Friday, 18 March 2016

Jalan Ke Syurga Masih terbuka luas


Amalan yang boleh membawa seseorang itu ke syurga, insya-Allah: 


1. Lakukan 12 rakaat solat sunat sebelum atau sesudah solat fardhu iaitu 2 sebelum Subuh, 4 sebelum Zuhur dan 2 selepasnya, 2 selepas Maghrib dan 2 selepas Isyak. Faedahnya Allah SWT akan membina baginya mahligai dalam syurga. Ia berdasarkan hadith baginda yang bermaksud " Sesiapa yang dapat melakukan 12 rakaat solat sunat secara sukarela, maka dibina baginya mahligai dalam syurga." 
- (Hadith Riwayat Imam Muslim) 

2. Dua rakaat pada waktu malam faedahnya: Doanya terkabul, dosanya diampunkan Allah, hajatnya diperkenankan. Dalilnya seperti yang ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w : "Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia setiap malam (lebih-lebih lagi sepertiga malam) hingga Dia berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku pasti Aku perkenankan, sesiapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku berikan kepadanya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku ampunkan dosanya." 
- (Hadith riwayat Imam Bukhari ) 

3. Lakukan 2, 4, atau 8 rakaat solat Dhuha. Faedahnya: Seolah-olah seseorang itu bersedekah setiap urat-urat jemarinya. Dalilnya seperti yang disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Berpagi-pagi seseorang daripada kamu setiap tulang empat keratnya adalah sedekah, setiap tasbihnya adalah sedekah, setiap puji-pujiannya adalah sedekah, setiap ucapan Lailaha illallahadalah sedekah, setiap takbirnya adalah sedekah, Amar makruf yang dilakukan adalah sedekah, Nahi mungkarnya adalah sedekah, dia akan diganjari pahala dengan hal yang demikian, termasuklah dua rakaat dilakukan pada waktu Dhuha." 
- (Riwayat Imam Bukhari ) 

4.Membaca surah al-Mulk. Faedahnya: Dapat selamatkan pembacanya daripada azab kubur. Dalilnya baginda s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya terdapat satu surah dalam al-Quran yang mengandungi 30 ayat, ia mampu memberi syafaat kepada pembacanya dan akan diampunkan dosanya, iaitu surah Tabarakkallazi Biyadihil Mulk." 
- (Riwayat hadith Imam Ahmaddan at-Tirmizi dengan derajat hadith Hasan) 

5. Memperbanyakkan ucapan La Ilaha Illallah Wahdah, La Syarikalah, Lahul Mulku walahul Hamd, Wahuwa 'Ala Kulli Syaiin Qadir pada setiap hari 100 kali, maka baginya pembebasan 10 orang hamba, mendapat 100 pahala, dihapuskan 100 dosa dan menjadi bentengan daripada kejahatan syaitan dari pagi sampai petang." 
- (Hadith riwayat Imam Muslim ) 

6. Berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Faedahnya: Terlepas daripada menjadi golongan bakhil/ kedekut. Dallilnya seperti yang disabdakan baginda s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya sesiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat." 
- (Hadith riwayat Imam Muslim). 

Sabdanya lagi: "Orang yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ke atasku ketika disebut namaku." 
- (Hadith riwayat Imam at-Tirmizi dengan kedudukan hadith Hsan Gharib Sohih ) 

7. Mengucapkan Tasbih: "Subhanallahi Wa Bihamdihi, Subhanallahil 'Azim" 100 kali. Faedahnya: Ditanamkan baginya sebuah pohon kurma dalam syurga. Dalilnya, Nabi bersabda: "Sesiapa yang berkata Subhanallahi Wa Bihamdihi, Subahanallhil 'Azim 100 kali, akan ditanamkan baginya sebuah kurma dalam syurga." 
- (Hadith riwayat Imam at-Tirmizi dan beliau berkata; Hadith ini Hasan Gharib ) 

8. Dengan banyak beristighfar iaitu mengucap "Astaghfirullah" 100 kali. Faedahnya Allah SWT akan menghilangkan segala kesulitannya serta melapangkan rezekinya. Dalilnya seperti yang disabdakan baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang membiasakan dirinya dengan Istighfar/Astaghfirullah (100 kali), maka Allah SWT akan jadikan baginya jalan keluar daripada segenap kesempitan (hidup), kesusahannya akan dipermudahkan Allah SWT serta rezekinya akan diperolehi daripada bahan yang tidak disangka-sangka." 
- (Hadith riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim dengan kedudukan Hadith yang Sohih)

Author: ustazzain@harakah.net.my

18.3.2016

No comments: