Friday, 17 April 2026

BANGSA MELAYU TAK ADA BAHASA SENDIRI?

Oleh: Helmi Effency II
The Patriots

Ini ialah antara propaganda yang dipercayai oleh geng-geng Chola. Mereka percaya dengan penuh takzim bahawa kita orang Melayu takde bahasa, takde tulisan, takde agama, takde tamadun. Sebab itu mereka sentiasa pandang rendah pada kita. Mereka sentiasa percaya nenek moyang merekalah yang memberikan tamadun kepada kita melalui Rajendra Chola yang pernah menyerang Kedah.
Jadi, seperti biasa, memang tugas saya menjawab para racist ini semua. Betul ke kita langsung takde bahasa sendiri? Kepercayaan Chola ini datang daripada betapa bahasa kita memiliki banyak kosa kata pinjaman daripada bahasa lain. Mereka ada satu kepercayaan cacat lagi cela bahawa sebuah bahasa tak boleh meminjam dari bahasa lain.
Padahal, bahasa Tamil itu sendiri memiliki banyak kosa kata pinjaman daripada bahasa lain. Padahal bahasa Tamil juga seperti bahasa lain juga memiliki pinjaman kosa kata seperti சர்க்கார் (sarkar) daripada Parsi yang membawa makna kerajaan atau pentadbiran, கஜானா (khazana) daripada Parsi/Arab yang merujuk khazanah atau perbendaharaan, ஜன்னல் (jannal) daripada Portugis janela bermaksud tingkap.
Bahasa Melayu tak terkecuali. Malah bahasa Melayu harus memiliki kosa kata pinjaman yang banyak sebagai bukti betapa antarabangsanya tamadun kami, yang membina pelabuhan-pelabuhan agung di laluan paling antarabangsa di dunia, SELAT MELAKA. Adalah terlalu bangsatlah kami bangsa Melayu kalau dah duduk laluan antarabangsa pun tidak memiliki serapan kosa kata dalam bahasa lain.
Tetapi sesungguhnya walaupun demikian, bahasa Melayu tidaklah tidak memiliki perkataan asal. Cuba tengok perkataan seperti aku, engkau, dia, kita, kamu. Ini bukan pinjaman Arab, Sanskrit, Tamil, atau Inggeris. Ini kata teras dalam bahasa Melayu. Begitu juga dengan kata tubuh seperti mata, telinga, hidung, mulut, tangan, kaki, rambut, perut, dada. Semua ini ialah kata asas yang hidup dalam percakapan Melayu sejak lama. Kalau sebuah bahasa kononnya “tak ada bahasa sendiri”, mustahil ia ada set kata teras begini.
Pada alam pula, kita ada perkataan seperti air, api, angin, tanah, laut, langit, hujan, panas, sejuk, siang, malam, bintang, bulan. Ini inti pengalaman manusia. Dan bahasa Melayu ada semua itu dalam bentuknya sendiri. Pada kehidupan keluarga pula ada emak, ibu, ayah, bapa, anak, adik, kakak, abang, suami, isteri. Pada perbuatan asas pula ada makan, minum, tidur, duduk, bangun, jalan, lari, jatuh, naik, turun, pegang, lihat, dengar, cakap. Ini semua bukan pinjaman mewah dari bahasa luar. Ini rangka hidup sesuatu bahasa.
Lebih penting, bahasa Melayu bukan sekadar ada perkataan asal, tetapi ada cara membina perkataan yang sangat kuat. Daripada kata asli seperti ajar, lahir belajar, pelajar, mengajar, pengajar, pengajaran. Daripada jalan, lahir berjalan, menjalani, perjalanan. Daripada lihat, lahir melihat, terlihat, penglihatan. Ini menunjukkan bahasa Melayu ada mesin tatabahasa sendiri, bukan sekadar tong sampah pinjaman.
Jadi hujah yang tepat ialah ini bahasa Melayu memang ada ribuan kata pinjaman, tetapi tulang belakangnya tetap kata asli Melayu. Pinjaman biasanya banyak pada agama, pentadbiran, ilmu, perdagangan, dan teknologi. Tetapi pada lapisan paling asas kehidupan manusia, bahasa Melayu berdiri dengan kaki sendiri.
Kalau ada orang kata bahasa Melayu “tak wujud”,” dia sebenarnya bukan sekadar menyerang Melayu. Dia sedang meruntuhkan seluruh asas bagaimana ahli linguistik memahami keluarga bahasa Austronesia.
Bahasa Melayu bukan muncul dalam vakum. Ia berada dalam rumpun Austronesia, iaitu salah satu keluarga bahasa terbesar di dunia, yang merangkumi bahasa-bahasa dari Madagascar sampai ke Pulau Paskah, dari Taiwan sampai ke Nusantara dan Pasifik. Dalam keluarga ini ada Melayu, Jawa, Sunda, Aceh, Minangkabau, Bugis, Tagalog, Ilocano, Maori, Hawaiian, Malagasy dan ratusan lagi. Semua bahasa ini diiktiraf sebagai bahasa serumpun kerana mereka berkongsi asal usul sejarah, corak bunyi, struktur tatabahasa, dan set kata warisan yang boleh dijejak secara perbandingan.
Maknanya mudah. Bahasa Melayu bukan berdiri sendirian. Ia sebahagian daripada satu pohon besar. Kalau seseorang tiba-tiba kata bahasa Melayu tak wujud hanya kerana ada pinjaman atau kerana dia tak faham sejarah perkembangannya, maka logik yang sama boleh dipakai pada bahasa Austronesia lain juga. Tagalog ada pinjaman Sanskrit, Sepanyol, Inggeris. Jawa ada pinjaman Sanskrit, Arab, Belanda. Malagasy ada pengaruh Bantu dan Arab. Hawaiian dan Maori juga berubah mengikut sejarah masing-masing. Jadi apa, semua itu pun tak wujud?
Kalau begitu, runtuhlah seluruh konsep keluarga Austronesia.
---
Salah satu cara mendidik rakyat Malaysia tentang tamadun dunia dan Melayu, saya dan team saya di The Patriots Studios telah menyiapkan sebuah poster garis tamadun dunia. Bantu saya dan ti, saya dengan membuat pembelian di laman web The Patriots: https://shorturl.at/D48xA

C&P
17 April 2026: 9.15 p.m

No comments: