Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.
“Sesiapa yang mengerjakan sembahyang dhuha, berpuasa tiga hari daripada sebulan dan tidak pernah meninggalkan sembahyang witir sama ada dalam pelayaran dan bermuqim, dicatat baginya pahala orang syahid.”
Hadis riwayat at-Thabran
Witir itu hak (benar). Barangsiapa yang tidak berwitir ia bukan dari golongan kita! Witir itu hak maka barang siapa yang tidak mengerjakannya ia bukan
dari golongan kita! Witir itu hak, barangsiapa yaang tidak mengerjakannya maka ia bukan dari golongan kita!
Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud
Kelebihan Solat Witir
Nabi Muhammad saw bersabda:
Sesungguhnya Allah telah memberikan (hadiahkan) kepada kamu satu solat, yang mana ianya adalah lebih baik daripada unta-unta yang terbaik. Iaitulah Solat Witir.
Hadis Riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah
Gambaran masyarakat Arab ketika itu ialah sesiapa yang memiliki unta yang terbaik akan dianggap sebagai orang yang berharta dan kaya. Boleh diibaratkan seperti zaman sekarang ialah orang ynag berstatuskan jutawan, memiliki kekayaan.
Bayangkan berapa lama untuk mengumpulkan harta sehingga menjadi jutawan dan memiliki kekayaan, adalak kita cuma perlu lakukan selama 10 tahun ? 30 tahun untuk menjadi seorang jutawan?
Tetapi dengan mengerjakan solat witir dengan hanya satu rakaat sahaja, melebihi daripada apa yang kita idamkan iaitu menjadi jutawan dan miliki harta yang berlimpah luah. Bayangkan pula jika solat witir itu dilakukan 3 rakaat atau 5 rakaat. Berapa kali ganda kekayaan yang boleh dibayangkan dengan hanya mengerjakan solat witir.
Tetapi ini hanyalah satu perumpamaan, apa yang diterangkan oleh Rasulullah saw adalah untuk memudahkan fahaman kita kepada gambaran kebendaan, sedangkan di Akhirat nanti balasan yang diterima adalah berkali ganda di dalam syurga.
Ia seolah-olah mengambarkan betapa mudahnya kita boleh menjadi kaya raya iaitu hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Ternyata hadiah ini sememangnya bernilai diberikan oleh Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Terlalu mudah untuk hamba-hamba-Nya memasuki syurga tetapi hanya segelintir sahaja yang mengambil manafaatnya,
Oleh yang demikian janganlah ditinggalkan solat witir, kerjakanlah walaupun hanya sedikit bilangan rakaatnya tetapi berterusan. Amalan yang berterusan tetapi sedikit adalah perkara yang disukai oleh Allah swt.
Sebagai mana di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra yang bermaksud
“Ditanya Nabi Muhammad saw tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah. Baginda bersabda: “Amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
Hadis riwayat Bukhari
C&P: 30/5/2021 @ 18 SYAWAL 1442H: 4.16 PM

Friday, 28 May 2021

OUR DAD - MAAMOR BIN SUDIN OF 7 TH BATTALION ROYAL MALAY REGIMENT


BY NORAJELAN BIN MAAMOR

I was too young to understand what was going on in my family.
My Dad went missing from home for days, weeks and even a month. My Mom was silence about it, maybe because I didn't asked her. Maybe Mom feels that it is better for me not to know, I was too young then.
But one thing that I remembered very well was, each time my Dad came back , we were so happy to see him, and not only that, he brought back lots of goodies. Out of his haversacks were bars of Mars, packets of Orange juice powder and canned corned Beef, which in no time me and siblings finished it, of course not without a fight.
Well kids being kids, Dad just watched and smile.
That was wayback in the late 50s and early 60s. Yes, Dad was in the army, in the Royal Malay Regiment to be exact, and the time was the most crucial post independence period , the Emergency ( 1948 - 1960).
Before joining the army, he was a Teacher. He left the Teaching profession , to pursue his love for the Army life. He was always proud of it. He served the country since the beginning of the Emergency, carried the national flag while serving as the UN Peacekeeping Force during the Republic of Congo crisis, help to maintain order during the 1964 - 65 Trade Union Hartal riot when it went out of control and the army was called in, and retired in 1967 just after the end of Indonesia's Konfrantasi , and his last posting was in Tawau , ironically which was also happened to be the birthplace of the Konfrantasi. ( remember the Kalabakan incident ?)
He didn't talk much about his army life and experiences , unless and until some of his buddies or rather Band of Brothers paid a visit , and they will talk for hours about their Tour of Duty.
All I can gather from what they relate, it was definitely no Hollywood stuffs, it was brute and scary. War is no acting matter , neither was it melodramatic. Only those involved knows it very well.
To tell the truth , with all that , yet I was never afraid or worried about him, being missing , being under attack or on the offensive. For all I know, he came back and kept his cool and silence ,not even to Mom. I don't know why. Maybe because I always have the confidence that somehow or rather, he will be back for sure, no worry, and I too got the feeling that he knows his stuffs well and he is well equipped for survival. That also goes for his Band of Brothers too.
Alhamdullilah , my praise to the almighty Allah.
I am truly proud of him. He is one of those unsung heroes ,( Army, Police, Home Guard, the Senoi Praaq, the Gurkhas, the Anzacs, and all others in uniforms),their undying loyalty to their profession and to the nation , pave the way towards our peace, progress and development.
He really lived to his Regimental
insignia " Taat dan Setia", Taat kepada Raja, Setia kepada Negara.
Al-Fatihah. Allahyarham Maamor bin Sudin.

C&P: 28/5/2021 @ 17 SYAWAL 1442H: 10.27 PM

“NGEPAN IBAN” .. ALAS MEJA 70an, KAIN BURUK.. KATA INFLUENCER!

SUMBER: BORNEO ORACLE

PEPATAH melayu lama ada menyebut, makan boleh sebarang makan tapi cakap jangan sebarang cakap yang sudah tentu dari pengertiannya sahaja sudah bermaksud apabila kita hendak berbicara mengenai sesuatu tidak kira ianya dalam situasi yang serius mahupun berjenaka harus berhati-hati meluah kata. Kerana andai ianya tidak bersesuaian maka buruk padahnya. Begitulah juga dalam media sosial apabila di dalam dua hari ini ada seorang influencer yang terkenal dengan jumlah pengikut melebihi satu juta orang di dalam satu video telah mempersenda pakaian tradisi kaum Iban iaitu “Ngepan Iban” atau “Ngepan Indu Iban” dengan menyamakannya seperti alas meja 70an, kain buruk, langsir lama yang sudah tentu amat perit untuk kaum Iban malahan rakyat Sarawak terima kerana ia jelas menghina pakaian tradisi yang menjadi warisan dan kebanggaan kaum di Sarawak.
Sebelum saya menghentam dengan lebih tajam lagi ingin saya memberi ruang informasi untuk semua kerana tampak gayanya masih ramai yang tidak mengetahui apa itu “Ngepan Iban”. Di Sarawak, “Ngepan Iban” adalah pakaian tradisi zaman berzaman bagi kaum wanita di kalangan kaum Iban. Dan perlulah diketahui “Ngepan Iban” itu sendiri bukanlah hanya satu sahaja persalinan sebaliknya dek kerana Kaum Iban mempunyai sub etniknya tersendiri maka setiap pemakaian busana tradisional ini biar nampak serupa tetapi masih ada perbezaan yang hanya diketahui oleh kaum Iban sendiri. Oleh kerana ia terlalu istimewa maka busana tradisional ini bukanlah dipakaikan sehari-hari sebaliknya pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika majlis perkahwinan, adat-istiadat menyambut orang besar, perayaan Gawai serta banyak lagi.
Dan tidak lengkap penceritaan mengenai busana tradisional wanita kaum Iban andaikata tidak mengaitkannya dengan sejarah dahulukala Kaum Iban. Pemakaian Ngepan Iban menurut sejarahnya adalah sinonim dengan ikon wanita legenda kaum Iban iaitu yang bernama “Kumang”. Kumang di dalam sejarah Kaum Iban adalah seorang wanita Iban yang sangat cantik rupa parasnya dan cukup sempurna kerana beliau pandai di dalam serba-serbi seperti bertenun, membuat anyaman, bermasak, mengurus rumahtangga, berhuma serta banyak lagi. Kerana kesempurnaan itulah Kumang menjadi dambaan setiap jejaka Iban pada suatu waktu dahulu. Begitulah naratif ringkas Ngepan Iban yang begitu kaya di dalam penceritaan sejarah turun temurun Kaum Iban.
Di kalangan kaum Iban, pemakaian Ngepan Iban bukanlah secara sembrono sebaliknya harus mengikut tatacara tersendiri dan dijalankan mengikut tertib. Yang membantu pemakaian “Ngepan Iban” kebiasaannya adalah wanita-wanita kaum Iban yang berpengalaman sahaja kerana ia mempunyai banyak pantang larang. Andai tidak betul tertibnya adalah dipercayai ia akan membawa maksud yang berbeza dan boleh memudaratkan kepada si pemakai dan keluarganya. Disini sahaja kita sudah mampu bayangkan betapa tingginya busana tradisi kaum Iban yang disebut jelek oleh si influencer tersebut.
Keindahan dan keunikan pada busana tradisional wanita Iban sangatlah istimewa kerana ia diperindahkan dengan pemakaian kain tenun yang mempunyai corak-corak yang punya makna tersendiri. Aksesorinya pula bukanlah calang-calang pembuatannya malah akan dipakaikan daripada bahagian kepala sehinggalah ke bahagian kaki yang mana setiap satunya mempunyai perincian dan maksud yang tertentu.
i. “Sugu tinggi” atau “Tall Combs” ialah perhiasan yang diletakkan dibahagian kepala yang digunakan ketika menyambut sesuatu perayaan besar. Ia merupakan perhiasan yang berwarna perak yang mana ia akan memberikan keunikan dan kilauan yang menarik semasa disanggulkan di kepala.
ii. “Sugu tinggi” ialah kraftangan corak dan rekaan yang bertemakan bunga-bungaan. Juga diperbuat daripada perak.
iii. “Sugu pupung” ialah sikat yang menyokong “sugu tinggi” supaya ia tidak longgar atau terjatuh apabila digayakan di kepala.
iv. “Ensuga Tisir” ialah perhiasan yang diletakkan pada bahagian “sugu tinggi” yang berbentuk bunga-bungaan dan diperbuat daripada perak.
v. “Lampit” merupakan tali pinggang yang besar yakni digunakan pada bahagian pinggang.
vi. “Tumpa” ialah sejenis perhiasan gelang tembaga.
vii. “Tumpa Rajang” ialah sejenis perhiasan gelang yang diperbuat daripada “tekuyung” atau siput tasik.
viii. “Sementing ringgit” atau “gobeng” merupakan lingkaran tali pinggang yang berjuraian ibarat tali pinggang syiling perak. Setiap syiling tersebut dicantum antara satu sama lain.
ix. “Kunkung kaki” atau “gelang kaki gerunung” yang diletakkan dibahagian kaki merupakan aksesori yang akan berbunyi mengikut rentak pergerakan kaki bila berjalan atau menari.
Perincian aksesori Ngepan Iban ini sahaja jika diamati sebenar-benarnya sudah mampu kita congak ianya bukanlah biasa-biasa kerana diperbuat daripada perak malah ada yang dari siput tasik pula. Harganya sudah mencecah ribuan ringgit!
Selesai aksesori, mari kita menyelami pula pemakaian kain sarung yang dikenali dengan nama “Bidang”. Bidang adalah kain yang agak sempit tetapi memanjang sehingga ke paras lutut. Dilihat pada mata kasar, bidang seolah-olah sehelai kain tetapi sebenarnya adalah dua helai kain yang dicamtunkan menjadi satu. Setiap geomatrik pada bidang mempunyai maksud tersendiri sesuai dengan upacara yang hendak diraikan seperti tema merah bata dan kekuning-kuningan.
Tidak kurang juga ada sesetengah corak pada bidang bermotifkan tradisional yang ditenun dengan menggunakan benang emas atau perak. Perlulah diingat suatu waktu dahulu ada sesetengah penenun bukan hanya sembarangan menenun motif sebaliknya mendapat inspirasi daripada mimpi dan sebagainya kerana mempunyai maksud yang tertentu kepada si pemakai. Dengan keunikan pembuatan kepada bidang ini, kita sudah dapat fikirkan betapa ianya begitu tinggi nilainya dan bagi si influencer itu pula bidang inilah yang disamakannya sebagai kain alas meja ala 70an! Kurang ajar!
Kaum Iban adalah satu kaum yang sentiasa memelihara sopan santun dan ketinggian budi masyarakatnya. Dan ianya juga terletak pada busana tradisional kaum wanita mereka. “Marek Empang” iaitu hiasan dada yang diperbuat daripada manik dan bebola kain adalah antara sebahagian daripada persalinan yang dikenakakan dibahagian dada si pemakai. Tujuannya adalah untuk menutup bahagian baju kecil atau kain kemban agar nampak sopan dipandang mata. Dengan keunikan pada warna manik itu sendiri membuatkan “marek empang” begitu memukau mata.
Kain Selempang atau Bedong adalah merujuk kepada sehelai selendang yang Panjang pada Ngepan Iban. Ianya dihiasi dengan pelbagai corak tenunan yang halus dengan motif tradisional kaum Iban. Panjangnya kain selempang sebenarnya hampir sama dengan panjang sirat. Dan pemakaiannya bukan boleh dibuat sesukahati sebaliknya mempunyai tertib iaitu diselempangkan di badan dari atas seperti pangkahan di dada mengikut upacara rasmi yang hendak dihadiri.
Dengan pencerahan setiap satu busana tradisional kaum Iban iaitu Ngepan Iban ini, setiap pembaca sudah memahami betapa tinggi nilainya Ngepan Iban di kalangan masyarakat Iban. Menghina busana tradisi yang amat dihormati dan dipandang tinggi sumber warisan satu kaum dengan jolokan kain alas meja, kain buruk dan sebagainya langsung tidak boleh diterima. Si influencer yang berpelajaran tinggi malahan berkahwin dengan seorang rakyat Korea yang kita ketahui sebagai antara negara yang amat menyanjung tinggi budaya dan tradisinya seharusnya sedar akan betapa sensitive untuk memperkotak-katikkan tradisi dan warisan kaum lain.
“Delete” video dalam istagram dan kemudian memohon maaf itu senang, lagi-lagi hanya di dalam muatnaik status tetapi nasi sudah menjadi bubur wahai influencer. Dengan laporan polis yang bertali arus daripada NGO Dayak dan individu, sudah tentu anda tahu akan akibatnya dari segi undang-undang Malaysia. Itu undang-undang sivil bagaimana dengan hukum adat? Ini kerana setiap etnik di Sarawak juga mempunyai hukum adat yang masih dilestarikan sehingga ke hari ini dan bagi Kaum Iban ia dikenali sebagai Hukum Tunggu.
Oleh kerana betapa Ngepan Iban yang merupakan pakaian tradisi itu adalah satu pakaian yang dihormati dan mempunyai kelas tersendiri di dalam masyarakat Iban maka ia tidak boleh diperlekehkan atau dihina. Di dalam Hukum Tunggu, setiap perbuatan itu akan dikenakan “bayar hukum malu”. Denda yang dibayar pula terpulang kepada musyawarah tuai-tuai iban apakah bentuknya samada berbentuk barangan tradisi kaum Iban dan sebagainya. Hanya setelah “bayar hukum malu” itu diberikan kepada tuai-tuai rumah baharulah permohonan maaf itu boleh diterima.
Jadi tidak semudah itu hanya dengan air liur untuk memohon maaf sebaliknya ia akan disertakan dengan apa yang dipanggil “bayar hukum malu”. Terpulang kepada tuai-tuai Kaum Iban untuk bermusyawarah akan denda yang akan dikenakan kelak. Hanya denda itu dibayar baharulah permohonan maaf itu akan diterima.
Jadi jangan sesekali memandang enteng akan apa yang telah dan akan dilakukan lagi-lagi melibatkan budaya, tradisi dan warisan kaum-kaum di Sarawak. Lain kali biarlah urat saraf otak itu bersambung dahulu sebelum mengeluar kata-kata dan jangan hanya memikirkan follower serta mengejar populariti semata-mata. Hidup di dalam masyarakat majmuk belajarlah untuk mengetahui dan menghormati budaya dan tradisi masyarakat lain di Malaysia. Andai tidak mampu berbuat sedemikian, maka kembalilah hidup di dalam gua, duduk sendiri-sendiri..simple!
Cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar. Faham!
-HB-
Nota: Terima kasih Myronea Dency, indu Iban yang membenarkan penulis menggunakan gambar peribadinya sebagai teaser artikel.

C&P: 28/5/2021 @ 16 SYAWAL 1442H: 11.25 AM

Thursday, 27 May 2021

PELAJARI ADAB SEBELUM MEMPELAJARI ILMU DAN SEBELUM MENJADI SEORANG PEMIMPIN.

SUMBER: KEMBARA SUFI TRAVEL & TOURS SDN BHD

Ketahuilah bahwa ulama salaf sangat memberi perhstian dalam masalah adab dan akhlak. Mereka akan mengarahkan murid-muridnya mempelajari adab sebelum mempelajari suatu bidang ilmu dan menemukan berbagai macam khilaf dikalangan ulama.

Imam Darul Hijrah, Imam Malik rahimahullah pernah berkata pada seorang pemuda Quraisy,

تعلم الأدب قبل أن تتعلم العلم

“Pelajarilah adab sebelum mempelajari suatu ilmu.”

Kenapa sampai para ulama mendahulukan mempelajari adab? Sebagaimana Yusuf bin Al Husain berkata,
بالأدب تفهم العلم

“Dengan mempelajari adab, maka engkau jadi mudah memahami ilmu.”

Guru penulis, Syaikh Sholeh Al ‘Ushoimi berkata, “Dengan memperhatikan adab maka akan mudah meraih ilmu. Sedikit perhatian pada adab, maka ilmu akan disia-siakan.”
Oleh itu, para ulama sangat mengambil berat dalam masalah ini.

Ibnul Mubarok berkata,

تعلمنا الأدب ثلاثين عاماً، وتعلمنا العلم عشرين

“Kami mempelajari masalah adab itu selama 30 tahun sedangkan kami mempelajari ilmu selama 20 tahun.”

Ibnu Sirin berkata,

كانوا يتعلمون الهديَ كما يتعلمون العلم

“Mereka -para ulama- dahulu mempelajari petunjuk (adab) sebagaimana mereka menguasai suatu ilmu.”

Makhlad bin Al Husain berkata pada Ibnul Mubarok,

نحن إلى كثير من الأدب أحوج منا إلى كثير من حديث

“Kami lebih memerlukan dalam mempelajari adab daripada banyak menguasai hadits.” Ini yang terjadi di zaman beliau, tentu di zaman kita ini adab dan akhlak seharusnya lebih serius dipelajari.

Dalam Siyar A’lamin Nubala’ karya Adz Dzahabi disebutkan bahwa ‘Abdullah bin Wahab berkata,

ما نقلنا من أدب مالك أكثر مما تعلمنا من علمه

“Yang kami nukil dari (Imam) Malik lebih banyak dalam hal adab dibanding ilmunya.” –
Imam Malik juga pernah berkata, “Dulu ibuku menyuruhku untuk duduk dalam majlis dengan Robi’ah Ibnu Abi ‘Abdirrahman -seorang fakih di kota Madinah di masanya-. Ibuku berkata,

تعلم من أدبه قبل علمه

“Pelajarilah adab darinya sebelum mengambil ilmunya.”

Imam Abu Hanifah lebih senang mempelajari kisah-kisah para ulama dibanding menguasai bab fiqih. Kerana dari situ beliau banyak mempelajari adab, itulah yang kurang dari kita saat ini. Imam Abu Hanifah berkata,

الْحِكَايَاتُ عَنْ الْعُلَمَاءِ وَمُجَالَسَتِهِمْ أَحَبُّ إلَيَّ مِنْ كَثِيرٍ مِنْ الْفِقْهِ لِأَنَّهَا آدَابُ الْقَوْمِ وَأَخْلَاقُهُمْ

“Kisah-kisah para ulama dan duduk bersama mereka lebih aku sukai daripada menguasai beberapa bab fiqih. Kerana dalam kisah mereka diajarkan berbagai adab dan akhlaq luhur mereka.” (Al Madkhol, 1: 164)

Di antara yang mesti kita perhatikan adalah dalam hal perbicaraan, iaitu menjaga lisan. Luruskanlah lisan kita untuk berkata yang baik, santun dan bermanfaat. ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz berkata,

من عدَّ كلامه من عمله ، قلَّ كلامُه إلا فيما يعنيه

“Siapa yang menghitung-hitung perkataannya dibanding amalnya, tentu ia akan sedikit bicara kecuali dalam hal yang bermanfaat” Kata Ibnu Rajab, “Benarlah kata beliau. Kebanyakan manusia tidak menghitung perkataannya dari amalannya” (Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam, 1: 291).

Yang kita saksikan di tengah-tengah kita, “Talk more, do less (banyak bicara, sedikit amalan)”.

Berbeda Pendapat Bukan Bererti Mesti Bermusuhan..

Sungguh mengkagumkan apa yang dikatakan oleh ulama besar Imam Syafi’i kepada Yunus Ash Shadafiy -nama kunyahnya Abu Musa-. Imam Syafi’i berkata,

يَا أَبَا مُوْسَى، أَلاَ يَسْتَقِيْمُ أَنْ نَكُوْنَ إِخْوَانًا وَإِنْ لَمْ نَتَّفِقْ فِيْ مَسْأَلَةٍ

“Wahai Abu Musa, bukankah kita tetap bersaudara (bersahabat) meskipun kita tidak bersepakat dalam suatu masalah?” (Siyar A’lamin Nubala’, 10: 16).

Berdoalah Agar Memiliki Adab dan Akhlak yang Mulia. Dari Ziyad bin ‘Ilaqoh dari pak ciknya, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam membaca do’a,

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ وَالأَعْمَالِ وَالأَهْوَاءِ

“Allahumma inni a’udzu bika min munkarotil akhlaaqi wal a’maali wal ahwaa’ [artinya: Ya Allah, aku berlindung kepadamu dari akhlaq, amal dan hawa nafsu yang mungkar].” (HR. Tirmidzi no. 3591, shahih)

Doa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam yang lainnya,

اللَّهُمَّ اهْدِنِى لأَحْسَنِ الأَخْلاَقِ لاَ يَهْدِى لأَحْسَنِهَا إِلاَّ أَنْتَ وَاصْرِفْ عَنِّى سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ عَنِّى سَيِّئَهَا إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya : “ Ya Allah, tunjukilah padaku akhlak yang baik, tidak ada yang dapat menunjukinya kecuali Engkau. Dan palingkanlah kejelekan akhlak dariku, tidak ada yang memalinggkannya kecuali Engkau].” (HR. Muslim no. 771, dari ‘Ali bin Abi Tholib)

أسأل الله أن يزرقنا الأدب وحسن الخلق

Ya Allah, aku meminta pada-Mu agar mengaruniakan pada kami adab dan akhlak yang mulia. 

C&P: 27/5/2021 @ 15 SYAWAL 1442H: 5.58 AM