Tuesday, 19 April 2022

Asal Usul Melayu

Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin
Persoalan tentang siapakah Melayu dan dari manakah asal usulnya sering kali menjadi perdebatan ramai. Ada yang berpendapat bahawa bangsa Melayu itu sendiri tidak wujud. Melayu dikatakan terlahir daripada perkahwinan campur antara “penduduk tempatan” dengan saudagar-saudagar Cina, India, Arab dan Siam yang singgah di Semenanjung Tanah Melayu untuk berdagang semasa zaman kemahsyuran empayar-empayar di Tanah Melayu. Spekulasi tentang siapakah “penduduk tempatan” inilah yang kerap kali menjadi bahan perdebatan antara ahli akademik, pakar sejarah, ahli politik dan tidak terkecuali para keyboard warriors di laman-laman sosial.
Melayu sebenarnya bukanlah satu bangsa yang hanya wujud di Malaysia tetapi orang Melayu telah wujud sekian lama di Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Kepulauan yang terletak di antara Lautan India dan Lautan Pasifik ini mengunjur sejauh 4,000 batu dari timur ke barat dan 1,300 batu dari utara ke selatan dan merupakan kepulauan yang terbesar di dunia.
Kepulauan Melayu dibentuk oleh beribu-ribu buah pulau kecil dan pulau-pulau besar seperti Borneo, Sumatera, Jawa, Sulawesi, Filipina dan termasuk juga Semenanjung Malaysia. Sebelum berlakunya banjir besar yang menenggelamkan Pentas Sunda dan tamadunnya lebih kurang 10,000 tahun yang lalu, kumpulan pulau yang terletak di atas Pentas Sunda dipercayai bersambung sebagai satu tanah besar yang memudahkan pergerakan dan interaksi manusia di atasnya.
Akibat daripada kejadian banjir besar ini, sebahagian penduduk di Pentas Sunda terpaksa berhijrah dan mereka ini dipercayai telah memulakan penempatan baharu di Asia Timur dan Kepulauan Pasifik .
Teori Out of Taiwan oleh Peter Bellwood menyatakan bahawa penutur bahasa Austronesia telah berhijrah keluar dari Taiwan dan bergerak ke arah Asia Tenggara sekitar 10,000 tahun dahulu dan membawa bersama mereka teknologi penanaman padi. Memandangkan bahasa Melayu merupakan salah satu cabang bahasa Austronesia, maka orang Melayu juga dianggap sebagai berasal dari Taiwan.
Kepercayaan bahawa orang Melayu berasal dari Yunnan atau selatan negara China juga dipercayai timbul daripada pemahaman bahawa penduduk terawal di Asia Tenggara adalah berasal daripada kumpulan manusia yang bergerak keluar dari selatan China ke Taiwan dan seterusnya ke Asia Tenggara (arah pergerakan utara ke selatan).
Populasi lebih awal
Walau bagaimanapun,kepercayaan yang bertapak sekian lama ini telah berjaya digugat apabila bukti daripada kajian DNA menunjukkan pergerakan manusia di Asia dan Asia Tenggara adalah sebaliknya. Kajian menggunakan Single Nucleotide Polymorphisms (SNPs) yang telah diterbitkan dalam majalah Science yang bertajuk, Mapping Human Genetic Diversity in Asia pada tahun 2009 menunjukkan bahawa Asia Tenggara adalah lokasi terawal kemasukan manusia dari Afrika ke Asia.
Dalam kajian ini, sebanyak 50 peratus haplotype yang ditemui (kumpulan SNPs pada satu kromosom yang diwariskan bersama-sama dipanggil haplotype) dalam populasi Asia Timur hanya terdapat dalam populasi di Asia Tenggara. Ini menunjukkan bahawa Asia Tenggara merupakan sumber utama bagi takungan genetik populasi di Asia Timur seperti China dan Taiwan. Bukti ini seterusnya menyokong bahawa pergerakan manusia di Asia adalah dari arah selatan ke utara.
Analisis filogenetik menggunakan penanda SNPs telah meletakkan Orang Asli Semang dan orang Melayu pada cabang yang lebih awal berbanding populasi di Asia Timur yang secara langsung menunjukkan bahawa Orang Asli Semang dan Melayu adalah satu populasi yang lebih “awal” berbanding populasi di China dan Taiwan.
Selain bukti daripada kajian menggunakan SNPs, penjujukan penuh DNA mitokondria juga telah membuktikan bahawa Orang Asli di Semenanjung Malaysia (Semang) adalah berasal daripada kumpulan manusia moden terawal yang bergerak keluar dari benua Afrika. Pergerakan ini berlaku lebih kurang 60,000 – 75,000 tahun dahulu melalui jalan darat di sepanjang pesisir pantai melalui India ke Asia Tenggara dan seterusnya ke Australasia (Tajuk penerbitan: Single, rapid coastal settlement of Asia revealed by analysis of complete mitochondrial genome; Science 2005).
Pada zaman ini, kemungkinan besar laluan ke arah utara terhalang oleh cuaca yang ekstrem, bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan kawasan gurun. Laluan pantai yang lebih landai dan cuaca yang kurang ekstrem mungkin antara faktor kenapa kumpulan manusia yang bergerak ke arah selatan berjaya tiba di Asia Tenggara.
Kajian serupa yang dilakukan ke atas 10 sub-etnik Melayu (Kelantan, Bugis, Banjar, Jawa, Acheh, Minang, Mendeleng, Rawa, Champa dan Pattani) menggunakan DNA mitokondria menunjukkan sejumlah orang Melayu juga mempunyai DNA mitokondria yang berusia hampir 60,000 tahun (Nur Haslindawaty Abd Rashid, tesis PhD, 2013) dan turut berkongsi haplogroup (kumpulan DNA mitokondria) yang sama dengan Orang Asli.
Penemuan ini membuktikan bahawa orang Melayu juga berasal daripada kumpulan manusia yang bergerak keluar dari Afrika lebih kurang 60,000-75,000 tahun dahulu yang kemudiannya menjadi penghuni terawal di Kepulauan Melayu. Kajian menggunakan pelbagai jenis penanda DNA telah membuktikan bahawa kesemua sub-etnik Melayu mempunyai persamaan genetik yang sangat tinggi (Edinur et al, 2009; NurWaliyuddin et al., 2014).
Penemuan ini telah mengukuhkan lagi kepercayaan tentang asal usul dan hubung kait antara populasi awal di Kepulauan Melayu. Kesemua sub-etnik Melayu ini ternyata berasal dari susur galur yang sama dan berkongsi keturunan yang sama. Namun demikian, pada hari ini, mereka telah dipisahkan oleh sempadan geografi dan politik dan hasilnya mereka terlihat sebagai populasi yang berbeza.
Pemisahan ini walau bagaimapun tidak dapat menafikan hubungan mereka yang telah dibuktikan secara genetik, sama seperti hakikat kewujudan mereka di Kepulauan Melayu sejak 60,000 tahun dahulu. Mungkin bagi sesetengah pihak, pengetahuan tentang sejarah dan asal usul sesuatu bangsa tidak penting. Kenapa kita perlu bersusah payah memahami kejadian yang berlaku beribu-ribu tahun dahulu?
Adakah perjalanan dan pengalaman yang dilalui oleh nenek moyang kita masih relevan untuk dipelajari? Harus diingat, pandangan kita tentang sejarah sebenarnya membentuk pandangan kita tentang masa hadapan. Gagal menghayati sejarah bermakna kita gagal menghargai dan menghormati usaha keras nenek moyang kita, sedangkan hasil darinya kita nikmati hari ini.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

It would be interesting to have Prof Madya Dr Zafarina give a talk on her DNA research at Raudhah City.
Her article below will give you some relevant insights on Malay DNA history. 5 minute read - worthy supplement to your intellect.
To share some perspective - ancient man are estimated to be 3.6 million yrs old. Modern humans - Nabi Adam AS & Hawa, are estimated to be 200,000 yrs old.
The earliest Malay DNA is estimated to be 60,000 yrs old. One of the earlier tribes to leave Africa and traveled to South East Asia.
The Yunan’s DNA is younger than us, as tribes travel up north from south, some 10,000 yrs later. Whilst other tribes continue to travel south to Australia & NZ, marked by the Maori as our distant cousins.
A major flood circa 10,000 yrs ago has turned the Sunda Plateau into thousands of islands as we see today. And along the changes in geography, the Malays has adapted as great seamen or sailors. We are the only tribe that calls our homeland “TanahAirku”. Perhaps it’s time to reunite the clan and retake our position as the elder tribe in Asia.

Syaraff Al Sadat

Copy and paste : 19 April 2022 > 17 Ramadan 1443H: 5.21 pm

No comments: