Tuesday, 6 June 2017

Waktu Melayu Islam Masih Buat Benda Khurafat, Dua Tokoh Ini Cuba Bawa Perbaharuan

Pada awal abad ke-19, masyarakat Melayu yang dah lama memeluk agama Islam masih lagi mengamalkan perkara-pekara khurafat, seperti yang telah diperhatikan oleh seorang pegawai British dalam bukunya, Malay Sketches. Antara pemerhatiannya adalah orang Melayu ni taat sungguh pada agama, tapi juga suka berjudi, meminjam wang (tapi liat nak pulang balik), dan mengumpat.

Jadi pada zaman yang sama, muncul dua tokoh yang cuba mengajak orang Melayu kembali kepada ajaran Islam sebenar iaitu Syed Sheikh Al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin. Boleh dikatakan mereka berdua ni adalah pelopor utama gerakan pembaharuan dan seterusnya kepada gerakan kemerdekaan negara kita.

Sebelum kita beramah-mesra dengan dua tokoh ni, jom berkenal-kenalan dulu dengan cikgu mereka. Ceritanya, mereka berdua belajar kat Universiti Al-Azhar dan kat situlah mereka dipengaruhi dua reformis Islam yang lebih senior dari Timur Tengah iaitu Sayyid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Kedua-dua ‘mentor’ ni aktif dalam menyebarkan pemikiran mereka yang mengajak masyarakat untuk mencari kebenaran agama dan menentang penjajahan Barat terhadap umat Islam.

“Pemikiran Jamaluddin menegaskan bahawa Islam tidak menentang akal dan sains, tetapi menggalakkan penganutnya berfikir berdasarkan logik dan rasionalis berasaskan ijtihad (proses penyelidikan yang serius) dan tidak bertaklid (pendapat tanpa alasan dan hujah) membabi buta” – Hermeneutik Reaksi Reformasi Kaum Muda, p64

Usaha penerbitan pemikiran kaum muda ini dijalankan bersama sama Muhammad Abduh yang merupakan satu usaha menentang penjajahan dan eksploitasi Barat terhadap orang-orang Islam.” – Hermeneutik Reaksi Reformasi Kaum Muda, p57″



Jadi bila Sheikh al-Hadi dan Sheikh Tahir balik ke Tanah Melayu, mereka mula bawak pemikiran mereka tu kat masyarakat Melayu. Pada mulanya orang Melayu tak mahu ikut, sebab diorang kata ini semua baharu dan sesat. Orang Melayu masa tu macam kena culture shock la.

Dan antara ajaran yang dua tokoh kita tadi cuba bawak ialah…

[Nota: Selain daripada link yang diberikan, artikel ini akan banyak merujuk buku Hermeneutik Reaksi Reformasi Kaum Muda (dipendekkan jadi HRRKM) tulisan Dr Hashim Ismail, pensyarah kat Universiti Malaya.]

1. Ajak orang Melayu bezakan antara adat lama dan agama Islam

Macam yang dah dicakap tadi, kehidupan orang Melayu masa tu masih lagi dipengaruhi amalan animisme dan agama Hindu, malah dicampur adukkan dengan agama Islam. Amalan ni seperti percaya kat bomoh, ilmu kebal dengan ayat al-Quran, tilik nasib, guna tangkal, puja kubur wali atau keramat, mandi Safar dan sebagainya.

Benda-benda macam inilah yang Sheikh al-Hadi dan Sheikh Tahir nak hapuskan. Bagi mereka orang Melayu takkan maju kalau agama sendiri pun mereka tak faham.

Dengan tu, mereka seru orang Melayu supaya kembali kepada al-Quran dan Hadis. Sebab tu jugaklah, Sheikh al-Hadi pernah tegur belia Melayu waktu tu yang kata kalau nak jadi alim ni… “kena duduk kat masjid memanjang.”

Sheikh Tahir jugak pernah tulis kat majalah al- Imam, katanya:

“Setiap kejayaan yang dicapai seseorang itu adalah atas USAHA DAN IKHTIAR mereka sendiri dan ia tiada kaitan dengan faktor QADA’ DAN QADAR.” – HRRKM, p99
Tulisan ni diterbitkan pada 19 Sept 1906, hampir 110 tahun dulu! Sheikh Tahir cakap macam tu sebab masa tu orang Melayu sangat bergantung kat Qada’ dan Qadar tanpa usaha.

2. Mereka seru supaya anak perempuan diberi peluang untuk belajar



Antara perkara yang mereka lantang perjuangkan adalah pendidikan. Sebabnya, sebelum tu orang Melayu tak anggap belajar ni penting. Lagi-lagi anak perempuan. Bagi mereka, nanti bila dah besar sikit kahwinkan je anak perempuan tu, pastu selesai masalah. Senang dan mudah!

Tapi mereka mula seru orang Melayu untuk bagi pendidikan kat golongan wanita (rujuk fail PDF). Sebab bagi mereka golongan wanita pun boleh berjaya dan patut diberikan kebebasan memilih. Bagi mereka, orang Melayu mesti kejar peluang untuk belajar dan pendidikan tu mestilah tak ada sebarang diskriminasi sama ada dengan darjat, jantina atau usia.

“Pendidikan kaum wanita diperjuangkan oleh golongan cerdik pandai Melayu bermula dengan ‘Hikayat Faridah Hanom’ (novel Syed Sheikh al-Hadi) yang memperkenalkan perjuangan pelajaran kaum wanita.” – HRRKM, p294.
Yang lagi menarik, mereka ajak orang Melayu belajar Bahasa Inggeris sebab bagi mereka bahasa inilah yang boleh bawa kemajuan (rujuk fail PDF). Sebab masa tu Barat sangat maju, mereka dah kuasai hampir semua ilmu pengetahuan. Perkara ni dah terbukti sekarang. Betul tak?

“Masyarakat digalakkan belajar bahasa inggeris dan sains bagi menghadapi kemajuan pemikiran Barat yang melanda umat Islam seluruh dunia waktu itu.” – HRRKM, p297.


Difahamkan jugak, Sheikh Tahir pernah bagi surat kepada Sultan Perak, Sultan Iskandar Shah untuk yakinkan baginda supaya dibina satu tempat khusus seperti universiti kat Perak.

Mereka juga mengkritik sistem pembelajaran Islam di Tanah Melayu. Pernah sekali, Sheikh Al Hadi kritik sekolah pondok yang kerana tidak tersusun, ketinggalan zaman dan lebih bersifat menghafal. Korang tengok! berapa beraninya dia!



3. Sangat giat terbitkan buku, akhbar dan majalah

Untuk luaskan lagi gerakan pembaharuan, mereka terbitkan pelbagai majalah dan akhbar. Majalah yang popular waktu tu; majalah Al-Imam (rujuk fail PDF) yang juga dianggap sebagai lidah rasmi golongan pembaharuan. Selain itu ada lagi majalah dan akhbar lain macam Saudara, al-Ikhwan, Neracha dan al-Munir.

Semua majalah dan akhbar ni ada misi yang sama iaitu nak sedarkan orang Melayu termasuk di Indonesia, selain kebebasan bersuara dan menyebarkan pemikiran. Jadi akhbar dan majalah ni dipenuhi dengan pandangan, kritikan dan prinsip perjuangan diorang.(rujuk fail PDF)

Syed Sheikh Al-Hadi juga hasilkan beberapa novel, macam Hikayat Faridah Hanum, Hikayat Cermin Kehidupan, Hikayat Puteri Nurul Ain dan banyak lagi. Novel-novel ni banyak bagi fokus pada perjuangan kebebasan wanita dalam pendidikan dan hidup.

Majalah al-Imam sebagai suara rasmi Kaum Muda (golongan pembaharuan).
Imej dari Muhammad Ismail Ibrahim.



4. Mengetuai gerakan ideologi menentang ulama yang masih berfikiran lama

Ketika tu, ada dua istilah untuk gambarkan dua golongan ulama.

Kaum Muda – golongan ulama dan reformis yang bawak pemikiran baharu dan ajak umat Islam untuk lebih progressif.
Kaum Tua – golongan ulama tradisional dan konservatif yang masih kekalkan pemikiran lama.
Menurut Hamka Kaum Tua adalah;

“Golongan ulama tua yang memandang ke zaman lampau, masih di takuk lama dengan pemikiran tradisional ulama silam yang tidak memberatkan perkembangan pemikiran pada zaman moden.”
(Hamka, Said Djamaluddin al-Afghani-Pelopor Kebangkitan Muslimin,1970)
Disebabkan Kaum Muda lantang mengkritik Kaum Tua. Banyak dari ajaran mereka dituduh sesat dan menyeleweng. Antara yang Kaum Muda kritik adalah pendapat-pendapat ulama Kaum Tua yang terlalu ikut adat dan tak ikut ajaran Islam sebenar, macam soal aurat dan solat.

“Ulama tradisional berpegang, seorang lelaki Muslim bersolat mesti mengenakan kain sarung, baju dan memakai kopiah tetapi Syeikh Al-Hadi berpendirian, seorang lelaki Muslim boleh bersolat selagi beliau memakai pakaian yang menutup tubuhnya dari pusat ke lutut. Ini termasuk memakai seluar, kot, kemeja dan tali leher.

“Pendapat ini menjadi kontroversi hebat dalam kalangan masyarakat ketika itu dan hanya diterima umum selepas lewat tahun 1960-an.” – dipetik dari Utusan Malaysia.

Sheikh Tahir Jalaludin ada swag. Imej dari Bicara as-Syira

Bila Kaum Muda terbitkan majalah al-Munir lepas majalah al-Imam ditutup. Kaum Tua jugak mula terbitkan majalah mereka sendiri yang dipanggil al-Mizan. Tujuannya nak bantah pendapat dan idea dari Kaum Muda.

Karya, majalah dan buku Kaum Muda pun mula dilarang masuk ke beberapa buah negeri negeri Melayu. Sebenarnya golongan Kaum Tua ni ada kuasa sebab diorang berkuasa kat pejabat kadi dan mufti.

Antara ulama yang digelar Kaum Tua adalah Sayyid Alwi bin Tahir al- Haddad (Mufti Johor), Hj Abu Bakar Muar (ulama Johor), Sheikh Osman Jalaluddin al-Kelantani (ulama Kelantan),Sheikh Fadhlullah Suhaimi (ulama Pengasas PAS) dan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli (ulama Indonesia).


Antara ulama Kaum Muda di Indonesia. Imej dari soeloehmelajoe

Walaupun pertembungan dua golongan ni boleh dikatakan sengit. Tetapi pertembungan itu lebih bersifat perang idea dan ideologi. Masing-masing ada hujah bagi mempertahankan pendapat masing-masing dan masyarakat bertindak sebagai pemerhati dan perlu bijak dalam memilih.

5. Bersahabat dengan pemimpin dan ulama dari Indonesia

Antara ulama Indonesia yang menyokong kuat gerakan ni adalah Syeikh Abdul Karim Amrullah. Kalau korang nak tahu, Syeikh Abdul Karim Amrullah ni adalah ayah kepada Hamka.

Selepas itu, Hamka teruskan perjuangan ayahnya dengan terbitkan buku, majalah dan novel. Maka lahirlah novel yang kita selalu dengar macam “Di Bawah Lindungan Kaabah” dan “Tenggelamnya Kapal van der Wijck” yang dalamnya mengkritik budaya Minangkabau dan masyarakat Indonesia masa tu, walaupun ada unsur cinta dalam jalan penceritaannya.

Boleh dikatakan Hamka adalah salah seorang yang paling aktif dekat Indonesia dalam menyebarkan pemikiran Kaum Muda. Hamka sendiri pernah hantar surat kat Mufti Johor, Sayyid Alwi bin Tahir al- Haddad yang tuduh gerakan Kaum Muda ni sebagai sesat.

Surat tu bertajuk “Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor” yang sekarang dah pun dibukukan. Jadi sapa-sapa yang nak baca boleh la beli.

Hamka jugak ada tulis buku tentang perjuangan ayahnya dalam buku “Ayahku”. Dalam buku ni Hamka ada cerita pasal fatwa ulama tradisional Indonesia bernama Syeikh Abdul Hadi yang tuduh pemikiran Kaum Muda sesat.

“Syeikh ini membawa fatwanya di Seluruh Sumatera untuk mengecam Kaum Muda yang dianggap sesat. Sementara Kaum Muda mengutuk sekeras-kerasnya umat Islam yang taksub kepada ulama sebegini, sehingga sisa makanan mereka pun direbut-rebut
untuk dimakan kembali bagi mendapat berkat” – Hamka (HRRKM, p101)
Hamka jugak terlibat dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia, pernah berkawan baik dengan Soekarno dan jugak pernah kena fitnah sampai dia kena masuk penjara.

Tapi dengan semua tu, Hamka sekarang dah diiktiraf sebagai seorang ulama, sasterawan, pemimpin dan pejuang, bukan je kat Indonesia tapi kat seluruh nusantara.


Buya Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Imej dari Persis Al- Amin

Pengaruh pemikiran mereka masih releven sampai sekarang
Syed Sheikh al-Hadi dan keluarganya di depan rumah mereka. Imej dari The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady.

Jadi selepas apa yang dibuat oleh tokoh-tokoh ni, maka muncullah lagi ramai pemikir Melayu. Antaranya: bekas Presiden PAS Dr Burhanuddin Al-Helmi (rujuk fail PDF), nasionalis Ishak Hj Muhammad (Pak Sako), tokoh wartawan Abdul Rahim Kajai, Dipertua UMNO pertama Dato Onn Jaafar (rujuk fail PDF), pendeta bahasa Za’ba dan ramai lagi.


Dari kiri: Ishak Hj Muhammad (Pak Sako), Dr Burhanudin al-Helmy dan Zainal Abidin Ahmad (Za’ba).

Masa sekarang individu yang aktif menyambung pemikiran ni adalah Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin (Dr Maza) dan Dr Uztaz Rozaimi.

Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Dr Ustaz Rozaimi 

Syed Sheikh al-Hadi meninggal dunia pada 20 Februari 1934 ketika berusia 67 tahun dan Sheikh Tahir pula menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun bersamaan 26 Oktober 1956. Kedua-dua mereka tak dapat lihat Tanah Melayu merdeka.

Walaupun tak dikenang seperti mana pemimpin atau tokoh lain, perjuangan mereka sentiasa akan ada dalam lipatan sejarah.

Kesimpulannya, tokoh-tokoh ni dah berusaha untuk ubah nasib nenek moyang kita dulu dan tugas kita sekarang adalah belajar dan teruskan perjuangan mereka.

Sumber:

Husnozon: Bersangka Baik pada Allah


Husnuzon bermaksud bersangka baik kepada orang lain. Menganggap baik sesuatu perkara itu sangat dituntut dalam Islam kerana bersangka baik itu lebih baik, mulia dan dapat mengelakkan dari menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan.

Saidina Umar bin Al-Khattab r.a.telah berkata : “Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik.”

Orang yang bersangka buruk seolah memfitnah orang, kerana sangkaan buruknya itu tidak mempunyai bukti yang nyata dan kukuh. Ini dibimbangi terjadinya fitnah yang membawa kepada dosa besar, kerana Islam sangat melarang umatnya memfitnah orang lain.

Firman Allah سبحانه وتعالى :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ


“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dari banyak berprasangka; Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengunjing sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”(Surah Al-Hujurat, 49; Ayat 12)

Fadhilat Bersangka Baik

Bersangka baik juga mempunyai banyak kebaikan dan kelebihannya. Antaranya adalah:

1. Mengelakkan manusia dan ummah daripada berpecah-belah antara satu sama lain yang akan merugikan masyarakat dan Negara bak kata pepatah ‘Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati’.
2. Dapat membersihkan hati dari titik-titik hitam dan mencegah perkara-perkara mungkar dari terus bersarang di hati kita,
3. Selalu merasa bahagia atas kejayaan yang dicapai orang lain walaupun diri sendiri belum berjaya.
4. Mewujudkan sikap ingin bersaing antara satu sama lain. Kerana umat Islam yang mempunyai sikap ingin bersaing dengan orang yang telah berjaya akan mendatangkan keuntungan kepada semua umat Islam termasuk dirinya sendiri.
5. Hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik. Apabila hati bebas dari bersangka buruk terhadap, maka yang ada dalam hatinya adalah sangkaan yang baik-baik sahaja. Sudah pasti hatinya bertambah cinta pada saudaranya itu dan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama manusia. 
6. Mengelakkan daripada penyesalan dalam hubungan manusia sesama manusia kerana menuduh manusia lain tanpa bukti yang kukuh.

Firman Allah سبحانه وتعالى :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَٰدِمِينَ

“Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara yang tidak diingini Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.” (Surah Al-Hujurat, 49; Ayat 6)
.
Berbaik Sangka Terhadap Perkara Dusta

Islam mewajibkan umatnya mencegah kemungkaran yang berlaku disekeliling dan persekitaran dengan kemampuan yang ada pada mereka. Andai kata kita melihat atau ternampak orang yang melakukan dosa dan kemaksiatan, tetapi masih bersikap husnuzon terhadap perlakuan mungkar itu, maka kita juga turut berkongsi saham dan tidak terlepas dari menanggung dosa kemaksiatan yang dilakukan oleh orang tersebut.

Rasulullah ﷺbersabda : 
“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mencegah dengan tangan (kekuasaan), jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika ia tidak mampu jua, maka dengan hatinya (berasa tidak senang, tidak setuju dan tidak meredhai). Dan itu adalah selemah-lemah iman.”(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Adalah jelas bahawa umat Islam tidak boleh beranggapan baik terhadap orang yang melakukan kemungkaran dan maksiat secara terang-terangan. kerana perkara tersebut jelas melanggar hukum dan larangan Allah. Contohnya apabila terlihat orang Islam bermain judi, atau membeli nombor ekor. Tetapi bersangka dalam hati, “Mungkin orang tersebut kesempitan wang… biarlah, dia juga nak cari rezeki…” Sepatutnya, kita haruslah mencegah kemungkaran itu, bukan meredhainya.

Firman Allah سبحانه وتعالى :

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا

“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang tidak kamu ketahui; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)
.
.
والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Sumber: 

6 Cara Membuat Pahala Melalui Facebook

Di mana ada laptop dan internet, di situ ada Facebook. Begitulah hebatnya fenomena Facebook yang melanda dunia hari ini. Beberapa tahun lepas sewaktu saya mula-mula mendaftar akaun Facebook, bukan main payah untuk mencari kawan-kawan yang ada akaun facebook untuk saya add sebagai friend. Hari ini, orang yang tidak dikenali pun, yang sesetengahnya entah dari benua mana add saya sebagai friend. Dua tahun dahulu, hanya kelompok pelajar atau orang muda yang kebanyakannya membuka akaun facebook. Hari ini, dari kanak-kanak berumur 1 hari, hingga seorang datuk yang sudah bercucu-cicit mempunyai akaun facebook.
Saya masih ingat ada satu ketika, terdapat cubaan dari sesetengah orang Islam ingin memulaukan laman sosial Facebook kerana selain ia adalah ciptaan seorang bukan Islam, ia banyak membawa kelalaian kepada umat. Beberapa laman sosial yang agak Islamik diwujudkan. Namun mungkin kerana kurang daya tarikan, ia kurang mendapat sambutan dan akhirnya berkubur begitu sahaja. Facebook juga yang menjadi pujaan hati orang-orang Islam. Yang jelasnya, buat masa sekarang Facebook sudah menjadi kegilaan ramai orang termasuk umat Islam.
Tidak kisahlah ia ciptaan siapa, alangkah baik dan beruntungnya jika seseorang Muslim dapat menjana PAHALA mudah dengan kemudahan laman sosial ini. Sekurang-kurangnya daripada 3-4 jam seseorang menghadap Facebook dalam satu hari, ada juga pahala yang tercatit di buku amalan, yang diharapkan dapat meneutralkan balik dosa-dosa yang terhasil disebabkan Facebook.
Beberapa amalan MUDAH dan MAMPU dibuat oleh sesiapa sahaja untuk menjana kebaikan dan pahala melalui Facebook adalah seperti berikut:
1. Update status anda dengan pengisian yang bermanfaat. Contohnya, menulis di status anda beberapa potong maksud ayat al-Quran, hadith, kata-kata salaf, yang anda rasakan ia akan memberi kesan kepada orang yang membacanya. Jika anda mempunyai 1000 friends, andaikata hanya 10% yang membacanya, ada sudah dikira menyebarkan kebaikan kepada 100 orang dengan cara yang cukup mudah. Jika daripada 100 orang yang membacanya, hanya 10% yang terkesan dan mengamalkan kandungan status anda, anda sudah dikira menjadi PENYEBAB kebaikan kepada 10 orang, dengan cara yang tidak disangka-sangka.
TAPI AWAS, jangan terlalu boros dalam membuat pengisian, nanti friends anda akan boring membaca status anda, kerana sudah menjadi tabiat manusia cepat boring dan jemu dengan perkara yang berterusan dan sekata. Pilihlah pengisian yang betul-betul berkualiti dan berkesan. Dan variasikan ia samada dengan tulisan, gambar, video, dan lain-lain.
2. Jika anda terbaca status orang lain yang sangat bermanfaat dan boleh memberi kesan kepada orang lain, apa salahnya anda sebarkan status tersebut. Gunakan kemudahan SHARE untuk tujuan perkongsian, atau COPY PASTE sahaja apa yang anda ingin kongsikan dengan friends anda. Lebih-lebih lagi, bagi pemegang akaun Facebook yang mempunyai list friends yang ramai, boleh membantu menyebarkan kebaikan yang ada pada status seseorang yang mempunyai bilangan friends yang ciput. Mudah-mudahan termasuk dalam bekerjasama dalam dakwah.
3. Anda yang mempunyai maklumat tentang program-program ilmu (yang real punya), bolehlah mengiklankan program tersebut di laman Facebook masing-masing dengan memberikan tajuk, nama penceramah, dan jadual pengajian. Manalah tahu, ada kalangan friends kita yang tinggal berhampiran dengan lokasi dan mempunyai kelapangan, boleh mengambil faedah dari majlis-majlis yang berkat.
4. Atas semangat silaturrahim dan atas kesedaran betapa besarnya kewajipan mengeratkan silaturrahim, alangkah baiknya jika setiap kelurga mempunyai group tersendiri yang boleh menghimpunkan segala suku-sakatnya. Dalam group seperti ini, banyak kebaikan dapat dibuat, contohnya bertanya khabar antara ahli keluarga, mengupdate berita-berita keluarga, menyelesaikan permasalahan ahli keluarga secara tertutup dan macam-macam. Walaupun perkara kecil, namun siapa sangka dengan semangat silaturrahim, Allah Taala akan memberkati hidup seseorang.
5. Jika anda mempunyai komen bernas dan bernilai terhadap sesuatu kandungan status orang lain, lakukanlah dengan penuh adab dan sopan seolah-olah anda sedang bercakap dengannya. Mungkin anda yang berpengetahuan tinggi boleh membuat penambahan maklumat, pembetulan kesilapan, pencerahan terhadap kekeliruan, dan lain-lain. Malahan, mungkin komen-komen untuk tujuan tersebut boleh sampai ke tahap fardhu kifayah jika di sana terdapat keperluan mendesak dari sudut Syarak, dan tiada yang boleh melakukannya kecuali anda.
6. Jika mereka yang mempunyai kemusykilan agama, boleh juga menggunakaan laman Facebook sebagai tempat perbincangan. Tulislah soalan anda, dan tag kan ustaz-ustaz Facebook yang dipercayai dan mempunyai masa untuk melayan soalan anda. Mudah-mudahan, ini sebagai satu cara melaksanakan arahan Tuhan supaya bertanya kepada ahli ilmu dalam perkara-perkara yang tidak diketahui.
Semoga dengan melakukan perkara-perkara kecil di atas ketika melayari Facebook, akan ada insan-insan yang beroleh kebaikan dari dakwah kita, akan ada pahala-pahala tercatat di buku amalan baik kita, akan ada dosa-dosa dihapuskan dari buku amalan jahat kita. Mudah-mudahan Facebook yang dicipta oleh seorang bukan Muslim menjadi satu sebab kebaikan kepada seseorang Muslim.
Abu Umair
Sumber: 


AKAL DAN NAFSU

Nafsu diperlukan untuk manusia. Namun berhati-hatilah. Karena nafsu, manusia boleh jadi akan kecewa, celaka dan masuk Neraka. Tapi nafsu juga bisa menjadi alat untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia sebelum sampai ke Akhirat. Ketika Allah menciptakan akal, Allah bertanya kepada akal, "Siapakah kamu, siapakah Aku?" Jawab akal, "Saya hamba, Engkau Tuhan." Kemudian Allah memerintahkankan akal agar maju ke depan dan mundur ke belakang. Akal mematuhi perintah Allah. Hal ini menunjukkan bahwa akal begitu taat kepada Allah.


Kemudian Allah menciptakan nafsu. Ketika Allah bertanya kepada nafsu, "Hai nafsu, siapa engkau, siapa Aku ?" Nafsu menjawab dengan sikap membantah, "Engkau Engkau, aku aku." Karena itulah Allah murka kepada dan kemudian Allah memberikan didikan kepada nafsu agar insaf. Allah memasukkan nafsu ke Neraka, ia dipukul dan dibakar hingga hangus menjadi arang. Kemudian setelah nafsu dikeluarkan dari neraka, Allah bertanya lagi kepadanya, "Siapa engkau, siapa Aku?" Setelah semua itu, barulah nafsu mengenal Tuhannya, ia menjawab, "Engkau Tuhan, aku hamba"


Nafsu sering mengajak manusia kepada kejahatan, di dalam Al Quran, Allah berfirman ;
"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."(Yusuf 12:53)


Ketika Allah menciptakan Nabi Adam as, Allah memasukkan akal dan nafsu ke dalam dirinya. Ketika Nabi Adam datang ke bumi, keturunan manusia bertambah banyak. Maka peranan nafsu dan akal tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Kemungkaran yang terjadi di atas muka bumi ini adalah dari nafsu, bukan dari akal. Kerana akal dan nafsu ada dalam diri manusia, maka terjadilah pertentangan antara satu sama lain. Peperangan nafsu dan akal tidak pernah ada henti-hentinya. Kadang-kadang nafsu yang menang, kadang-kadang akal menang. Buktinya, jika kita berhadapan dengan perbuatan yang baik, maka nafsu akan menolaknya dan mengajak kepada kejahatan sedangkan akal mengajak kepada kebaikan. Kalau kita mengikuti nafsu, ertinya kita kalah. Sebaliknya, jika kita mengikuti akal maka kita menang.


Nafsu juga dapat kita jadikan kuda untuk ke Syurga. Sebahagian orang jika mendengar kata nafsu, hanya terbayang hal-hal yang jahat sahaja. Sedangkan nafsu itu adakalanya jahat, adakalanya baik. Nafsu akan menjadi baik jika dilatih. Imam Al Ghazali mengibaratkan nafsu itu sebagai anjing, jika dilatih akan menjadi baik.

Para ulama telah membagi nafsu menjadi 7 peringkat :

Nafsu Ammarah
Lawwamah
Mulhamah
Muthmainnah
Radhiah
Mardhiah
Kamilah


1. Nafsu Amarah
Nafsu ini adalah nafsu yang paling mudah menjerumuskan manusia kedalam panasnya api neraka. Orang yang memiliki nafsu ini tentu tidak kenal dengan yang namanya akhirat. Orang ini senang melakukan perbuatan yang dilarang asalkan dirinya bisa merasa senang dengan perbuatannya itu. Mereka yang memiliki nafsu amarah mudah putus asa jika diuji oleh Allah SWT. Maka dari itu mereka berlomba-lomba melakukan perbuatan dosa untuk membuat dirinya senang


2. Nafsu Lawwamah
Nafsu ini tingkatannya lebih tinggi daripada nafsu amarah. Orang yang berada pada tahap nafsu lawwamah ini sudah tau antara perbuatan yang dilarang dan amal kebajikan. Saat jatuh pada kejahatan dia masih merasa puas namun disisi lain ia menyesali perbuatannya itu. Dia Kadang ia berbuat baik dan setelah itu akan kembali melakukan perbuatan dosa lagi. Orang yang seperti ini masih belum bisa dijamin masuk surga.

3. Nafsu Mulhamah
Orang yang berada pada tingkatan ini apabila hendak melakukan amal kebajikan terasa berat. Namun dalam keadaan bermujahadah dia berbuat kebaikan-kebaikan karena ia sudah mulai takut pada kemurkaan Allah dan pedihnya api Neraka. Bila berhadapan dengan kemaksiatan, hatinya masih rindu dengan maksiat. Namu ia masih dapat melawan dengan membayangkan nikmatnya berada di Syurga. Dia sudah mengenal penyakit-penyakit yang berada dalam hatinya. Seperti iri hati, dengki, syirik, dll. Tapi dia masih belum bisa melawan. Bila penyakit-penyakit hati ini sudah tidak ada lagi, ia akan rasa satu kenikmatan baru dalam hatinya dan akan merasa benci dalam melakukan kejahatan. Dan pada saat itu dia telah meningkat ke taraf nafsu yang lebih baik lagi yaitu nafsu Muthmainnah.

4. Nafsu Muthmainnah
Orang yang berada dalam tingkatan ini sudah dijamin masuk surga. Sesuai dengan yang terkandung dalam surat Al-Fajr ayat 27-30 : “(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!, "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !, -"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia, "Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! ,”. Orang yang berada dalam tingkatan ini senantiasa dijauhkan dari rasa cemas dan gelisah atas segala ketetapan Allah SWT dan selalu merasa sejuk hatinya, tenteram jiwanya,jika dia bisa melakukan suatu amal kebajikan. Hatinya senantiasa rindu pada Allah SWT.

5. Nafsu Radhiah

Sifat dari nafsu ini adalah dia selalu menganggap yang makruh itu haram, dan yang sunat ia anggap itu kewajiban. Jika ia tidak melaksanakan apa yang disunatkan, ia merasa berdosa. Baginya takdir baik atau buruk adalah sama saja. mereka tidak peduli dengan urusan yang berbau dunia. Karena hati mereka hanya pada Allah dan ridho atas segala keputusan yang Allah berikan kepadanya.

6. Nafsu Mardhiyah
Tingakatan ini lebih tinggi dari tingkatan nafsu radhiyah. Yang istimewa pada tingkatan ini adalah Bukan hanya orang pada tingkatan nafsu ini yang sangat mencintai Allah SWT, tapi Allah SWT juga sangat mencintainya. Dia buat Allah SWT cinta padanya dengan melaksanakan apa yang di sunatkan dan tidak melaksanakan sebuah dosa walaupun sekecil jarum di lautan. Sesuai dengan Hadist Qudsi :

“Senantiasa hambaku mendekatkan diri kepadaku dengan mengerjakan ibadah-ibadah sunnah sehingga Aku cinta padanya. Maka apabila Aku telkah mencintainya, jadilah Aku pendengarannya yang dengannya ia mendengar, penglihatannya yang dengannya ia melihat, perkataannya yang dengannya ia berkata, jadilah Aku tangannya yang dengannya ia berbuat, jadilah Aku kakinya yang dengannya ia melangkah, dan akalnya yang dengannya ia berpikir”

7. Nafsu Kamilah
Tingakatan yang ketujuh ini adalah tingkatan para Nabi dan Rasul, manusia yang suci dan sempurna. Yang terpelihara dari perbuatan tercela dan Allah selalu mengawasi dan membimbingnya.

Untuk meraih nafsu dari level yang paling bawah hingga level diatasnya diperlukan waktu yang bertahun-tahun hingga Allah SWT yakin akan usahanya. Untuk itu marilah kita tak terkecuali saya sendiri berlumba-lumba untuk meningkatkan level nafsu kita hingga ke tingkat yang lebih tinggi agar kita semua ditempatkan oleh Allah SWT di taman surganya yang tak dapat dilukis oleh pancaindera kita kerana keindahannya. Amin amin Allahuma amin..

Paid Advertisement

Persoalan Mengosok Gigi Semasa Berpuasa

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
SOALAN
Ahmad Fuad <ahmad0386@yahoo.com> wrote:
Assalamualaikum Ustaz Zaharuddin yang di kasihi.
Adakah bersugi lebih dari sekali dalam Ramadhan itu, ...makruh....Saya suka bersugi sebelum solat , terutama sekali bila berpuasa, untuk mendapatkan pahala dan supaya bau mulut tidak menggangu saf saya.
Adakah bersugi ( 3 kali, pagi, zohur, asar  ) pada waktu berpuasa itu ...makruh ..? 
Saya baca dalam islamnet tadi, bersugi dgn mengunakan miswak di galakan di Ramadhan, as it is healthy.
Saya di fahamkan dari kecil bersugi selalu sangat di Ramadhan , makruh
Harap tuan Ustaz dapat memberi penjelasan supaya kita semua boleh amalkan di Ramadahan Al Mubarak.
Saya tertarik dengan jawapan yang dikemukakan oleh sheikh UZAR, alim dalam bidang ilmu agama. Banyak perkara yang telah saya pelajari darinya. Semoga ALLAH berkati usianya menyebarkan ilmu dan menyampaikan kefahaman yang sahih kepada kita semua.
Sebelum kita melangkah dengan lebih mendalam bagi membahaskan tajuk ini, adalah wajar sekiranya ditinjau terlebih dahulu akan tujuan bersiwak. Sudah tentu tujuannya ialah untuk menjaga kebersihan mulut supaya tidak menganggu masyarakat di sekeliling kita di samping supaya kebersihan dan kesihatan mulut dan gigi terpelihara.
Inilah fokus utama mengapa Nabi bersabda ' Jika tidak menyusahkan umatku, pasti aku perintahkan mereka bersiwak (gosok gigi) setiap kali (berwudhu') untuk menunaikan solat'. Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim.
Justeru, persoalan sama ada menggukan kayu siwak, ubat gigi, berus gigi atau air tidak timbul. Kesemua ini hanyalah alat bagi mencapai tujuan yang dimaksudkan oleh baginda iaitu kebersihan.
Saya menyedari kedaifan diri saya ini. Namun begitu, saya kurang bersetuju dengan ijtihad yang mengatakan bahawa menggunakan air atau ubat gigi adalah makruh kerana dikhuatiri akan tertelan. Istilah 'ter' telan menunjukkan perbuatan yang berlaku di luar jangkauan kita. Begitu juga dengan termakan, ia tidak membatalkan walhal si termakan tersebut sudah termakan dua pinggan nasi. Justeru, perbuatan yang tidak disengajakan adalah dimaafkan. Ini kerana ini berlaku di luar kawalan normal minda manusia. Lihatlah bagaimana ISLAM yang tulin menyediakan landasan yang kukuh dalam memudahkan urusan penganya kerana ALLAH inginkan kemudahan bagi hambaNya, bukannya kesukaran.
Saya sebagai penuntut ilmu dan memerlukan banyak bimbingan dari sheikh UZAR berpandangan bahawa penggunaan ubat gigi, air atau berus gigi merupakan perkara yang dibolehkan bagi mencapai tujuan dan fokus saranan Nabi SAW iaitu kebersihan mulut.

Wallahu-a'lam. Teguran dan nasihat dialu-alukan. 


Jazakallahuhair
ahmad fuad

JAWAPAN
Walaikumussalam,
Alhamdulilah perbincangan yang baik dari Syeikh marcelo tetapi saya minta maaf kerana tidak bersedia untuk berbincang 'dalil by dalil' dengan panjang lebar dalam hal ini di dalam group ini, cuma perbincangan sederhana adalah digalakkan.
Bersugi dan memperbanyakkan bersiwak menggunakan kayu sugi adalah amat digalakkan dalam setiap waktu di bulan ramadhan, samada pagi , tengahari atau petang, ia berdasarkan hadith sohih yang menyebut :
Dari 'Amir bin Rabi'ah berkata "Telah aku lihat Nabi SAW bersiwak tidak terkira banyaknya dalam keadaan baginda berpuasa ( Riwayat al-Bukhari)
Cuma perlu diingat, siwak Nabi adalah menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi yang berperisa. Justeru tiada kemungkinan nabi terminum atau termasuk di perut Nabi ubat gigi. Justeru, jika gosok gigi pakai ubat gigi, maka tatkala itulah terdapat ijtihad mengatakannya sebagai makruh kerana bimbang peluang terbatal kerana minum air kumuran dan ubat gigi. Memang benar, perbuatan 'ter' minum tidak wajar menjadi batal kerana ia tidak disengajakan, tetapi apabila sesuatu yang 'mubah' dibuat tanpa keperluan lalu menyebabkan 'ter'minum, ia boleh membawa kepada batal. Sebagaimana mandi biasa berulang kali dengan sengaja, berkumur berulang kali dengan sengaja sehingga akhirnya terminum.
Tujuan saya tidak lain hanyalah menjauhi apa jua yang berkemungkinan membatalkan puasa atau bercanggah dengan ruh ibadah puasa itu sendiri. Jangan pula kerana ingin mencapai 'maqasid' (objektif) dari bersiwak sehingga boleh membuka ruang mencarik maqasid ibadah puasa teruatamanya bagi orang awam yang suka mengambil peluang. Dalam keadaan objektif itu boleh dicapai tanpa menggunakan air yang berlebihan (kumur) atau ubat gigi.
Maka dalam hal ini, mengabungkan dua ‘maqasid’ tanpa membuka ruang masalah adalah terpilih pada hemat saya. Justeru, saya berpandangan, lebih elok menghindarkan diri dari ubat gigi bagi mengelakkan berkumur mengguna air berlebihan tatkala berpuasa, khususnya selepas zohor. Di tambah pula terdapat cara lain yang boleh menyampaikan kita ke faedah siwak itu.
Selain itu, Nabi saw ada bersabda :-
أسبغ الوضوء وخلل بين الأصابع , وبالغ في الإستنشاق إلا أن تكون صائماً ( ابو داود)
Ertinya : Sempurnakan wudhu, basuhlah celah-celah jari jemarimu , dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; sohih)
Memasukkan air di dalam hidung seperti ini adalah di kira sama dengan hukum berkumur menurut kebanyakan ulama fiqh. Kebanyakkan mereka termasuk ulama hadith biasanya menggabungkan topik menghisap air ke hidung dan kumur dalam satu bab. Justeru, inilah dalil pertama mengapa kami mengatakan menggosok gigi dengan air dan ubat gigi berperisa adalah makruh dan tidak digalakkan. Namun tidaklah secara automatic membatalkan puasa.
Sebahagian besar ulama Syafie menyebut bahawa berkumur-kumur dengan berlebihan adalah satu perbuatan makruh ketika puasa. Dalil hadith sohih yang dipegang oleh mereka adalah :
لخلوف فم الصائم يوم القيامة أفضل عند الله من ريح المسك
Ertinya : Sesungguhnya bauan mulut orang yang berpuasa itu pada hari kiamat adalah lebih baik di sisi Allah daripada bauan haruman kasturi"
Justeru, menurut ijtihad mereka, memperbanyakkan berkumur terutamanya selepas zohor mampu menghilangkan bauan mulut hasil ibadat puasa yang diberkati ini. Lalu, bersugi menggunakan air dan ubat gigi yang mempunyai wangian sudah pasti juga akan mengilangkan bau ini. Kerana itulah ia dikira makruh dan tidak digalakkan. Adapun Nabi SAW yang bersiwak hanya dengan kayu sugi, saya kira ia adalah tepat disamping tepat pula untuk membersihkan gigi dengan tidak memberi kesan terhadap bauan mulut.
Pandangan dan ijtihad mazhab Syafie ini juga dikongsi oleh ulama Mazhab Hanbali dan Mazhab Maliki ( Rujuk Kassyaf al-Qina' , 2/383 ; As-Syarh as-Soghir, 1/692) juga menyenaraikan berkumur banyak tatkala puasa itu adalah makruh. Justeru, menggosok gigi menggunakan air dan ubat gigi sekali lagi termasuk dalam hal ini kerana ia memerlukan kumuran yang banyak demi menghilangkan kesan ubat gigi.
Benar, sekiranya terminum air hasil dari kumuran tidak membatalkan puasa kerana ia adalah perbuatan tidak sengaja. Bagaimanapun, Imam An-Nawawi menyebut, sekiranya terminum itu adalah hasil kerana berlebih-lebihan dalam berkumur sehingga 4 kali kumuran, tatkala itu, jika tertelan air pada kumuran berlebihan yang keempat, ia boleh membatalkan puasa  ; ia adalah kerana berlebihan itu sudah terkeluar dari hajat yang asal. 
( Rawdah at-Tolibin, hlm 335 ).
Malah terdapat ulama besar seperti Ulama hanafi, Al-Qasimiah, Imam Malik dan Imam As-Syafie (dalam salah satu pandangannya) dan Imam Muzani yang berpandangan puasa boleh terbatal walaupun tertelan air kumuran tanpa sengaja. Manakala sebahagian ulama lain mengatakan tidak batal seperti Ishak Rahawaih, Awzai'e dan ulama mazhab Syafie (Naylul Awtar, As-Syawkani, 4/521)  ; Kerana itu eloklah dijauhkan dari perbuat amalan yang ikhtilaf ini. Ia sudah tentu terlebih baik bukan.
Benar, Nabi SAW pernah bersabda :
أرأيت لو تمضمضت بماءٍ وأنت صائم , قلت : لا بأس بذلك , فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ففيم
Ertinya :  Nabi berkata kembali kepada (Umar ) (apabila aku bertanya apa hukum mencium tatkala puasa ) : apakah pandangan kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dengan air dalam keadaan kamu berpuasa ? ; aku jawab : Tiada masalah ; Bersabda Nabi : begitulah (juga hukumnya dengan ciuman tadi) ( Riwayat Abu Daud, no 2385 ; Albani : Sohih)
Bukanlah lebih elok dan selamat jika dihadkan gosok gigi dan kumuran yang terhad dengan bilangan gosok gigi guna air yang terhad, selebihnya mengunakan sugi atau berus gigi tanpa melibatkan air dan ubat gigi.
SEKIAN

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
2006

Ramadhan & Batalkah Puasa Kita Jika...

Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.
Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.
Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)
Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-
1) Raih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Sangat jelas arahan Allah dan RasulNya menegaskan keperluan kita berusaha meraih taqwa dan keampunan di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.
2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.
3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed' : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.
4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed': Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.
Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja.  Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.
Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil  perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-
1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)
2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.
3) Pil elak haid untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah. 
4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :
Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan  apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut. 
Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batalkerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesakbuat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar. 
Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh "
والأصل بقاء الشيء على ما هو عليه
Ertinya : Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya.
Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak. Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu'alam.
5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, airseperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.
6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat 
Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)
8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
كان رسول اللَّهِ  يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ
Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud,  2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)
Dan satu lagi adalah : -
 فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام
Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-
"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.
9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-
من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له
Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )
10) Keluar air mazi
Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?
Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar air mani tanpa setubuh
Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
12) Menelan air liur dan kahak
Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak makatidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran.Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.
 
Ramadhan Mubarak Buat Semua Pengunjung zaharuddin.net : Ust Zaharuddin Abd Rahman
13 ) Mandi
 Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?.  Jawapnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma  puasa hanya boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.
14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)
15) Mengosok gigi ketika berpuasa
Persoalan ini telah saya ulas di entry yang berbeza, sila ke tajuk link  'Gosok Gigi Ketika Puasa'
Sekian,
Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa untuk semua pengunjung zaharuddin.net

Zaharuddin Abd Rahman
13 Sept 2007
01 Ramadhan 1428 H