Friday 21 July 2023

KUMPULAN MUZIK ROCK TERAWAL DI MALAYSIA - ROCK KAPAK

Oleh: Nizam Ali  > PERISTIWA N' SEJARAH

Awal 70'an dunia muzik mula beralih dari irama rock n' roll Inggeris yang dipopularkan oleh Elvis Presley, The Beatles kepada irama pop dan disco. Di Malaysia muzik pop yeh-yeh juga sudah pudar bintangnya bersama arus. Saya mendengar lagu-lagu pop dan asli Melayu dari bintang-bintang penyanyi ketika itu seperti A.Ramlie, Ahmad Jais, Sharifah Aini, Rafeah Buang sanisah Huri dan seterusnya ke era D.J Dave, Uji Rashid, Hail Amir, Dhalan Zainuddin, Latiff Ibrahim dan ke era 80'an seperti Jamal Abdillah, Sudirman, Dato' Shake, Francesca Peters, Ramlah Ram, Zaiton Sameon dan sebagainya.
Dalam masa yang sama muncullah irama rock dalam dunia muzik yang dipelopori oleh kumpulan muzik barat seperti Rolling Stone, The Eagles, Deep Purple, Queen, Aerosmith, ACDC,Led Zeppelin dan sebagainya. Seiringan dengan itu munculllah sedikit demi sedikit band rock Melayu di Malaysia dan Singapura.
Apa itu Rock Kapak? Rockers-rockers dulu kata ia berasal dari perkataan 'rock ke apa?' dan disingkatkan menjadi 'rock kapak', itu pendapat sesetengah rockers.
Berikut ialah secara ringkas kumpulan- kumpulan rock Melayu yang terawal di Malaysia dan Singapura.
SWEET CHARITY
Kumpulan ini adalah perintis kepada penubuhan kumpulan-kumpulan rock yang seterusnya di Malaysia/Singapura.
Sweet Charity berasal dari Singapura ditubuhkan pada 1967. Ahli terdiri dari Ramli Sarip, Rosli Mualim, Joe Sabirin, Wahid Warren dan Rahman Sarbini. Kumpulan ini mirip kepada muzik kumpulan rock barata popular ketika itu Deep Purple dan Santana. Kumpulan Search, Lefthanded dan Wings menjadikan lagu-lagu Sweet Charity sebagai lagu awal mereka sebelum bertapak kukuh di arena rock Melayu.
Sweet Charity merakamkan album pertama pada 1979. Pada album kedua 1980 Sweet Charity menampilkan lagu hit 'Zakiah' tapi album yang yang menjadi ingatan saya dan peminat seni aialah album ke3 tahun 1981 yang mengandungi lagu-lagu hitseperti 'Sejuta Wajah', 'Batu' dan 'Jangan Tunggu Lama-lama'
THE UNWANTED
The Unwanted sebuah band rock yang ditubukan di Singapura pada tahun 1970'an. Menampilkan Hanafie Warren (vokal), Adnan (Drum), Ismail Sukar, Syed (Bass) dan Ramli Katyo (K/board)
The Unwanted memainkan muzik rock berkonsepkan kumpulan Deep Purple dan melodi lebih kepada slow rock. Antara lagu-lagu popular mereka ialah Masih Ada Rindu, Penyesalan, Terperangkap Dalam Sinaran.
KUMPULAN THE BLUES GANG ( 1979-1998)
Blues Gang bukanlah dalam kategori muzik rock, namun kerana ia satunyalah kumpulan bukan kategori muzik rock tapi besaing dengan kumpulan rock kapak lain, maka saya isikan juga kisah dan lagu kumpulan ini.
Nama kumpulan ini diambil dari nama penyaynyi rock Amerika James Gang. Menyampaikan lagu-lagu Melayu dan mengenengahkan irama blues dan rock yang segar dengan memasukkan unsur-unsur Melayu seperti 'Apo nak Di Kato' yang menggunakan loghat Negeri Sembilan.
Blues Gang merakam kan album Melayu pertama berjudul 'Blues Gang' pada 1981 dan menghasilkan jumlah 10 album sehingga 1998 sebelum berpecah.
Ahli kumpulan terdiri daripada Ito Mohd (Vokal,harmonika), Julian Mokhtar (gitar utama), Ghani Abu Talib (gitar, keyboard), Ian Anderson (gitar), Shaik Karim (drum,vokal), Jim Madasamy(bass).
KUMPULAN SEARCH 1985
Ditubuhkan pada 1981 di Johor, Search ialah kumpulan rock terunggul di Malaysia pada tahun 80'an. Menghasilkan lebih 20 album dan berpuluh lagu hits, di samping puluhan konsert yang sering terjual habis tiketnya. Aura dan populariti Search melangkau hingga ke Indonesia.
Dianggotai oleh penyanyi Amy dsamping Yazid Ahmad, Hamzah Mohd Taib, Nordin Taib dan Nasir Daud. Tiga buah album terawal mereka ialah Cinta Buatan Malaysia 1985 dengan membawa pemuzik Yan dan Man Kidal. Langit dan Bumi (1986) menampilkan Hilarry Ang sebagai guitarist utama.
LEFTHANDED 1985
Ditubuhkan pada 1979 di Johor Bharu dan merupakan Juara Rock 1985. Nama diambil sempena guitaris utamanya Man Kidal dan pada awalnya ialah penyanyi Rahim Maarof dan Roy sebelum mengambil Nash sebagai penyanyi tetap. Ahli lain ialah Samad (arwah)), Yan dan Man Dayak (arwah).
Lefthanded mengeluarkan 5 album kesemuanya iaitu Keadilan 1986, Seruan 1987, Qabul 1988, Evolusi 1989 dan Fanatisme 1991.
Album pertama 1986 bertajuk 'Keadilan' yang mengandungi lagu hits seperti Tiada Lagi Kidungmu, Cinta Tiga Dimensi dan Debunga Wangi. Album kedua bertajuk 'Seruan' mengandungi lagu hit 'Ku Di Halaman Rindu'.
Lefthanded bersama Search dan Wings dianggap 'The Big Three Rockers Group' di Malaysia pada tahun 80'an
WINGS
Ditubuhkan pada 1985 oleh sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Ampang, Kuala Lumpur. Empat ahli kumpulan asal yang menubuhkan Wings ialah Awie (vokal), Syam (gitar), Eddie (bass), Jojet (dram). Wings juga pernah bertukar ahli seperti Mel (vokal), Joe (gitar) dan Black (dram).
Album pertama Wings berjudul Belenggu Irama(1987) dan Wings seterusnya menghasilkan 19 buah album kesemuanya. Wings banyak menghasilkan lagu-lagu hits dan antara yang terpopular ialah 'Intanku Kesepian', 'Misteri Mimpi Syakila', "Taman Rashidah Utama', 'Sejati' dan banyak lagi.
Wings bersama Search dianggap dua kumpulan rock Melayu yang terunggul di Malaysia hingga kini.
RUSTY BLADES
Rusty Blades yang ditubuhkan pada 1985 merupakan sebuah kumpulan Heavy Metal berasal dari Singapura. Konsep muzik mereka berteras kepada heavy rock dan dianggap sebagai kumpulan Iron Maiden Singapura.Rusty Blades pada asalnya dianggotai oleh Yantzen (vokal), Khalid Mubin (gitar), Razak (bass), dan Zam (dram).
Album pertama mereka 1986 berjudul 'Ikran Perwira 786' dan sehingga 1989 mereka telah menghasilkan lapan album.
Antara lagu terbaik Rusty Blade ialah 'Penantian' dan 'Kehilangan'
MAY 1986
May ialah sebuah kumpulan rock yang ditubuhkan pada 1986 oleh 4 anak muda daripada Kampung Manjoi, Ipoh, Perak. Nama MAY diambil sempena pangkal huruf nama keempat-empat mereka Mus (vokal), Man Sarip (dram), Abu Nasir (gitar ) dan Yus Mokhtar (bass).
May telah menyertai pertandingan Battle Of The band 1987 dan mendapat tempat ke3. Mus pula meraih hadiah vokal terbaik. Kejayaan tersebut menarik perhatian Warnada Records menawarkan kontrak kepada mereka. Album pertama MAY 1988 berjudul "Dilema"
Album kedua MAY 1989 berjudul 'Hakikat' menaikkan nama MAY. Album ini terjual 200,000 unit dengan lagu popular 'Sendiri' dan 'Cintamu Mekar Di Hati'.
BUMIPUTERA ROCKERS (1985 -1999 )
Ditubuhkan di Johor Bharu, BPR diilhamkan oleh Papa Rock Ramli Sarip dan diuruskan oleh Wan Redzmann, seorang pelumba kereta terkenal dan bekas pengurus kumpulan Sweet Charity.
Dianggotai oleh lima orang ahli yang merupakan pecahan dari kumpulan seperti Titanic, Hurricane, Purple Grass dan Split Times. Mereka adalah Joey (vokal), Awang (gitar), Harun (gitar), Enai (drum), Yem Bai (bass)
Album pertama BPR diterbitkan tahun 1987 dan antara lagu popular mereka ialah Seribu Tahun Takkan Mungkin, Dari Sinar Mata, Aku Hanya Serangga, Silaturrahim dan banyak lagi.
BLOODSHED 1986
Kumpulan Bloodshed muncul dari pertandingan 'Battle Of The Bands' tahun 1986. Ahli asalnya terdiri daripada Roshdan Baharom (vokal), Azman (vokal), Mohd Farid (vokal), Zaharudin Ujang (k/board), Saufi Ghazali @Opie (gitar), Hamdan Ahmad (dram) dan Rawita Shah ( bass).
Album pertama Bloodshed bertajuk 'Illusi Sebuah Mimpi' diterbitkan tahun 1987 dengan tema lagu berentak heavy metal.
Pada 1988, menerusi album 'Samarkand' yang diterbitkan oleh M.Nasir, nama Bloodshed mula melonjak melalui lagu hit mereka 'Srikandi Cintaku' ciptaan M.Nasir yang menduduki takhta Lagu Pujaan 10 Nescafe selama beberapa minggu.
ELLA AND THE BOYS 1985
Kumpulan Ella and The Boys ditubuhkan pada 1981 terdiri daripada Ella (vokal), Lord (gitar), Ayie (bass) dan Mie (dram). Ia mula dikenali semenjak menyertai 'Battle Of The Bands' pada 1986 di Pulau Pinang.
Ella and The Boys berjaya meletakkan nama mereka sebaris dengan band-band popular ketika dan nama Ella begitu popular kerana beliau merupakan satu-satu penyanyi wanita yang memperjuangkan muzik rock.
Kumpulan ini mula merakam album pada 1987 dengan lagu hit 'Dua Insan Bercinta' dan album ke4 yang terakhir pada 1989 sebelum Ella membawa diri sebagai solo rock diva.
HEADWIND 1986
Headwind bukanlah boleh dikategorikan dalam kumpulan 'pure rock' kerana ia lebih kepada pop genre, tapi kumpulan ini bersaing dengan band-band rock lain untuk mengecap populariti band muzik tahun 80'an.
Ditubuhkan pada 1981, Headwind dianggotai oleh Zainal Abidin (vokal), Zulkifli Kassim (Gitar), Abd Razak Salleh (dram) , Nicky Oii (Bass), Man Senoi (k/board), Mohd Rashid (saxophone) mereka menghasilkan album pertama bertajuk 'Headwind' pada 1983.
Antara tahun 1986-1989 Headwind telah menghasilkan 6 album dan antara lagu hit mereka ialah
Pelangi, Hanya Di Radio, Berakhir Satu Percintaan.
Mulai 1990, Zainal menyanyi solo meskipun masih bersama Headwind untuk konsert dan pertunjukan.
GERSANG 1988
Kumpulan Gersang ditubuhkan di Johor Bharu oleh komposer Rahim Othman dan meningkat popular dengan lagu 'Masih Aku Terasa' yang memasuki pertandingan akhir Juara Lagu 1988.
Dianggotai oleh Man Bai (vokal), Acis, Man Greng, Kid, Jojet dan Ajib. Menampilkan penampilan kumpulan rockers smart yang kemudian menjadi ikutan pada kumpulan rock lain pada tahun 1990'an.

Copy and paste:
21 Julai 2023 > 3 Muharram 1445H: 10.13 am

No comments: