Monday, 25 April 2022

Perlu Atau Tidak Berwudhu’ Untuk Menyentuh Dan Membaca Tafsir Al-Quran?

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Sebelum menyentuh dan membaca al-Quran, kita dikehendaki untuk berwuduk terlebih dahulu sebagai kaedah bersuci.

Bagaimana pula jika kita hendak membaca tafsir al-Quran, adakah kita juga diwajibkan berwuduk sebelum menyentuhnya?

Perlukah berwuduk sebelum sentuh tafsir al-Quran?

Pendapat mazhab Maliki dan Hanbali
Menurut pendapat Imam Ibn Qudamah dalam kitabnya Al-Mughni, dibolehkan untuk menyentuh kitab-kitab tafsir al-Quran, fiqh atau risalah lain walaupun padanya terdapat ayat-ayat al-Quran.

Ini adalah berdasarkan dalil bahawa Rasulullah SAW pernah mengutuskan surat kepada Maharaja Rom yang turut mengandungi ayat al-Quran pada surat tersebut.

Ia turut terkandung dalam kitab Syarah Mukhtasar Khalil karangan Imam al-Kharasyi al-Maliki juga. Dinyatakan bahawa dibolehkan untuk memegang tafsir al-Quran walaupun dalam keadaan berhadas.

Pendapat mazhab Syafie
Menurut pendapat daripada mazhab Syafie pula, diharamkan bagi orang Islam untuk menyentuh tafsir sekiranya jumah ayat Al-Quran didalamnya adalah lebih banyak daripada tafsirnya.

Namun, sekiranya jumlah tafsirnya lebih banyak berbanding ayat Al-Quran, maka dibolehkan untuk menyentuh dan memegang kitab tafsir tersebut tanpa wuduk.

Imam Nawawi ada menyatakan perkara ini dalam kitabnya iaitu Al-Majmu’. Menurut Imam Nawawi, sekiranya kitab tafsir itu mengandungi jumlah ayat Al-Quran yang lebih banyak berbanding tafsirnya, maka diharamkan untuk menyentuhnya tanpa wuduk.

Pendapat ini juga telah dinyatakan oleh Imam al-Mawardi dan al-Ruyani. Namun sekiranya jumlah tafsirnya lebih banyak, maka ia tidak mengapa kerana ia tidak dianggap sebagai mushaf al-Quran.

Pendapat jumhur ulama mengenai hal ini
Majoriti atau jumhur ulama menyatakan bahawa, dibenarkan untuk umat Islam menyentuh, memegang atau membawa kitab tafsir al-Quran walaupun bukan dalam keadaan berwuduk.

Walaupun terdapat ayat-ayat al-Quran di dalamnya, ia turut dibolehkan. Ini kerana, tafsir al-Quran bermaksud makna-makna mengenai ayat al-Quran, dan bukannya ayat al-Quran itu sendiri. Maka, hukum berkaitan mushaf al-Quran tidak terpakai ke atasnya.

Menurut portal Mufti Wilayah Persekutuan, sesuai dengan pandangan yang sahih daripada mazhab Syafie, kandungan tafsir tersebut juga mestilah melebihi kandungan ayat al-Quran.

Adalah lebih baik jika mempunyai wuduk

Kaedah terbaik yang boleh diamalkan di sini adalah dengan mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum menyentuh tafsir al-Quran.

Jika kita berwuduk sebelum mengulang kaji tafsir Al-Quran, ia akan menunjukkan bahawa diri kita lebih bersedia untuk membaca al-Quran.

Copy and paste: 25 April 2022 > 23 Ramadan 1443H: 10.29 am

No comments: