Monday, 17 July 2023

Kaum Phoenicia (1500 – 539 SM): Orang Laut Mediterranean

28 April 2018
By Dans C'Kay
Dikenali sebagai Orang Ungu, kaum dari ketamadunan Semitik berasal dari timur Laut Mediterranean, di bahagian barat Sabit Subur (Fertile Crescent) yang menempatkan asal-usul kaum Mesopotamia. Tanah air mereka merangkumi tanah Syria, Lubnan dan Utara Palestin yang telah dikuasai oleh negara haram Israel.
Nama Phoenicia yang berasal dari terma bahasa Yunani Kuno iaitu Poinikes yang bermaksud ungu kerana barangan eksport utama kaum ini adalah pewarna pakaian berwarna ungu yang dihasilkan dari kota Tyre. Dengan pekerja yang dipenuhi pewarna ungu ketika pemprosesan, nama Phoenicia menjadi gelaran simbolik dari orang Yunani Kuno.
Asalnya tanah kaum Phoenicia terdiri dari banyak negara-kota sebelum bersatu sebagai sebuah kerajaan, sama kesnya di tanah Yunani ketika zaman awal ketamadunan mereka. Kemudian kesemua negara-kota bersatu pada 2750 SM dan menjadi kerajaan maritime sekitar 1500 SM. Kaum Phoenicia mahir dalam aktiviti perdagangan laut dan bidang maritime seperti pertukangan kapal.
Kepakaran laut mereka ditunjukkan dari kapal di mana bahagian depannya diukir kepala kuda, simbolik kepada penyembahan Dewa Laut, Yamm. Dalam perdagangan laut pula, selain menjadikan pewarna sebagai barang eksport utama, mereka juga menghasilkan barangan kaca dan barang kemas untuk jualan mereka. Dalam zaman kegemilangan mereka, kota Tyre dan Sidon menjadi kota perlabuhan terkaya manakala kota Byblos dan Baalbek menjadi kota keagamaan pagan terpenting.
Mengenai asal-usul kaum Phoenicia, sejarahwan Yunani Kuno iaitu Strabo dan Herodotus percaya bahawa asal kaum Phoenicia dari kawasan Bahrain. Mereka percaya bahawa kota Aradus yang bertempat di Tylos (nama kuno Bahrain) adalah tanah kelahiran kaum ini dan mempunyai kuil sembahan mereka. Namun dari segi arkeologi, terlalu sedikit bukti bahawa kaum Phoenicia berasal dari Bahrain malah rakyat kota Tyre telah sekian lama menjadi kaum yang berasal dari Teluk Parsi. Mungkin saja wujud kekeliruan nama Tylos dan Tyre sehingga timbul teori ini.
Selain mahir bertukang dan selok-belok maritime, kaum Phoenicia juga terkenal dengan penciptaan alphabet mereka sehingga penggunaannya meluas di sekitar Laut Mediterranean. Alphabet Phboenicia mempunyai 22 huruf, kesemuanya konsonan. Sejak 1050 SM, alphabet ini dijadikan sebagai bahasa utama kaum Semitik Utara. Alphabet ini dipercayai adalah moyang kepada alphabet yang kita gunakan sekarang. Melalui perdagangan laut, kaum Phoenicia menyebarkan bahasa mereka ke tanah Anatolia, Afrika Utara dan Eropah, di mana terdapat penempatan kaum Yunani Kuno, seterusnya menaiktaraf alphabet ini dengan tambahan beberapa huruf vokal. Makam raja Ahiram yang memerintah pada 1000 SM menjadi bukti terpenting dalam penggunaan alphabet Phoenicia yang diukir di dinding makam.
Hubungan Yunani Kuno dan Phoenicia amat rapat sejak awal ketamadunan mereka lagi. Selain berkongsi tanah sekitar Laut Mediterranean dan mempunyai hubungan perdagangan laut yang kukuh, agama pagan dan neo-pagan Yunani Kuno sebenarnya pinjaman dari agama pagan Phoenicia sebab mempunyai persamaan asal-usul Dewa Guntur Zeus dan Dewa Laut Poseidon dengan Dewa Baal dan Dewa Yamm milik kaum Phoenicia.
Dalam status sosial Phoenicia, raja, paderi dan para bangsawan adalah kuasa teratas mentadbir kerajaan. Di zaman kegemilangan Phoenicia iaitu pada 1200 SM, kota Byblos menjadi ibu kota pertama menguasai sekitar Laut Mediterranean dan jalan perdagangan laut di Laut Merah. Kemudian, kota Tyre menjadi ibu kota kedua menggantikan kota Byblos. Paderi T5yre iaitu Ithobaal (887 – 856 SM) menguasai kerajaan Phoenicia sehingga ke tanah Beirut dan sebahagian pulau Cyprus. Seterusnya, kota Carthage menjadi ibu kota ketiga dalam pemerintahan raja Pygmalion (820 – 774 SM).
Pada 539 SM, kerajaan Phoenicia mengalami zaman keruntuhan iaitu ketika penguasaan raja Parsi iaitu Cyrus The Great. Kerajaan Phoenicia di bawah pengaruh Parsi dipecahkan kepada 4 kerajaan kecil: Tyre, Byblos, Sidon dan Arwad. Segala kekayaan kerajaan itu diserahkan kepada raja Parsi seterusnya pengaruh Phienicia merundum teruk. Pada 350 SM, terdapat pemberontak dari kota Sidon yang diketuai oleh wira Tennes tetapi pemberontakan itu terhapus oleh tindakan raja Artaxerxes III yang telah menghidu awal akan pemberontakan itu.
Pada 334 SM, rombongan ketenteraan Alexander The Great muncul dan menguasai kota Baalbek (kemudian dinamakan sebagai Heliopolis) kemudian meneruskan penaklukan ke atas kota Byblos dan Sidon dari cengkaman Parsi pada 332 SM. Ketika Alexander tiba di kota Tyre, rakyat Tyre memohon perjanjian damai kepada Alexander. Beliau setuju tetapi dengan syarat dia perlu memberi sembahan korban kepada Dewa Melqart, salah satu dewa sembahan Phoenicia di kuil Tyre. Rakyat Tyre mendapati syarat Alexander bertentangan dengan adat penyembahan mereka yang tidak membenarkan orang asing menyembah dewa-dewi mereka dan mencadangkan Alexander untuk memberikan korban di kuil kota lain. Alexander merasakan syaratnya tidak diterima dan menghantar pengutusnya ke kota Tyre untuk menuntut penyerahan kalah. Namun rakyat Tyre berani membunuh pengutus Alexander dan membuang mayat di luar kota.
Tindakan rakyat Tyre mencetuskan kemurkaan Alexander dan mengarahkan para tenteranya menjarah kota Tyre untuk memberi pengajaran kepada mereka. Tujuh bulan berlalu, rombongan Alexander berjaya menembusi benteng Tyre dan menakluk kota itu. Seramai 30,000 orang rakyat kota Tyre dibunuh atau dijadikan sebagai hamba. Hanya mereka yang kaya boleh melarikan diri dari cengkaman Alexander setelah memberikan kekayaan mereka. Setelah kejatuhan kota Tyre, kota-kota Phoenicia lain menyerah kalah dan tunduk kepada penguasaan Alexander, seterusnya ketamadunan Phienicia terhapus dan digantikan dengan kebudayaan Helenistik.
Pada 64 SM, sebahagian tanah Phoenicia menjadi milik empayar Rom pada pada 15 SM kota Heliopolis menjadi kota terpenting dalam keagamaan pagan dengan pembinaan kuil dewa Jupiter serta kuil dewa Bacchus. Kini, apa yang tinggal dari kaum Phoenicia yang kita sedia maklum adalah alphabet yang kita sentiasa gunakan dalam penulisan dan bahasa. Tidak ketinggalan juga kepakaran mereka menghasilkan pewarna pakaian dan barangan kaca yang mempersona.
RUJUKAN:
1. Ancient History Encyclopedia: Phoenicia
2. Bowersock, G.W. (1986). “Tylos and Tyre. Bahrain in the Graeco-Roman World”. In Khalifa, Haya Ali; Rice, Michael.Bahrain Through The Ages – the Archaeology. Routledge. pp. 401–2.
3. Josephine Quinn (11 December 2017).In Search of the Phoenicians. Princeton University Press. p. 24.
4. Woolmer, Martin (2017).A Short History of The Phoenicians. I.B.Tauris.
Sumber artikel : thepatriots
Copy and paste:
17 Julai 2023 - 28 Zulhijjah 1444H: 4.44 pm