Monday, 15 June 2015

Penemuan Meteorologi dalam Al Quran

Tatkala Rasulullah SAW mengorak langkah untuk menyebarkan dakwah secara terbuka, orang-orang musyrikin Quraisy menuduh baginda yang mencipta ayat-ayat Al-Quran. Jika difikirkan secara logik, Rasulullah SAW adalah seorang yang buta huruf.
Tambahan pula, sepanjang hayat baginda menetap di jazirah Arab yang mengalami purata hujan tahunan yang amat rendah. Bagaimanakah baginda tahu-menahu tentang gumpalan awan seperti gunung serta pembentukan ketulan ais akibat proses pengumpulan awan?
Sudah tentu terdapat ‘penyampai’ yang menitip maklumat kepada Rasulullah SAW perihal suasana di atmosfera dan cakerawala. ‘Penyampai’ yang dimaksudkan adalah malaikat Jibrail yang mula membawa wahyu, tanggal 6 Ogos (17 Ramadan) tahun 610 Masihi.
Ini membuktikan bahawa Al-Quran bukanlah suatu kitab ketinggalan zaman yang perlu diubah mengikut perkembangan semasa kerana pelbagai bidang sains seperti astronomi, kosmologi, oseanografi mahupun zoologi sudah pun termaktub di dalamnya.
Saintis Barat seperti Luke Howard, Francis Beaufort, Cleveland Abbe dan Vilhelm Bjerknes terkial-kial membuat kajian tentang meteorologi sejak 300 tahun lepas, ilmu tersebut sudah pun termaktub dalam Al- Quran sejak 1400 tahun dahulu.
Meteorologi merupakan kajian saintifik tentang atmosfera dan pelbagai proses yang berlaku di dalamnya. Apabila disebut meteorologi, sudah pasti masih ramai yang tidak tahu maksud istilah tersebut berbanding “ramalan cuaca”.
Setelah kajian dilaksanakan oleh stesen kaji cuaca dengan bantuan satelit dan beberapa perkakasan canggih, barulah ramalan cuaca dikeluarkan. Berapakah peratus daripada penonton televisyen yang memberi perhatian terhadap segmen ramalan cuaca yang disiarkan di dalam rancangan televisyen atau radio setiap hari?
Di Malaysia, meteorologi tidak begitu menonjol jika dibandingkan dengan cabang ilmu sains yang lain. Hakikatnya, bertitik tolak dari meteorologi, ia menghasilkan pelbagai kajian sains seperti climatology (kajian tentang iklim), hidrologi, strata vegetasi, botani, zoologi dan biogeografi.
Allah SWT telah mencipta air yang berupaya wujud dalam tiga fasa pada masa yang sama iaitu pepejal, cecair dan gas. Ciri unik ini menghasilkan pelbagai bentuk kehidupan di eko sistem daratan mahupun akuatik. Selain daripada air, parameter seperti keamatan cahaya, suhu, arah pergerakan angin, radiasi elektro magnetik dan tekanan udara turut diambil kira.
Tahukah anda bahawa terdapat beberapa ayat Quran yang memberi gambaran tentang meteorologi? Rujuklah kepada : Surah Al Araaf (7: 57), An Nahl (16: 65), Al Mukminun (23: 18), An-Nur (24: 43), Al Furqaan (25: 48-50), Ar Rum (30: 48), As-Sajdah (32: 27), Fushshilat (41: 39) dan Al Mulk (67: 30).

Kesemua ayat-ayat tersebut adalah di bawah kategori ayat Makiyah kecuali An-Nur (24: 43) merupakan ayat Madaniyah. Surah Ar Rum (30: 48) yang membawa maksud: “Allah, Dialah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal, lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila hujan itu turun pada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya, tiba-tiba mereka menjadi gembira.”

Jika diteliti ayat di atas, terdapat beberapa proses yang berlaku di dalam atmosfera sebelum hujan turun: Awan Bergerak (Dengan Bantuan Angin) –> Awan Membentang –> Awan Bergumpal –> Hujan Turun.
Surah An-Nur (24: 43) yang membawa maksud: Tidakkah kamu melihat bahawa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara (bahagian-bahagian)nya, kemudian menjadikan bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya dan Allah juga menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit, iaitu dari gumpalan-gumpalan awan seperti gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya butiran ais kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan dipalingkan dari sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Terdapat sedikit perbezaan di antara ayat pertama dan kedua, diringkaskan seperti berikut: Awan Bergerak –> Awan Berkumpul–> Awan Bergumpal/bertindih –> Hujan/butiran Ais Turun.

Surah Ar-Rum (30: 48) menggambarkan tentang klasifikasi awan manakala An-Nur (24: 43) menerangkan tentang proses kerpasan (precipitation).

Ahli-ahli meteorologi telah merumuskan bahawa awan terbahagi kepada dua kategori:

i) Awan membentang: sirus, sirokumulus, altokumulus, altostratus, stratus dan stratokumulus
ii) Awan bergumpal: kumulonimbus, kumulus dan nimbostratus

Awan kumulus tidak bertahan lama. Apabila angin kuat yang mengandungi udara lembap bergerak ke atas, ia akan membentuk awan kumulonimbus yang membawa hujan lebat, petir dan guruh. Awan jenis ini kadangkala mempunyai bahagian atas dan bawah yang leper.
Jika angin bertiup kencang, bahagian atas akan membentuk satu lapisan awan yang dikenali sebagai stratokumulus.Awan stratus terbentuk apabila satu lapisan udara disejukkan pada titik tepu. Selain daripada kumulonimbus, nimbostratus turut ditakuti oleh manusia kerana membawa hujan bagi jangkamasa yang lama. Lantaran itu, ia menyebabkan tanah runtuh, jalan raya merekah serta banjir yang lambat surut.
Kerpasan berlaku ketika titisan air atau hablur ais menjadi cukup berat dalam gumpalan awan dan udara tidak berdaya lagi untuk menghalangnya daripada jatuh ke bumi. Fenomena ini boleh diklasifikasikan kepada dua kategori:

i) bentuk cecair: hujan dan gerimis
ii) hablur ais: salji, hujan beku (freezing rain), untal ais (ice pellets) dan hujan batu (hail)
Hujan beku adalah air hujan yang akan membeku apabila jatuh ke bumi manakala hujan batu terdiri daripada ketulan ais yang mungkin mencapai saiz bola golf. Yang pasti kedua-dua jenis hujan ini membawa kemusnahan kepada tanaman ladang, menumbangkan pokok, merosakkan pencawang elektrik serta bumbung rumah.
Firman Allah SWT dalam Surah Al Mukminun (23: 18): Dan Kami turunkan air dari langit menurut suatu ukuran, lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi dan sesungguhnya Kami benar berkuasa menghilangkannya.

Ada pihak yang merujuk istilah ‘suatu ukuran’ atau ‘biqadarin’ (Bahasa Arab) kepada air yang meliputi kira-kira 71% daripada permukaan bumi. Tafsiran itu tidak salah dan boleh diterima tetapi ‘biqadarin’ perlu dilihat dari sudut lain iaitu:
1. Saiz (diameter) titisan air hujan dan hablur ais yang turun akibat kerpasan
- Gerimis adalah titisan air yang berdiameter 0.2-0.5 mm, berasal dari awan stratus. Kedudukan stratus yang rendah membatasi titisan air daripada membesar akibat proses perlanggaran sesama sendiri.
- Titisan air hujan berasal dari nimbostratus berukuran berdiameter 1-2 mm sementara titisan dari kumulonimbus berdiameter 3-6 mm.
- Untal ais adalah partikel berwarna putih dalam bentuk kon atau sfera, berdiameter 1-5 mm. Ia terbentuk apabila itisan air dalam awan berada pada suhu -10C (14F) hingga -20C (-4F).
- Hujan batu (hail) terbentuk ketika hujan lebat, diikuti dengan angin kencang. Proses perolakan angin menolak butiran ais ke arah atas, kembali ke lapisan atas dan tengah awan kumulonimbus. Butiran ais menjadi besar setelah bergabung dengan titisan air.
2. Ukuran purata air hujan yang turun di pelbagai tempat

- Di Lembah Amazon dan Lembah Congo, purata hujan tahunan adalah melebihi 250 sm. Di Pulau Madagascar dan Gunung Kilimanjaro, purata hujan tahunan adalah di antara 50 - 100 sm manakala di Gurun Gobi dan Gurun Great Victoria, purata hujan tahunan hanya mencecah 25sm.

Dengan wujudnya pelbagai purata hujan tahunan serata dunia, maka terbentuklah tujuh kumpulan iklim: Tropika Lembap, Kering, Subtropika, Temperat, Boreal, Kutub dan Tanah Tinggi.
Firman Allah dalam Surah as-Sajdah (32: 27): “Dan apakah mereka tidak memerhatikan bahawa Kami menghalau awan yang mengandungi air ke bumi yang tandus, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu dengan tanaman yang menjadi sumber makanan binatang ternakan dan mereka sendiri. Maka apakah mereka tidak memerhatikan?”
Ayat di atas menggambarkan satu rantai makanan (food chain) yang ringkas: Air Hujan –> Tumbuh-tumbuhan

(Autotrof) –> Haiwan (Heterotrof)

Autotrof atau pengeluar, membuat makanan sendiri melalui proses fotosintesis. Haiwan tidak boleh menjadi autotrof kerana ia tidak boleh membuat makanan sendiri. Heterotrof yang terdiri daripada herbivor, karnivor dan omnivor memerlukan autotrof untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Semakin tinggi purata hujan tahunan bagi suatu kawasan, maka rantai makanan menjadi lebih kompleks. Dua jenis biogeografi dipilih sebagai perbandingan:
(a) Hutan Amazon dan Kalimantan: berhampiran dengan garis Khatulistiwa (hutan hujan tropika).
Kawasan ini mendapat cahaya matahari sepanjang tahun dan purata hujan tahunan melebihi 250 sm. Oleh itu, kepelbagaian spesies flora dan fauna adalah tinggi, rantai makanan menjadi lebih kompleks, berubah menjadi jaringan makanan. Lebih banyak kitaran biogeokimia berlaku untuk memberi keseimbangan gas dan nutrient, antara organisma dan persekitaran. Misalnya kitaran karbon, kitaran nitrogen, fosforus dan sulfur.
(b) Siberia dan Alaska: berhampiran dengan Kutub Utara (tundra).
Kawasan ini pula memperoleh cahaya matahari enam bulan sekali dan purata hujan tahunan kurang daripada 25 sm. Lantaran itu, kepelbagaian spesies flora dan fauna adalah rendah, rantai makanan adalah ringkas. Semasa musim panas dan lapisan air mencair, beberapa spesies bunga-bunga kecil, rumput dan herba akan kelihatan.
Apa yang jelas, Quran bukannya diturunkan untuk satu umat atau satu abad, tetapi untuk seluruh umat manusia sehingga hari Kiamat kelak. Bagi sesetengah pihak yang menuduh kandungan Quran tidak sesuai diamalkan pada zaman sekarang adalah mereka yang tidak mengkaji Quran secara menyeluruh. Golongan pemikiran cetek dan dangkal ini hanya mengkaji dan mentafsir ayat-ayat yang tertentu sahaja.
- Oleh Mariam Rashid -

No comments: