Thursday, 20 June 2024

Pembukaan Melaka oleh Parameswara dan kedatangan utusan China ke Melaka

Posted by: Nizam Ali
PERISTIWA N' SEJARAH

Menurut Sulalatus Salatin, Parameswara merupakan raja terakhir kerajaan Temasik yang berketurunan dari Palembang, kemudiannya melarikan diri ke Melaka dalam tahun 1389 setelah diserang oleh Majapahit.
Pada ketika itu kerajaan Srivijaya di Palembang juga diserang oleh Majapahit dan Temasik adalah di bawah naungan Srivijaya. Mengikut catatan China, Srivijaya berjaya dikalahkan oleh Majapahit di tahun 1397.
Dari sumber sejarah Singapura pula mengatakan Parameswara adalah raja ke 5 Temasik yang bermula dari Sang Nila Utama. Dengan itu menolak setengah catatan yang menyebut Parameswara lari ke Melaka disebabkan membunuh Tamagi, gabenor Siam di Temasik.
Kebanyakan catatan China mengenai Melaka terdapat dalam 明實錄 Míng shílù yang merupakan rekod rasmi Dinasti Ming dan 明史 Míngshǐ iaitu buku Sejarah Ming yang disusun semasa 清朝 Qīngcháo iaitu Dinasti Qing.
Selain daripada itu terdapat juga dari catatan ekspedisi 郑和 Zhèng hé. Dalam buku 瀛涯胜览 Yíng yá shèng lǎn yang disusun oleh 马欢 Mǎ huān, seorang pencatat pelayaran dan penterjemah bahasa Arab dan Parsi semasa ekpedisi Zhèng hé telah menulis tentang Melaka. Catatan Mǎ huān dianggap terawal kerana ia menceritakan keadaan Melaka sekitar tahun 1430an iaitu semasa pemerintahan Sultan Muhammad Shah.
Di tahun 1403, Parameswara dikunjungi oleh 尹慶 Yǐn qìng, seorang utusan dari Maharaja Dinasti Ming yang ke 3, 永樂皇帝 Maharaja Yong Le yang menghantar ramai utusan keluar negara bagi memberitahu pertabalannya dan meminta negara-negara asing untuk menghantar utusan ke istana di Nanjing.
Sebelum itu nama Melaka tidak diketahui oleh pihak istana China. Melalui perkhabaran dari pedagang-pedagang Calicut, sebuah negara di barat daya India yang merupakan pusat dagangan timur-barat yang terkenal ketika itu barulah China mengetahui terdapatnya nama Melaka.
永樂元年十月遣中官尹慶使其地,賜以織金文綺、銷金帳幔諸物。Pada bulan ke 10 dalam tahun pertama pemerintahan Maharaja Yong Le, baginda telah menghantar seorang utusan bernama 尹慶 Yǐn qìng ke Melaka. Dihadiahkan selembar kain tenunan emas, sebidang kelambu dengan jahitan benang emas di tepinya dan lain-lain.
Dalam catatan lain menyebut, 慶至,宣示威德及招徠之意。其酋拜里迷蘇剌大喜,遣使隨慶入朝貢方物,三年九月至京師。Yǐn qìng datang dengan memperagakan kehebatan dan memberitahu niat kedatangannya. Penghulu tempat itu, Parameswara amat gembira dengan perkhabaran oleh Yǐn qìng. Parameswara menghantar seorang utusan mengikut Yǐn qìng bersama hadiah untuk dipersembahkan ke istana. Pada bulan 9 tahun ke 3 pemerintahan Maharaja Yong Le iaitu di tahun 1405 barulah sampai ke ibu kota China.
其地无王,亦不称国,服属暹罗,岁输金四十两为赋. Tempat itu tiada beraja dan bukan sebuah negara tetapi naungan Siam, setiap tahun membayar ufti 40 tahil emas.
Dikatakan ketika Yǐn qìng sampai di Melaka adalah sekitar 10 tahun setelah Parameswara membuka Melaka. Jika dibuat rujukan silang daripada Sulalatus Salatin yang mengatakan Parameswara melarikan diri dari Temasik di tahun 1389 maka jaraknya ialah 14 tahun. Oleh itu tempoh 10 tahun Parameswara menjadi ketua sebuah kerajaan di Melaka adalah logik sebelum kedatangan Yǐn qìng.
Parameswara menyatakan kepada Yǐn qìng yang Melaka dalam ketakutan yang amat sangat kerana cengkaman Siam terhadap Melaka yang memaksa Melaka membayar ufti sebanyak 40 tahil emas setiap tahun.
Di awal tahun 1405 sekali lagi Yǐn qìng singgah di Melaka dalam pelayaran balik dari India. Dalam pertemuannya dengan Parameswara, Yǐn qìng memohon Melaka untuk menghantar utusan menghadap Maharaja China. Awalnya Parameswara agak gentar untuk mengikut kehendak Yǐn qìng kerana takutkan ancaman Siam. Namun akhirnya bersetuju untuk menghantar utusan ke China.
癸卯 (1405), 苏门答剌国酋长宰奴里阿必丁、满剌加国酋长拜里迷苏剌、古里国酋长沙米的俱遣使随奉使中官尹庆朝贡。诏俱封为国王,给与印诰,并赐彩币、表衣。
Pada bulan 10 tahun 1405, penghulu negara 苏门答剌 Sū mén dá lá, 宰奴里阿必丁 Zǎi nú lǐ ā bì dīng, penghulu negara Melaka, 拜里迷苏剌 Bài lǐ mí sū lá (Parameswara), penghulu negara Calicut, 沙米 Shā mǐ kesemuanya telah mengikut arahan Yǐn qìng menghantar utusan ke istana. Diwatikahkan sebagai raja, diberi cop mohor, dihadiahkan wang syiling dan persalinan pakaian.
Yang dimaksudkan dengan 苏门答剌 Sū mén dá lá bukanlah Sumatera tetapi 须文达那 Xū wén dá nà. Semasa Dinasti Yuan iaitu dinasti orang-orang Monggol menyebutnya sebagai 苏木都剌 Sū mù dōu lá iaitu Samudera atau Samudera Pasai.
Dalam catatan lain menyebut, 帝嘉之,封為滿剌加國王,賜誥印、綵幣、襲衣、黃蓋,復命慶. Maharaja China berkenan mewatikahkan Parameswara sebagai raja Melaka. Menghadiahkan cop mohor, wang syiling, persalinan pakaian dan tanjak kuning. Arahan diberikan kepada Yǐn qìng untuk diuruskan.
Pada akhir tahun tersebut dengan titah Maharaja China, Zhèng hé memulakan ekspedisi ke barat yang pertama dengan diiringi oleh Yǐn qìng ke Melaka. Para utusan dari Melaka, Samudera dan Calicut yang mengikuti Yǐn qìng ke China juga telah ikut bersama untuk kembali ke negara masing-masing.
Dalam buku 瀛涯胜览 Yíng yá shèng lǎn yang disusun oleh 马欢 Mǎ huān pula menyebut, "赐头目双台银印冠带袍服,建碑封城,遂名满剌加国". Menghadiahkan kepada penghulu (Melaka) sepasang cop mohor yang diperbuat daripada perak, tanjak, bengkung dan jubah. Meletakkan batu peringatan pembinaan kota. Itulah akhirnya yang disebut negara 满剌加 Mǎn lá jiā iaitu Melaka.
Maharaja Yong Le turut menjemput Parameswara untuk melawat China. Dalam 明實錄 Míng shílù mencatatkan, "九年,其王率妻子陪臣五百四十余人来朝". Tahun ke 9 pemerintahan Maharaha Yong Le (1411), raja Melaka bersama permaisuri diiringi oleh para pembesar dan yang lain-lain berjumlah lebih 540 orang telah menghadap Maharaja China di istana.
Dalam 瀛涯胜览 Yíng yá shèng lǎn seterusnya menyebut, "朝廷又赐与海船回国守土". Pihak istana telah menghadiahkan sebuah kapal laut untuk rombongan ini kembali ke Melaka dan digunakan bagi menjaga keselamatan tanah air.
Sesungguhnya hubungan Melaka-China yang dirintis oleh Yǐn qìng telah menjadikan Melaka sebagai negara di bawah naungan China dan dengan pemberian sebuah kapal laut membolehkan Melaka mengawal perairannya serta terhindar dari ancaman Siam.
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim

Copy and paste:
20 June 2024 : 14 Zulhijjah 1445H: 9.29 p.m

No comments: